Friday, 24 April 2015

Mencari rezeki halal lagi berkat

MENELUSURI kehidupan manusia terutamanya umat Islam, mata pencarian dan hasil kerja dikenali sebagai rezeki.

Dalam hal ini umat Islam mestilah mencari rezeki yang halal lagi berkat bagi diri dan keluarganya. Rezeki tersebut mestilah diusahakan dengan tangan sendiri dan dilakukan dengan usaha yang berterusan.

Secara jelas, rezeki adalah bahan keperluan untuk hidup seperti makanan sehari-hari atau nafkah buat keluarga, pendapatan, penghasilan dan pencarian seseorang. Selama masih hidup manusia akan tetap diberikan rezeki oleh ALLAH SWT sama ada sedikit ataupun banyak.

Rasulullah SAW bersabda: "Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)". Oleh itu, laksanakan suruhan ini dengan mencari rezeki halal yang terbentang luas di hamparan dunia ini.

Jelaslah rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu, rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima ALLAH. Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan." (Riwayat Ibn Majah, Ahmad, Ibn Hibbah & Ibn Al-Mubarak)

Oleh itu, ketakwaan kepada ALLAH akan mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat. Dalam mencari rezeki sifat takwa juga penting ada dalam hati dan jiwa.

Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata: "Rezeki secupak tak akan jadi segantang" bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan. 'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis.

'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas). 'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan.

'Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit)' maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh ALLAH, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.

Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata orang Melayu sejak dahulu, dengan pandangan dan pemerhatian yang penuh bijaksana untuk direnungi.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibrail) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya.

Kerana itu hendaklah kamu bertakwa kepada ALLAH dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, jangan lah kamu memburunya dengan jalan maksiat kepada ALLAH kerana apa yang ada di sisi ALLAH hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (Riwayat Abu Dzar & Al-Hakim)

Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda: "Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (Riwayat Ath-Thabrani & Al-Bazzaar).

Berkaitan dengan rezeki Nabi SAW tidak pernah kenyang dalam makan dan minum dan tidak pula mencela rezeki atau makanan apa saja yang tersaji di hadapan baginda.

Apabila hendak mulai makan Nabi SAW membaca ‘Bismillah’, apabila makanan itu panas Baginda SAW sejukkan dahulu dan selesai makan Baginda SAW membaca ‘Alhamdulillah’.

Sementara sahabat Nabi SAW, Abu Bakar Ash Siddiq pernah berkata berkaitan rezeki. Antaranya, semenjak aku masuk Islam, belum pernah aku kenyangkan perutku, demi dapat merasakan segarnya beribadah, dan belum pernah aku puas minum, kerana sangat rindunya aku kepada Ilahi.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata dalam doanya: "Ya ALLAH, jadikan kelebihan rezeki itu terjadi pada orang-orang pilihan di antara kita, sebabnya barangkali mereka itu akan mengembalikan rezekinya itu kepada orang-orang yang berhajat di antara kita ini."

Beliau mengingatkan: "Jangan sekali-kali seseorang di antara kamu semua hanya duduk-duduk saja, tidak mahu berusaha mencari rezeki. Tidaklah kamu semua telah mengetahui bahawa langit itu tidak menurunkan hujan berupa emas dan perak."

Berkaitan dengan punca rezeki Al-Hassan Al-Basri pernah mengingatkan: "ALLAH melaknat orang-orang yang tidak percaya bahawa Tuhan telah menjamin rezeki mereka."

Justeru, mencari rezeki yang halal wajib hukumnya. Laksanakan dengan kesungguhan hati, semangat tinggi, keikhlasan, kejujuran dan keahlian. Semuanya ini adalah jalan ke arah keberkatan. Jangan melibatkan diri dalam riba atau urusan yang diragukan status halal.

Jika mencari rezeki dengan perniagaan, lakukan jual beli dengan keikhlasan, tuntut hutang dengan sabar dan sopan, sertai selesaikan hutang tepat waktu sesuai dengan perjanjian. Sifat ikhlas ini sangat penting dalam Islam khususnya kepada penjual dan juga pembeli.

Keberkatan rezeki, rela dan puaslah terhadap pemberian rezeki ALLAH kerana rela dan puas (qannah) adalah kekayaan yang tidak akan habis.

Kesimpulannya, setiap rezeki yang halal daripada hasil usaha tangan sendiri dan dilakukan secara jujur, ikhlas akan diberikan berkah (berkat) dan keberkatan ALLAH.

Rezeki yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih berkat berbanding rezeki yang banyak tetapi tidak mencukupi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kira zakat pendapatan

Klik SINI untuk kira zakat pendapatan



Baca lagi >>

Al-kisah imam, cukai dan raja

IMAM Nawawi RHM (631-676H) tokoh agung dalam mazhab Syafie. Ditakdirkan umurnya tidak panjang. Namun, ilmu, sumbangan, karya dan kisah perjuangan beliau berpanjangan hingga ke hari ini.

Menguasai pelbagai bidang ilmu. Menjadi rujukan umat hingga sekarang.

Ahli ilmu yang setia dengan kebenaran. Mempertahankan prinsip keadilan tidak kira dengan siapa beliau berhadapan. Nilai agama tidak digadai semata-mata ingin meraih habuan dunia. Inilah Imam Nawawi, rahimahullah.

 Kisah beliau yang menarik ialah semasa berhadapan dengan pemerintah pada zamannya, Al-Malik Al-Zahir. Imam Nawawi diminta Raja Zahir supaya mengeluarkan fatwa harus bagi pemerintah mengambil harta rakyat untuk keperluan jihad memerangi musuh negara iaitu tentera Tatar.

Ramai ulama lain yang dibunuh Raja Zahir kerana enggan memberikan fatwa menyokong hasrat tersebut. Pada masa yang sama, ada juga kelompok agamawan yang menyokong. Namun begitu, Imam Nawawi tetap tegas memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Walaupun beliau tahu pengutipan harta rakyat itu akan digunakan bagi tujuan jihad mempertahankan negara, beliau tetap enggan menulis surat sokongan kepada tindakan Raja Zahir.

Raja Zahir bertanya mengapa beliau tidak mahu menyokong hasrat baik ini? Imam Nawawi menjawab: "Setahu aku, engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta.

Kemudian ALLAH SWT memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.

Engkau juga memiliki dua ratus hamba perempuan. Setiap mereka mempunyai sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, hamba perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan dan baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada ALLAH dan mengikut jalan Nabi-Nya SAW. (Lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam)

Begitulah prinsip kebenaran dan keadilan yang diperjuangkan Imam Nawawi. Kebajikan rakyat didahulukan berbanding kedudukan diri sendiri. Beliau bukan hendak melawan hasrat baik pemerintah yang mahu mempertahankan negara.

Tetapi beliau tidak bersetuju dengan cara hidup pemerintah dan pengurusan harta negara. Dalam keadaan pemerintah hidup bermewah, mengumpul harta penuh megah, tiba-tiba wang rakyat juga yang mahu dikerah.

Jika mahu difikirkan kepentingan perut sendiri, boleh sahaja Imam Nawawi bersetuju. Tetapi prinsip agama yang beliau dokong, tidak mengharuskan sebegitu.

Mana mungkin dibiarkan pemerintah bersenang lenang di atas takhta, bahkan dengan seronok melicinkan harta negara, tiba-tiba apabila diperlukan untuk mempertahankan negara, rakyat yang menjadi mangsa.

Ini bukan teladan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan khulafa’ al-rasyidin. Lihat sahaja bagaimana contoh kepemimpinan Amir al-Mukminin Umar bin al-Khattab.

Semasa era pemerintahan beliau, antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan, semenanjung Arab dilanda kemarau teruk yang menyebabkan kesusahan dan kelaparan kepada rakyat.

Tahun itu dikenali sebagai ‘Am al-Ramadah kerana diibaratkan seperti warna abu akibat kekurangan hujan. Maka warna tanah dan warna kulit manusia berubah kerana kekeringan.

Segala kudrat yang termampu, selaku pemerintah yang diberikan amanah, Umar sebaik mungkin menguruskan harta negara bagi mengatasi keperitan yang ditanggung oleh rakyat jelata.

Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan, pada tahun berkenaan Umar membuat keputusan untuk tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya.

Bekalan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu tetapi dengan harga yang agak tinggi.

Umar menolak untuk makan lalu berkata: "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal. Sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami nasib rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpa mereka?." (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/98, Beirut: Dar al-Turath)

Dalam peristiwa lain diriwayatkan suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta, dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Masakan tersebut turut dihidangkan kepada Umar. Apabila beliau mendapati yang dihidangkan kepadanya ialah bahagian belakang unta dan hatinya, maka Umar bertanya: "Dari mana diperolehi ini?". Dijawab:

"Daripada unta yang kita sembelih hari ini". Lalu Umar berkata: "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa". (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)

Allahu akbar! Alangkah beruntungnya manusia yang hidup di bawah pemerintahan Umar ketika itu. Kebahagiaan rakyat adalah kebahagiaannya.

Penderitaan rakyat adalah penderitaannya. Rakyat tidak dibiarkan mengharungi kesusahan seorang diri, sedangkan beliau dilengkapi kemewahan yang serba serbi. Rakyat tidak dibiarkan kesakitan menahan lapar, sedangkan beliau kekenyangan duduk bersandar.

Masih adakah pemimpin yang mewarisi sifat terpuji ini? Renungi sekali lagi kata-kata Umar:  "Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa".

Alangkah bahagianya rakyat jelata, jika ucapan yang sama lahir dari mulut pemimpin mereka. Alangkah deritanya rakyat jelata, jika pemimpin hidup mewah dan megah di puncak kuasa, sedangkan rakyat berpenat lelah menanggung kos hidup yang sengsara.

 Pemimpin disayangi rakyat, bukan kerana melihat rumah mereka yang bertingkat-tingkat, duit ringgit yang berlipat-lipat, kereta mewah yang berkilat-kilat, barang perhiasan dari negara barat atau majlis perkahwinan yang dahsyat.

Pemimpin disayangi apabila terserlah padanya nilai amanah dan keadilan.

Hak dan kebajikan rakyat diutamakan. Dalam hal ini, Umar bukan hanya bercakap manis ibarat menanam tebu di tepi bibir, tetapi beliau buktikan dengan tindakan.

Perhatikanlah kisah kehidupan di sekeliling kita. Banyak cerita yang membuatkan jiwa kita sebak dan mengalirkan air mata. Akibat kemiskinan, kesempitan dan kenaikan kos kehidupan. Ada ibu bapa yang terpaksa menatap penuh kesedihan nasib anak yang menanggung kesakitan.

Hendak dirawat tidak mampu kerana kesempitan wang. Ada anak-anak yang terpaksa berhenti sekolah kerana ibu bapa tidak mampu lagi menanggung kos persekolahan.

Ibu bapa mencuba sedaya upaya membahagiakan anak dengan melempar senyuman, Namun, di sebalik senyuman itu tersimpan keresahan dan keperitan bagi mencari rezeki buat menjamin kelangsungan kehidupan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lelaki ini bawa kura-kura bersiar-siar di sekitar bandar

TOKYO - JEPUN . Kebiasaanya kucing atau anjing menjadi haiwan peliharaaan yang dibawa bersiar-siar di luar, namun di Tokyo Jepun, seorang lelaki tua membawa kura-kura gergasi peliharannya berjalan-jalan di sekitar bandar.

Pasti ia memerlukan kesabaran yang sangat tinggi kerana spesis itu berjalan sangat perlahan.

Menurut penduduk Tsukishima, lelaki tua tersebut sering dilihat bersama-sama haiwan peliharaanya dan menganggap pemilik haiwan itu sudah bersama dalam jangka masa yang lama.

Beberapa gambar yang menjadi perhatian pengguna media sosial juga menunjukkan haiwan tersebut juga turut dipakaikan baju.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pelajar dipenjara kerana menggodam sistem komputer universiti

BIRMINGHAM - BRITAIN. Seorang pelajar Universiti Birminghams dipenjara empat bulan selepas didapati bersalah menggodam sistem komputer universiti berkenaan dan mengubah keputusan peperiksaannya.

Imran Udin, 25, menggunakan sebuah peranti khas untuk mencuri kata laluan kakitangan universiti berkenaan dan mengubah markah peperiksaannya kerana bimbang akan hanya memperoleh ijazah kelas kedua rendah.
Imran Udin dipenjara 4 bulan.

Beliau dipenjara di Mahkamah Birmingham Crown di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Pendakwaraya, Madhu Rai berkata, pelajar tersebut meletakkan peranti pada papan kekunci komputer dengan tujuan untuk mencuri kata laluan kakitangan universiti berkenaan.

“Kegiatannya itu terbongkar selepas dua kakitangan universiti yang menjalankan rutin penyelenggaraan komputer menemui peranti berkenaan di belakang papan kekunci komputer di bilik kuliah Fakulti Sains Bio.

“Pihak universiti kemudiannya memeriksa semua komputer dan kemudiannya menjumpai tiga lagi peranti serupa yang dipasang di belakang papan kekunci.

“Salah satu peranti tersebut diletakkan pada komputer kakitangan yang bertanggungjawab untuk mengisi gred peperiksaan,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati Imran telah menggodam sistem komputer dan menukar markah untuk lima kertas kerja kursus kepada peratusan yang lebih tinggi.

Salah satu markah kertas yang ditukarnya ialah dari 57 peratus kepada 73.6 peratus.

Polis kemudiannya menggeledah rumah pelajar berkenaan dan mendapati Imram pernah membuat carian tentang peranti berkenaan di laman internet.

Sementara itu, peguam bela Imran, Balbir Singh berkata, pelajar itu terpaksa melakukan perkara itu kerana tertekan dengan keluarganya yang mahukannya memperoleh keputusan yang cemerlang ditambah pula dia satu-satunya anak yang berjaya menyambung pelajaran ke universiti.

"Dia berada di tahun akhir dan kini digantung pengajian dan tidak mungkin mana-mana universiti akan mengambilnya selepas ini", katanya dipetik Mirror.uk.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kaum misteri di Lautan Andaman, orang asing yang pergi ke tempat mereka akan dibunuh

DARI udara pulau ini kelihatan sangat menakjubkan dengan keindahan pantai dan hutan namun tiada pelancong atau nelayan yang berani menjejakkan kaki ke pulau yang terletak berdekatan Laut Andaman.

Pulau Sintinel Utara terletak di Teluk Bengal dan kepunyaan negara India didiami oleh satu kaum  misteri kira-kira 60,000 tahun lalu.

Suku kaum misteri yang mendiami Pulau Sintinel Utara

Sesiapa yang mendekati kawasan terbabit pasti akan diserang oleh suku kaum misteri tersebut yang menolak peradapan moden dan lebih suka untuk tidak mempunyai hubungan dengan dunia luar.

Interaksi yang melibatkan mereka hanyalah melalui keganasan.

Pada tahun 2006, suku kaum tersebut telah membunuh dua lelaki yang memancing berdekatan perkampungan mereka malah suku kaum itu turut akan melemparkan batu dan anak panah kepada kapal terbang dan helikopter yang membuat tinjauan di kawasan berkenaan.

Pulau tersebut tidak tercemar dengan arus kemodenan namun tiada banyak maklumat yang diketahui mengenai warganya, bahasa dan upacara ritual yang diamalkan mereka.

Adalah sangat bahaya untuk  mendekati suku kaum tersebut kerana kesukaran mereka untuk menerima orang luar.

Gambar atau video tidak pernah dirakam secara dekat dan jika ada hanyalah gambar yang berjaya diambil dalam kualiti yang rendah.

Menurut Pengarah Survival International, Stephen Corry berkata, suku kaum itu dikenali sebagai "suku kaum zaman batu" dan merupakan suku kaum yang paling terpinggir di dunia di mana kerajaan India sendiri tidak masuk campur dalam urusan mereka.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Maut dipanah petir ketika mencari madu kelulut

JASIN - Dua maut manakala dua lagi cedera dipercayai akibat dipanah petir ketika mencari mereka madu kelulut di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Taman Muhibbah Merlimau di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kedua-dua mangsa Shahrul Nazrin Roslan, 24, dan Zul Effendi Abdullah, 23, meninggal dunia
di tempat kejadian kira-kira 4 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Manakala dua mangsa yang cedera iaitu Mohd Saad Md Rasul, 40, dan Shahnor Hafizi Shahmat, 26, dihantar ke Hospital Melaka.

"Ketika kejadian hujan lebat turun bersama angin kencang serta petir. Mangsa keluar pada jam 3.30 petang untuk mencari madu bersama bapa saudara mereka (bapa saudara Shahrul Nazrin dan Zul Effendi) serta adik lelaki Zul Effendi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, bapa saudara mangsa iaitu Nor Azman Bujang, 48, terlebih dahulu pulang ke rumah sebelum kejadian dan dimaklumkan tentang kejadian oleh adik lelaki Zul Effendi iaitu Mohd Nordin Azman, 11.

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau dimaklumkan kejadian itu oleh Mohd Nordin sebaik tiba di rumahnya di Jalan Paya Lengkung, Merlimau kira-kira 4.45 petang.

"Pada mulanya saya mengajak Mohd Nordin untuk pulang ke rumah kerana cuaca hampir hujan tetapi beliau minta saya balik dulu kerana dia hendak mencari madu bersama yang lain. Selepas hujan berhenti dia balik dan maklumkan mereka (mangsa) dipanah petir," katanya.

Beliau kemudian bergegas ke tempat kejadian dan melihat dari jauh semua mangsa telah terbaring dan mendapati Shahrul Nazrin serta Zul Effendi tidak lagi bernyawa.

Katanya kedua-dua anak saudaranya itu tiada pekerjaan tetap dan hanya bergantung kepada upah melakukan kerja kampung termasuk mencari madu kelulut. 

Sinar Harian

Baca lagi >>