Saturday, 2 May 2015

Bayi dipercayai didera ibu bapa angkat

ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu bapa angkatnya di sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di Jitra hari ini.
    
Berikutan itu, polis menahan sepasang suami isteri berumur 40 dan 30 tahun pada 6.45 petang tadi untuk siasatan lanjut, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya.
    

"Pada 12.10 tengah malam tadi, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Jitra menerima bayi berumur lapan bulan yang tidak sedarkan diri.
    
"Semasa diperiksa terdapat kesan lebam di bahagian kepala, badan dan kaki mangsa manakala di paha kanannya terdapat kesan luka lama selain tulang selangka kiri mangsa patah," katanya dalam kenyataan hari ini.    
    
Susulan itu,  pegawai perubatan itu membuat laporan polis di Balai Polis Jitra pada 9.57 pagi tadi dan bayi itu dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut pada 11.55 pagi.
    
Malangnya, bayi berkenaan meninggal dunia pada 4.04 petang tadi dan bedah siasat dijalankan ke atas mayatnya.
    
Mohd Nashir berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pasangan diraja Britain, William dan Kate timang cahayamata kedua

LONDON: Isteri Putera William, Kate Middleton selamat melahirkan bayi perempuan pada Sabtu, dan terus mencetuskan keraian dengan kelahiran seorang puteri yang akan menjadi pewaris keempat takhta diraja Britain.

“Duchess of Cambridge selamat melahirkan bayi perempuan pada 8.34 pagi (waktu London),” umum Istana Kensington yang merupakan kediaman rasmi pasangan diraja itu, dalam satu kenyataan.

Ibu dan anak “dalam keadaan selamat,” tambah kenyataan itu.

Putera William berada di sisi Kate dan ahli keluarga diraja telah dimaklumkan tentang berita ini, dimana ia mula diumumkan di Twitter.


Bayi yang akan dikenali dengan gelaran Puteri Cambridge dilahirkan seberat 3.7 kilogram dan bakal menjadi pewaris takhta selepas abangnya Putera George, dan di bawah anak Ratu Elizabeth iaitu Putera Charles dan anak sulung Charles, Putera William.

Nama yang popular di kalangan kaki judi di Britain adalah Alice dan Charlotte.

Pasukan media dari seluruh dunia bergerak ke hospital St Mary’s pada awal pagi, menyertai pengikut-pengikut ahli keluarga diraja Britain yang telah berkampung lebih dari seminggu.

“Mereka terus menjerit setelah mendapat tahu tentang kelahiran seorang puteri dan terus menjerit: “Bayi perempuan! Bayi perempuan!”

“Saya begitu teruja,” kata Margaret Tyler, 71, yang memakai jaket berwarnakan bendera Union Jack dan juga satu lencana yang terpapar potret Puteri Diana, ibu kepada putera William.

“William inginkan seorang bayi perempuan dan Diana juga pernah mahukan seorang bayi perempuan. Saya rasa ia amat bagus untuk George untuk ada seorang adik perempuan,” katanya.

Seorang lagi penyokong keluarga diraja John Loughrey berkata: “Saya begitu gembira. Saya begitu gembira untuk kerabat diraja.”

Istana Kensington berkata Kate dimasukkan ke hospital pada jam 6 pagi dan diiringi Putera William.

Perdana Menteri Britain David Cameron turut  mengucapkan tahniah menerusi Twitter.

“Tahniah kepada Duke dan Duchess of Cambridge. Saya begitu gembira buat mereka,” tulis beliau.

Sementara itu beberapa minit setelah mendapat berita bahawa Kate dimasukkan ke hospital untuk menunggu saat bersalin, hashtag #royalbaby terus menjadi trending dan lebih ramai berkumpul di hadapan hospital berkenaan.

“Saya dengar di radio dan saya terus datang ke sini,” kata Michelle Lassiter yang datang dari kawasan Guilford di London.

William dan Kate merancang untuk menghabiskan masa di Istana Kensington untuk beberapa hari setelah kelahiran bayi itu.

Mereka kemudian akan ke Anmer Hall, di kawasan Sandringham di Norfolk milik Ratu Elizabeth dimana mereka telah membina sebuah rumah di kawasan itu.

Nama bayi itu tidak akan didedahkan untuk beberapa hari lagi.

Nama putera William sebelum ini juga tidak didedahkan sehingga seminggu selepas kelahirannya dan dunia harus menunggu sebulan untuk mengetahui nama Putera Charles.

George dinamakan hanya dua hari selepas kelahiran.

Pakar berkata kelahiran puteri diraja ini akan menyuntik jutaan ringgit untuk ekonomi Britain, kerana seorang Puteri dijangka akan menjadi ikon fesyen.

Astroawani

Baca lagi >>

Kereta terbabas elak monyet di Lebuhraya PLUS, seorang maut

GUNUNG SEMANGGOL - Seorang penumpang maut manakala dua lagi cedera setelah kereta Perodua Alza dinaiki mereka hilang kawalan ketika cuba mengelak seekor monyet di Kilometer 194.2 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara pada jam 5.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dari bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian,  kenderaan terbabit didapati terbabas dan merempuh pengadang jalan.

Menurutnya, serpihan pengadang itu menembusi kenderaan tersebut dan mengenai penumpang di tempat duduk hadapan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa, Mohamad Khairil Abu, 39, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah apabila serpihan pengadang itu kena badan dan kepalanya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta itu dan mangsa yang merupakan abang iparnya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang bercuti ke kampung halaman di Kedah, sempena cuti Hari Pekerja.

“Pihak kami turut difahamkan pemandu tersebut terkejut setelah menyedari seekor monyet yang berada di kiri jalan, melintas di hadapan kereta mereka sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan.

“Kenderaan itu kemudiannya terbabas dan merempuh pembahagi jalan yang terletak di kawasan berhampiran,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik yang tiba dan mayatnya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pemandu Perodua Alza terbabit dan isterinya hanya cedera ringan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Kamunting, Penguasa Bomba Tajudin Sidek ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba segera mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Badminton; cabaran wakil negara Terbuka New Zealand berakhir

CABARAN satu-satunya wakil negara Hoon Thien How/Lim Khim Wah pada Kejohanan Grand Priz Emas Terbuka New Zealand di Auckland berakhir pada Sabtu.
    
Bekas beregu kebangsaan itu, yang kini mewakili kelab persendirian tempatan, tidak dapat menandingi kemampuan pasangan Indonesia Fajar Alfian/Muhammad Rian Ardianto yang menang dengan 15-21 dan 18-21.
    

Pasangan Indonesia itu akan beraksi pada perlawanan akhir menentang Huang Kaixiang/Zheng Si Wei dari China yang menundukkan pasangan Taiwan Lu Ching Yao/Tien Tzu Chieh 21-10 dan 21-8.
    
Dalam acara perseorangan lelaki, pemain Korea Selatan Lee Hyun Il menewaskan pilihan utama Hsu Jen Hao dari Taiwan untuk melangkah ke perlawanan akhir bagi bertemu pemain bukan pilihan dari China, Qiao Bin.
    
Qiao Bin diheret ke tiga set sebelum dapat menundukkan pemain Thailand Boonsak Ponsana 21-18, 16-21 dan 21-10 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Amaran ribut petir

Dikeluarkan pada : 03:42pm pada 02 Mei 2015

KEMASKINI AMARAN :


Ribut petir ,hujan lebat berserta angin kencang di negeri:

P. Pinang, 

Perak (Daerah Kerian, Larut,Matang & Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak dan Batang Padang),

Selangor (Daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat), 

WP Kuala Lumpur, 

WP Putrajaya, 

N. Sembilan (Daerah Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Rembau, Seremban dan Port Dickson), 

Johor (Daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi), 

Pahang (Daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Rompin, Pekan dan Kuantan) dan 

Terengganu (Daerah Dungun dan Kemaman) dijangka berterusan sehingga lewat petang, Sabtu 2 Mei 2015.

Sumber: Malaysian Meteorological Department ‪#‎SHOnline‬

Baca lagi >>

Kemalangan maut Myvi langgar Pajero

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya Duke di sini awal pagi tadi.
   
Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.
   

Fairuz yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di Hospital Kuala Lumpur.
   
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superitendan S. Markandan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.05 pagi di laluan dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.
   
Beliau berkata kemalangan berlaku apabila kereta Pajero itu yang berada di  lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.
  
"Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas di sebelah kiri sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Myvi yang berada di lorong kiri.
   
"Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan menyebabkan mereka tercampak di atas jalan," katanya kepada Bernama.
   
Kedua-dua pemandu kereta Myvi itu termasuk seorang wanita berumur 35 tahun  cedera ringan manakala seorang lagi pemandu lelaki berumur 31 tidak mengalami kecederaan.
   
Ditanya sama ada kemalangan itu berpunca daripada enam kereta Myvi sedang berlumba di Lebuhraya Duke ketika itu seperti yang dipapar di Facebook, Markandan berkata pihaknya masih menyiasat perkara itu.
   
"Kita difahamkan bahawa keenam-enam pemandu Myvi itu baru pulang dari minum di Ampang. Pihak kita sedang mengambil keterangan daripada mereka," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Dr Mohd Hatta dan Ambiga ditahan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur

Pemimpin himpunan #batalGST, AJK Pas Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan bekas pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga dibawa ke Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang, di sini tepat jam 11.40 pagi tadi.

Terdapat beberapa individu yang tidak dapat dikenal pasti turut ditahan bersama mereka.


Tinjauan Sinar Online mendapati, kesemua yang ditahan berada dalam kenderaan yang dipandu oleh polis.

Ketibaan mereka dihadapan pintu pagar pusat tahanan ini disambut oleh sorakan sekumpul penyokong yang setia berhimpun di sini, sejak pagi tadi.

Polis menahan beberapa peserta himpunan #batalGST yang diadakan beberapa lokasi tumpuan di ibu kota semalam.

Sehingga jam 7.30 malam tadi, seramai 59 individu ditahan pihak berkuasa untuk disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan mengadakan perhimpunan haram.

Sinar Harian

Baca lagi >>