Thursday, 23 April 2015

Pesawat terpaksa menjunam, pintu utama pesawat terbuka

CONNECTICUT - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah pesawat terpaksa menjunam hampir 28,000 kaki selepas pintu utama pesawat terbuka dan menyebabkan kehilangan tekanan udara dalam kabin, semalam.

Menurut Dailystar, penerbangan Skywest 5622 tersebut yang membawa 75 penumpang mendarat dengan selamat di New York pada jam 11.30 pagi waktu tempatan.


Sebelum itu, pesawat berkenaan berlepas dari lapangan terbang Bradley pada jam 9.30 pagi waktu tempatan.

Berdasarkan laporan ABC News dan NBC, pintu utama pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal.

Menurut jurucakap SkyWest, pesawat terpaksa dijunamkan untuk menstabilkan tekanan udara pesawat.

Saksi, Vanessa Bergmann berkata, tiga orang penumpang pengsan disebabkan insiden berkenaan.

"Mereka beritahu kami supaya bernafas dan bernafas, kemudian pesawat menjunam.

"Ia sangat menakutkan," jelas Bergmann.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Gunung berapi Calbuco di Chile meletus buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun

SANTIAGO - CHILE. Gunung berapi Calbuco yang terletak di selatan Chile meletus buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, menyebabkan amaran darurat dikeluarkan, semalam.

Menurut laporan AFP, letusan tersebut mengeluarkan awan abu seluas 10 kilometer.
Gunung berapi Calbuco di Chile meletus buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun

Arahan pemindahan dikeluarkan untuk penduduk yang tinggal 20 kilometer di sekitar kawasan letusan.

Pihak tentera juga mengambil alih bandar Llanquihue dan Puerto Octay sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, langkah-langkah kecemasan diambil oleh negara jiran Argentina untuk bersedia dengan kehadiran awan abu.

Laporan pihak berkuasa tempatan mengatakan bandar terbesar CHile di kawasan tersebut sudah ditutupi abu.

Sejumlah penerbangan dihentikan sementara dan sekolah-sekolah juga ditutup.

Sinar Harian

Baca lagi >>

16 tahun terpisah, akhirnya 3 beradik ini bertemu kembali

BREDA - BELANDA. Pasangan adik beradik ini tidak pernah berjumpa selama 16 tahun dan bertemu semula selepas berkenalan melalui sebuah aplikasi, Tinder.

Erik de Vries, 24, dan Josephine Egberts, 22, tidak bertemu sejak tahun 1992 selepas kedua ibu bapa mereka bercerai.
Erik de Vries, 24, and Josephine Egberts, 22

Bapanya membawa Erik dan kembarnya Maarten ke Belgium manakala Josephine pula tinggal bersama ibunya di Belanda.

Sebelum ini Erik dan Maarten pernah mencuba untuk mencari semula adiknya tetapi gagal dan usaha untuk mencari semula adiknya itu membuahkan hasil apabila Erik berpindah ke Belanda.

Tinder merupakan satu aplikasi yang membenarkan pengguna bertemu janji sekiranya kedua-duanya berminat terhadap satu sama lain.

Menurut Erik, pertama kali saya melihat profilnya dan berbual menerusi Tinder, saya langsung tidak mengesyaki bahawa kami mempunyai apa-apa hubungan.

Namun selepas beberapa kali berbual, Erik mula mengesyaki bahawa gadis yang berasal dari Breda itu berkemungkinan adiknya yang terpisah berdasarkan latar belakang yang diceritakan gadis itu.

Apabila menyedari mereka adalah adik-beradik, pasangan itu bersetuju untuk bertemu di sebuah kafe tempatan.

'Pertemuan ini adalah begitu istimewa apabila melihat darah daging sendiri selepas 16 tahun terpisah," kata Josephine.

Kembar Erik, Maarten turut terkejut dengan penemuan ini.

"Ia sesuatu yang sangat istimewa dan saya amat gembira bahawa saya kini dapat bertemu adik," katanya dipetik DailyMail.

Ketiga-tiga adik-beradik berkata mereka merancang untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama-sama.

Sinar Harian

Baca lagi >>

GearUp aksesori terbaharu untuk Axia dan Myvi

BAGI menyampaikan hasrat pelanggan yang inginkan tambahan aksesori unik untuk kenderaan mereka, Perodua melancarkan produk aksesori  dinamakan GearUp, baru-baru ini.

Ia sebagai pilihan tambahan bagi Perodua Axia baharu dibeli dan juga kepada pelanggan sedia ada yang ingin tambahan aksesori kereta mereka!


Aksesori ditawarkan termasuk untuk bahagian luar dan dalam. Dikatakan sesuai untuk semua rakyat Malaysia, dengan harga pakej bermula dari RM260 ke RM3,600.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, entiti baharu ini memenuhi keperluan untuk melengkapkan rasa unik kepada pelanggannya.

Menurutnya, nama GearUp dipilih kerana ia menyeru kepada para pelanggannya untuk mengambil tindakan dan menaik taraf model Perodua kegemaran mereka mengikut cita rasa masing-masing.

Buat masa ini aksesori untuk Axia diperkenalkan April ini dan Myvi pada Mei 2015, manakala model lain pada fasa akan datang.

“Pelanggan boleh meminta aksesori kenderaan Perodua mereka dan kosnya boleh termasuk dengan pakej sewa beli. Kos tambahan akan mempunyai kesan minimum pada bayaran bulanan.

“Perodua turut menyediakan jaminan perlindungan aksesori ini dari segi kualiti dan keselamatan," katanya.

Aksesori juga boleh didapati dalam pakej khas. Pelanggan boleh menikmati harga lebih baik (tidak termasuk kos buruh dan GST) melalui pakej aksesori.

Terdapat juga harga pengenalan serendah RM2,200 untuk pelanggan antara 16 April dan 31 Ogos  ini.

Aksesori boleh didapati di 182 pusat jualan dan 183 pusat perkhidmatan Perodua seluruh negara bermula 17 April.

Bagi bahagian luar, kit badan diberikan pada bampar dan gril hadapan, bampar belakang dan juga skirting sisi.

Untuk dalaman, Perodua menawarkan trim pintu baharu dan balutan tempat duduk berbentuk diamond atau honeycomb dengan jahitan merah.

Terdapat juga pakej Driving Comfort, selain 9 pakej bagi Perodua Axia yang boleh dipilih untuk dibeli secara berasingan bagi pakej kit badan, pakej bahagian dalaman, dan pakej penebat. Pakej kombo turut ditawarkan.

Untuk Perodua Axia 1.0 E & 1.0 G, aksesori ditawarkan ialah Elegant GearUp Bodykit – Kit grill dan bampar hadapan, kit bampar belakang dan skirting sisi; Stylish GearUp Interior – balutan tempat duduk reka bentuk diamond. Trim pintu dengan kemasan sulaman berkembar berwarna kelabu, manakala GearUp Driving Comfort – penebat bunyi dan haba pada pintu dan bonet.

Bagi Perodua Axia 1.0 SE & 1.0 Advance pula, Sporty GearUp Bodykit – Kit grill dan bampar hadapan, kit bampar belakang dan skirting sisi; Trendy GearUp Interior – Balutan tempat duduk reka bentuk honeycomb. Trim pintu dengan kemasan sulaman berkembar berwarna merah; GearUp Driving Comfort – Penebat bunyi serta haba pintu dan bonet.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Alhamdulillah akhirnya pakcik ini berjaya diselamatkan setelah lebih 3 jam berada di atas pokok kelapa

BACHOK – Seorang nelayan terpaksa menunggu lebih tiga jam di atas pokok kelapa setinggi 15 meter dan terpaksa melupakan hasrat untuk minum air kelapa muda apabila dia tidak dapat turun dari situ dipercayai akibat sesak nafas.

Shamsudin Husin, 52, dari Kampung Changgong berkata, ketika jam baru sahaja menunjukkan 12 tengahari dan dia baharu sahaja pulang dari menangkap ikan di laut.

Dia kemudiannya memanjat pokok kelapa yang terletak beberapa meter dari rumahnya untuk mendapatkan kelapa muda untuk dijadikan santapan tengahari bersama nasi.

“Saya hanya sempat jatuhkan sebiji kelapa sahaja sebelum rasa sesak nafas dan kaki kejang. Seluruh anggota badan saya rasa lemah dan saya tak dapat turun.

“Kemudian saya menjerit maklumkan budak- budak di bawah untuk minta bantuan. Dua remaja iaitu Zahasmi Zamburi,20, dan Fadil Ismail,22, naik ke atas untuk membantu. Mereka naik berikan saya nasi dan air.

Saya makan di atas pokok sementara menunggu bomba datang. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak bomba dari Kota Bharu yang datang selamatkan saya tadi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Shamsudin berkata, sebelum ini dia tidak pernah memanjat pokok kelapa itu dan kali ini hatinya tergerak untuk memanjat sendiri pokok bagi mendapatkan kelapa muda.

Difahamkan, Shamsudin yang tinggal sendirian di sebuah rumah berdekatan pantai Kampung Changgong itu adalah penghidap darah tinggi dan gastrik.

Manakala, operasi menyelamatkan mangsa dilakukan pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin Senawi bersama 10 anggota.

Dua buah jentera termasuk Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) digunakan bersama peralatan tangga dan tali menyelamat untuk membawa turun mangsa.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wow! Kutipan filem Fast and Furious 7 mencecah RM4.15 bilion

KUTIPAN filem Fast and Furious 7 yang menampilkan lakonan terakhir Paul Walker kini dilaporkan mencecah $1.153 bilion (RM4.15 bilion).

Sehingga hujung minggu lalu filem tersebut dikatakan berjaya mengutip $29.1 juta (RM104.65 juta) lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak $294.4 juta (RM 1058.72 juta), lapor Hello Daily News.

Filem tersebut juga dikatakan memecahkan rekod sebagai filem terpantas yang berjaya mengutip $1 bilion (RM3.6 bilion) di panggung wayang.

Filem yang dicategorikan sebagai ‘filem pecah panggung’ ini berjaya mengalahkan karya unggul lain seperti filem Harry Potter and The Deathly Hallow, Avatar dan The Avenger.

Fast and Furious 7 kini tersenarai antara tujuh filem terulung abad ini.

Filem tersebut dibarisi pelakon popular seperti Vin Diesel, Dwayne Johnson, Jordana Brewster, Michelle Rodriguez, Lucas Black, Chris Bridges, Tyrese Gibson, Tony Jaa, Jason Statham; malah turut mempamerkan persembahan terakhir Paul Walker.

Bintang utama Fast and Furious, Walker maut dalam kemalangan tragik pada 1 Disember 2013.

Kereta mewah yang dipandu oleh rakannya dikatakan terbabas sebelum meletup dan terbakar; dipercayai akibat dipandu laju.

Filem Fast and Furious 7 merupakan legasi terakhir Walker sebelum maut dalam kemalangan tersebut.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Makan mi goreng dengan coklat boleh sebabkan kematian?

Auta

SATU mesej viral tersebar di media sosial, baru-baru ini mengenai seorang wanita kononnya mati secara mengejut kerana memakan mi goreng secara berlebihan yang disusuli dengan memakan coklat.

Menurut mesej itu, selepas diselidik, wanita itu didapati meninggal dunia kerana racun arsenik pentoksida, yang dikatakan terdapat dalam mi goreng.

Mesej viral yang tersebar.

Arsenik pentoksida itu dikatakan menyebabkan reaksi kimia di dalam perut yang berubah menjadi arsenik trioksida yang sangat beracun sehingga menyebabkan hati, jantung, ginjal, pembuluh darah rosak dan melebar serta usus berdarah.

"Jadi hati-hati, apabila memakan mi goreng, mi kering dan mi soto, jangan makan coklat pada waktu yang sama," menurut mesej itu.

Fakta

Memakan mi goreng dan coklat dalam waktu yang sama tidak akan menyebabkan kematian seperti didakwa dalam mesej berantai yang disebarkan di media sosial.

Pakar Toksikologi, Keselamatan dan Terapi Makanan di Jabatan Sains Pemakanan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Norazlanshah Hazali berkata, walaupun arsenik pentoksida disahkan sangat bahaya dan boleh menyebabkan kematian jika dimakan, bahan kimia itu tidak berada di dalam mi goreng atau mana-mana kandungan makanan lain.

Katanya, arsenik pentoksida merupakan gabungan bahan kimia yang terhasil akibat tindak balas beberapa bahan kimia lain.

"Ia selalunya digunakan di dalam makmal untuk kajian dan tidak mudah dibeli kerana ia merupakan bahan kimia yang dipantau," katanya kepada Sinar Harian.

Norazlanshah turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai mesej viral seumpama itu serta menyebarkannya tanpa sebarang pengesahan.

"Sebaliknya, orang ramai perlu mencari saluran yang betul dengan merujuk kepada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>