Wednesday, 22 April 2015

40 buah rumah musnah dilanda ribut di Kepala Batas

KEPALA BATAS - Sebanyak 40 rumah dan puluhan pokok tumbang dalam kejadian ribut di Penaga, di sini, malam tadi.   

Adun Penaga, Mohd Zain Ahmad berkata, antara kampung terlibat dalam kejadian pada 9.30 malam itu ialah Kampung Seri Pantai, Permatang Tok Labu, Permatang Tok Brain dan Permatang Janggus.    
Gambar hiasan
"Saya akan memohon bantuan untuk membaiki rumah-rumah mangsa ribut itu daripada Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.    

Seorang penduduk Kampung Seri Pantai, Sarimah Ismail, 50, berkata, kejadian itu menyebabkan bumbung rumahnya tercabut mengakibatkan air hujan mencurah  masuk ke dalam rumah.   

"Saya tengah masak di dapur, tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat diselangi bunyi seolah-olah pokok tumbang," kata ibu tunggal itu.    

Bahiyah Ismail, 41, pula berkata banyak peralatan rumah terutama barangan elektrik rosak akibat terkena air hujan selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang.    

"Ribut itu berlaku lebih kurang 10 minit, memang tak sempat nak buat apa-apa. Kami sekeluarga hanya fikir untuk selamatkan diri sahaja," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Arab Saudi teruskan serangan udara di Yaman

SANAA - YAMAN. Arab Saudi menyambung serangan udara di Yaman, kurang 24 jam selepas mengumumkan tamatnya operasi 'Decisive Storm' yang berlangsung hampir sebulan, semalam.

Meriam anti-pesawat membalas serangan udara Arab Saudi, Jumaat lepas. - Foto AP

Menurut CNN, serangan diteruskan selepas pemberontak Houthi menyerang satu briged tentera kerajaan, hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini melancarkan serangan udara terhadap lokasi pihak pemberontak Houthi dengan harapan untuk menghancurkan mereka.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bicara Minda: Hudud Dari Kaca Mata Tuan Guru Haji Abdul Hadi

SELEPAS pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) diluluskan sebulat suara pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan bulan lalu, isu hudud ini terus hangat diperkatakan.

Ini merupakan kali kedua undang-undang yang lebih dikenali dengan hukum hudud itu diluluskan di dewan tersebut selepas kali pertama dibawa pada 1993.

Kesemua 44 Adun iaitu 31 daripada Pas, 12 Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada PKR hadir ketika enakmen tersebut diluluskan.

Hukum hudud yang diperjuangkan Pas sejak sekian lama ini bagaimanapun ditentang oleh rakan komponennya, DAP dan PKR, menyebabkan hubungan di antara ketiga-tiga parti itu makin keruh.

Ikuti penjelasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan berkongsi tentang hudud dari kaca mata beliau dalam program “Hudud Dari Kaca Mata Hadi” dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian.

Abdul Hadi berucap pada program Bicara Minda, "Hudud Dari Kaca Mata Hadi"
di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, hari ini.
- Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN


Ikuti kronologi perjalanan Bicara Minda bersama Abdul Hadi di sini dan Twitter rasmi Sinar Online:

2.40 petang: Orang ramai mula memenuhi Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) bagi mengikuti program Bicara Minda bersama DS Abdul Hadi Awang.

2:50 petang: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baharu sahaja tiba di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

2.57 petang: Abdul Hadi melangkah masuk ke pentas Auditorium Karangkraf. Program akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja.

3.00 petang: Abdul Hadi sudah berada di pentas utama. Pusingan pertama Bicara Minda akan dimulakan sebentar sahaja lagi.

3.01 petang: Bicara Minda bersama Abdul Hadi bermula. Moderator ambil tempat.

3.05 petang: Moderator memulakan program. Sifatkan Umno turut teruja dengan hudud. Mungkin tidak lama lagi akan wujud hudud Umno dan Pas, barangkali wujud hudud Tun M sahaja.

3.12 petang: Abdul Hadi mulakan dialog. Hudud merupakan hukum syariah kita (Islam). Islam adalah Ad-din. Menjelaskan makna hudud, Abdul Hadi berkata, hudud merangkumi seluruh aspek naluri atau fitrah semula jadi manusia antara ALLAH, manusia lain, alam sekeliling dan dunia akhirat.

Dalam syariah ada keluarga, ibadat, jenayah, politik, ekonomi dan sosial. Hudud adalah salah satu salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah Islam.

3.17 petang: Menurut Abdul Hadi,  hudud berkait dengan hukuman ALLAH. Hukuman itu hanya dijatuhkan kepada yang melakukan zina, merompak, mencuri, meminum arak dan lain-lain kesalahan berat.

3.20 petang: Malah tegas Abdul Hadi, hudud bukan milik Pas, bukan juga milik Umno. "Siapa yang kata begitu tidak faham hudud sebenarnya," katanya.
Jelas Abdul Hadi, empat saksi yang dituntut perlulah beriman dan berakhlak. Jika tuduhan yang dibuat tidak benar, maka jatuh hukum ke atas saksi-saksi tersebut.

3.27 petang: Abdul Hadi berkata, "RUU yang dibentang adalah untuk hapus hukuman sedia ada dan digantikan dengan hukuman yang lebih sesuai. RUU tersebut hanya meliputi hukuman sebat".

3.32 petang: Pusingan kedua. Menurut Abduk Hadi lagi, Pas sudah lama bawa hudud iaitu sejak 1957.

"Pas sabar, ramai orang Islam hina hudud. Pas sabar didik masyarakat. Sebelum bawa kepada kerajaan negeri Kelantan, kami bentang dulu kepada umum, jemput semua parti politik, NGO Islam dan bukan Islam".

3.40 petang: Menurut Abdul Hadi, Pas menggunakan pendekatan yang kecil dahulu untuk menentang kemungkaran.

"Pas 21, PKR 15, Umno tambah sudah cukup majoriti untuk laksanakan hukum syariah ke peringkat yang lebih tinggi. Orang Islam akan jadi model kerana takut undang-undang dan akhirnya mereka akan ikut Islam".

3.44 petang: Kata Abdul Hadi, "Pas boleh laksana RUU hudud sebab telah memenuhi 5 syarat itu, berdasarkan konsep sebuah negara".

3.45 petang: Moderator tanya Abdul Hadi, sejauh mana hubungan diplomasi Malaysia memasarkan ideologi hudud.

3.48 petang: Menjawab mengenai persoalan moderator sejauh mana hubungan diplomasi Malaysia memasarkan hudud, Abdul Hadi berkata, "saya lihat kesilapan negara dan dunia hari ini dalam memasarkan ideologi hudud".

3.56 petang: Sesi soal jawab bermula. Peserta program Bicara Minda bertanya Abdul Hadi, "bagaimana hendak jawab bila ada pihak buat andaian maqasid dan hudud berlaku pertembungan?"

4.00 petang: Jelas Abdul Hadi, keta tahu bezakan hudud dan maqasid.

"Maqasid itu hikmat. Maqasid untuk jaga harta, keturunan, akal. Kenapa jatuhkan hukum pada yang minum arak? Akal yang mulia sepatutnya guna untuk cari ilmu bukan rosakkan dengan minum arak.

4.03: Peserta tanya Abdul Hadi, PR tak setuju hudud. Patut terangkan pada rakan dalam PR hudud itu indah.


Jawab Abdul Hadi, "mereka takut kalah PRU. Kita tak kisah kalah PRU. Janji rakyat aman. Bukan soal PRU sahaja".

4.10 petang: Peserta tanya Abdul Hadi, adakah golongan atasan seperti Raja, Perdana Menteri dan Menteri Besar akan kena hudud juga?

"Adakah yakin Umno akan sokong hudud? Sedangkan mereka terang-terangan curi duit rakyat," tanya peserta itu.

Peserta turut bertanya, PKR jelas tolak hudud, di Permatang Pauh, nak undi siapa?

4.12 petang: Menjawab soalan itu, Abdul Hadi berkata, "tak perlu sebutlah menteri, raja, kena potong (tangan). Kalau mencuri cukup nisab saja, tak kira siapa. Atasan, bawahan, lemah atau kuat. Tak perlu sebut.

"....kalau lepas di dunia, tak akan terlepas di akhirat. Kalau dihukum di dunia, akan terlepas di akhirat. Begitu juga kalau dia taubat sebelum mati. Terlepas".

4.19 petang: Seorang lagi peserta tanya Abdul Hadi, matlamat bendung zina mungkin tidak tercapai.

Jawab Abdul Hadi, "hikmat undang-undang Islam hanya akan dapat dilihat selepas dilaksanakan. Keruntuhan moral yang berlaku hari ini akan berkurangan sebanyak-banyaknya.

4.25 petang: Seorang lagi peserta bertanya kepada Abdul Hadi, kenapa tidak bawa hudud ketika PR menang nanti.

Menjawab persoalan itu, Abdul Hadi berkata, "kena sedar bahawa kena buat dulu. Ada benda yang kena buat dulu, ada yang boleh tunggu.

"Ulama kita kata tak dapat laksana semua, jangan tinggalkan semua pula. Jadi, kita buat separuh itu dulu. Rasuah tak termasuk dalam mencuri. Curi ada takrif iaitu ambil harta orang dari tempat simpanan orang itu. Rasuah lain. Hukumannya lain. Dua-dua itu salah.

4.30 petang: Seorang lagi peserta tanya Abdul Hadi, apakah hukuman kalau terbukti sertai IS.

"Nak bina negara bukan boleh pasang atap dan duduk di bawah atap itu. Kena cari tapak kukuh. Nak jihad pun ada fekah.

4.35 petang: Peserta tanya Hadi, tokoh agama tak sependapat dalam isu hudud Kelantan. RUU persendirian seolah-olah akan terus diketepikan.

Jawab Abdul Hadi, "mesti faham, jangan kata hudud tak sesuai. Ini ketentuan ALLAH. Macam buat haji. Kita tak ada duit kita kata tak sesuai. Tak ada duit itu masalah lain. Hudud itu kena usaha buat dulu".

4.40 petang: Mengenai soalan nak undi siapa di Permatang Pauh, Abdul Hadi jawab, "tunggu malam mengundilah. Tak boleh jawab lagi".

4.45 petang: Berakhir sudah Bicara Minda bersama Abdul Hadi dengan tajuk "Hudud Dari Kaca Mata Hadi".

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kantoi merompak guna pistol mainan

ITANHAEM - BRAZIL. Dua orang lelaki ditahan polis kerena cuba merompak seorang wanita menggunakan pistol mainan, Ahad lalu.

Menurut Alfa Beta Juega, dua perompak berkenaan berjaya merompak seorang lelaki lain sebelum ditahan.


Polis kemudian menyedari logo permainan video Playstation pada pistol berkenaan.

Menurut polis, suspek membalut pita pelekat hitam pada pistol berkenaan untuk menyembunyikan logo dan memotong beberapa bahagian untuk menyerupai rupa pistol sebenar.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Senarai kegagalan Datuk Seri Najib - Tun M

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk menggariskan beberapa perkara yang didakwa sebagai ‘kegagalan’ pemimpin nombor satu negara itu.

Menurut Dr Mahathir, meskipun kegagalan pembinaan jambatan bengkok satu episod yang memalukan, namun ia bukan alasan yang cukup untuk beliau menggesa Najib meletakkan jawatan.


“Sesetengah pihak percaya saya sangat marah kerana pembinaan jambatan bengkok gagal sehingga mahukan Najib letak jawatan. Ya, saya kecewa terutama apabila Najib merayu kepada Singapura untuk membina jambatan dan ia ditolak. Ia memalukan kerana kita tidak berani bina jambatan di negara sendiri tanpa kebenaran Singapura.

“Episod memalukan ini tidak cukup untuk saya menggesa Najib letak jawatan. Najib anak kepada (Allahyarham) Tun Abdul Razak, orang yang bertanggungjawab dalam kenaikan saya sebagai Perdana Menteri.

“Itu sebahagian alasan dan alasan lain sebab Najib menunjukkan prestasi yang baik ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya mahu Najib menjadi Perdana Menteri dan orang tahu saya bekerja keras menekan Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk mengangkat Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya Najib boleh menjadi Perdana Menteri selepas Abdullah,” katanya.

Menurut beliau lagi, sejak menjadi Perdana Menteri, Najib gagal dalam projek pembinaan landasan kereta api berkembar elektrik dari Johor ke Padang Besar, Perlis yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Tapi Najib gagal dalam banyak perkara selepas menjadi Perdana Menteri. Selain jambatan, dia juga tidak meneruskan landasan kereta api berkembar yang telah dipersetujui namun dibatalkan Abdullah.

“Dengan RM 14 bilion, kita sepatutnya telah siapkan projek ini pada 2010. Sebaliknya atas desakan permintaan, dia benar penyambungan trek kereta api itu untuk RM12 bilion. Kita habis banyak duit.

“Kemudian, dia mula merekrut empat tingkat pegawai ditambah dengan pegawai British untuk menasihatkannya bagaimana untuk mentadbir negara. Mereka juga menggunakan konsultan asing yang menelan kos lebih RM7 bilion. Kita capai kemerdekaan pada 1957 dan hapuskan penasihat British. Kita lakukan lebih baik tanpa mereka. Najib nampaknya tak percaya kebolehan rakyat Malaysia untuk membangunkan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh soal pengabaian Najib terhadap khidmat kakitangan awam yang sentiasa setia kepada kerajaan BN namun kini, ramai yang tidak lagi menyokong kerajaan.

“Mengabaikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan jabatan kerajaan yang lain, dia mewujudkan agensi baru untuk merancang pembangunan negara ini. Agensi itu diketuai oleh bukan kakitangan awam dan gajinya jauh lebih tinggi daripada kakitangan awam.

“Kakitangan awam sangat tidak gembira. Sebelum ini mereka ubah negara ini daripada negara membangun kepada negara berpendapatan pertengahan. Sekarang, khidmat, kepakaran dan pengalaman mereka tidak lagi diperlukan. Dulu mereka setia dengan kerajaan, sekarang ramai yang tidak lagi menyokong kerajaan. Malah ada sebahagian yang menyertai pembangkang selepas bersara dan menjadi calon dalam pilihan raya,” katanya.

Malah dalam catatan sama, Dr Mahathir turut menyentuh soal slogan 1Malaysia yang dilaungkan Najib yang didakwanya diambil daripada pembangkang dan keputusan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas desakan pembangkang serta membebaskan tahanan menyebabkan jenayah semakin meningkat.

“Kemudian, dia mula beri duit kepada rakyat bukan setakat kepada individu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan tetapi juga kepada pertubuhan dan sektor korporat. Berbilion ringgit dihabiskan di sini. Kemudian himpunan dianjurkan dalam setiap majlis.
“Penganjur diarahkan untuk mengumpul 10,000 orang. Mereka diberi makan dan elaun serta pengangkutan. Mereka diberikan plakad untuk dipegang dengan tulis ‘I Love PM’ malah lagu 1M4U turut dihasilkan dan dinyanyikan di perarakan hari kebangsaan,” tulisnya.

Penolakan sokongan kaum Cina terhadap Najib jelas dizahirkan dalam PRU13 yang menyebabkan keputusan itu lebih buruk daripada zaman Abdullah.

Dr Mahathir turut mendakwa, orang Melayu pun tidak sokong Najib, malahan selepas Najib mengambil alih Umno, keputusan di Selangor lebih buruk daripada 2008.

“Orang Melayu undi BN sebab mereka takut Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan mengangkat Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. Selepas semua ini, saya teruskan sokong Najib. Dalam beberapa majlis saya berjumpa beliau dan memberitahu bahawa strateginya silap tapi pandangan saya diabaikan.

“Saya katakan sebelum PRU13 bahawa jika prestasinya lebih buruk daripada Abdullah, dia patut letak jawatan. Saya menaruh harapan tinggi untuk dia buat lebih baik daripada Abdullah. Apabila dia gagal, saya beritahu rakyat bahawa mereka patut terus sokong dia.

“Tapi sekarang, dengan kontroversi yang mengekorinya, saya pasti BN akan kalah jika dia terus memimpin dalam pilihan raya akan datang. Banyak tingkah lakunya yang saya fikir tidak betul tapi saya sudah bersedia untuk mengabaikannya termasuk gaya hidup dia dan isterinya yang mewah.

“Tapi apabila dia gagal menjelaskan ke mana hilangnya berbilion ringgit dan penglibatannya dalam orang-orang yang dipersoalkan dalam pengurusan 1MDB, saya merasakan bahawa dia tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri negara ini. Saya akan jelaskan soal kehilangan berbilion ringgit ini dalam catatan akan datang,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ibu tunggal yang merompak menangis mohon diringankan hukuman ke atasnya

KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal beranak dua menangis dalam kandang orang salah ketika merayu supaya hukumannya terhadap kesalahan merompak bersenjata diringankan, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. 

Wanita berasal dari Kuantan itu dihukum penjara enam tahun selepas mengaku salah atas tuduhan bersama seorang yang masih bebas merompak dengan bersenjatakan pedang dan pistol ke atas pemilik butik pengantin, Nor Asuwah Ibrahim, 48.

Kejadian berlaku di sebuah rumah kedai di Kampung Landak, Jalan Padang Tembak pada jam 10.05 malam, 21 Julai tahun lalu.

Pada prosiding itu, Sumiyyah Razali, 23, menangis merayu Hakim, Mohd Yusoff Yunus supaya meringankan hukuman yang bakal diputuskan dengan alasan dia mempunyai dua anak yang masih kecil dan sudah bercerai dengan bekas suami, empat tahun lalu.

“Anak-anak saya sekarang tinggal dengan keluarga. Saya berada bersama suspek ketika kejadian itu dan saya mohon jasa baik tuan kurangkan hukuman saya,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Sumiyyah hadir ke mahkamah berbaju kurung dan bertudung merah jambu. Tiada keluarga kelihatan di mahkamah itu. 

Dalam kejadian lalu, tertuduh bersama seorang lagi rakannya masuk ke dalam butik berkenaan dengan memakai telekung sembahyang dan berpura-pura melihat busana pengantin. 

Sumiyyah mencuba busana itu, manakala rakannya keluar dan masuk semula bersama seorang lelaki dengan bersenjata pistol serta pedang.

Mereka merompak mangsa dengan melarikan barangan kemas, beg tangan berjenama dan jubah yang dijual, beg tangan mangsa mengandungi pelbagai kad berserta wang tunai RM150 juga cermin mata yang keseluruhan barang rompakan itu bernilai RM20,000.

Hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan pada 9 Ogos 2014. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nordalina Ali.

Pada 9 Mac lalu, rakan tertuduh, Nurul Suhada Jusoh, 27, yang juga ibu tunggal empat anak turut dihukum penjara enam tahun enam bulan atas kesalahan sama. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pasangan kembar jalani pembedahan untuk nampak lebih seiras

PERTH - AUSTRALIA. Sepasang kembar menghabiskan lebih USD 250,000 (RM910,725) untuk nampak lebih seiras antara satu sama lain.

Menurut International Business Times, Anna dan Lucy DeCinque, 28, menjalani pembedahan buah dada, pembesaran bibir dan juga memasang tatu kening untuk mendapatkan penampilan serupa.

Anna dan Lucy (bawah) sebelum pembedahan. Anna dan Lucy (atas) selepas pembedahan plastik.

Menurut sebuah ujian, komputer juga gagal menemui perbezaan antara Anna dan Lucy.

Anna dan Lucy telah diberikan gelaran kembar paling seiras di dunia menerusi satu rancangan di Jepun.

"Ia (gelaran) telah dibuktikan di Jepun. Mereka memberikan cabaran dan kami berjaya buktikan kami kembar paling seiras di dunia," kata Anna dan Lucy dalam satu temuramah.

Kembar tersebut juga memberitahu, mereka memakan jumlah dan jenis makanan yang sama, tidur di katil yang sama dan tidak pernah meninggalkan antara satu sama lain.

Anna dan Lucy yang tinggal bersama ibu mereka juga berkongsi teman lelaki yang sama.

"Kami sentiasa bersama, jadi lebih senang jika kami berkongsi teman lelaki yang sama," jelas kembar tersebut.

Sinar Harian

Baca lagi >>