Wednesday, 6 May 2015

Walk With Me 2015; Sultan Kelantan berjalan bersama-sama rakyat esok

KOTA BHARU - Tradisi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berjalan bersama-sama rakyat jelata  menerusi Walkathon D’Raja Kelantan (Walk With Me 2015) diteruskan lagi kali ini dengan pengisian yang berbeza.

Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Datuk Tengku Feissal berkata, pada siri ke empat ini, Tuanku berkenaan mencemar duli  berjalan sejauh enam kilometer bersama-sama 25,000 rakyat termasuk pelajar Orang Asli dan pemimpin negeri  tanpa mengira fahaman politik.

Menurutnya, selain memberi peluang kepada orang ramai  bermesra dengan Tuanku program yang berlangsung Khamis ini juga diadakan untuk mengumpulkan dana menerusi Tabung Bencana D’Raja Kelantan bagi membantu golongan memerlukan.

Tengku Mohamed Faziharudean (tengah) menunjukkan baju edisi terhad yang bakal diberikan kepada penderma.
“Kelainan pada tahun ini bertepatan dengan ujian yang melanda Kelantan menerusi bah kuning, program ini dilaksanakan bagi mendapatkan sumbangan untuk membantu golongan memerlukan terutamanya membantu mangsa-mangsa banjir.

“Bersesuaian dengan slogan ‘Kito Terima Kasih Demo’ program tersebut diadakan sebagai tanda terima kasih Tuanku kepada semua pihak yang membantu memulihkan Kelantan akibat terjejas banjir teruk baru-baru ini,” katanya kepada media di sini semalam.

Katanya, sejak pelancaran tabung tersebut pada 1 Mei lalu, sebanyak RM1.07 juta dikumpulkan dan pada  permulaannya sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada mangsa bah kuning serta membaiki kemudahan terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun katanya, sumbangan menerusi tabung berkenaan akan dibuka sepanjang masa menerusi Pertubuhan Kerabat Di’Raja Kelantan Al-Muhammadi kerana ia ditubuhkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan termasuk persediaan untuk menghadapi musim banjir yang akan datang.

Tambahnya, Tuanku akan mula berjalan secara beramai-ramai  pada jam 5 petang bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra dan berakhir semula di Stadium Sultan Muhammad IV.

Katanya, program menderma sambil beriadah  itu terbuka kepada semua secara percuma  dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat  menerusi facebook karnival Walk With Me ataupun mendaftar pada hari program.

“Peserta digalakkan berpakaian sukan yang menutup aurat dan orang ramai yang menderma RM10 ke atas diberikan Anis Moist coklat kek manakala RM100 ke atas mendapat t-shirt Walk With Me 2015 edisi terhad,” katanya.

Sehubungan itu, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Hamzah dan Jalan Sultan Yahya Petra akan ditutup sementara secara berperingkat  bermula jam 4.30 petang hingga jam 7 petang.

Tengku Mohamed Faziharudean berkata, orang ramai boleh mengunjungi perkarangan stadium bermula jam 10 pagi lagi kerana terdapat pelbagai pameran disediakan termasuk pameran bah kuning.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Indonesia hentikan penghantaran amah ke Timur Tengah

JAKARTA - INDONESIA . Kerajaan Indonesia akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke 12 negara Timur Tengah, susulan pelaksanaan hukuman mati terhadap dua wanita negara itu di Arab Saudi.

Menteri Tenaga Manusia, Hanif Dhakiri dalam laman web kementerian itu berkata, larangan akan dikenakan ke atas pekerja yang mahu bekerja untuk majikan individu atau keluarga, dan bukannya syarikat.


"Sebab paling penting adalah masih terdapat kekurangan peraturan standard di negara berkenaan menyebabkan pekerja Indonesia di pihak yang rugi. Mereka yang bekerja di Timur Tengah sering mendapat layanan buruk dan upah yang rendah," katanya.

Menurutnya lagi, antara negara terkesan dengan larangan itu termasuk Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain, Mesir dan Saudi yang juga merupakan destinasi utama bagi pembantu rumah Indonesia.

Hanif berkata, kerajaan mempunyai kuasa melarang penempatan di negara tertentu jika pekerjaan terbabit dianggap boleh menjatuhkan maruah seseorang dan negara.

Difahamkan, langkah itu adalah kekal. Namun, bagi pembantu rumah yang sedang bekerja di negara terlibat akan dibenarkan untuk terus tinggal dan meneruskan pekerjaan mereka.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Cerita yang mengatakan Siti Nurhaliza akan ambil anak angkat tidak benar

PENYANYI tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza menafikan akan mengambil Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4 sebagai anak angkat sebagaimana disensasikan di media sosial.

Sebaliknya Siti meminta orang ramai menghormati perasaan keluarga terdekat mangsa.

"Itu tidak benar. Perkara ini baru berlaku dan kita harus menghormati perasaan keluarga terdekatnya. Amira tetap akan bersama keluarga dan saudara-maranya, dan saya sekadar membantu setakat yang mampu," Siti dipetik sebagai berkata.

Hari ini, Siti dan suami meluangkan masa bertemu dengan kedua-dua anak mangsa tragedi Lebuhraya Duke tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, pengurus peribadi Siti, Rozi Abdul Razak turut memohon agar spekulasi tersebut tidak terus disensasikan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Sayu, sekeluarga terpaksa makan nasi berlaukkan air garam akibat kekangan kewangan

KUALA KEDAH - Sebuah keluarga di Kampung Sungai Mati, Teluk Kechai, di sini, terpaksa makan nasi berlaukkan air garam berikutan kesempitan hidup.

Shukri Che Nik, 56, berkata, dia hanya mengambil upah melakukan kerja kampung seperti mengusahakan sawah padi milik orang dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.

“Bagaimanapun, pendapatan sebegini tidak cukup menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga, memandangkan isteri, Farinah Said, 55, tidak bekerja.


"Malah, bulan ini saja sudah beberapa kali kami sekeluarga makan nasi berlaukkan garam disebabkan tiada wang untuk beli makanan. Asal kenyang itu sudah cukup," katanya.

Lebih menyedihkan menurutnya, lima anaknya berusia antara 14 hingga 25 tahun terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan 1 untuk turut sama mencari rezeki.

Bagaimanapun, menurutnya, wang gaji dua anaknya berusia 14 dan 18 tahun sebagai tukang besi hanya cukup untuk perbelanjaan diri masing-masing.

"Biarpun masih bawah umur, namun kebanyakan anak-anak sanggup bekerja untuk membolehkan kami makan dan membayar bil.

"Malah, untuk menjimatkan wang, anak sering kutip kayu buangan berhampiran rumah untuk dijadikan kayu api memasak makanan setiap hari," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati struktur tertentu rumah dihuni keluarga Shukri dibina menggunakan kayu buangan dan papan pemberian orang ramai untuk menutup kebocoran.

Lebih menyedihkan, bahagian dapur mereka hanya berlantaikan tanah, manakala bilik air hanya dilitupi kain.

Dalam pada itu, kesempitan hidup keluarga Shukri akhirnya mendapat perhatian Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Kedah yang turun padang menziarahi mereka, semalam.

Pengerusi Ikhlas Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, dia menerima maklumat berkaitan keluarga berkenaan ketika berbual dengan bapa mertuanya.

“Bapa mertua memaklumkan dia memberikan sebuah keluarga beras kerana kasihan melihat kesempitan hidup dialami mereka.

"Malah, saya sendiri terkejut apabila melihat keadaan keluarga ini. Sehingga kini, sudah dua kali Ikhlas melakukan lawatan dan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga Shukri boleh menghubungi Sarjakhan menerusi 017-5515071 untuk maklumat lanjut.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tawaran kemasukan ke universiti awam dan politeknik 2015 boleh semak hari ini

KUALA LUMPUR - Semakan tawaran kemasukan ke universiti awam (UA) dan Politeknik Premier bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya boleh dibuat mulai tengah hari ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, status boleh disemak melalui:

talian 
  • Hotline 03-88706767, 
  • Helpline 03-88706777, 
  • Talian Am 03-88706755/6766, 

laman web 

SMS
  • Taip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan hantar ke 15888.


“Pemohon boleh membuat semakan tawaran dan mencetak surat tawaran rasmi melalui laman web rasmi IPTA berkaitan atau Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pendidikan (JPP) mulai 6 Mei ini (Rabu),” menurut kenyataan itu.

Semua pemohon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran sebelum atau pada 15 Mei ini dan ia boleh dibuat melalui laman web rasmi UA atau JPP.

Menurut kenyataan itu, bagi pemohon yang tidak berjaya ditawarkan ke UA atau Politeknik Premier tetapi ditawarkan ke institusi lain seperti Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Tingkatan Enam adalah dinasihatkan agar mendaftar ke program berkenaan kerana tawaran ke UA atau Politeknik Premier adalah terhad.

“Dasar KPM tidak membenarkan sebarang pertukaran program pengajian di dalam UA atau Politeknik Premier atau antara UA atau Politeknik Premier. Tawaran yang diberikan kepada calon adalah muktamad,” katanya.

Bagi pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke UA dan Politeknik Premier, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan di laman web http://upu.moe.gov.my.

Sinar Harian

Baca lagi >>

PRK Rompin, kemenangan milik BN, namun majoriti menurun lebih separuh

ROMPIN - Nyata kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Rompin tidak mudah digugat lawan apabila calonnya, Datuk Hasan Arifin menang dengan 23,796 undi menewaskan calon Pas, Nazri Ahmad yang menerima 14,901 undi.

Hasan menang dengan majoriti 8,895 undi, menurun berbanding majoriti yang diterima BN pada pilihan raya umum lalu.

Menurut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRK P.091 Rompin juga merosot berbanding PRU13 dengan hanya 73 peratus yang keluar mengundi.

Pada PRU13, penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan untuk penggal keenam setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian Dr Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>