Saturday, 11 April 2015

Angin berpusar terbangkan bumbung rumah di Sungai Manik

SUNGAI MANIK - Sebanyak 120 premis rosak teruk akibat ribut yang melanda kawasan Dun Sungai Manik, di sini, kira-kira jam 6.20  petang, kelmarin.

Antaranya bangunan yang rosak akibat bencana itu ialah  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Manik di mana bumbung beberapa bangunan sekolah tersebut diterbangkan angin.

Dalam pada itu beberapa rumah di lebih 15 kampung di kawasan Dun Sungai Manik turut terjejas teruk akibat bencana itu.

Mangsa ribut, Halimah Abd Wahab, 73, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya di Parit 16, di sini.

Katanya, pada mulanya, hujan lebat bersama angin kencang namun ketika itu tidak ada apa yang berlaku.

“Namun keadaan bertukar gerun bila makcik lihat angin berpusar-pusar berhampiran  rumah sebelum menerbangkan sebahagian besar bumbung dapur.

“Makcik tak sempat selamatkan barang kerana kejadian berlaku dengan pantas hingga hampir sebahagian rumah habis diterbangkan angin dalam kejadian petang semalam (kelmarin),” katanya.

Tergamam siling di atas kepala diterbangkan angin

Sementara itu Kasmah Husin, 63, berkata, ketika angin ribut sebahagian bumbung rumahnya di Parit 16, di sini diterbangkan angin.

“Bila tengok angin kencang berpusar menuju ke rumah, makcik segera laungkan azan dan terkejut bumbung di atas kepala diterbangkan angin.

“Ketika itu, makcik tergamam dan tidak mampu bergerak, selain berdoa kepada ALLAH supaya menyelamatkan makcik sekeluarga,” katanya.

Katanya, dia juga bernasib baik kerana tidak ditimpa bongkahan kayu rumahnya selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian itu.

Terpaksa tinggal dalam khemah 

Akibat kejadian ribut, sebuah keluarga di Parit 13, di sini terpaksa tidur dalam khemah selepas bumbung rumah mereka habis diterbangkan angin.

Mangsa, Zarudin Mohamad, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah bersama anak-anaknya sebelum mendengar bunyi kuat.

"Anak bagi tahu, bumbung rumah habis diterbangkan angin dan tanpa berlengah saya segera bawa anak keluar dah berlindung di bahagian hadapan rumah.

"Ketika itu saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH agar selamat daripada bencana itu," katanya.

Menurutnya, disebabkan hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin, dia sekeluarga terpaksa tinggal dalam khemah yang dipinjamkan jirannya untuk bermalam.

Mangsa ribut dibantu

Sementara itu, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, selepas kejadian itu pihaknya bersama Pegawai Daerah Hilir Perak, Zamari Mohd Ramli  meluangkan masa melawat mangsa dan dalam masa menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terlibat
dengan bencana tersebut.

Menurutnya, bantuan bencana yang disediakan kerajaan negeri menerusi Pejabat Daerah telah diberikan kepada mangsa ribut bagi meringankan beban mangsa.

“Sumbangan antara RM200 hingga RM2,000 mengikut kerosakan rumah diberikan kepada mangsa supaya mereka dapat membaiki rumah akibat bencana itu,”katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kantoi! Lelaki mencuri dalam masjid berjaya dirakam

UMBAI - Tindakan seorang lelaki memecah masuk Masjid Al-Kauthar, di sini, awal pagi semalam, berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) masjid terbabit.

Rakaman CCTV berdurasi 10 minit itu berjaya merakamkan dengan jelas wajah suspek berusia dianggarkan sekitar 30-an dan gerak-gerinya ketika memecah masuk tingkap kaca masjid, seterusnya memecah beberapa tabung derma.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid terbabit, Mohd Farid Abd Malek berkata, kejadian pecah masuk itu disedari jemaah yang datang untuk menunaikan solat Subuh apabila mendapati tingkap masjid sudah tertanggal, selain kesan umpilan pada jenang tingkap.

Manakala, katanya, beberapa tabung juga dalam keadaan berselerak selepas dipecah menyebabkan jemaah berkenaan terus melaporkan kejadian itu pada AJK masjid dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Umbai Pantai.

“Sebaik kita meneliti rakaman CCTV, terpapar jelas wajah serta gerakgeri lelaki itu memasuki masjid pada jam 3.32 pagi menerusi pintu masuk sebelah tandas.

"Dia kemudian mengumpil tingkap cermin pada bahagian ruang solat wanita sebelum menyelongkar beberapa tabung kayu yang dipercayai mengandungi wang sekitar RM20 hingga RM30 hasil derma orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kejadian semalam merupakan yang ketiga berlaku sejak masjid itu memasang CCTV pada penghujung tahun 2013.

“Sebelum memasang CCTV, masjid ini kerap berdepan masalah tabung dipecah. Dianggarkan sudah lebih 10 kejadian berlaku. Akhirnya AJK memutuskan untuk memasang CCTV.

“Pada mulanya empat unit tetapi kemudian ditambah empat unit lagi, sekali gus menjadikan CCTV yang dipasang seterusnya kepada lapan unit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Umbai Pantai, Saleh Mamat berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menjadikan masjid sebagai lokasi mencuri.

“Kita akan salinan rakaman CCTV ini kepada polis untuk mengesan penjenayah itu. Sebelum ini pun, dengan rakaman ini, kami dapat membantu polis menampilkan bukti kukuh bagi mendakwa mereka terlibat,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

2 lemas di Pantai Tanjung Resang, Mersing

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditemui mati lemas manakala rakannya masih hilang selepas dihanyutkan arus ketika mereka memancing di Pantai Tanjung Resang, Mersing, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan M. Kumar berkata, mayat Hanapiah Yusof, 43, dari Endau ditemui kira-kira pukul 3 petang manakala gerakan mencari rakan mangsa yang dikenali sebagai Supian berumur 20-an sedang dijalankan.

"Difahamkan Hanapiah dan Supian datang ke pantai itu pada jam10.30 pagi bersama dua lagi rakan. Kedua-dua mereka bersama seorang rakan kemudiannya memancing di atas batu besar kira-kira 80 meter dari pesisir pantai.
    
"Selepas memancing kira-kira dua jam, ketiga-tiga mereka mula menyedari bahawa mereka telah terperangkap di atas batu itu akibat air pasang dan kemudian berenang ke pantai dalam keadaan panik," katanya.
    
Namun Kumar berkata, hanya rakan mereka yang berjaya sampai ke pantai manakala kedua-duanya dihanyutkan arus.
    
Mayat Hanapiah kemudiannya timbul di permukaan air tidak jauh dari tempat kejadian, katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pelajar malaysia di Yaman mohon dibawa pulang dengan segera

“Kalau boleh kami nak balik segera ke Malaysia. Dah tak tahan hidup macam ini dan terkurung dalam masjid sahaja,” demikian keluhan Ahmad Faizal Mohd Asri yang masih terperangkap bersama rakan lain di Masjid Al-Idrus, Aden di Yaman.

Dia yang masih menuntut di Ribat al-Idrus berkata, kehidupan begitu terseksa kerana tidak dapat bergerak bebas akibat pergolakan yang berlaku di negara itu.
Beberapa pelajar mencedok nasi dari periuk.

“Keadaan keselamatan di sini juga tak terjamin. Mungkin dalam masjid agak selamat tapi di luar belum tentu.

“Saya sudah terperangkap tiga minggu dalam masjid ini," katanya ketika menghubungi Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp, kira-kira jam 7 petang semalam.

Perbezaan waktu Yaman lewat lima jam berbanding waktu di Malaysia.

Menurutnya, mereka juga hampir kehabisan wang tunai kerana semua bank ditutup dan rosak akibat terkena bedilan bom.

“Saya dan rakan lain tidak boleh bergerak ke mana pun. Nak keluar takut terkena tembakan peluru sesat dari puak yang bertelagah. Jadi kami semua duduk dalam masjid sepanjang masa,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal yang berasal dari Paka, Dungun, Terengganu bertekad untuk meneruskan pengajian di situ apabila keadaan kembali stabil.

“Tak tahu bila keadaan akan pulih seperti sedia kala, saya harap dapat terus menuntut ilmu di sini,” katanya.

Muhammad Wafiy Azizi Abd Aziz juga mahu pulang segera ke Malaysia kerana bimbang keselamatan mereka.

Katanya, penduduk tempatan banyak membantu, tetapi mereka juga kebanyakannya hidup daif.

“Sekurang-kurangnya keadaan kami terjamin setakat ini walaupun di merata tempat kedengaran tembakan,” katanya.

Menurutnya, keadaan memang tidak selesa kerana bekalan makanan hampir habis dan bekalan baharu sukar diperoleh.

“Kalau ada pun harganya mahal dan kami tidak mampu beli. Duit pun hampir habis,” katanya yang berasal dari Serdang, Kedah.

Muhammad Izham Hamdan dari Gerik, Perak, pula berkata, mereka hanya makan untuk mengalas perut tanpa memikirkan sedap atau tidak.

“Biasalah dalam keadaan begini, apa sahaja yang dimasak semuanya rasa sedap. Tadi saya makan nasi dengan terung air manis. Tak rasa apa pun, tapi makan juga lah. Tidak boleh memilih,” katanya.

Menurutnya, sumber air bersih juga makin berkurangan dan mereka terpaksa berjimat untuk bekalan minuman dan wuduk.

“Dah tak boleh bersenang lenang seperti keadaan sebelum bergolak. Semuanya menjadi makin sukar dan sumber makanan makin terhad. 

“Kami harap dapat keluar segera dari kawasan ini dan berlindung di tempat lain yang lebih selamat jika tidak dapat pulang ke Malaysia," katanya. 

Mohamad Haziq Mohd Fadzil dari Manjung, Perak, berkata, menu harian mereka hanya nasi dengan telur goreng atau terung sahaja.

Katanya, mereka perlu berjimat kerana tidak tahu berapa lama akan berada di masjid itu sebelum dibawa keluar ke tempat lain atau pulang ke tanah air.

“Stok makanan yang ada saya beli dua bulan lalu. Memang harga barang naik tapi tak tahu harga sekarang ini. Penduduk tempatan kata harga semua barang melambung kerana semakin sukar diperoleh dan kurang di pasaran.

“Kami berharap stok makanan yang ada mampu bertahan sehingga kami dibawa keluar dari sini,” katanya.

Kata Mohamad Haziq, penduduk masih datang ke masjid itu untuk solat jemaah bersama pelajar yang menumpang di situ.

“Kami bergilir-gilir melaungkan azan dan solat diimamkan oleh penduduk tempatan,” katanya.

Menurutnya, 167 pelajar yang berlindung di masjid itu merangkumi 67 pelajar Malaysia, 97 dari Indonesia dan tiga dari Thailand.

Semalam, Sinar Harian melaporkan 67 pelajar Malaysia terperangkap dalam  Masjid Al-Idrus, Aden di Yaman sejak dua minggu lalu ketika menunggu proses untuk evakuasi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Umur 60 baru boleh keluarkan wang KWSP?

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
   
Beliau berkata, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.
   
Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
     
"Secara kasarnya kira-kira 70 peratus orang yang mengeluarkan simpanan persaraan mereka sepenuhnya akan pada dasarnya menghabiskan wang dalam tempoh tiga hingga lima tahun.  
     
"Orang Malaysia kini membuat pengeluaran pertama (pada usia 55 tahun) sebelum bersara penuh (pada usia 60 tahun), dan kami sedang mengkaji isu ini bagi maklum balas dasar yang tepat," kata Shahril pada taklimat media di sini, hari ini, sempena dengan pengeluaran Laporan Tahunan 2014 KWSP.
  
Beliau berkata, walaupun KWSP mencadangkan jumlah sekurang-kurangnya RM196,800 selepas persaraan, perangkaan menunjukkan hanya 22 peratus penyumbang aktif berusia 54 tahun memenuhi minimum ini tahun lepas.
   
Malahan lebih membimbangkan, 68 peratus daripada ahli KWSP pada usia yang sama memiliki kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka, katanya.
   
Maklumat daripada laporan KWSP menunjukkan simpanan asas ditetapkan pada RM196,800 bagi memberikan pendapatan bulanan RM820 untuk tempoh 20 tahun sehingga usia 75 tahun.
     
Ia juga menyatakan berdasarkan usia persaraan bagi rakyat Malaysia iaitu 60 tahun, dan jangka hayat 72.6 tahun bagi lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita, jumlah simpanan (RM196,800) akan memerlukan seorang pesara untuk terus hidup pada hanya RM700 sebulan sepanjang hayatnya.
   
Ini malahan kurang daripada had kemiskinan iaitu RM830 sebulan pada 2012 seperti yang diisytiharkan oleh Jabatan Perangkaan.
   
"Adalah penting untuk mula merancang persaraan seawal mungkin kerana memupuk tabiat menabung memerlukan disiplin dan masa yang mencukupi," demikian menurut laporan itu.  
   
Perancangan yang baik memastikan gaya hidup yang dihajati dapat dicapai selepas persaraan disokong oleh pendapatan yang mencukupi, tetapi ketika ini satu-satunya bentuk simpanan utama bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah jumlah yang mereka simpan dalam KWSP.
      
KWSP berkata ia merancang satu projek perintis yang bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai kewangan asas dan perancangan persaraan dengan menawarkan khidmat nasihat persaraan di dua cawangannya di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lihatlah bagaimana Norman menghargai isteri beliau

MENDIRIKAN rumah tangga pada 2011, tiada apa yang membahagiakan pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza, setelah melihat dua wajah kesayangan mereka sepanjang tempoh hampir empat tahun bersama.

Dikurniakan cahaya mata pertama, Mohamed Darwisz Hakim, 2, pada awal Februari 2013, kini keluarga bahagia ini bertambah lengkap dengan kehadiran putera kedua mereka.

Tepat jam 9.57 malam kelmarin (Rabu), Memey selamat melahirkan bayi kedua mereka dengan berat 3.45 kilogram di hospital swasta di ibu kota.

Walaupun ia bukanlah kandungan pertama buat Memey, namun sesuatu yang ditulis Norman buat isteri tercintanya di laman sosial, Instagram (IG), miliknya, amat menyentuh hati.

Memberi penghargaan yang tidak terhingga buat isterinya, Norman mengakui bahawa kaum Hawa diberikan kekuatan luar biasa yang sangat hebat untuk menghadapi situasi itu.

Antara tulisan Norman yang mampu menitiskan air mata peminat yang membacanya ialah "Maha Kuasa Allah dicipta ‘suatu kekuatan’ yang sangat hebat buat kaum Hawa dalam situasi yang kaum Adam tak pernah dapat rasa dan bayangkan!.

"Seminggu sebelum tarikh ini (8/4/15), sayalah manusia yang paling tak keruan! Tidur malam tak lena asyik tersentak, mengadap muka dan perut isteri sepanjang malam risau bila la nak bersalin. Sekarang ke? Pagi nanti ke? Tapi 'wifey' tetap relax." tulis Norman di sekeping gambar yang dikongsi bersama sebelum dan selepas isterinya bersalin.

Malah, bapa kepada tiga anak bersama bekas isterinya, Abby Abadi ini juga turut mengakui bahawa dia antara saksi 'perjuangan' isterinya. Paling menyentuh perasaan, apabila Norman mengakui sangat takut sekiranya kehilangan isterinya yang tercinta itu.

"Aku takut sangat ni Ya ALLAH kalau aku hilang dia. Tolong aku Ya ALLAH dan Alhamdulillah ALLAH dengar dan segalanya selamat. Terima kasih ALLAH, terima kasih para malaikat, terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan. Terima kasih," tulisnya.

Hasil perkahwinan terdahulu, Norman turut mempunyai tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim, 7.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Berita gembira! Tak kena GST kalau guna elektrik bawah 300kw/h

JITRA - Pengguna domestik yang menggunakan elektrik kurang dari 300kw/h (kilowatt per jam) sebulan tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, GST sebanyak enam peratus, hanya dikenakan terhadap pengguna yang menggunakan elektrik lebih dari 300kw/h sebulan.
   
Mahdzir berkata, beliau perlu memberi penjelasan tersebut berikutan terdapat kekeliruan ditimbulkan sesetengah pihak bahawa GST dikenakan terhadap semua pengguna domestik yang menggunakan bekalan elektrik.

"Kita sudah membuat kajian sebelum ini dan mereka yang menggunakan kipas angin, peti ais, televisyen dan mesin basuh, penggunaan elektrik mereka tidak lebih dari 300kw/h sebulan.
    
"Pengguna perlu ada kebijaksanaan dalam menggunakan elektrik. Guna secara berhemah dan tidak membazirkan elektrik," katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Golf Amal anjuran Yayasan Kemiskinan Darul Aman, di Darul Aman Golf and Country Resort di sini hari ini.
        
Sementara itu, Mahdzir yang juga Pengerusi Yayasan Kemiskinan Darul Aman berkata, pihaknya akan menubuhkan sebuah pusat hemodialisis pertama di daerah Padang Terap tidak lama lagi.
    
Katanya pusat tersebut yang dijangka beroperasi penghujung tahun ini, akan dilengkapi lima mesin hemodialisis bagi memberi rawatan kepada pesakit buah pinggang di daerah berkenaan yang kini mendapatkan rawatan di Alor Setar.
    
"Hari ini kita anjur kejohanan golf amal, kita dapat kumpul sebanyak RM480,000 dan hasil kutipan dan sumbangan itu akan digunakan untuk membeli mesin hemodialisis," katanya.
    
Beliau berkata, pihaknya hanya mengenakan bayaran minimum dan tidak akan membebankan mereka yang mendapatkan khidmat rawatan di pusat hemodialisis tersebut.

Sinar Harian

Baca lagi >>