Tuesday, 5 May 2015

Pasangan belum kahwin dilarang naik motosikal bersama di Aceh

BANDA, Aceh – Sebuah daerah di Aceh meluluskan undang-undang baharu melarang lelaki dan wanita belum berkahwin daripada bersama menaiki motosikal.

Seorang wakil rakyat, Fauzan Hamzah berkata, anggota-anggota Parlimen daerah Aceh Utara meluluskan peraturan tersebut pada minggu lalu.

“Ia akan dikuatkuasakan dalam tempoh setahun,” kata Fauzan.

“Pasangan belum berkahwin yang duduk dalam ­keadaan rapat di atas motosikal jelas melanggar hukum syarak dan boleh membawa kepada maksiat,” tambahnya.


Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatra merupakan satu-satunya wilayah Indonesia yang dibenarkan ­melaksanakan undang-undang Islam dengan perbuatan homoseks, judi dan minum arak boleh dihukum rotan.

Wilayah itu mula melak­sanakan hukum syarak selepas diberikan kuasa autonomi khas pada 2001 dalam usaha Jakarta menamatkan penentangan puak pemisah.

Langkah terbaharu mela­rang menunggang motosikal bersama yang akan melibatkan lebih 500,000 orang di Aceh Utara dibuat selepas sebuah bandar di Aceh mengharamkan kaum wanita daripada mengangkang semasa membonceng motosikal.

Mereka sebaliknya diminta untuk duduk secara ­men­yamping supaya kelihatan lebih sopan

Kosmo

Baca lagi >>

Peragut hampir putus telinga dibelasah orang ramai

KOTA BHARU - Tindakan meragut beg tangan seorang wanita membawa padah kepada dua peragut apabila mereka bukan sahaja ditangkap, malah salah seorang daripadanya hampir putus telinga, dipercayai dibelasah orang awam ketika cuba melepaskan diri.

Dalam kejadian di Tanjung Chat, di sini, kelmarin, suspek dikatakan ditangkap lebih 10 orang awam hanya kira-kira 200 meter dari kediaman mangsa yang berusia 50 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, dalam kejadian jam 7 petang itu, dua suspek berkenaan menghampiri wanita berkenaan di kawasan pintu pagar rumahnya.

Rohaimi memeriksa motosikal digunakan suspek ketika meragut beg tangan seorang wanita. Gambar kiri : Suspek yang cedera di pipi dan hampir putus telinga kiri dalam kejadian kelmarin.

Menurutnya, suspek yang datang dengan motosikal dan memakai topi keledar, meninggalkan motosikal di tepi jalan dan salah seorang suspek menghampiri mangsa dan meragut beg tangannya.

“Melihatkan keadaan itu, seorang saudara mangsa dan anak mangsa yang menyaksikan kejadian cuba menolong mangsa tetapi seorang lagi suspek memukul saudara wanita itu dengan kayu.

“Suspek melarikan diri dengan motosikal, namun hampir sejam kemudian suspek berjaya ditangkap orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek itu cedera di telinga kiri dan pipi dipercayai kesan hirisan benda tajam.

"Salah seorang lagi cedera ringan dan ditahan di lokap IPD untuk siasatan lanjut. Suspek yang parah itu kini masih ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan stabil.

“Hasil siasatan kedua-dua suspek berusia 30-an yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat dan mempunyai kesalahan rekod lampau berhubung kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan beg tangan yang dicuri termasuk wang tunai RM1,000 buku bank dan barangan berharga yang masih belum ditemui.

“Kita juga turut mengenal pasti motosikal yang digunakan juga adalah motosikal curi dan kini masih mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

“Saya nasihatkan kepada orang awam jika kejadian melibatkan kes tangkapan segera serahkan pada polis dan tidak bertindak menggunakan kekerasan berlebihan, namun kita masih mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi berhubung kejadian terbabit," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

"Mira nak orang yang langgar papa dan mama Mira masuk ke penjara..."

KUALA LUMPUR - "Amira dah takde papa dan mama...Amira nak atuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tangkap orang yang langgar papa Mira...Mira dah tiada siapa lagi dalam dunia ini."

Itulah luahan sayu Nur Firuza Amira, 7, yang kehilangan bapanya Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan ibu, Nova Safitri Azhari, 25, serta adik bongsu Nur Firuza Annisa, tujuh bulan, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya Duke di sini, Sabtu lalu.
    
Perasaan sedihnya itu diluahkan ke telinga Ahmad Zahid, yang merupakan Menteri Dalam Negeri, ketika menziarahi keluarga mangsa di Taman Batu Muda, Batu Caves di sini, hari ini.
    
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi (kiri) memegang adik Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, yang merupakan anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Km 6.2 Lebuhraya Duke semasa hadir menziarahi keluarga mangsa di Taman Batu Muda hari ini. - Foto Bernama
"Mira nak orang yang langgar papa dan mama Mira masuk ke penjara... ," kata kanak-kanak yang mempunyai seorang adik, Nur Firuza Akila, tiga tahun, ketika ditemui Bernama.
    
Menurut Amira, murid Sekolah Rendah Taman Koperasi Polis Fasa 2, mereka kini dijaga oleh nenek, Normah Toso, 65.
    
Sementara itu, Normah berkata, emosi Amira masih terganggu walaupun sudah dua hari kemalangan itu berlaku.
    
"Setiap kali dia tonton berita di televisyen mengenai kemalangan yang melibatkan ibu bapa dan adik bongsunya, dia akan meraung sambil memanggil ayahnya.
    
"Walaupun Amira baru berusia tujuh tahun, namun pemikirannya seperti kanak-kanak berusia sembilan tahun," kata Normah.

Beliau berkata, Amira dan Akila buat masa ini akan menetap bersamanya dan dibantu anak ketiganya, Hamlizar Husain, 43, bagi menjaga keperluan harian dua beradik yatim piatu itu.

Mengenai peribadi arwah Fairuz Nizam, Normah berkata, kehilangan anak keempat daripada enam beradik itu cukup memilukan apatah lagi arwah banyak menjaganya ketika hayatnya dulu.

"Kalau makcik sakit arwah yang belikan ubat, makanan, pakaian semua arwah sediakan. Setiap bulan arwah beri wang belanja RM1,000," katanya.
    
Nahas yang berlaku kira-kira pukul 1.05 pagi itu membabitkan Mitsubishi Pajero yang dipandu Fairuz Nizam dan dua kereta Perodua Myvi, dengan beberapa saksi dilaporkan melihat aksi sekumpulan pemandu kereta Myvi berlumba di jalan raya sejurus sebelum kemalangan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Akibat biadap dengan guru, ibu minta polis menahan anaknya

GEORGIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang ibu bertindak menelefon polis untuk menahan anaknya yang didakwa bersikap biadap terhadap guru di sekolahnya, minggu lalu.

Menurut ABC News, seorang guru memberitahu Chiquita Hill bahawa anaknya, Sean bersikap biadap, tidak mendengar arahan dan tidak membuat kerja rumah.

"Saya tahu saya kena buat sesuatu untuk mengajarnya," kata Hill kepada ABC News, Jumaat lepas.

Selepas guru tersebut pulang, Hill menelefon balai polis Columbus dan menerangkan sikap anaknya.

Pihak polis bersetuju untuk menghantar anggotanya ke rumah Hill.

Sean ketika 'ditahan' polis

Anggota polis kemudian menggari Sean dan membawanya masuk ke dalam kereta polis.

Mereka turut membunyikan siren dan menggerakkan kereta beberapa inci untuk menakutkan Sean.

"Semuanya berlaku dengan pantas.

"Sean tak sempat bertindak. Dia sangat-sangat takut," ujar Hill.

Anggota polis kemudian membebaskan Sean dan kanak-kanak tersebut berlari mendapatkan ibunya.

"Sean beri saya pelukan paling erat dan berkata "Saya tidak akan buat lagi", ujarnya.

Menurut Hill, selepas anggota polis beredar, dia menerangkan kepada anaknya bahawa sikap biadap memberi kesan mendalam kepada orang di sekeliling.

Sementara itu, penolong ketua polis Columbus, Lem Miller berkata, beliau tidak menggalakkan perbuatan sedemikian terhadap kanak-kanak.

"Perkara tersebut memang menakutkan, tapi ia juga akan membuat mereka fikir tidak elok tentang anggota polis.

"Ada cara yang lebih sesuai (untuk mengajar anak). Kami tidak menggalakkan (cara sebegini)." terang Miller.

Walau bagaimanapun, Hill memberitahu, Sean berubah sikap selepas kejadian berkenaan.

"Dia semakin bagus di dalam kelas.

"Sean mula menghormati kawan-kawan dan orang dewasa," jelas Hill.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Luahan pekerja MAS, potong gaji lebih baik

KESATUAN Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mahu pihak urusan Khazanah Nasional Berhad tidak mengambil tindakan melulu dengan memberhentikan pekerja yang sedang berkhidmat di syarikat Malaysia Airlines (MAS).


Salah seorang Exco Nufam yang tidak mahu dikenali berkata, pihaknya menyedari masalah kewangan dihadapi MAS, tetapi langkah terbaik ialah dengan mengurangkan gaji dan tidak membuang pekerja sedia ada.    

“Kerajaan perlu campur tangan dalam hal ini kerana ia membabitkan soal kebajikan pekerja.

“Pada masa ini sukar mencari pekerjaan baharu, ditambah dengan pelbagai komitmen yang perlu dibayar seperti hutang dan tanggungan lain. Langkah terbaik ialah potong gaji pekerja sahaja,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Selamat mengundi warga Rompin

ROMPIN - Sebanyak 38 pusat mengundi dengan 115 saluran untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dibuka mulai pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 52,744 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ini termasuk empat pusat mengundi di Pulau Tioman iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek yang mempunyai 651 pengundi, Sekolah Kebangsaan Juara  (171 pengundi), Balai Raya Kampung Genting (142 pengundi) dan Sekolah Kebangsaan Mukut (136 pengundi). 

Calon Pas, Nazri Ahmad bersama isteri, Yusmariza Yusof, 37, selesai membuang undi
di Sekolah Agama Rakyat Felda Keratong 5. - Foto Sinar Harian
Semalam peti undi dihantar ke Pulau Tioman menggunakan helikopter. Pengarah Pejabat Pilihan Raya Pahang Shafie Taib berkata pusat pengundian di Pulau  Tioman akan ditutup secara berperingkat pada pukul 2 petang dan 3 petang memandangkan jumlah pengundi tidak ramai.

Sementara pusat mengundi di Bukit Ridan, Muadzam Shah yang mempunyai 312 pengundi akan ditutup pada jam 4 petang, dan pusat mengundi yang lain ditutup pada 5 petang. 

Pada Khamis lepas seramai 464 orang atau 85.1 peratus daripada 545 pengundi telah menunaikan tanggungjawab dalam pengundian awal di empat pusat mengundi  di kawasan parlimen ini.

Pengiraan undi bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan penjumlahan akan dilakukan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.   

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mencecah 80 peratus, berbanding 86 peratus pada pilihan raya umum ke-13 lalu. 

Beliau juga menjangkakan keputusan PRK Rompin dapat diumumkan seawal pukul 11 malam, mengambil kira kawasan Parlimen Rompin yang sangat luas, iaitu  5,390.2 kilometer persegi merangkumi tiga Dun iaitu Bukit Ibam, Muadzam Shah dan Tioman.     

Hari ini merupakan cuti peristiwa buat Pahang dan dijangka lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon Pas Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis. 

Jamaluddin yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) meninggal dunia pada 4 April lalu akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor.    

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Dua maut selepas terjatuh dari permainan di taman tema

ZHEJIANG - CHINA. Dua orang terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas terjatuh dari permainan di sebuah taman tema di Pingyang wilayah Zhenjiang.

Lima pengunjung dari Aojing Town dan Shanmen Town di Wenzhou tercampak keluar dari permainan "Crazy Scream"  di Taman Tema Longshan di Wenzhou, Jumaat lalu.

Menurut laporan Weibo, dua daripada pengunjung, Chen dan Zhou disahkan meninggal dunia di Hospital Pingyan manakala dua lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Li dan Chen sedang dirawat manakala seorang lagi mangsa, Xu cedera ringgan dan telah dibenarkan pulang.


Sementara itu, menurut media tempatan, tiga mangsa dilihat terjatuh semasa permainan tersebut bergerak manakala dua yang lain dipercayai terkena objek yang jatuh.

Saksi mendakwa, suis permainan tersebut dihidupkan sebelum kesemua penumpang sempat untuk memakai tali pinggang kaledar di mana menyaksikan mangsa terjatuh dari ketinggian 3 meter.

Menurut kenyataan dari Pejabat Pengurusan Kecemasan Pingyang, terdapat "masalah"  dikenalpasti di taman tema berkenaan dimana pada 22 April lalu, 6 pegawai kerajaan telah menjalankan pemeriksaan.

Taman tema tersebut kini ditutup dan pemiliknya sudah ditahan.

Siasatan lanjut mengenai insiden masih dijalankan.

Bulan lepas, 19 cedera selepas permaian "Flying Saucer" roboh di sebuah pesta di wilayah Henan.

Sinar Harian

Baca lagi >>