Monday, 27 April 2015

Lelaki yang menendang warga emas di sebuah restoran dah pun berdamai

Kuantan: Berang akibat anak ditampar dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak menendang warga emas sehingga tersembam seperti dalam rakaman video yang tersebar di laman sosial Facebook (FB) sejak kelmarin.

Rakaman berdurasi 1 minit 9 saat itu dirakam di kedai makan di Bukit Goh, di sini, kira-kira 3 petang, Jumaat lalu dan dimuat naik seorang pengguna FB kira-kira 11 malam, Ahad lalu sehingga mendapat pelbagai reaksi dan kecaman daripada orang ramai.


Dalam rakaman itu, seorang pemuda berusia awal 30-an tiba-tiba menendang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an hingga terjatuh sebelum cuba memukulnya dengan kerusi namun dihalang orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan sudah memohon maaf dengan warga emas itu dan rakaman 'perdamaian' antara mereka turut dimuat naik ke laman FB.

Menurut sumber, lelaki dipercayai berasal dari negara jiran itu gagal mengawal perasaan selepas warga emas terbabit mengaku menampar anak lelakinya berusia empat tahun, namun dia menyesali perbuatan itu dan sudah memohon maaf secara bersemuka.

"Tidak dapat dipastikan punca warga emas berkenaan menampar anak lelaki itu, namun perselisihan faham antara mereka sudah diselesaikan dengan cara baik dan mereka juga sudah berdamai malah lelaki itu juga sudah menerima balasan atas perbuatannya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, lelaki terbabit mengaku menyesal dengan perbuatannya itu serta menangis selepas ditunjukkan rakaman berkenaan tetapi hasrat untuk mengadakan pertemuan semula bertujuan memohon maaf dengan keluarga mangsa tidak kesampaian.

"Dia bersama anak dan isterinya kini tiada di rumah dipercayai sudah pulang ke negara asal kerana bimbang keselamatan diri selepas video perbuatannya itu menjadi viral di Internet dan mendapat kecaman ramai pihak selain bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya difahamkan kes ini sudah dimaklumkan kepada polis dan kini dalam perhatian pihak berkenaan namun pada masa sama, saya berharap orang ramai tidak terus menyebar video itu sebaliknya membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya.

-Hmetro-

Baca lagi >>

Untungnya wanita ni, baling buah mangga kepada Presiden, diberi pula sebuah rumah

ARAGUA - VENEZUELA. Presiden Venezuela berjanji memberikan rumah kepada seorang wanita selepas membaca rayuan wanita tersebut pada buah mangga yang dibaling kepadanya, Rabu lepas.

Menurut The Guardian, buah mangga yang dibaling Marleny Olivo tepat mengenai kepala Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, 52 yang sedang memandu di kawasan berkenaan ketika kejadian.

Maduro kemudian muncul di televisyen dan menunjukkan buah mangga tersebut.

"Sila hubungi saya.

"Anda ada masalah berkenaan rumah, bukan? Anda akan dapat sebuah apartmen dan akan diberikan kepada anda beberapa jam lagi," kata Maduro.

Maduro merupakan seorang bekas pemandu bas yang terkenal selepas menjelajah bandar-bandar miskin di Venezuela.

Menurut media tempatan, Maduro menyifatkan kejadian tersebut 'tidak berniat jahat'.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Guru terkilan peruntukan untuk sekolah agama dibekukan kerajaan negeri

ALOR SETAR - Beberapa tenaga pengajar di sekolah agama terkilan apabila program dan aktiviti yang dirancang sejak awal tahun terpaksa dibatalkan berikutan menerima arahan daripada kerajaan negeri untuk menangguhkan sebarang program berkuatkuasa serta-merta.

Difahamkan, surat berkenaan dikeluarkan minggu lalu oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan diedarkan kepada semua sekolah menengah agama, sekolah rendah Islam, kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dan taska.

Menurut sumber, penangguhan itu melibatkan peruntukan bagi peringkat zon dan negeri disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan.

Seorang tenaga pengajar yang ditemui berasa kesal kerana perkara itu dimaklumkan secara tergesa-gesa dalam tempoh singkat tanpa dibuat penjelasan sewajarnya.

“Saya cuma dimaklumkan peruntukan tidak dapat disalurkan atas masalah teknikal, menyebabkan ramai tertanya-tanya situasi sebenar. Kami harap perkara ini bersifat sementara namun, tidak dimaklumkan sehingga bila,” katanya.

Berikutan itu, katanya, acara terdekat yang akan berlangsung pada 7 Mei depan iaitu Majlis Sukan Sekolah-sekolah Agama peringkat negeri terpaksa ditangguhkan.

“Bagaimanapun, jawatankuasa kejohanan sukan terbabit memutuskan untuk terus menganjurkan acara itu kerana tidak mahu menjejaskan perancangan sukan berkenaan di peringkat kebangsaan di Johor Jun depan,” katanya.

Ini menyebabkan, jawatankuasa berkenaan terpaksa meminta sumbangan daripada waris pelajar terlibat sebanyak RM30 seorang. Manakala jumlah pelajar terlibat dalam kejohanan itu sekitar 650 orang daripada zon utara, zon selatan serta zon Maktab Mahmud.

“Sebelum ini, kejohanan berjalan lancar dan tidak wujud masalah seperti ini. Setiap tahun, ia diadakan percuma, bawah peruntukan tahunan untuk sukan. Kenapa pada tahun ini, semua aktiviti dibekukan, kami mohon penjelasan daripada pihak berkenaan,” katanya.

Seorang lagi tenaga pengajar memaklumkan, pada awal tahun, dia terdengar ura-ura mengatakan kerajaan negeri berdepan masalah kewangan dan peruntukan tidak dapat disalurkan.

“Ketika itu, saya dengar kemungkinan peruntukan akan dibekukan, tetapi sekadar cakap-cakap orang sahaja. Tidak sangka pula, ia jadi kenyataan pada April ini,” katanya.

Manakala tenaga pengajar dari Kuala Nerang berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri menyediakan alternatif kepada pihak sekolah untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang atau memohon penajaan untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah terlibat.

“Pelajar dan guru kecewa kerana banyak program dirancang dan kini terpaksa batal atau tunda. Sebahagian sekolah menggunakan inisiatif sendiri dengan memohon peruntukan daripada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) atau sumbangan daripada pihak korporat untuk meneruskan program sedia ada,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Menghembus nafas terakhir di pangkuan sahabat karib

PASIR MAS - Kenal sejak kecil dan banyak menghabiskan masa bersama, namun seorang remaja tidak menyangka sahabat karibnya menghembus nafas terakhir di pangkuannya selepas terlibat dalam kemalangan di depan sebuah stesen minyak berhampiran Kampung Gertak Serong, di sini, kelmarin.

Khairul Firdaus Hairudin, 19, memberitahu, kejadian berlaku pada jam 8.10 malam melibatkan motosikal ditunggangi mangsa, Khairul Redhuan Pakri, 19, dan tiga kereta.

Menurutnya, Khairul Redhuan maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta patah paha kanan.
Khairul Firdaus (kiri) sempat merakam gambar selfie dengan Allahyarham Khairul Redhuan sehari sebelum kejadian.

"Arwah Khairul Redhuan adalah seorang periang dan banyak berceloteh. Namun pada hari kejadian, sikapnya berubah sama sekali dan dia menjadi pendiam," katanya ketika menceritakan kejadian yang menimpa sahabat karibnya itu.

"Saya langsung tak sangka perubahan sikap itu merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya, malahan dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya," katanya.

Khairul Firdaus berkata, sehingga kini dia masih tidak percaya kejadian yang meragut nyawa sahabat karibnya itu berlaku betul-betul di depan matanya.

Katanya, pada hari kejadian, dia sempat menemui mangsa di tempat kerjanya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian dan mangsa memaklumkan mahu ke kedai terlebih dahulu sebelum pulang ke rumahnya di Wakaf Merah, di sini.

"Selepas masuk dalam kereta saya dengar dentuman kuat secara tiba-tiba dan setelah itu saya lihat arwah terlibat dalam kemalangan. Saya terkejut dan terus keluar kereta serta berlari mendapatkannya.

"Kami berkawan sejak di bangku sekolah rendah dan malam kelmarin saya sempat tidur bersama-sama arwah di rumah saya di Kampung Bechah Durian. Malah motosikal digunakan arwah itu adalah milik saya," katanya.

Tambahnya, mereka berdua memang sangat akrab sehingga dia sanggup meminjamkan motosikal berkenaan kepada mangsa bagi memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi maklumat.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Eksekutif Google antara mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi Nepal

KATHAMANDU - NEPAL. Seorang eksekutif dari syarikat gergasi Google, Dan Fredinburg dilaporkan terkorban dalam kejadian gempa bumi di Nepal, kelmarin.

Menurut CNN, Fredinburg sedang memanjat gunung Everest bersama dua lagi kakitangan Google ketika kejadian berlaku.


Fredinburg merupakan pengarah privasi pasukan Google X.

Menurut sebuah perkongsian di laman Instagram Fredinburg yang ditulis oleh kakaknya, Fredinburg maut selepas cedera parah di kepala, manakala dua lagi rakannya terselamat.

"Kami menghargai segala simpati yang diberikan," tulis kakak Fredinburg, Megan di Instagram.

"Beliau merupakan seorang yang kelakar dan penuh bersemangat. Fredinburg merupakan kegemaran kami," tambahnya.

Teman wanita Fredinburg, Ashley Arenson menyifatkan teman lelakinya itu sebagai 'magis'.

"Dia (Fredinburg) sentiasa tahu cara untuk membuat orang di sekelilingnya rasa dihargai.

"Kehadirannya membuat kami rasa 'puas'," kata Arenson ketika ditemuramah CNN.

Difahamkan, rakan-rakan Fredinburg menyifatkan beliau sebagai seorang pendaki gunung tegar.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Angka kematian akibat gempa bumi di Nepal terus meningkat

KATHMANDU - NEPAL. Angka kematian akibat gempa bumi di Nepal terus meningkat kepada lebih 3,000 orang manakala 6,500 yang lain dilaporkan cedera.

Ketua  Agensi Pengurusan Bencana Nepal, Rameshwor Dangal berkata, 3,218 orang maut, 6,500 orang cedera manakala berpuluh yang lain di negara jiran seperti China dan India turut tercedera.


Sementara itu, beribu-ribu penduduk yang lain terpaksa bermalam di luar kerana kebanyakkan dari mereka takut untuk pulang ke rumah.

Gempa bumi itu turut menyebabkan runtuhan besar-besaran berhampiran kem 1 dan 2 Gunung Everest

Pusat Kaji Ukur Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi itu berlaku pada  11.56 pagi (2.56 petang waktu Malaysia), kelmarin.

Awalnya dilaporkan ia berukuran 7.7 pada skala Richter sebelum ukurannya dipinda kepada 7.5 dan kemudiannya dinaikkan kepada 7.9.

Gempa bumi itu mengakibatkan kemusnahan besar-besaran harta benda dan juga merosakkan banyak mercu tanda bersejarah termasuk tapak warisan diiktiraf Unesco seperti Menara Dharahara Tower dan Dataran Durbar.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hackers godam emel Obama

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Kumpulan penggodam Rusia didakwa berjaya menceroboh fail sulit Rumah Putih termasuk menceroboh emel milik Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam insiden serangan siber yang dilancarkan pada tahun lalu.



Menurut laporan Reuters, jurucakap Rumah Putih memaklumkan tiada bukti menunjukkan akaun emel pemimpin itu telah digodam walaupun pendedahan berhubung insiden tersebut telah disahkan pada awal bulan lalu.

"Tiada maklumat sulit terjejas," katanya.

Sementara itu, The New York Times melaporkan kejadian serangan siber tersebut adalah jauh lebih membimbangkan daripada apa didedahkan kepada umum.

Sinar Harian

Baca lagi >>