Sunday, 3 May 2015

Isu Myvi berlumba berjaya dirakam CCTV

Sebuah rakaman litar tertutup didakwa merakam tindak tanduk pemandu Myvi yang berlumba di Lebuhraya Duke, Sabtu lepas telah dimuat naik ke laman Facebook, hari ini.

Melalui rakaman berdurasi 29 saat berkenaan, didapati beberapa buah kenderaan termasuk beberapa buah Myvi dipandu dengan laju berbanding kenderaan-kenderaan lain.


Video tersebut dikatakan mampu menjadi bahan bukti untuk siasat pihak polis.

Sebelum ini, kemalangan awal pagi Sabtu lepas yang meragut nyawa sepasang suami isteri dan bayi mereka berusia enam bulan dikatakan berpunca dari enam buah Myvi yang dikatakan berlumba sesama mereka.

Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.

Fairuz Nizam yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) , malam tadi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

RM100,000 dibelanjakan untuk kucing Bengal

KOTA BHARU – Jika sudah minat, wang bukan lagi perkiraan. Itu yang berlaku kepada  seorang pemuda dari Kampung Banggol dekat sini yang sanggup berhabis ratusan ribu ringgit sejak empat lalu bagi mendapatkan kucing jenis Bengal.

Mohd Azizi Ismail,33,berkata, dia sangat beruntung kerana mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama 30 kucing Bengal peliharaannya kerana mengusahakan perniagaan batik dari rumah.

Azizi meluangkan empat jam sehari untuk menguruskan kucing-kucingnya di rumah kekal yang dibina di belakang kediaman keluarganya.


Rumah persis dalam taman untuk Bengal kesayangannya dibina sejak 2011 dengan kos RM100,000 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Menurutnya, ruang yang luas perlu memandangkan Bengal adalah spesies kucing yang aktif, mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan suka akan ketinggian.

“Bila rasa bosan dengan kerja saya akan ke belakang rumah untuk bermain dan luang masa dengan Bengal peliharaan, rasa lebih tenang.

“Bukan saya sahaja yang suka ‘lepak’ di CatWhat Cattery ini malah ada juga peminat kucing sekitar sini sentiasa berkunjung untuk melihat perkembangan Bengal peliharaan,” katanya.

Azizi bertuah kerana isteri kesayangan, Suzaini Sipri, 29, dan dua anaknya sentiasa menyokong hobi dan minatnya terhadap kucing sejak kecil lagi.

“Bengal pertama saya memiliki pada 2011 saya beli di Pet Shop Kuala Lumpur dengan harga tidak kurang dari RM10,000. Bila dah minat memang kita tak rasa rugi walaupun terpaksa berhabis,” katanya.

Malah, jika dia terpaksa keluar daerah atas urusan kerja isterinya akan mengambil alih tugasnya menjaga dan mengurusnya Bengal di CatWhat Cattery.

Tambahnya, dia bukan sekadar obses kepada Bengal semata-mata tetapi juga terhadap keunikan pencirian genetik kucing tersebut dari segi corak dan warna.

Menurutnya, setiap satunya ada keunikan tersendiri serta mematuhi prinsip genetik yang betul.

“Kita boleh ubah (kacukan) untuk dapatkan Bengal yang kita mahu dari segi warna dan corak. saya sebenarnya menjurus minat dalam bidang genetik

“Kucing pula haiwan yang lebih dan senang, pada asasnya saya minat untuk melihat pencirian genetik manakala kucing memang saya minat sejak kecil lagi,” katanya.

Setiap bulan Azizi memperuntukkan RM3,000 sebulan bagi perbelanjaan keperluan Bengalnya dan dia menyifatkan ia bukan satu bebanan jika membabitkan hobi.

“Saya tak rasa terbeban bila kena keluar duit setiap bulan untuk Bengal peliharaan, malah saya juga ada dua pembantu untuk jaga di CatWhat Cattery ini," katanya.

Azizi berkata, dia pernah tidak tidur seminggu kerana menjaga Bengal peliharaan disebabkan ada semburan untuk hapus denggi dilakukan di kawasan sekitar rumah.

Walaupun Bengal aktif namun sangat sensitif oleh sebab itu dia perlu teliti dengan setiap kucing yang berada dalam jagaannya.

“Bayangkan seminggu saya tidak tidur sebab bimbang dengan kesihatan Bengal, ada yang saya suapkan ubat akhirnya ada juga yang mati.

Azizi juga menjelaskan penjagaan Bengal tidak serumit seperti yang disangka cuma perlu lebih teliti dalam pemakanan bimbang memberi kesan.

Kebiasaannya dia juga merawat sendiri kucingnya dan hanya ke klinik vaterinar jika keadaan teruk sahaja.

Bagi memudahkan urusan rutin harian dari segi penjagaan Azizi lebih senang menamakan 30 Bengal dengan panggilan tersendiri.

“Memang saya kenal kesemua 30 Bengal peliharaan sebab masing-masing ada kelainan dari segi corak, warna dan saiz," jelasnya.

Katanya, walaupun terpaksa berkorban dari segi wang ringgit dan komitmen dia sentiasa memberikan yang terbaik demi hobinya  itu.

“Rasa puas hati dan tidak menyesal langsung dengan hobi ini, saya juga dapat kumpul rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Majlis Daerah Tumpat lancarkan Operasi Gempur Aurat

TUMPAT – Majlis Daerah Tumpat (MDT) akan mengerakkan Operasi Gempur Aurat Rabu ini bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita tanggungjawab menutup aurat.

Sebelum itu pelancaran Kempen Menutup Aurat disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi di pekarangan Pasar Wakaf Bharu.


Melalui operasi tersebut, premis perniagaan di sekitar Dun Wakaf Bharu, Dun Pasir Pekan, Kelaboran dan Pengkalan Kubor akan diperiksa agar pekerja premis mematuhi etika berpakaian.

Che Abdullah berkata, ini satu usaha berterusan kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan dan juga pimpinan setempat melaksanakan peraturan menutup aurat tersebut.

Menurutnya, selain operasi itu, kempen kesedaran mengenai tanggungjawab menutup aurat dalam kalangan wanita turut dipergiatkan.

“Ia kempen berterusan, bermula khutbah pada Jumaat lalu, ada dikupas tanggungjawab menutup aurat itu.

“Setiap program kerajaan negeri juga akan diselitkan tazkirah yang turut menyentuh isu menutup aurat ini,"  katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Menutup Aurat Peringkat Jajahan Tumpat.

Sempena pelancaran itu, 40 banting ‘Aurat Dijaga’ diedarkan ke masjid-masjid salah satu kempen meningkatkan kesedaran menutup aurat tersebut.

Hadir sama, Setiausaha MDT, Ahmad Munir Mohd Nasir dan Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Muhammad Derahman.

Pada pelancaran itu, turut diadakan ceramah agama  Aurat Saya Maruah Saya oleh penceramah Saibon Ismail.

Sinar Harian

Baca lagi >>

William dan Kate tampil bersama bayi perempuan mereka

LONDON: Putera William dan isteri, Kate Middleton hari ini dilihat keluar dari hospital di London bersama bayi perempuan yang baharu lahir. 

Kate melahirkan anak kedua pasangan diraja Britain itu yang namanya masih belum diumumkan, pada awal pagi semalam di Hospital St Mary. Bayi berkenaan adalah pewaris keempat dalam keluarga diraja Britain dan juga cucu kelima kepada Ratu Elizabeth II yang kini berusia 89 tahun. 


Orang ramai yang menunggu di luar hospital itu menyambut gembira apabila pasangan itu melangkah keluar sambil menunjukkan puteri mereka serta melambaikan tangan ke arah kumpulan jurugambar. 

Kate berkahwin dengan William pada April 2011 dan melahirkan bayi sulung mereka, Putera George, di hospital sama pada Julai 2013. Bayi kedua William dan Kate itu dilahirkan seberat 3.7 kilogram, demikian menurut pegawai istana. 

Spekulasi sebelum ini berkisar apakah nama yang bakal dipilih oleh pasangan diraja itu untuk puteri baharu mereka dan antara nama pilihan ialah Alice dan Charlotte, selain Elizabeth, Victoria dan Diana - semua nama berkenaan mempunyai hubungan kuat dengan istana. - AFP

Bharian

Baca lagi >>

Jepun keluarkan amaran thunami kecil susulan gempa yang melanda di Selatan Tokyo

TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun awal hari ini mengeluarkan amaran tsunami kecil susulan gempa 5.9 magnitud di selatan Tokyo. 

Gempa dilaporkan melanda berdekatan Pulau Torishima, kira-kira 600 kilometer di selatan Tokyo, pada jam 1.51 pagi waktu tempatan. 


Berikutan gegaran di dasar laut itu, agensi berkenaan mengeluarkan amaran tsunami sederhana sehingga satu meter di rangkaian kepulauan Izu di selatan Tokyo. 

Ombak setinggi 50 sentimeter dilihat membadai pantai Pulau Hachijojima, salah satu daripada rangkian kepulauan Izu, lapor agensi berkenaan. 

Setakat ini tiada laporan segera mengenai kerosakan yang berlaku, demikian lapor stesen penyiaran

Bharian

Baca lagi >>

Pasar malam ditutup 15 minit beri laluan peniaga dan pembeli bersolat maghrib terlebih dahulu

GOMBAK - Rabu ini bermulanya kempen Jom Solat Maghrib Berjemaah hasil cetusan idea Jawatankuasa Penduduk Zon 11, di sini.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Syarhan Humaizi Halim berkata, kempen tersebut menggalakkan segala aktiviti perniagaan di pasar malam dan premis dihentikan selama 15 minit bagi menghormati azan dan menunaikan kewajipan sebagai umat Islam.

Menurutnya, sebagai permulaan, hebahan melalui kain rentang dan risalah selain surat rasmi telah diedar kepada peniaga dan pemilik premis.


“Kami juga telah maklumkan berkenaan kempen tersebut selepas solat Jumaat supaya ia berjaya mencapai objektifnya dan menjadi amalan dalam masyarakat.

“Buat masa ini kempen yang dilakukan menerima reaksi positif dari masyarakat. Ia bertujuan untuk memberi kesedaran memandangkan lokasi surau hanya bersebelahan tapak pasar malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, anggota sukarelawan juga bakal ditempatkan di lokasi yang bertanggungjawab membuat pengumuman setiap kali masuknya waktu Maghrib.

“Tiada cadangan untuk penguatkuasaan buat masa ini kerana kempen lebih ditumpukan kepada mendidik.

“Tidak dapat dipastikan program terdapat di kawasan lain atau sebaliknya, tapi ini adalah projek perintis dalam Zon 11 sebagai program menggalakkan solat jemaah dan imarah masjid serta surau,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Manfaat sup pada kesihatan

SUP berempah orang Melayu tidak serupa dari segi jenis rempah dan penyediaan berbanding dengan sup yang disediakan oleh orang India Muslim. Sup orang India biasanya ditambah dengan ketumbar, jintan manis dan jintan putih selain rempah-ratus asas iaitu kayu manis, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang.

Sebaliknya, boleh dikatakan sebahagian besar sup orang Melayu ditambah dengan rempah-ratus asas seperti dinyatakan di atas. Namun bukan semua penyediaan sup orang Melayu menggunakan ketumbar dan jintan. Penggunaan ketumbar dan jintan jika ada pun terhad kepada kuantiti ala kadar.

Tekstur sup India Muslim biasanya pekat. Pertama kerana isi sup iaitu tulang, tulang rawan (kartilej) atau daging direbus selama beberapa jam dengan kuah. Kedua kerana kuantiti rempah seperti ketumbar dan jintan digunakan adalah tinggi. Ketiga, sesetengah sup mereka ditambah dengan pemekat misalnya tepung.

Kebanyakan sup orang Melayu boleh dikatakan agak cair kerana isi sup biasanya direbus secara berasingan dengan kuah. Kaedah penyediaan sup orang Melayu tidak kira sama ada orang utara atau selatan menghasilkan penampilan dan rasa tersendiri.

Orang China juga tidak kurang hebat dengan aneka sup mereka. Sedia maklum kaum China memang terkenal sebagai juara aneka sup. Sup tradisional untuk orang sakit misalnya demam selesema terdiri daripada ayam yang direbus dengan herba China seperti Astragalus, ganoderma (reishi) dan cendawan jenis shiitake.

Reneh 48 jam

Masyarakat barat terutama yang masih mengamalkan pengambilan makanan tradisional juga biasa menyediakan sup terdiri daripada tulang, kaki/sendi lembu, ayam atau ikan. Sup yang dikenali sebagai broth ini juga kadang-kadang ditambah rempah ratus seperti daun bay, rosemary dan thyme. Sup yang mengambil masa penyediaan dengan api perlahan antara 2 – 48 jam ni juga mengandungi sayur-sayuran seperti tomato, karot dan saderi. 

Keempat-empat sup tersebut biasanya ditambah garam di samping bawang atau bawang merah. Sup orang Melayu dan India biasanya ditambah halia dan bawang putih manakala sup Cina biasanya ditambah dengan halia sahaja.

Apakah persamaan utama dari segi nilai nutrisi yang terdapat dalam keempat-empat sup sediaan tiga budaya iaitu Melayu, India Muslim, China dan masyarakat Barat ini? Ketiga-tiganya mengandungi pelbagai asid amino termasuk proline, glycine dan arginine yang terdapat dalam gelatin atau tulang rawan.

Ia juga kaya dengan kandungan pelbagai mineral seperti kalsium, magnesium, fosforus, silikon dan pelbagai mineral kelumit. Selain itu ia mengandungi glucosamine dan chondroitin sulfate. Herba yang ditambah untuk menambat selera sebenarnya menawarkan pelbagai sifat penawar dan pemuliharaan kesihatan.

Dalam perbincangan seterusnya pada keseluruhan artikel ini penulis akan gunakan istilah sup merujuk kepada ke empat-empat jenis sup yang diterangkan di atas.

Gelatin daripada sup merupakan protein larut air. Ia menarik dan menyerap cecair termasuk air dan bendalir penghadaman. Makanan berprotein dikatakan digemari oleh mikroflora baik. Jadi, sup amat bermanfaat untuk mereka yang sering mengalami masalah penghadaman misalnya penghidap autism, Sindrom Usus Bocor (Leaky Gut Syndrome), Sindrom Usus Rengsa (Irritable Bowel Syndrome).

Kajian yang dijalankan oleh Rennard BO dan rakan-rakan menunjukkan sup ayam dipercayai mampu mencegah infeksi berpunca daripada virus demam selsema (colds). Kajian yang dilaporkan dalam artikel berjudul "Chicken Soup Inhibits Neutrophil Chemotaxis in Vitro" diterbitkan dalam jurnal Chest (2,000) menggunakan istilah infeksi respiratori bahagian atas pada keseluruhan teks.

Namun begitu, kesimpulan kajian juga boleh diperluaskan untuk infeksi virus flu kerana flu juga melibatkan infeksi respiratori bahagian atas dengan sebahagian simptomnya bertindih dengan demam selesema. Untuk mengetahui penerangan lanjut mengenai demam selesema dan flu termasuk H1N1, sila baca buku penulis berjudul Rawat dengan Herba – Cegah Demam dan Flu terbitan Alaf 21. 

Sedia maklum, amalan tradisional seperti makan sup oleh penghidap demam selesema sedikit sebanyak membantu meredakan simptom demam tersebut. Dari perspektif penjagaan kesihatan alternatif, amalan makan sup, diet atau herba yang sesuai tidak perlu tunggu hasil kajian sains yang menunjukkan keputusan positif.

Amalan dan pemerhatian bersifat empiris sudah cukup untuk mengulangi amalannya pada masa akan datang serta maklumat mengenai keberkesanan penggunaannya disebarkan kepada orang lain. Sifat empiris rawatan tradisional amat bertentangan dengan kaedah pengambilan ubatan moden terpreskrepsi di mana ubat-ubatan moden memerlukan kajian sains yang menggunakan kos amat tinggi sebelum mendapat kelulusan badan tertentu misalnya FDA.

Manfaat sup seterusnya ialah meredakan inflamasi atau keradangan. Asid-asid amino glycine, proline dan arginine bersifat anti keradangan. Begitu juga dengan bawang, bawang putih, halia serta merangkumi semua herba yang ditambah dalam sup sediaan budaya berbeza. Sayur-sayuran seperti saderi, karot dan tomato yang ditambah dalam broth masyarakat Barat juga bersifat antikeradangan.

Herba antivirus

Herba yang ditambah semuanya bersifat antivirus termasuk astragalus, cendawan kememeh, kayu manis, cengkih, buah pelaga, bunga Lawang, halia, bawang, bawang putih, daun bay, thyme dan rosemary. Herba-herba ini juga bersifat antibakteria dan antitussive (antibatuk). Semua herba tersebut bersifat antipiretik (cegah atau redakan suhu tinggi akibat demam), antispasmodic (antikekejangan) dan decongestant (redakan hidung tersumbat).

Sifat-sifat anti keradangan, antivirus, antibatuk, antipiretik,  anti kekejangan dan decongestant ini dipercayai bertindak secara sinergi dalam meredakan penyakit-penyakit demam selesema dan flu.

Astragalus, reishi dan shiitake bersifat mengharmonikan sistem imiun. Herba ini dan semua herba yang disebutkan di atas bersifat antioksidan.

Untuk pengetahuan para pembaca budiman, glucosamine dan chondroitin sulfate dari tulang rawan yang berfungsi memperkukuh struktur dan fungsi sendi juga bersifat anti keradangan. Jadi, bagi mereka yang mengamalkan pengambilan sup untuk kesihatan sendi, sup menawarkan pakej yang boleh dikatakan sempurna iaitu dari segi kehadiran nutrien dan sifat-sifatnya.

Amalan mengambil sup dipercayai dapat memperkukuhkan struktur tulang. Sup mengandungi paras kalsium yang tinggi di samping Magnesium, Fosforus dan nutrien-nutrien lain yang berperanan membantu memulihara kesihatan tulang.

Selain itu, sup dipercayai membantu mempertingkat kesihatan rambut dan kuku kerana kandungan gelatin dan pelbagai mineral termasuk Zink.

Nilai nutrien sup yang tinggi menyebabkan sesetengah pakar penjagaan kesihatan alternatif menganggap sup sebagai makanan super di mana mereka berharap pengambilan sup harus sentiasa diambil secara kerap.

Sinar Harian

Baca lagi >>