Tuesday, 14 April 2015

Dengan menggunakan peralatan ini, pengusaha mampu menghasilkan roti jala dalam kuantiti yang banyak

Roti jala bukan sahaja antara makanan popular di negara ini malah satu daripada 100 makanan warisan tempatan.

Makanan tersebut sering dihidangkan dalam majlis keraian dan musim perayaan khas seperti hari raya atau pada bulan Ramadan.


Proses pembuatan roti jala secara konvensional amat merumitkan lebih-lebih lagi jika perlu dihasilkan dalam kuantiti yang besar.

Antara cabaran lain untuk menghasilkan kuih jala adalah untuk membentuknya ketika dimasak juga memerlukan tenaga mahir selain bentuknya yang tidak sekata.


Bagi mengatasi permasalahan tersebut, seorang penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Saiful Azwan Azizan berjaya mencipta sebuah mesin pembentuk kuih roti jala.

Jelas Saiful Azwan, menerusi ciptaan tersebut segala isu berkaitan pembuatan roti jala seperti kekurangan tenaga mahir, saiz yang tidak konsisten, kadar pengeluaran yang rendah, proses yang memenatkan, kurang bersih serta kualiti produk yang rendah dapat diatasi.


“Mesin yang dicipta ini terdiri daripada dua komponen utama iaitu tangki adunan unik yang bergerak secara berputar serta kuali pemanas berkuasa elektrik.

“Kedua-dua mesin ini dijana menerusi kuasa pneumatik (kuasa angin),” katanya ketika di temui di Serdang, Selangor baru-baru ini.


Mesin pembentuk kuih roti jala tersebut berpotensi membantu meningkatkan pendapatan usahawan industri kecil sederhana (IKS) terutamanya mereka yang mengusahakan produk makanan sejuk beku, perkhidmatan sajian makanan dan usahawan kiosk.

Tambah Saiful Azwan, satu lagi kelainan mesin tersebut adalah ia menggunakan hanya satu lengan yang memegang tangki adunan berkapasiti satu liter yang berputar secara rawak untuk membentuk roti jala.


Dalam pada itu, rekaan tersebut juga terdiri daripada motor untuk menggerakkan tangki adunan, pengawal kelajuan putaran, penetap masa untuk pemprosesan dan kuali bulat tahan karat.

Mekanisme buka dan tutup tangki adunan pula dikawal oleh penderia khas dan kuali bulat setiap satu (terdapat dua) berdiameter seluas 300 milimeter (mm) setiap satu yang boleh bergerak dari kanan ke kiri semasa memasak roti jala secara berterusan.


Utusan

Baca lagi >>

Pesawat masa depan, penumpang boleh nikmati pemandangan luar pesawat

PARIS 1 April - Penumpang kapal terbang pada masa depan, berpeluang menikmati pemandangan alam semulajadi dari udara selepas syarikat pembuat kapal terbang, Airbus memfailkan paten tingkap dan skrin interaktif bagi menjadikan perkara itu sebagai kenyataan.

Hak itu difailkan Airbus kepada Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (AS) pada 19 Mac lalu.
Menurut portal pelancongan global, Skift yang dipetik Mail Online, penumpang hanya perlu menyentuh tingkap berteknologi tinggi itu bagi mengetahui maklumat lokasi menarik di sesebuah kawasan yang dilalui pesawat dinaiki mereka.

Tingkap pintar yang dipatenkan Airbus membolehkan penumpang menikmati pemandangan
sambil berbaring di kerusi pesawat. AGENSI 

Matlamat syarikat itu adalah bagi mewujudkan platform pemandangan menarik untuk penumpang pesawat.
Imej yang disiarkan Airbus menunjukkan, sesebuah pesawat akan dilengkapi dengan dinding lutsinar sebelum dipasang dengan teknologi skrin sesentuh.

Penumpang akan mempu­nyai ruang yang mencukupi untuk meregangkan badan sambil menikmati pemandangan luar dengan kerusi yang membolehkan mereka berbaring.

Pesawat masa hadapan itu bakal menggantikan kabin penumpang kelas pertama, perniagaan, dan ekonomi dengan zon untuk santai berada di hadapan, bekerja di belakang, serta dilengkapi zon yang mempunyai bar bagi bersosial.

Selain itu, dinding pesawat akan berubah berdasarkan kea­daan cahaya dengan paparan permainan dan hiburan dalam pesawat dikuasakan oleh haba daripada badan penumpang.

Paten itu dikemukakan selepas Airbus berkongsi rancangan tentang sebuah konsep pesawat dilengkapi tingkap panorama yang mampu menjangkau sehingga bumbung kapal terbang, manakala konsep kabin pesawat pula akan menjadi struktur bio­nik yang meniru kecekapan tulang burung.

Utusan

Baca lagi >>

Sadis, budak tiga tahun tertembak bayi

OHIO - AMERIKA SYARIKAT. Seorang budak lelaki berusia tiga tahun di Cleveland tertembak mati seorang bayi berusia 12 bulan semalam apabila pistol yang dipegangnya dihalakan ke muka bayi berkenaan lapor media AS.


Memetik laporan polis, para penyiasat masih cuba mengenalpasti di mana kanak-kanak tersebut menemui pistol berkenaan dan siapa yang meninggalkan pistol berkenaan tanpa jagaan. 

Bayi malang tersebut dikejarkan ke hospital namun tidak dapat diselamatkan.

Ibu bayi berkenaan mendegar jeritan di anjung belakang dan kemudian dia diberitahu anaknya mati ditembak.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ketahuilah bahawa gaji Ahli Dewan Negara paling rendah di dunia

Presiden Majlis Senator Malaysia, Tan Sri Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, jumlah kenaikkan gaji Ahli Dewan Negara daripada RM7,000 kepada RM11,000 sebulan yang telah diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini adalah wajar kerana tangga gaji tersebut  disifatkan sebagai  paling rendah di dunia (bagi Ahli Dewan Negara).

Jelasnya kenaikan gaji itu sememangnya patut kerana pihaknya tidak meminta tangga gaji yang 'bukan-bukan'.

Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman

"Kita tidak akan minta apa yang tidak berpatutan tetapi hanya mahu mengatakan gaji Ahli Dewan Negara adalah yang terendah di negara kalau nak dibandingkan dengan Kemboja  sebagai contoh.

"Oleh itu boleh saya saya katakan gaji yang diterima Ahli Dewan Negara adalah paling rendah di dunia," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Katanya, keputusan kenaikan gaji tersebut merupakan hasil daripada persetujuan Parlimen dengan mengambil kira sumbangan yang diberikan kepada negara.

"Ini kena mengena dengan ahli-ahli dewan negara jadi saya minta maaf tidak dapat beri jawapan sebab kita di sini untuk memberi sumbangan kepada negara kalau kerajaan fikir berpatutan itu dengan persetujuan Dewan Rakyat.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan kenaikan gaji dan elaun ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara termasuk Speaker dan Timbalan Speaker mencecah 40 peratus.

Kenaikkan itu akan memberi tambahan kepada belanjawan negara sebanyak RM17.2 juta setahun.

Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 itu telah diluluskan di Parlimen.

Perkara itu dipersetujui oleh kesemua ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang selepas dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sinar Harian

Baca lagi >>

PDRM tak akan berkompromi dengan mereka yang menyentuh sensitiviti kaum lain

Amaran sudah diberi, namun masih terdapat segelintir individu yang cuba membangkitkan kemarahan rakyat berbilang agama di negara ini.

Terbaharu, seorang individu yang menggelar dirinya sebagai Azreen ATB di laman sosial Facebook, memuat naik status mengajak orang ramai menghalau penduduk yang menganuti agama hindu agar keluar dari negara ini.

Status di Facebook yang dipercayai menyentuh sensitiviti keagamaan di negara ini.
Beliau juga didapati mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membakar kuil di negara ini termasuk di Batu Caves.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu bakar berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terbabit.

“Banyak kali sudah diingatkan, jangan cuba mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum lain, termasuk agama.

“Siapa pun individu berkenaan, kita akan siasat dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba membangkitkan isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keamanan negara ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Geng Cuci Masjid. Tahniah anak muda!

KEMAMAN - Kagum dengan keikhlasan hati 'geng cuci masjid', ramai kenalan Facebook mereka yang berada di daerah ini datang ke masjid sebaik sahaja mendapat maklumat ketiga-tiga anak muda berkenaan mula memasuki daerah ini sejak Rabu lalu.

Malah, ketika geng terbabit masih berada di Johor sebelum ini, ada kenalan Facebook dari Kerteh turut menghubungi mereka dan memaklumkan akan menunggu di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kerteh serta akan membawa mereka bertiga ke restoran miliknya.


Jurucakap 'geng cuci masjid' berkenaan, Annas Aiman Jaffry, 27, berkata, respons positif dari semua kenalan Facebook membuatkan mereka sangat tersentuh hati.

“Sebaik melepasi pintu gerbang sempadan Pahang-Terengganu dan masuk ke Kemaman kami sangat terpegun melihat masjid di daerah ini yang besar serta indah.

“Masjid pertama yang kami bersihkan di daerah ini adalah Masjid Sultan Ahmad di Chukai. Ketika berada di situ, kami didatangi ramai kenalan Facebook dan ahli Persatuan Anak-anak Kemaman di Perantauan (Pakar),” katanya.


Jalan kaki sejauh 764 kilometer

Menurut Annas Aiman, hari kedua di daerah ini mereka mencuci Masjid Kampung Beris Meraga, Kijal.

“Tak banyak kami bersihkan di masjid ini kerana pengurusan masjid di sini sangat cekap dan kerja pembersihan sudah dilakukan oleh mereka yang ditugaskan,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Beris Meraga pada Khamis lalu.

Katanya, rakan Facebook mengetahui perkembangan kembara mereka yang dimuat naik dalam laman sosial dan menerusi media massa.

Masjid Kampung Beris Meraga adalah masjid ke-41 dibersihkan Annas Aiman bersama adiknya, Muhammad Aidil, 24, dan rakan mereka, Muhammad Hizamuddin Alidin, 25, yang memulakan Kembara Berjalan Kaki 1Semenanjung Malaysia Membersihkan Masjid.

Dengan menjejakkan kaki ke Masjid Kampung Beris Meraga itu juga kembara yang mereka lakukan bermula di Masjid Sultan Salahuddin Shah di Shah Alam, Selangor sudah masuk hari ke-76 dan telah mengharungi perjalanan sejauh 764 kilometer (km).


Cuaca panas jadi cabaran

Cuaca panas membahang sepanjang memasuki negeri Pantai Timur dimulai dengan Pahang dan seterusnya Kemaman tidak melunturkan semangat mereka untuk meneruskan misi.

Berikutan cuaca panas, Annas Aiman berkata, mereka terpaksa memendekkan jarak perjalanan kepada 18 hingga 20km sahaja sehari, berbanding jarak berjalan normal sejauh 30km sehari sebelum ini.

“Lagipun jarak sebuah masjid dengan masjid yang lain di sini tidaklah jauh, jadi secara automatik juga jarak perjalanan kami lebih singkat,” katanya yang baru pulih dari demam.

Muhammad Hizamuddin berkata, sekurang-kurangnya sebanyak 12 masjid akan dibersihkan mereka di seluruh negeri ini sebelum memasuki Kelantan.

Mereka melakukan kembara berkenaan bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat dan belia bahawa kerja membersihkan masjid bukan tugas pengurusan masjid semata-mata, tetapi ia juga tugas orang ramai.

“Ramai orang pandai mengadu yang masjid kotorlah, banyak sampahlah.. tapi mereka tiada inisiatif untuk membantu, jadi kami lakukan kembara ini,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Dengarkan keluhan peniaga keropok losong

KUALA TERENGGANU - Ibarat hidup segan mati tak mahu. Itulah perumpamaan terhadap sesetengah pengusaha keropok lekor di Kampung Losong Haji Su yang kebanyakannya mengaku pelanggan semakin berkurangan disebabkan beberapa faktor.

Pengusaha keropok Kedai Kita (Pak Cik Din Keropok Lekor), Mohd Muda, 60, berkata, jika dahulu jualannya mencecah 100 kilogram (kg) sehari, kini hanya 5kg keropok habis terjual dalam sehari, yang benar-benar memberi kesan pada pendapatannya.


Mohd yang membuka perusahaan keropok lekor sejak 1999 berkata, kos bahan mentah juga meningkat 200 peratus, namun keropok masih dijual dengan harga sama iaitu RM1 bagi empat hingga lima batang.

“Kalau mahu cerita, banyak faktor yang mempengaruhi kurangnya jualan keropok di sini. Faktor pelanggan, faktor pasaran dan juga saingan. Keropok Losong kini boleh didapati di merata-rata tempat, walaupun hakikatnya di sinilah bermulanya sejarah keropok Losong yang suatu ketika dulu cukup dikenali.

“Kalau nak diibaratkan dari segi jualan keropok Losong di sini, tiada beza dengan 30 tahun lalu kerana tiada pengembangan dari segi pasaran produk. Persaingan produk juga wujud kerana jenama Losong kini boleh didapati di merata-rata tempat termasuk di luar Terengganu,” katanya.

Pelanggan tak tahu lokasi sebenar

Menurut Mohd, jualan sedikit stabil apabila musim cuti persekolahan serta Sabtu dan Ahad kerana pelanggan dari luar datang membeli keropok di situ, jika tidak, dia hanya mengharapkan belian daripada penduduk setempat semata-mata.

“Pada saya, promosi lokasi asal keropok Losong masih kurang, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pengusaha keropok itu sendiri. Ia secara tidak langsung menyebabkan orang luar tidak tahu di mana lokasi asal keropok Losong yang sebenar.

“Jadi, sebagai seorang daripada 16 pengusaha keropok lekor di sini, saya harap satu inisiatif dapat dilaksanakan bagi mengekalkan kegemilangan keropok Losong yang asalnya bermula di sini. Baik inisiatif daripada pihak pelancongan atau agensi berkaitan,” katanya.

Jualan merudum lebih 50 peratus

Sementara itu, pengasas Kak Mek Losong (KML Food Enterprise), Mohd Shahrani Omar berkata, jualannya merudum lebih 50 peratus kebelakangan ini, jika dahulu dia mampu raih sehingga RM30,000 sebulan, kini dia hanya mendapat RM200 sehari.

Kata Mohd Shahrani yang sudah 14 tahun mengusahakan keropok lekor, pendapatan kini mampu membayar gaji tiga pekerjanya sahaja.

“Kalau diikutkan, selepas GST (cukai barang dan perkhidmatan) semua barang naik harga termasuk bil elektrik di perusahaan saya ini, yang terpaksa dibayar lebih mahal berbanding sebelum ini.

“Tahun ini sahaja, memang saya rasa amat tertekan kerana kos bahan mentah turut meningkat. Harga sagu pun naik RM5 bagi setiap satu beg. Ikan segar pun susah nak dapat sekarang dan harganya juga mahal.

Tetapi kita masih tidak naikkan harga keropok yang dijual,” katanya yang menggunakan ikan tamban dan selayang dalam pembuatan keropok.

Menurutnya, dahulu, setiap minggu ada sebuah bas yang membawa penumpang dari luar Terengganu datang ke situ, namun selepas musim banjir tahun lalu, bas itu tidak lagi membawa penumpang dari luar dan suasana di Losong sudah tidak semeriah dahulu.

“Bila bercakap dengan pengusaha bas, katanya harga minyak mahal dan mereka terpaksa bayar tambahan RM500 berbanding harga biasa RM2,000, menjadikan kos minyak mereka RM2,500.

“Sekarang, musim cuti persekolahan pun tidak ramai yang datang ke sini untuk beli keropok. Bila tiada pelanggan, kualiti keropok pun agak terjejas. Sebab bila pelanggan ramai, produktiviti keropok itu akan sentiasa berjalan dan kualitinya juga sama dan terpelihara,” katanya.

Perkenal keropok vakum

Mohd Shahrani berkata, bagi mempelbagaikan keropoknya untuk menembusi pasaran luar, dia kini membuat keropok vakum yang dijual pada harga RM5.50 di kedainya dan RM5.90 di Petron Batu Burok.

“Keropok vakum di Petron Batu Burok dijual setelah dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi mengekalkan kesegarannya.

“Kos untuk membeli mesin vakum sahaja sebanyak RM9,000, sebab itulah tidak semua kedai mampu membuat keropok vakum ini,” katanya.

Sunyi tanpa pelanggan

Pengusaha Kak Yah Keropok Losong, Sariah Ismail berkata, jualan keropok lekor yang diusahakan bersama 10 pekerjanya, kini merudum lebih 50 peratus.

“Kalau dahulu kita boleh jual sehingga satu tan keropok lekor dalam sehari, kini 300 hingga 400kg sahaja dalam sehari dan pelanggan pun agak ramai ketika hujung minggu. Kalau hari-hari biasa, keadaan memang sunyi tanpa pelanggan.

“Memang jualan ketika ini sangat perlahan dan kesan GST pun ada kerana banyak barangan yang dibeli dikenakan GST, tambahan pula pengetahuan mengenai GST pun masih kurang,” katanya.

Pekerja Kak Yah Keropok Lekor, Fatimah Ismail, 49, berkata, pelanggan memang agak berkurangan jika hari biasa, namun ketika musim cuti sekolah serta Sabtu dan Ahad, ramai juga yang datang untuk membeli keropok Losong.

“Bergantung pada keadaan, kalau musim cuti, memang ramai jugalah yang datang membeli keropok. Berbanding hari biasa, pelanggan amat kurang dan keadaan di sini sepi tanpa pelanggan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>