Wednesday, 29 April 2015

Padah 'like' status jenayah yang dilakukan diri sendiri di FB

MONTANA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang penjenayah yang dikehendaki atas tuduhan mencuri berjaya diberkas selepas tindakannya menyukai status di sebuah laman di Facebook yang memaparkan dirinya sebagai orang paling dikehendaki.

Levi Charles Reardon, 23, muncul di laman Facebook Crimestoppers yang memaparkan wajah seorang suspek dengan status Readorn, Levi Charles, 23, lelaki berkulit putih, 5 kaki 11 inci, berambut perang, bermata biru dan dikehendaki untuk kes penipuan,  USD2500.


Beberapa minit selepas memuatnaik mengenai maklumat tersebut, pengguna laman yang mengunakan nama 'Levi Charles Reardon' menyukai posting berkenaan.

Tindakannya itu telah berjaya dikesan dan membawa kepada penangkapannya.

Memetik laporan Mirror.uk, Levi adalah suspek kes kecurian beg tangan dan empat keping cek peribadi Januari lalu.

Polis mengesahkan kejadian tersebut.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Sajian dari istana hidangan istimewa untuk penumpang MAS

BERIKUTAN kejayaannya memperkenalkan menu eksklusif dikenali sebagai 'Dari Dapur Istana' bulan lepas, Malaysia Airlines' (MAS) akan terus menyajikan hidangan itu kepada penumpang Kelas Satu dan Kelas Perniagaannya hingga akhir tahun ini.
   
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan kebangsaan itu berkata, hidangan tersebut adalah hasil kerjasama pihaknya dengan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dan ia akan disajikan dalam penerbangan ke destinasi terpilih di Eropah, Australia, New Zealand dan sektor serantau.
   

"MAS gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan Tengku Puan Pahang untuk menyajikan kepada tetamu kami hidangan lazat dan istimewa ketika dalam penerbangan. Kami berharap tetamu kami akan gembira menikmati hidangan ini, sama seperti kami gembira dapat menyediakannya untuk mereka dari Dapur Istana," kata Pengarah Perkhidmatan Pelanggan MAS, Datuk Mohd Salleh Ahmad Tabrani.
   
Beliau berkata, Menu Diraja itu akan menampilkan cita rasa Tengku Puan Pahang  seperti Nasi Tumpang Bersama Jelatah, Nasi Kuning Bersama Opor Ayam Kacang, Udang Masak Merah, Ayam Panggang Johor, Grilled Beef Tenderloin Patty, Beef on Toast, Dadar Pahang and Puding Raja.
   
Sementara itu, Pengurus Makanan dan Minuman Dalam Penerbangan MAS, Cef Zahiddin Dris berkata, syarikat itu berbangga kerana dapat menghidangkan Menu Diraja kepada dunia, di samping dapat mempelajari rahsia penyediaannya daripada Tuanku Azizah.
   
"Ia merupakan peluang sekali seumur hidup bagi pasukan ini apabila kami dapat bekerjasama dengan Tuanku Azizah ... Tuanku Azizah, bersama cef berdedikasi daripada MAS dan BAC mencuba hingga 20 resipi pada sesi memasak khas sebelum memilih lapan hidangan itu," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

5 orang murid terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Gambir

LEDANG - Hasrat lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang untuk menyertai pertandingan bola tampar tidak kesampaian apabila kereta dinaiki terbabit kemalangan di Batu 18 Jakan Bukit Gambir - Sengkang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mengakibatkan tiga murid iaitu Nur Shafiqah Nor Azman, 12, patah kaki kiri; Siti Nurul Shafiqah Kasim ,12, patah tulang rahang, cedera pada muka dan mulut, manakala Afiq Zahran Zamri, 10, luka pada mulut dan hidung.
Keadaan kereta guru SK Sengkang selepas terbabit kemalangan di Batu 18 Jalan Bukit Gambir-Sengkang, semalam.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, tiga murid terlibat kini mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, dua murid lain iaitu Ikhwan Khusairi Fazlin dan Mohd Shahril Kasim yang masing-masing berusia 11 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tangkak.

“Ketika kejadian kesemua murid terbabit  dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan Abdullah dekat Sungai Mati, di sini untuk menyertai pertandingan Bola Tampar yang diadakan di sekolah berkenaan.

“Setibanya di tempat kejadian, Perodua Alza yang dipandu guru lelaki dari arah Sengkang menghala Bukit Gambir tidak sempat mengelak lalu merempuh sebuah lori dua tan yang tiba-tiba terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melintang di tengah jalan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipercayai telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ubat herba yang diberi oleh isteri VIP punca Chong Wei digantung

UBATAN herba yang diberikan seorang isteri 'orang berpengaruh' kepada pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei menjadi punca penggantungan lapan bulan atas kesalahan doping ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

Ubat tersebut dipercayai mempunyai bahan terlarang jenis dexamethasone yang terdapat di dalam kapsul tablet yang diambilnya dua biji setiap hari.


Menurut laporan 12 halaman Badminton World Federation (BWF), sekitar 2007, ubat herba tersebut diberikan sebagai hadiah yang dibeli di sebuah kedai di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Reuters, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menasihatkan Chong Wei bahawa kapsul Cordyceps adalah selamat selagi produk tersebut "Cordyceps asli"

BAM memutuskan mereka tidak melakukan ujian ke atas ubatan tersebut kerana ia tidak membawa apa-apa masalah sebelum ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenakan hukuman penggantungan selama lapan bulan berkuat kuasa 30 Ogos tahun lalu yang akan berakhir pada tengah malam esok atas kesalahan menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Syabas tidak lagi terima bil air di kaunter TNB

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd. (Syabas) tidak akan menerima bayaran bil di semua kaunter pembayaran milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mulai 1 Jun ini.
    
Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Priscilla Alfred berkata, mulai tarikh sama, pembayaran bil elektrik TNB tidak lagi diterima di semua Pusat Perkhidmatan Kaunter Setempat Syabas (OSCS).
    

"Keputusan itu merupakan hasil rundingan bersama antara Syabas dan TNB," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Priscilla berkata pelbagai saluran pembayaran bil air lain masih memberikan perkhidmatan kepada semua pengguna Syabas bagi urusan pembayaran secara tunai atau cek.
    
Katanya, pengguna boleh membuat bayaran di beberapa OSCS lain antaranya HSBC Bank Malaysia Berhad, Public Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pos Malaysia Berhad, Mobile Money dan Paylink Global.    
    
Bagi pengguna yang memilih untuk melakukan urusan pembayaran bil penggunaan air di Pusat Perkhidmatan Kaunter Setempat Syabas, Priscilla berkata waktu operasi kaunter berkenaan adalah dari 9 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Jumaat).
    
Antara lokasi yang boleh dikunjungi adalah Syabas Petaling, Syabas Kuala Lumpur, Syabas Gombak, Syabas Kuala Langat, Syabas Sepang dan Syabas Sabak Bernam.
    
Dalam pada itu, Priscilla menasihatkan pengguna agar membuat pembayaran bil mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi mengelak pemotongan bekalan air. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Untung monyet ni, dijaga seperti anak sendiri

SEPERTI seorang bayi, ‘mereka’ akan merenggek mahu dimandikan, ingin tukar lampin pakai buang dan paling penting, mahukan susu seperti anak kecil dengan keletah tersendiri.

Bagaimanapun, mereka bukanlah bayi, sebaliknya tiga anak monyet yang sangat menghiburkan dan nakal; 'Shafiq', 'Shahrul' serta 'Kiki'.

Dibelai manja dengan ikhlas seolah-olah mereka seperti anak sendiri, pasangan warga emas, Fatimah Bakar, 57, dan suami, Mohd Nor Samah, 58, dari Kampung Pengkalan Pasir, Paloh, di sini, bahagia melayan karenah ketiga-tiganya.

“Paling sukar, sewaktu setiap kali mahu pakaikan lampin pakai buang. Mereka tidak pandai duduk diam. Kena dua orang pegang kalau sudah mandi dan pakai lampin pakai buang.

“Kami beli lampin pakai buang saiz bayi baru lahir (newborn), susu pun untuk usia bayi baru lahir dan apabila melayan mereka, kami rasa seperti ada kecil semula,” kata Fatimah ketawa dan cukup bahagia wajahnya.

Seronok melayan keletah ketiga-tiga anak monyet tersebut, Mohd Nor mencelah sambil mengingatkan mereka pernah mempunyai seekor lagi anak monyet, namun ia sudah mati tahun lalu.

“Asalnya kami pelihara empat ekor kesemuanya, namun seekor lagi yang dipanggil ‘Obinna’ sudah pergi meninggalkan kami. Ia mati semasa bermain dengan kain dan lemas di dalam kain tersebut,” katanya sedih, namun apabila melihat semula anak monyet yang ada, dia kembali ceria.

Bukan mahu menyinggung hati mana-mana pihak, namun rasa obses dan teruja terhadap bola sepak pasukan Kelantan, The Red Warriors (TRW) menjadikan pasangan tersebut meletakkan beberapa nama berkait dengan pemain bola.

“Kami ini ada pertalian darah dengan Mohd Badri Mohd Radzi (Piya). Dulu rumah kami dekat dengan rumah Piya, jadi kami tertarik dengannya yang juga ada bela spesis anak monyet seperti ini.

“Kami juga tertarik melihat kawan yang bekerja dengan KB Buskers buat aktiviti dengan monyet dan ular, lalu kami belajar sedikit demi sedikit untuk membela anak monyet ini,” katanya yang mempunyai lima anak, mempunyai lesen memelihara haiwan dan sebelum ini kerja memandu lori.

Potongan rambut macam Piya
Menariknya, anak-anak monyet tersebut bernilai dari harga RM350 seekor, dibeli ketika usia dari umur 27 hari, dengan permulaan Obinna (mati), kemudian pasangan itu membeli pula Shafiq yang kini berusia tiga bulan, Shahrul berusia sebulan dan Kiki pula berumur tiga minggu.

“Kami potong rambut pun macam rambut Piya. Ia lebih kemas dan menjadi tarikan orang ramai, tambahan pula pakai jersi bola, memang semua golongan tidak kira tua atau kanak-kanak, semuanya pasti berhenti melihat karenah mereka,” katanya yang sering membawa Shafiq, Shahrul dan Kiki di mana-mana tapak karnival atau pameran sekitar Kota Bharu.

Fatimah pula berkata, setiap anak monyet tersebut mempunyai karenah berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Shafiq gemar tidur, tetapi apabila bangun, ia paling lincah bergerak, malah paling manja.

“Memandangkan Shafiq gemar tidur, dia lebih selesa ‘bermimpi’ dalam buai sebab kami sudah ajar ia tidur dengan buai sejak kecil, manakala yang lain boleh saja tidur di mana-mana,” katanya.

Menceritakan tentang pemakanan, selain minum susu satu tin sebulan, ketiga-tiganya juga makan buah epal,  nasi dan apam balik.

“Bagi yang berusia lebih sebulan, ia minum susu sebab kalau beri makanan lain, perut mereka belum dapat hadam dengan baik.

“Kami juga akan bawa anak-anak kami ini ke klinik kalau mereka tidak sihat, kami jaga dengan baik dan kalau ada modal, kami mahu menambah bilangan sepsis haiwan ini termasuk ular,” katanya.

Semasa pameran, Fatimah dan Mohd Nor mengakui ada juga juga yang tertarik dan menghulurkan sumbangan ke tabung 'Baby Monkey' kerana tertarik dengan keletah anak-anak monyet berkenaan.

“Sumbangan wang yang diperoleh kami gunakan untuk beli susu dan lampin pakai buang. Apapun, apabila usia anak monyet ini sudah membesar, kami perlu latih ia ke arah lain sebab ia sudah merbahaya untuk dibelai.

“Ketika kecil inilah kami gunakan sebaik-baiknya untuk memberikan kasih sayang, malah dua cucu kami, Danish Arif, 6 tahun dan Haiqal Danial, 3 tahun juga gembira dengan kehadiran ketiga-tiganya dalam hidup kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hasrat anak untuk menziarahi kubur arwah ibu tidak kesampaian kerana terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang wanita untuk menziarahi kubur arwah ibu di Kampung Telipot, Kota Bharu, Kelantan tidak kesampaian apabila dia maut setelah kenderaan dinaiki bersama anak bongsunya merempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 43.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Sungai Tong, Setiu, tengah hari kelmarin.


Anak ketiga mangsa, Tengku Azrina Tengku Mazlan (Ku Na), 34, berkata, ibunya, Zakiah Ismail, 63, yang ketika itu bersama adik, Tengku Mohd Shazwan, 24, sering ke Kota Bharu sekiranya berkelapangan untuk menziarahi kubur neneknya.

Ku Na menunjukkan gambar arwah Zakiah yang dirakam dua minggu lepas.

“Kalau ma (ibu) teringat kat tok (nenek), dia akan ajak adik-adik pergi ke Kota Bharu, tetapi akan balik semula ke rumah pada hari sama. Kebetulan Shazwan balik bercuti, ma ajak adik teman dan pandu kereta, tak sangka perkara ini berlaku.

“Sehari sebelum ma kemalangan, kami ada berjumpa sebab petang itu (Ahad) ma bawa anak-anak saya mandi kolam. Tiada sebarang perubahan dilihat pada ma ketika itu, tetapi sebelum ini ma jarang bawa anak-anak akak keluar macam tu.

“Mungkin dia hendak bersama cucu-cucu sebelum ‘pergi’ sebab anak-anak memang rapat dengan ma,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Tol, pagi semalam.

Katanya, mereka empat beradik reda dengan apa yang berlaku, cuma Shazwan belum tahu ibunya sudah meninggal dunia dan mereka mengambil keputusan merahsiakannya sehingga dia betul-betul sembuh.

“Pagi tadi (semalam), akak melawat Shazwan, dia asyik bertanyakan ma, tetapi akak cuba mengelak supaya dia tidak bertanya lagi. Sehingga sekarang, dia belum tahu ma sudah meninggal.

“Doktor ada beritahu supaya kami terima apa sahaja kemungkinan yang berlaku pada Shazwan kerana keadaannya agak teruk akibat cedera parah.

“Kedua-dua tangannya patah, tulang rusuk pula tertusuk paru-paru dan masih mengalami pendarahan teruk. Tetapi tadi (semalam) dia sedar dan masih boleh bercakap dengan akak,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, seorang penumpang Proton Inspira maut selepas kenderaan dinaikinya merempuh sebuah bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 43.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Sungai Tong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa (Zakiah) cedera parah di bahagian kepala.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu anaknya (Shazwan) dikatakan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Zakiah, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Sungai Tong dan selamat dikebumikan di Tanah Kubur Atas Tol, lebih kurang jam 10.15 malam kelmarin.

Sinar Harian

Baca lagi >>