Thursday, 30 April 2015

Cara mudah doa dimakbulkan Tuhan

SEBENARNYA isu halal haram berkisar kepada tiga perkara asas: pertama, sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan yang dibeli; kedua, sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang-larang orang Islam; dan ketiga, penguatkuasaan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal.

Pentingnya pilih makanan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Fadzli Ismail, berkata pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan sememangnya diketahui umum. Ramai yang gemar memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing.

Bagaimanapun, mereka hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat.


“Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.

“Islam menitikberatkan kesihatan umatnya. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari akan melahirkan nur keimanan dalam diri untuk turut sama menjaga kebersihan secara keseluruhannya, termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan, tingkah laku dan sebagainya,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, dalam ibadat asas agama iaitu solat, aspek terpenting yang ditekankan ialah kebersihan diri. ALLAH tidak akan menerima solat hambaNya yang beribadat dalam keadaan kotor.

Keadaan itu sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban iaitu: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”

Kesan buruk si pemakan

ALLAH berfirman: “Makanlah apa yang dikurniakan ALLAH kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat ALLAH jika kamu benar-benar menyembah ALLAH. Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana ALLAH. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Nahl :114-115)

Mohd Fadzli menerangkan, makanan haram sama ada daripada bahan yang dicampuri najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal serta syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya, iaitu:- Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan ALLAH.

Ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.

“Apa jua bentuk makanan halal dan bersih perlu diikuti peraturan memakannya sebagaimana disarankan Islam.

“Makanan seimbang umpamanya, akan dapat menghindarkan diri seseorang daripada dihidapi penyakit tertentu,” ulas anak jati Kelantan ini lagi.

Menurutnya, ikutilah saranan Rasulullah yang menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan ilmu Sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia. InsyaAllah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih mendapat rahmat dan keredaan ALLAH.

Makanan jadi najis

“Sekiranya kita nampak dan yakin masakannya menggunakan bahan yang tidak dibasuh contohnya telur yang mengandungi najis dan belum dibasuh, maka makanan yang kita makan adalah najis juga. Oleh itu pastikan telur berkenaan dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasukkan dalam sesuatu masakan atau direbus.

“Ramai yang bertanyakan mengenai makan bersama orang bukan Islam, ia diharuskan. Begitu juga, memakan makanan yang diberikan orang bukan Islam dibolehkan (halal) jika makanan tersebut terhindar daripada makanan yang diharamkan, seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya,” kata Mohd Fadzli.

Menurutnya, insan mukmin perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin berkarat, makanan yang layu dan sebagainya. Kita memakan sesuatu jenis makanan untuk mendapat sejumlah tenaga mencukupi daripada zat dalamnya. Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya.

Berkongsi perkakas dapur

Rasulullah pernah dijemput oleh seorang Yahudi ke suatu jamuan yang disediakannya, iaitu makanan yang terdiri daripada roti yang diperbuat daripada bijirin barli dan bubur yang sudah berubah baunya, dan Baginda SAW menerima undangan tersebut. (Riwayat Imam Ahmad) Mohd Fadzli berkata, sesetengah orang Islam, berkongsi menggunakan perkakas dapur dengan orang bukan Islam adakala menjadi suatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan mereka sehari-hari terutama dalam kalangan pelajar Islam yang belajar di luar negara yang tinggal sebumbung dengan pelajar bukan Islam, mahupun dalam kalangan pekerja Islam yang berkongsi dapur dengan pekerja bukan Islam atau pelancong-pelancong Islam yang tinggal di apartmen-apartmen di luar negeri.

“Tidak dinafikan adakala perkakas tersebut digunakan untuk makanan dan minuman yang tidak halal seperti daging babi atau bahagian lain dari binatang tersebut, daging binatang yang tidak disembelih menurut cara Islam serta cecair yang memabukkan.

“Benda-benda tersebut merupakan najis dalam Islam dan haram ke atas umat Islam untuk memakan atau meminumnya. Perkakas tersebut juga perlu dibasuh terlebih dahulu jika kita hendak menggunakannya dan jika ia digunakan untuk memasak benda yang dikatakan najis Mughallazah seperti babi maka ia perlulah disamak terlebih dahulu (menyiramnya dengan enam air biasa dan satu air tanah),” katanya.

Menurutnya, banyak kitab membicarakan mengenai situasi itu seperti kitab Hawasyi asy-Syarwani mengatakan bahawa makruh menggunakan bejana (perkakas) orang-orang kafir, dan apa yang mereka pakai, dan (manakala) apa yang di bawah-bawah (pakaian dalam) mereka iaitu apa yang langsung menutupi (mengenai) kulit adalah lebih-lebih lagi (makruhnya). Dan (manakala) bejana (perkakas) air mereka itu adalah lebih ringan (makruhnya).”

Sesungguhnya, apa yang kita makan akan mempengaruhi akhlak dan sifat manusia. Rasulullah sangat prihatin dalam soal ini serta berpesan kepada sahabat yang bertanya mengenai bagaimana cara yang paling mudah doa dimakbulkan Tuhan. Maka Rasulullah menyuruh sahabatnya itu menjaga makanan dan memakan makanan yang halal serta baik-baik (bersih).

Sinar Harian

Baca lagi >>

Awas warga Kota Bharu, JPJ Kelantan akan cek cermin gelap mulai esok

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan bersiap sedia untuk menjalankan operasi penguatkuasaan penggunaan cermin gelap mengikut spesifikasi baharu bermula esok.
    
Pengarahnya, Abd Ghani Che Kasim berkata, penguatkuasaan cermin gelap itu tertangguh hampir enam bulan untuk memberi peluang kepada pemilik kenderaan membetulkan semula kadar ketelusan cahaya cermin gelap tingkap kereta masing-masing mengikut spesifikasi baharu itu.
    

"Mereka perlu membetulkan cermin kereta mereka mengikut spesifikasi yang kita benarkan dari segi kiraan iaitu bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus (kadar ketelusan cahaya).
   
"Kadar ketelusan cahaya bagi cermin hadapan kekal pada kadar 70 peratus manakala sisi pemandu dan penumpang hadapan pula masing-masing kekal pada kadar 50 peratus," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis sempena Hari Penguatkuasa JPJ Negeri Kelantan 2015 di sini, hari ini.
    
Abd Ghani berkata, JPJ telah membuat persediaan dari segi sistem dan peralatan bagi pelaksanaan penguatkuasaan tersebut. 
    
"Setiap lokasi penguatkuasaan mempunyai enam unit mesin iaitu di Machang, Gua Musang, Kota Baharu dan di kawasan sempadan. 
    
"JPJ akan keluarkan notis larangan dan pemeriksaan serta saman kerana kesalahan memasang cermin gelap yang tidak mengikut peraturan," katanya. 
    
Hari Penguatkuasa JPJ Negeri Kelantan diadakan bertujuan memberi penghargaan kepada setiap pegawai JPJ yang cemerlang.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Mi segera tidak membahayakan?

Sajian mi segera boleh dijadikan sebagai salah satu makanan seimbang dan sihat.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E Siong berkata, pengguna hanya perlu memasukkan sedikit sahaja perasa dan menambahkan bahan iringan lain.


"Malahan, mi segera boleh dimakan tanpa bahan perasa.

"Anda juga boleh gunakan bahan perencah sendiri. Masukkan sahaja ayam atau daging, tambahkan sayur-sayuran untuk jadikan sajian segera anda lebih seimbang," katanya kepada Sinar Online.

Tambahnya lagi, mi segera juga tidak berbeza seperti makanan tempatan yang lain seperti bihun dan kuey teow.

Mi segera diperbuat daripada bijirin dan gandum, sekali gus menjadikan ia sebagai salah satu sajian yang kaya dengan karbohidrat.

"Kita memerlukan karbohidrat untuk memberikan tenaga yang kita perlukan setiap hari. Garis Panduan Diet bagi Rakyat Malaysia menyarankan masyarakat mengambil separuh daripada bijirin sebagai diet harian.

"Mi segera boleh menjadi sebahagian daripada diet kita. Ia merupakan salah satu sajian yang kaya dengan karbohidrat," katanya lagi.
Dr Tee dalam pada itu turut menyanggah dakwaan penggunaan kaedah merlilin dalam proses pembuatan mi segera.

Menurutnya, proses pembuatan dan pengeluaran mi segera dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Dakwaan terdapat kandungan lilin dalam mi segera tidak benar. Dalam proses tersebut (proses pembuatan mi segera), doh mi akan dipotong mengikut saiz yang ditetapkan, kemudian ia akan melalui proses stim dan dimasak menggunakan minyak masak.

"... Proses ini akan memastikan ‎mi itu tidak melekat antara satu sama lain. Tidak ada keperluan untuk menambah atau memasukkan bahan seperti lilin untuk mengelakkan mi melekat dengan satu sama lain," jelasnya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Petrol naik pulak? KPDNKK minta tunggu malam ni

"Tunggu malam inilah, lagi dua jam saja, harga yang baru kita tidak boleh cakap sekarang, tunggulah".

Demikian respon Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad ketika ditanya mengenai khabar angin kenaikan harga minyak

RON95 yang dikatakan akan mengalami kenaikan sehingga RM0.20 iaitu dari RM1.95 seliter ke RM2.15 seliter sepertimana yang tersebar di media sosial.


Mengulas lanjut Alias berkata, untuk mengetahui sama ada khabar angin itu benar atau tidak beliau tegaskan bahawa semua pihak harus menunggu kenyataan rasmi daripada KPDNKK malam ini.

"Hendak tahu benar tidak benar kamu (Sinar Online) tunggu malam ini, ada perutusan, tunggu kita akan sampaikan," katanya ketika dihubungi Sinar Online.,

Sementara ketika ditanya mengenai laporan sebuah portal yang mengatakan harga minyak RON95 akan naik, beliau menafikan perkara tersebut.

"Tiada siapa (dari pihak KPDNKK) yang cakap, dia cuba buat  provoktif, " katanya.

Harga minyak negara akan disemak berdasarkan harga minyak dunia, kerajaan mulai 1 Disember 2014 telah memansuhkan subsidi untuk petrol RON95 dan diesel, mulai tarikh itu juga penetapan harga minyak runcit RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Banyak cara untuk bersedekah sebenarnya, bukan hanya dengan harta

RIWAYAT: (al-Bukhari)

Hadis:

Dari Abu Dzar r.a katanya: Beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW pernah berkata kepada beliau,
"Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka."

Jawab Rasulullah SAW: "Bukankah ALLAH telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah"

"Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; 
setiap kalimah takbir adalah sedekah; 
setiap kalimah tahmid adalah sedekah; 
setiap kalimah tahlil adalah sedekah; 
amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; 
bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah."

Mereka bertanya:
"Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?

Jawab Rasulullah SAW:
"Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala."


Huraian Hadis:

1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada ALLAH yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana ALLAH adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat ALLAH tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan ALLAH. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan ALLAH SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan DIA berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-NYA.

Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.


-Nasrudin Hassan Tantawi-

Baca lagi >>

Cadangan waktu perjalanan pengguna Highway PLUS sempena cuti umum ni untuk mengelakkan jem

Plus Malaysia Berhad (Plus) menasihatkan orang ramai yang bercadang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan supaya merancang perjalanan sempena cuti umum Hari Pekerja dan Hari Wesak dari 30 April hingga 5 Mei ini.
   
"Plus menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan akan meningkat berbanding hari-hari biasa dan Plus menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan mengikut jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA)," katanya dalam kenyataan di sini.
   

TTA ialah jadual perjalanan berperingkat bagi destinasi tertentu di lebuh raya kendalian Plus, bertujuan bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan di laluan utama, kawasan rehat dan plaza tol.
   
Di samping itu Plus menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mendapatkan maklumat trafik di talian bebas tol Plusline 1800-88-0000, laman Twitter Plustrafik atau memuat turun aplikasi ' Plus Mobile' menerusi telefon pintar.
   
Antara cadangan waktu perjalanan pada 30 April hingga 2 Mei, orang ramai dari Lembah Klang yang ingin menuju ke Perlis dan Kedah (Kangar dan Alor Setar) serta ke Johor Selatan (Johor Baharu dan Kota Tinggi) dinasihatkan memasuki lebuh raya antara 6 pagi hingga 8 pagi.

Dari Lembah Klang menuju ke Pulau Pinang (Kepala Batas, Butterworth, Georgetown dan Bayan Lepas) dan Johor Utara (Batu Pahat, Segamat dan Muar) dicadangkan memasuki lebuh raya antara waktu 8 pagi hingga 11 pagi.
   
Pengguna dari Lembah Klang menuju ke Perak Utara (Taiping, Kuala Kangsar dan Gerik) dan Melaka (Jasin dan Bandaraya Melaka) antara 11 pagi hingga 2 petang manakala pengguna dari Lembah Klang menghala ke Perak Tengah (Ipoh) dan Melaka (Alor Gajah) dari 2 petang hingga 6 petang.
   
Pengguna yang ingin memasuki lebuh raya dari Lembah Klang menghala ke Perak Selatan (Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut dan Tanjung Malim) dan Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban) dinasihatkan melakukan demikian selepas 6 petang.
   
Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 3 Mei hingga 5 Mei, cadangan waktu bagi memasuki lebuh raya dari Perlis dan Kedah (Kangar dan Alor Setar) serta dari Johor Selatan (Johor Baharu dan Kota Tinggi) bermula dari 6 pagi hingga 8 pagi.
   
Orang ramai dari Pulau Pinang (Kepala Batas, Butterworth, Georgetown dan Bayan Lepas), Perak Tengah (Ipoh), Johor Utara (Batu Pahat, Segamat dan Muar) serta dari Melaka (Alor Gajah) dicadangkan memasuki lebuh raya antara waktu 10 pagi hingga 2 petang.
   
Pengguna dari Perak Utara (Taiping, Kuala Kangsar dan Gerik), Perak Selatan (Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut dan Tanjung Malim) dari Melaka (Jasin dan Bandaraya Melaka) serta dari Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban) dicadangkan memasuki Lebuh raya Utara-Selatan antara 6 petang hingga 12 tengah malam.
   
“Namun jadual perjalanan yang tidak disenaraikan dan kenderaan komersial tidak tertakluk dengan cadangan tersebut,” katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Jumlah kematian gempa bumi di Nepal mencecah 7,624 orang

KATHMANDU - NEPAL . Jumlah kematian dalam gempa bumi 25 April di Nepal meningkat ke 5,020 dan ia dijangka terus meningkat ketika pekerja menyelamat masih berusaha mengeluarkan mayat dari kawasan runtuhan.
   
Menurut jurucakap kementerian dalam negeri Balbhadra Giri, jumlah itu adalah bagi mayat yang dikeluarkan setakat Rabu petang sementara bilangan yang cedera mencecah 7,624.
   
Mangsa gempa bumi Nepal.
Ketika kerajaan menumpukan usaha mencari dan menyelamat, mangsa-mangsa menuduh kerajaan kurang memberi perhatian terhadap kerja pemulihan.
   
Mereka menunjuk perasaan pada Rabu di Kathmandu atas sikap sambil lewa kerajaan dalam operasi menyelamat dan melakukan pemulihan.
   
Mereka mendakwa Perdana Menteri, Sushil Koirala sendiri bertanggungjawab atas prestasi yang lembab. 

Sinar Harian

Baca lagi >>