Sunday, 12 April 2015

Gaji ahli parlimen naik, setuju?

Orang ramai tidak bersetuju dengan kenaikan gaji dan elaun ahli parlimen antara 45 hingga 57 peratus yang diluluskan Dewan Rakyat, kelmarin.

Pekerja swasta, Moha Kamar, 40, berkata, dia tidak bersetuju dengan kenaikan  yang diterima oleh wakil rakyat.

“Saya tidak menidakkan hak seorang wakil rakyat untuk mendapat kenaikan gaji. Namun, kenaikan ini tidak sesuai pada waktu ini.

“Kebanyakan rakyat tidak mendapat kenaikan gaji sedangkan kos sara hidup semakin meningkat hari demi hari. Tetapi, usul kenaikan gaji ahli parlimen pula diluluskan,” katanya.

Menurutnya, persepsi rakyat terhadap wakil rakyat akan bertambah buruk dengan kenaikan gaji itu.

P Kanyakumari, 25, juga melahirkan rasa amat kecewa dengan keputusan tersebut.

Dia yang bekerja di sektor swasta berkata, ahli parlimen sepatutnya memikirkan nasib rakyat sebelum memuktamadkan keputusan itu.

“Rakyat kini kurang kuasa untuk membeli dengan kenaikan harga pelbagai barang. Bagi saya, kenaikan ini tidak wajar sama sekali,” katanya.

Bagi peniaga, Muhamad Gadaffi Ab Rahman, 29, ahli parlimen seharusnya merasai sekali kesusahan yang dialami rakyat ketika ini.

“Seperti contoh, ada menteri meminta rakyat supaya berjimat cermat ketika berbelanja. Jadi, seharusnya, wakil rakyat juga perlulah mengikut saranan yang diberikan oleh menteri itu.

“Apabila wakil rakyat memberikan contoh yang baik, maka rakyat akan menyanjung tinggi serta menghormati mereka,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Konsert Siti Nurhaliza Unplugged 2015 berlangsung dengan jayanya

APA lagi yang diharapkan oleh seorang anak seni selain melihat titik peluh yang diusahakan selama ini terus relevan dan dihargai biarpun peredaran zaman tidak pernah berhenti.

Penat lelah sepanjang dua dekad memperjuangkan karier sebagai seorang penyanyi seakan berbaloi setelah pencapaian yang digapai bukanlah calang-calang.

Bukan itu sahaja, gelaran penyanyi nombor satu negara yang diberikan kepada empunya nama Datuk Siti Nurhaliza mencantikkan lagi fragmen karier seninya.

Demi melengkapkan perjalanan seninya yang kini genap dua dekad, anak jati Kuala Lipis, Pahang ini melengkapkan lagi portfolionya menerusi konsert akustik ‘Datuk Siti Nurhaliza Unplugged 2015’ telah dijalankan di Istana Budaya baru-baru ini.

Lebih manis, selain peminat setia, rakan artis dan keluarga tercinta, konsert itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Tepat jam 8.40 malam, persembahan solo yang dinanti-nanti mula membuka tirainya dengan nyanyian pertama Membunuh Benci seterusnya medley Mahligai Asmara dan Satu Cinta Dua Jiwa.

Penampilan anggun Siti yang mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini, menambahkan lagu auranya sebagai seorang penghibur yang tidak ada tandingannya.

Dewan terus diriuhkan dengan sorakan penonton yang teruja menyaksikan penyanyi kesayangan mereka beraksi.

Berkongsi kisah awal penglibatannya dalam seni tarik suara, Siti menyampaikan medley lagu-lagu pertama yang direkodkan di studio ciptaan komposer hebat, Datuk Adnan Abu Hassan seperti Jawapan Di Persimpangan, Purnama Merindu dan Diari Hatimu.

Pemilihan konsep akustik benar-benar tepat apabila persembahan ini dilihat lebih menonjolkan vokal Siti yang diiringi garapan muzik oleh pemuzik hebat, Aubrey Suwito.

Biarpun dua puluh tahun telah berlalu, namun kelunakan suara penyanyi ini masih lagi mampu membuat seluruh penonton yang hadir terpesona.

Aku Cinta Padamu, Biarlah Rahsia, Wajah Kekasih dan Kau Kekasihku adalah antara persembahan yang dinanti-nantikan penonton yang sudah tentu mengembalikan nostalgia lalu.

Menggamit memori lama, Siti turut mengundang komposer yang banyak berjasa mengasah bakatnya iaitu Adnan untuk turut mengiringi dengan alunan piano di atas pentas menerusi lagu Jerat Percintaan dan Gelora Jiwa.

Perhatian penonton berjaya dicuri dengan persembahan yang cukup menyentuh.

Bijak berinteraksi dengan penonton yang hadir, Siti tidak terlepas berkongsi kisah-kisah perjalanan keriernya sekali gus membuatkan penonton lebih mengenali siapa dirinya yang sebenar.

Selain menyampaikan nyanyian popularnya, Siti turut memberi fokus pada penyampaian medley lagu-lagu yang terkandung dalam album Fragmen iaitu Mula dan Akhir, Aku, Sanubari, Terbaik Bagimu dan Sangat Bererti.

Setelah lebih kurang dua jam, konsert diakhiri dengan persembahan kemuncak dengan lagu hit Jaga Dia Untukku, Lebih Indah dan Seluruh Cinta yang turut terkandung dalam album Fragmen

Berpuas hati dengan pencapaian yang diraih dalam masa dua dekat ini bukanlah alasan buat dirinya terus berada di zon selesanya.

Tidak merancang strategi hala tuju karier, Siti akui kejayaan yang dicapai pada hari ini berlaku dengan sendirinya.

“Alhamdulillah, setakat ini apa yang saya alami dalam masa dua dekat ini banyak pencapaian yang kadang-kadang saya sendiri tidak jangka dan juga apa yang saya target.

“Buat masa ini, kalau ditanya apa lagi yang saya mahu lakukan, memang saya tidak tahu kerana saya lebih suka ia berjalan secara sendirinya.

“Setiap apa yang saya lakukan, saya cuba beri yang terbaik untuk menghiburkan peminat yang tidak jemu menyokong,” tuturnya teruja.

Tidak hanya meletakkan hasrat pada pencapaian secara individu, penyanyi berusia 36 tahun ini, punyai misi dalam menyumbang sesuatu dalam industri hiburan tanah air.

“Sebagai penyanyi memang saya mahu hasilkan produk yang berkualiti, namun saya juga mahu menyumbang sesuatu kepada industri.

“Kalau boleh, saya mahu masyarakat bukan setakat mendengar nyanyian saya sebagai satu hiburan tapi pada masa yang sama dapat manfaatkan nyanyian saya dalam kehidupan mereka.

“Mudah-mudahan lagu yang saya sampaikan mampu memberi semangat dan ilmu menerusi lirik-lirik yang membina seperti mana yang saya tonjolkan dalam album Fragmen yang lebih kepada elemen positif,” katanya.


Impi konsert di Chow Kit Road

Sepanjang 20 tahun berkarier, Siti nyata berjaya meletakkan diri di platform tersendiri dengan persembahan berskala besar tidak kiralah di luar mahupun dalam negara.

Namun Siti akui menyimpan impian untuk mengulangi kejayaan penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dalam konsert gergasi ‘Chow Kid Road’.

“Sebenarnya saya memang mahu mencari kelainan dan mememrlukan idea-idea yang baik untuk persembahan-persembahan akan datang. “Kalau buat konsert seperti ‘Chow Kid Road’ itu memang memerlukan tenaga kerja yang lebih besar tapi itu juga tidak mustahil,” katanya.

Memahami tempoh sehari tidak cukup menampung jumlah peminat yang mahu menyaksikan persembahannya, Siti mahu mengubati kekecewaan peminat yang tidak berpeluang turut serta pada persembahan hebat itu dengan pementasan Muzikal Fragmen Datuk Siti Nurhaliza yang bakal dijalankan di pentas yang sama.

Persembahan selama lapan hari bermula pada 14 hingga 22 November ini, difahamkan bakal memaparkan kisah hidup penyanyi nombor satu ini seawal zaman remajanya.

“Dalam pementasan ini, kita akan menampilkan beberapa pelakon yang menggalas watak saya ketika remaja dan awal pembabitan saya dalam industri.

“Saya sendiri turut akan berlakon ketika saya mula berhijab selain menyampaikan semua lagu,” ujarnya

Sinar Harian

Baca lagi >>

Datuk jaga dua cucu yatim piatu

KUANTAN  -  Walaupun menderita sakit buah pinggang dan kencing manis, seorang warga emas, Endut Mohammad, 61, masih sanggup menjaga dua cucu yatim piatu berusia 11 dan 12 tahun.

Kanak-kanak perempuan terbabit, Nur Elisa Najwa Mohd Zamzuri, 11, dan Nur Syakira Ilyana, 12, kehilangan bapa mereka pada 16 Februari lalu akibat pendarahan dalam kepala manakala ibu mereka, Wan Rafidah Wan Mohd Rawi meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.
Endut (dua kiri) bersama dua cucunya ketika menerima kunjungan Badan Kebajikan Kemiskinan dan Kemanusiaan Seluruh Pahang (BAKKISS).

Warga emas terbabit, Endut Mohammad, 61, berkata, dia tidak kisah untuk menjaga cucunya itu kerana masih mampu menyara mereka dengan wang pencen selain isterinya, Zainun Ibrahim, 60, juga bekerja dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Bagaimanapun,  jika mereka berdua yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Balok Makmur mendapat biasiswa adalah lebih baik kerana dapat meringankan beban kami sekeluarga.

“Sebagai datuk, saya rasa bertanggungjawab untuk jaga mereka walaupun anak bongsu saya, Mohd Ikmal Arif, 15, pula penghidap sindrom down dan kini mengikuti pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah, di sini, “ katanya.

Endut berkata, Nur Syakira bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan memerlukan lebih perbelanjaan kerana perlu mengambil tuisyen serta membeli lebih banyak buku latihan ulang kaji.

“Setakat ini, saya  tidak pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Kutipan Zakat (PKZ) untuk dua cucu saya.

“Namun Mohd Ikmal ada menerima bantuan JKM yang diuruskan pihak sekolah,” katanya.

Katanya, dia menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kini tidak dapat berjalan dengan baik kerana kecederaan pada bahagian kaki kirinya selain turut bermasalah buah pinggang.

Pesara kerajaan ini berkata, terpaksa menjalani hemodialisis setiap bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan perlu memasukkan air khas ke dalam badannya sebanyak lapan liter untuk empat kali sehari yang kosnya ditanggung kerajaan di bawah skim pencen.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Thailand kembali bergolak

BANGKOK - THAILAND. Tujuh cedera apabila sebutir bom meletup di tempat letak kereta di sebuah pulau peranginan Thailand, kelmarin.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 10.40 malam (waktu tempatan) di pusat membeli belah Central Festival di Pulau Samui, 700 kilometer di selatan Bangkok.


Polis Samui berkata, antara yang cedera adalah seorang budak perempuan warga Itali berusia 12 tahun.

Dalam insiden berasingan, sebuah gudang di Surat Thani dibakar dipercayai berlaku pada tempoh sama semasa kejadian letupan bom kereta di Samui.

Gabenor wilayah berkata, kebakaran itu mungkin berpunca daripada bahan letupan.  Februari lalu, Thailand dikejutkan dengan dua serangan bom di tengah Bangkok.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tentera Israel kembali mengganas

RAMALLAH - PALESTIN. Sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin cedera selepas tentera rejim Zionis bertindak ganas menyerang kumpulan penunjuk perasaan di wilayah Tebing Barat.

Kelmarin, puluhan penduduk Palestin menyertai protes di kem pelarian al-Jalazoun sebagai membantah projek pembinaan tembok pemisah di sepanjang Tebing Barat.
Pertempuran tercetus antara tentera rejim Zionis dan penduduk Palestin yang membantah projek pembinaan
Tembok Pemisah di Tebing Barat.

Keganasan tercetus selepas pihak berkuasa Israel melepaskan tembakan peluru hidup dan getah ke arah kumpulan protes tersebut.

Dalam insiden berasingan, satu lagi kekecohan berlaku selepas tentera rejim Zionis bertempur dengan penduduk Palestin yang menghadiri majlis pengebumian bekas tahanan, Jaafar Ibrahim Awad di bandar Beit Ummar.

Pihak berkuasa Israel bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan tersebut hingga menyebabkan seorang ahli keluarga Jaafar terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan pentadbiran yang dikenakan ke atas tahanan Palestin di penjara Israel.

"Penahanan tanpa dakwaan atau perbicaraan melanggar Konvensyen Geneva Ke-4 kerana Israel sewenang-wenangnya memindahkan tahanan ke penjara di luar wilayah Palestin," jelas jurucakapnya, Ravina Shamdasani. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

“Dulu aku ada rumah di Kampung Melayu Pandan, tapi selepas rumah aku dirobohkan..."

HIDUPNYA sebatang kara di kota raya hanya bertemankan kucing terbiar di kaki lima kerana tidak pernah mendirikan rumah tangga dan dipinggirkan keluarga sejak kematian kedua ibu bapanya.

Ahban Matsah, 61, berkata, masanya banyak dihabiskan menumpang tidur di kaki lima selepas pulang bekerja sebagai pencuci pinggang mangkuk di medan selera Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya.

Ahban menganggap kucing peneman hidupnya.

Menurutnya, dengan memiliki sebuah basikal, dia dapat bergerak ke sana ke mari malah berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

“Dulu aku ada rumah di Kampung Melayu Pandan, tapi selepas rumah aku dirobohkan...aku dirikan pondok di tanah rizab TNB untuk dijadikan tempat berteduh.

“Tapi aku jarang balik ke sana kerana tak ada elektrik dan air.

“Aku lebih selesa menumpang tidur di kaki lima bersama kucing-kucing belaan aku,” katanya.

Ahban berkata, meskipun mempunyai lapan adik-beradik yang masih hidup, namun hidupnya sebatang kara kerana sudah lama tidak bertemu kerana masing-masing berada di Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi.

“Aku dah biasa hidup begini bertemankan kucing-kucing terbiar yang aku bela. Aku dah lama tak cari mereka (saudara-mara) dan mereka juga tak pernah cari aku.

“Masa muda-muda dulu aku pernah bertunang, tapi tunang aku berkahwin dengan orang lain. Lepas tu, aku dah tak fikir lagi pasal kahwin,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan kurang RM30 sehari mencuci pinggang mangkuk digunakan secara berjimat cermat untuk mengisi perut dan membeli makanan kucing.

“Aku sayangkan kucing. Aku makan kucing pun kena makan. Kalau aku tidur di kaki lima, kucing-kucing belaan aku akan temankan.

“Kalau ada kerja adalah duit, kalau aku tak kerja tak ada duit. Sebab itu walau aku letih sekalipun aku kena kerja kerana tak ada siapa tempat aku nak bergantung harap,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

"Saya hanya sempat melaungkan Allahuakbar sebaik sahaja melihat kepingan bumbung rumah terkopak dibawa angin”

TASEK GELUGOR - "Saya hanya sempat melaungkan Allahuakbar sebaik sahaja melihat kepingan bumbung rumah terkopak dibawa angin,” cerita salah seorang mangsa ribut di Merbau Kudung lewat petang kelmarin.

Naziha Husin, 47, berkata ketika kejadian dia bersama dua anaknya berada di tingkat bawah.

Jaafar menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak dalam ribut, petang kelmarin

“Kejadian berlaku begitu pantas. Saya berlari ke dapur kerana terdengar bunyi kuat, rupanya bumbung sedang terkopak sebelum hilang dibawa angin," katanya kepada Sinar Harian.

Dia kemudian menghubungi suami yang bekerja di sebuah kilang kotak di Sungai Bakap.

“Saya agak panik, tak tahu nak buat apa, hanya peluk erat kedua-dua anak. Mujurlah jiran-jiran datang membantu sebelum suami pulang ke rumah,” katanya.

Suami mangsa, Jaafar Hassan, 55, berkata terkejut menerima panggilan isteri memaklumkan mengenai perkara itu lalu bergegas pulang ke rumah.

“Bimbang juga keselamatan isteri dia pula tinggal seorang dengan anak anak kami.

"Sedih juga melihat apa yang berlaku, namun bersyukur kerana keluarga selamat," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya meluang masa melawat beberapa keluarga mangsa terlibat.

Sinar Harian

Baca lagi >>