Tuesday, 28 April 2015

Kerajaan Melaka akan mengharamkan penggunaan polisterin

Kerajaan Melaka akan mengharamkan penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polisterin di semua kafe di bangunan kerajaan, premis makanan pihak berkuasa tempatan dan sekolah di negeri ini, mulai 15 Mei depan.

   
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Kamarudin Md Shah berkata, langkah itu merupakan fasa pertama program 'Melaka Tanpa Polisterin' bertujuan mengurangkan penggunaan bahan polisterin yang sukar diurai dan menjejaskan alam sekitar.
   
Beliau berkata, fasa berkenaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula September tahun ini sebelum diperluaskan ke semua premis makanan di seluruh Melaka termasuk di bangunan swasta.
   
"Tindakan tegas akan diambil antaranya lesen perniagaan tidak akan diperbaharui sekiranya peniaga ingkar untuk mematuhi arahan ini," katanya kepada pemberita selepas program 'Go Green Together' di sini hari ini.
   
Program yang bertujuan memupuk semangat cintakan kehijauan dalam kalangan rakyat itu dirasmikan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Md Yunos Husin.

Kamarudin berkata, usaha itu perlu dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh bagi memastikan rakyat negeri itu terselamat daripada penyakit berbahaya kerana penggunaan bekas makanan polisterin tersebut boleh meracuni makanan.
   
Sehubungan itu, beliau berkata peniaga dan orang ramai digalak menggunakan bekas makanan jenis biodegradasi atau mudah diurai seperti yang diperbuat daripada hampas tebu dan jagung.
   
Pihaknya juga akan mengeluarkan senarai nama pengeluar bekas makanan biodegradasi yang boleh didapati di sekitar negeri ini melalui media massa bagi memastikan peniaga mendapat bekalan produk berkenaan dengan mudah.
   
"Kerajaan negeri amat serius untuk melaksanakan program ini secara menyeluruh dan berharap inisiatif ini mendapat kerjasama daripada semua pihak di negeri ini agar ia dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.
   
Selain itu katanya usaha itu juga selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau dan mendidik rakyat menjaga alam sekitar. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pengguna LPT2 akan dikenakan bayaran tol bermula Ogos ini

KEMAMAN - Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang telah siap sepenuhnya dan dibuka secara percuma kepada lalu lintas sejak 31 Disember lepas, dijangka akan mula mengenakan tol pada Ogos hadapan.

   
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Ir Rosli Othman berkata, pada awalnya LPT2 sepanjang 184 km dengan harga RM3.7 bilion itu dijadualkan mula mengenakan tol pada Jun ini namun terpaksa ditunda atas beberapa faktor.
   
"Saya difahamkan ia akan mula mengenakan tol selepas hari raya puasa ini dan sehingga kini kita masih tidak tahu kadar bayaran tol itu.
   
"LPT2 itu akan dikendalikan oleh Plus dan dijangka mereka akan mengenakan kadar tol berasaskan kepada LPT1," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan kawasan Terengganu Selatan di sini hari ini.
   
Ir Rosli berkata, ketika ini kerja-kerja membaiki lebuh raya itu sedang berjalan yang dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
   
Ini kerana terdapat sesetengah kawasan di lebuh raya itu jalannya beralun seperti laluan Jabor hingga ke Kijal dan Ajil.
   
Plus akan mengambil alih lebuh raya itu dengan lapan plaza tol.  
   
Mengenai kemalangan yang sering berlaku di sepanjang lebuh raya itu, Ir Rosli berkata beberapa faktor telah dikenalpasti antaranya kecuaian manusia itu sendiri.
   
"Lebuh raya itu jalannya lurus dan ada pemandu yang mengantuk lalu terbabas.

Kita juga tidak nafikan faktor binatang ternakan yang memasuki kawasan lebuh raya turut menyumbang kepada kemalangan," katanya.
   
Ir Rosli berharap tuan punya binatang mengawasi ternakan mereka supaya tidak memasuki kawasan lebuh raya kerana ia menyumbang kepada kemalangan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

2 gadis disaman kerana memakai baju berlengan pendek dan ketat

KOTA BHARU - Dua gadis belasan tahun merayu penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) tidak mengeluarkan notis saman aurat terhadap mereka yang baru sahaja bekerja di sebuah kedai makan di Peringat di sini.

Alasan mereka ialah tidak mengetahui memakai baju berlengan pendek dan ketat tidak dibenarkan ketika bekerja.

Namun, rayuan dua gadis terbabit tidak diendahkan, sebaliknya penguat kuasa MDK-PI tetap mengeluarkan notis saman kepada mereka tanpa kompromi.

Pegawai Undang-undang MDK-PI, Nazattul Aisya Hashim berkata, mereka diberikan notis saman terhadap individu dan dikompaun di bawah Undang-undang Kecil Seksyen 30.

“Mereka antara yang dikompaun dalam Ops Shisha dan Aurat yang dijalankan di kawasan Peringat dan Salor, di sini, semalam.

“Turut dikenakan tindakan, empat restoran iaitu sebuah di Peringat dan tiga di Salor, dengan rampasan alatan shisha bernilai RM 3,500, empat notis amaran dan tiga kompaun,” katanya kepada media.

Nazattul Aisya berkata, peniaga yang masih berdegil dan tidak ikut arahan ditetapkan, pihaknya tidak teragak-agak menarik semula lesen perniagaan, dan menutup terus operasi perniagaan mereka.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 diluluskan

Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 diluluskan di Dewan Negara hari ini selepas hangat dibahaskan sejak semalam.

Perbahasan rang undang-undang itu telah menarik perhatian 21 ahli Dewan Negara yang mengambil peluang mengutarakan pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan rang undang-undang berkenaan yang sebelum ini turut mendapat perhatian ahli Dewan Rakyat.


Antara persoalan yang sering dibangkitkan semasa perbahasan rang undang-undang itu adalah mengenai tindakan yang akan diambil kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang melarikan diri ke luar negara selepas melakukan provokasi serta cenderung kepada perbuatan menghasut.

Selain itu, beberapa ahli Dewan Negara juga mahu tindakan tegas diambil terhadap individu yang melakukan provokasi dan cenderung menghasut melalui media sosial.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan berkata rang undang-undang berkenaan tidak hanya tertakluk kepada orang politik sebaliknya mana-mana pihak yang cenderung kepada perbuatan menghasut.

Malah beliau berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa undang-undang itu tidak akan digunakan kepada pihak yang tidak melakukan kesalahan dan tidak mengkritik secara keterlaluan.

"Itulah jaminan kita boleh bagi supaya undang-undang ini dikenakan kepada pihak yang lakukan kesalahan tidak kira orang biasa, tinggi, rendah, bawah, atas, (orang) politik atau (orang) kerajaan sebagainya, yang melakukan kesalahan kita ambil tindakan," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hasrat untuk menawan Gunung Everest ditangguhkan

Lima pendaki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kini berada di Kem Induk Everest (EBC) telah sepakat untuk menangguhkan ekspedisi menawan Gunung Everest kali ini.

Perkara itu diumumkan oleh ketua pendaki dan ketua jurulatih, Azim Afif Ishak, melalui akaun Facebooknya hari ini.
Gambaran selepas kejadian runtuhan salji di Everest Base Camp berikutan gempa bumi di Nepal. Lima pendaki  yang kini berada di base camp pada ketinggian 5,364 meter itu, dilaporkan selamat. - Foto Bernama

"Kami semua telah dapat kata sepakat untuk menangguhkan ekspedisi ini. Kami dalam proses untuk pemindahan ke Kathmandu mungkin dalam beberapa hari.  Insya-ALLAH, ada rezeki dan peluang, bendera UTM akan berkibar di lain tahun," kata beliau.

Beliau berkata, para pendaki juga tidak berputus asa.

"Kepulangan ini bukanlah suatu kegagalan tetapi adalah perjuangan yang belum selesai. Tetaplah gunung di sini. ALLAH lebih mengetahui segalanya," katanya.

Azim, 27, bersama isterinya dan pembantu jurulatih Anis Zulaikha Zabani, 25; serta tiga pelajar UTM, Jamhuri Jumari, 21; Azham Afzanizam Hamzah, 27; dan Farul Aidib Mahamad Yusoff, 21, berlepas ke Kathmandu pada 28 Mac dan dijadualkan pulang ke tanah air Jun ini.

Mereka adalah antara 400 orang pendaki yang terperangkap di EBC ketika kejadian runtuhan salji besar berikutan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Nepal Sabtu lepas.

Pada kejadian itu, kira-kira 22 pendaki dilaporkan terkorban di EBC.

Sementara itu, dalam mesej kepada Bernama melalui Facebook, Anis berkata hasrat menangguhkan misi itu telah dimaklumkan kepada anggota keluarga melalui pihak UTM.

Para pendaki juga bercadang untuk menyertai misi kemanusiaan dan bantuan di Kathmandu, kata Anis.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Restoran sup kepala ikan yang tersohor di Kota Bharu diserbu

KOTA BHARU - “Saya reda dengan ketentuan ini sebagai ujian ALLAH SWT kepada saya. Memang agak terkejut dengan serbuan ini, namun saya harap dapat berniaga semula seperti biasa selepas ini."

Itu kata-kata pemilik restoran sup kepala ikan Pulau Pisang, Nik Mohd Noor Muhamad atau lebih dikenali sebagai ‘Pok Mat’ selepas kedainya di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, semalam.

Ab Ghani (tiga, kanan) membuat pemeriksaan di restoran berkenaan, semalam.

Pemeriksaan itu dibuat setelah dua laporan diterima daripada pelanggan berhubung harga dikenakan untuk sup kepala ikan mencecah RM130 sehingga RM150 semangkuk.

Restoran yang beroperasi sejak dua tahun lalu menyediakan hidangan sup kepala ikan  bersama teh tarik madu sebagai menu utama, selain lauk-pauk lain yang turut menjadi pilihan pelanggan.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, hasil semakan terhadap bil di restoran terbabit mendapati, hidangan sup kepala ikan yang dihidangkan kepada pelanggan, sememangnya dijual pada harga seperti dalam aduan.

“Kita siasat ekoran harga semangkuk sup kepala ikan agak tinggi dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Sebelum ini pada 22 April lalu, kita ada serahkan notis kepada pihak berkenaan untuk beri sebab kepada kami berhubung harga mahal dicatut dalam hidangan makanannya, namun sehingga semalam, kami masih belum terima notis jawapan daripadanya," katanya.

Ab Ghani berkata, oleh kerana gagal menjawab notis yang diberikan dan setelah siasatan dibuat, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan, sama ada dikenakan kompaun atau sebaliknya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pesawat TUDM digunakan untuk membantu bawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas ke Nepal untuk misi kemanusiaan hari ini, akan kembali membawa 95 rakyat Malaysia yang terkandas di negara berkenaan.  
   
Najib berkata, beliau dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa pesawat berkenaan sudah selamat mendarat di Kathmandu pada 10.15 pagi, hari ini.
   
Najib ditemubual bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pejabatnya semalam menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi pada 26 dan 27 April.
- Foto Bernama
"Petang ini, pesawat C-130 akan kembali bersama-sama 95 rakyat Malaysia yang terkandas di Nepal. Kami akan membawa mereka pulang dengan selamat," kata Najib dalam catatan terbaharu Facebook rasmi beliau, hari ini.
   
Pada Sabtu lepas, gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegarkan Nepal pada 2.56 petang (waktu Malaysia), turut menyebabkan gegaran kuat di Utara India. Gempa susulan turut berlaku di seluruh Nepal.
   
Ia adalah tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun, dengan mencatatkan lebih 4,000 kematian hari ini dan 6,500 orang cedera.

Sementara itu, Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Che Akmar Mohd Nor berkata, pesawat itu kini dalam perjalanan ke Kolkata, India dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang malam ini, bergantung kepada keadaan penerbangan.

"TUDM bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan MKN sekiranya masih terdapat keperluaan untuk menggunakan pesawat TUDM bagi membawa pulang rakyat Malaysia mahupun menghantar bantuan bekalan keperluan ke Nepal," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, setakat ini TUDM belum menerima permohonan baharu daripada MKN untuk operasi berikutnya.

Che Akmar berkata, kelewatan sehari jadual penerbangan disebabkan oleh faktor kesesakan trafik udara pesawat bantuan dan komersial keluar masuk dari Kathmandu.

Pasukannya tidak berhadapan dengan apa-apa masalah lain dalam menjalankan misi berkenaan, katanya.

Terdahulu, Che Akmar menyempurnakan upacara pemakaian pangkat pegawai kehormat kepada lima pegawai Pasukan Simpanan Sukarelawan.

Sinar Harian

Baca lagi >>