Saturday, 25 April 2015

Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai mampu siap lebih awal

KOTA BHARU - Syarikat kontraktor, Chengal Jati Sdn Bhd yang memperoleh tender fasa 2A pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yakin mampu menyiapkan pembinaan tersebut lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Shaari Hassan berkata, mengikut terma kontrak, pihaknya akan memulakan pembinaan pada 22 April dan mengambil masa tiga tahun sehingga 17 April 2018 bagi menyiapkan jajaran dari Kadok ke Ketereh sejauh tujuh kilometer.
Shaari (kanan) ketika meninjau salah satu lokasi di Sungai Ketereh yang terlibat
dalam projek pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Saya yakin mengikut pengalaman dan prestasi sebelum ini, kontrak ini akan dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh asal berakhir,” katanya selepas Mesyuarat Pra Pembinaan lebuh raya itu di Ketereh baru-baru ini.

Bina 10 jambatan rentasi tali air, jalan kampung

Mengulas lanjut, Shaari berkata, di sepanjang lebuh raya berkenaan, akan dibina 10 jambatan merentasi tali air, jalan kampung dan Sungai Ketereh, selain membina empat laluan bawah kenderaan.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran projek itu pula, kaedah komunikasi lebih sistematik digunakan pihaknya yang membolehkan kerja pengawasan dilakukan di mana sahaja walaupun berada di luar tapak pembinaan.

“Kita menggunakan walkie-talkie sebagai alat perhubungan antara satu sama lain, selain memasang 16 kamera di sepanjang projek berkenaan bagi memastikan kaedah pengawasan yang pertama kali digunakan ini benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM70,000 diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan CCTV, selain peruntukan untuk kemudahan internet supaya kerja pengawasan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kemudahan ini juga akan membolehkan pihak berkenaan melihat perkembangan projek ini dalam waktu sebenar tanpa perlu berada di lokasi,” katanya yang dalam masa sama mahu membuktikan bahawa orang Melayu juga mampu melaksanakan projek pembangunan skala besar.

Pembinaan dilakukan serentak, bukan berfasa

Malah katanya, pembinaan jajaran sepanjang tujuh kilometer dilakukan serentak dan bukannya berfasa supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, malah tidak menolak lebih awal.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banyak yang kita pelajari termasuk bagaimana untuk bergerak serentak, kerana ia memberi kemajuan yang lebih baik kepada projek dijalankan,” katanya.

Untuk rekod, fasa 2A adalah pakej kedua yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Program Jelajah Janji Ditepati PRU13. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Perol kini sedang rancak dibina dan dijangka disiapkan pada 2017.

Dalam pada  itu Shaari berkata, walaupun pihaknya secara rasmi memulakan kerja pada 22 April lalu, namun pihaknya mengambil inisiatif menempatkan jentera dan melakukan kerja asas lebih awal dari  tempoh ditetapkan.

“Ini menunjukkan komitmen kami terhadap projek. Insya-ALLAH, kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pembinaan dapat disiapkan pada tempoh ditetapkan ataupun lebih awal,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ibu terkejut anak dipenjara kerana menggunakan kad kredit palsu di Itali

PUCHONG – Sangkaan seorang ibu tunggal bahawa anaknya pergi melancong ke luar negara meleset apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu rupanya dipenjarakan di sebuah penjara di Itali kerana disyaki menggunakan kad kredit palsu.

Phan Pik Fong, 55, berkata, pada 20 Januari lalu anaknya, Chan Kam Yoe, 20, ada menyatakan hasrat bercuti ke negara itu, meskipun mengetahui keluarganya tidak mempunyai kemampuan untuk membiayai trip pelancongan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, anaknya beria-ia mahu pergi juga dengan menyatakan pembiayaannya ke negara itu akan ditanggung seorang rakan.

Pik Fong berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya itu benar-benar pergi ‘melancong’ selepas mendapati remaja itu tidak pulang ke rumah dan pakaian tiada di biliknya.

Selepas dua hari berangkat, Pik Fong dikejutkan panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa dia adalah peguam dari Itali.

Peguam tersebut memberitahu Kam Yoe ditahan polis negara itu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pemalsuan kad kredit.

“Pada mulanya saya tak percaya sebab peguam ni minta 4,000 euro (RM15,499) jika mahu selamatkan Kam Hoe dari dituduh,” katanya.

Disebabkan buntu dengan masalah dihadapi, Pik Fong membuat aduan kepada Adun Kinrara, Ng Sze Han bagi mendapatkan pengesahan mengenai status anaknya.

Dia turut membuat laporan polis pada 30 Januari lalu di atas kehilangan anak bongsunya yang bekerja sebagai jurujual penyedut hampagas di Puchong sebelum ini.

“Saya harap kedutaan negara ini di sana akan bantu dia. Saya juga berharap hukuman dikurangkan kerana anak saya terpedaya geng sindiket pemalsuan kad kredit,” katanya.

Sementara itu Sze Han berkata, Pik Fong membuat aduan berkenaan kehilangan anaknya sejak dua bulan lalu.

Beliau kemudian menghubungi beberapa agensi termasuk cawangan penjara di Itali. Usaha awal menemui jalan buntu sebelum Kedutaan Malaysia di Itali berjaya mengesan remaja tersebut yang dikatakan dipenjarakan di Regina Coeli Prison.

Sze Han berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan terdapat dua lagi rakyat Malaysia berusia lingkungan 20-an ditahan atas kesalahan sama di penjara tersebut.

“Ketiga-tiga mereka disyaki membuat pembelian lebih kurang 30,000 euro (RM116,245) dalam tempoh dua hari menggunakan 30 kad kredit palsu.

“Berkemungkinan anak ibu tunggal ini diperdaya sindiket yang menggunakan anak muda sebagai sasaran kerana mudah dipengaruh,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga remaja itu akan dibicarakan di mahkamah negara itu Jun ini.

Beliau ada melakukan semakan dan diberitahu negara itu akan beri bantuan peguam percuma kepada remaja tersebut sekiranya keluarganya tidak berkemampuan melantik peguam sendiri.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran pelancongan ke luar negara secara percuma meski ia datang dari kawan karib sendiri.

"Kalau ada tawaran seperti ini kena perlu lebih hati-hati,” katanya lagi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

"Kadang-kadang saya rasa saya patut terus jadi Per‎dana Menteri" - Tun M

KUALA LUMPUR - "Kadang-kadang saya rasa saya patut terus jadi Per‎dana Menteri," demikian ujar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya lagi, walaupun sedar diri sudah tidak layak memegang jawatan tersebut, idea tersebut timbul sesekali apabila melihat keadaan negara yang semakin buruk.

"Kadang-kadang saya terfikirkan hal itu saat saya kecewa melihat banyak perkara yang tidak betul sekarang, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk merubahnya.

“Pada masa itu saya akan terfikir, kalaulah saya masih Perdana Menteri, tentu saya akan buat sesuatu,"katanya dalam program Bicara Negarawan yang diadakan di Kelab K, Taman Melawati di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menegur segelintir masyarakat supaya jangan menyokong pemimpin yang korup.

“Kuasa menjadikan kita korup. Tetapi kalau kuasa itu tidak terhad..., kita akan jadi lebih korup daripada yang lain. Sebab itu apabila kita mempunyai kuasa, kita perlu selalu ingatkan diri sendiri supaya sentiasa sedar diri.

“Mak saya selalu berpesan, jangan kita ambil (hak) orang punya. Ini menjadi panduan kepada saya sampai ke hari ini. Kita ambil hak orang lain. Kita fikir orang tidak akan tahu.. Tetapi kita lupa, ALLAH tahu,” katanya lagi sebelum disambut oleh sorakan dan tepukan gemuruh oleh penonton yang memenuhi dewan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Undang-undang baharu bakal digubal untuk mengawal media sosial?

KUALA LUMPUR - Kerajaan seharusnya menggubal satu undang-undang baharu bagi mengawal pengaliran maklumat dalam media sosial.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, walaupun ada Akta Hasutan dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 1998 yang berperanan memantau aktiviti media sosial, namun ia  tidak mencukupi ekoran maklumat tidak sahih yang tersebar secara meluas tanpa kawalan.

"Akta Hasutan 1948 dan Akta MCMC sendiri merangkumi skop yang meluas. Selain memantau aktiviti media sosial, ia turut bertanggungjawab terhadap media cetak dan elektronik.

"Sekiranya wujud satu akta khusus untuk menapis pengaliran maklumat hanya dalam media sosial sahaja, sekurang-kurangnya penyebaran fitnah dan pengaruh negatif dapat dikawal secara sistematik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Wan Mahmood berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kebimbangan terhadap penyebaran pelbagai maklumat menerusi media sosial, termasuk unsur-unsur lucah yang dibimbangi mempengaruhi minda golongan muda.
    
Mengakui media sosial dapat menyebarkan maklumat dengan efektif, Wan Mahmood berkata ia juga membahayakan kerana tidak melalui proses tapisan seperti mana media cetak dan elektronik yang mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti kesahihannya.

"Selain itu, tiada 'gatekeeper' dalam media sosial menyebabkan sebarang maklumat sama ada yang benar ataupun palsu disebarkan dalam sekelip mata sahaja menyebabkan semua orang dapat mencapai maklumat itu dan mempercayainya tanpa mendapat pengesahan," katanya.

Walaupun pengguna media sosial bebas untuk membincangkan sebarang isu tanpa sekatan, Wan Mahmood berkata mereka perlu berhati-hati kerana apa sahaja yang dikongsikan menerusi media sosial akan tersebar secara meluas.

"Sekiranya sesuatu maklumat itu dikongsi tanpa usul periksa ataupun terlalu mengikut perasaan, ia mungkin akan mengguris perasaan dan sensitiviti orang lain tanpa disedari.

"Oleh itu, pengguna media sosial seharusnya memanfaatkan platform mereka dengan hanya berkongsi maklumat yang tepat dan tidak menyalahgunakannya untuk mencetuskan huru-hara melalui isu-isu sensitif seperti keagamaan dan perkauman," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tip melancong: backpack atau bagasi?

Ketika merancang melancong atau mengemas pakaian, satu perkara sering membuatkan kita bingung ialah memilih jenis beg sandang (backpack) atau bagasi untuk membawa barangan nanti.

Ramai memilih beg jenis backpack atau ‘carrier’ ketika bercuti.

Ada gemar membawa bagasi untuk kesenangan dan lebih praktikal.

Apapun, jenis beg yang anda bawa, biarlah ia bersesuaian dengan destinasi atau lokasi selain memudahkan anda.

Berikut beberapa tip memilih beg untuk bercuti.

- Pertama, sesuaikan saiz bagasi dengan kapasiti barang.

Jika hanya bercuti dengan tempoh singkat, bagasi dengan saiz kabin pesawat cukup untuk dua hingga tiga hari perjalanan. Ada juga bagasi bersaiz sederhana dan besar.

Ketika memilih saiz bagasi, fikirkan perancangan sepanjang berada di destinasi percutian nanti.

Apakah mungkin anda akan banyak berbelanja di sana atau sebaliknya. Jika ya, siapkan ruang dalam bagasi untuk menampung barangan yang anda beli.

- Kedua, pilih bahan bagasi yang tahan lasak dan tidak mudah rosak. Antara jenis yang popular ialah jenis bahan ‘hardcase’ dan bahan ‘softcase’.

Kelebihan bagasi dari bahan keras memberi perlindungan optimal terhadap barang anda. Namun, ia juga boleh retak apabila terhempas atau terjatuh terutama ketika proses pemunggahan barang di lapangan terbang.

Anda juga boleh memilih bagasi dari bahan polycarbonate yang cukup ringan dan tidak mudah retak. Untuk jenis bagasi ‘softcase’, pilih yang mempunyai bahan ballistic nylon yang cukup terkenal sebagai bagasi yang tidak mudah kemek.

- Ketiga, pastikan pemegang dan roda bagasi sesuai dengan keadaan perjalanan anda. Untuk pemegang bagasi, anda boleh memilih yang mempunyai dua bar daripada satu bar.

Perhatikan adakah kedudukan pemegang beg itu mempengaruhi kapasiti penyimpanan dalam bagasi atau tidak.

Untuk roda bagasi, terdapat dua jenis iaitu dua roda (upright) dan empat roda (spinner). Bagasi jenis ‘upright’ lebih mudah ditarik di permukaan tidak rata dan dikendalikan di tempat keramaian.

Sementara bagasi jenis spinner akan memudahkan pengguna bergerak tanpa terpengaruh berat beban di bagasi dan tepat digunakan di permukaan jalan yang halus.

- Keempat. Perhatikan keselamatan bagasi yang anda beli. Pemilihan bahan yang tidak mudah rosak adalah faktor utama.

Pastikan juga bagasi yang dibeli itu mempunyai kunci atau kod nombor untuk menjamin keselamatan.

Kini, bagasi dengan standard keselamatan antarabangsa mudah ditemui di pasaran iaitu bagasi yang dilengkapi kunci standard Travel Sentry Approved (TSA).

Perlu diketahui bahawa petugas di lapangan terbang berhak memeriksa setiap bagasi yang dibawa penumpang.

Bagasi dengan kunci standard TSA akan memudahkan petugas bagasi di lapangan terbang membuka bagasi anda untuk keperluan pemeriksaan tanpa harus merosakkan atau membuka kunci bagasi anda secara paksa.

- Kelima. Pastikan anda mengenali dengan baik bentuk dan warna bagasi anda. Ini kerana, kebanyakan produk bagasi mempunyai bentuk dan warna yang sama. Ini membuatkan anda berpotensi untuk tertukar bagasi di lapangan terbang.

Oleh itu, pilihlah warna yang agak berlainan sedikit atau bentuknya. Jika tidak punya pilihan lain atau anda berkenan dengan bagasi yang berwarna serta berbentuk popular, letakkan tanda sama ada label nama (luggage tag) atau reben di bagasi anda.

Hmetro

Baca lagi >>

Wan Azizah bertanding semula di PRK Permatang Pauh

PERMATANG PAUH - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumumkan sebagai calon PKR di PRK Permatang Pauh.

Beliau dijangka berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru selepas BN menamakan Setiausaha Umno Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin dan calon bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin yang juga menawarkan diri untuk bertanding.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
   
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
   
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu esok dan pengundian 7 Mei.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kisah nenek Obama menunaikan umrah tersebar

JIKA mempunyai seorang cucu dari kalangan pemimpin dikenali satu dunia, apa saja yang ahli keluarga buat, mesti mendapat perhatian ramai.

Inilah kisah nenek kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Sarah Omar di mana gambar wanita tersebut yang  berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah tersebar dalam media.
Sarah merupakan nenek dari pihak ayah Obama yang berasal dari Kenya.

Sarah yang berusia  94 tahun dikatakan ke sana bersama beberapa sanak saudara Obama.

Warga emas berkenaan dilaporkan sangat gembira ketika mengunjungi satu pameran  berkaitan  kehidupan Nabi Muhammad SAW di Makkah, selepas menunaikan ibadat berkenaan.

Menurut nenek kepada presiden tersohor itu, beliau kagum dan pameran itu dianggapnya sebagai contoh bagi melihat perkembangan Islam dengan cara yang moden, disokong oleh dokumen saintifik dan sahih.

Sarah merupakan nenek dari pihak ayah Obama yang berasal dari Kenya.

Wanita ini sudah beberapa kali menunaikan haji.

Sinar Harian

Baca lagi >>