Friday, 10 April 2015

Bayi lelaki dibuang ditemui jemaah masjid dalam keadaan sihat


Rawang: “Dia (bayi) dijumpai dalam keadaan tersenyum dan tidak menangis di dalam beg kertas,” kata Fakhrudin Abdul Karim, 46, sebaik menemui bayi lelaki yang dibuang di atas bonet sebuah kereta di kawasan meletak kenderaan Masjid An Nur Bandar Country Homes di sini, kelmarin.

Fakhrudin yang juga nazir masjid itu berkata, bayi malang terbabit ditemui selamat oleh seorang jemaah masjid selepas selesai menunaikan solat Isyak pada jam 9.15 malam.

BAYI lelaki dibuang ditemui jemaah masjid dalam keadaan sihat, malam kelmarin.

Menurutnya, jemaah masjid kemudian segera memaklumkan perkara itu kepadanya.

“Saya amat terkejut kerana kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan ini. Bayi itu masih bertali pusat dan dibungkus bersama kain di dalam beg kertas.

“Peliknya bayi itu berada dalam keadaan tersenyum dan tidak menangis. Saya percaya bayi itu sudah dilahirkan beberapa hari lalu,” katanya.

Menurutnya, terharu dengan penemuan bayi itu seorang jemaah masjid melaungkan azan ke telinga bayi itu.
“Bayi itu baru dilahirkan, maka wajarkan bayi itu diazankan.


“Kami dapati beg kertas berisi bayi itu ditinggalkan di atas kereta milik seorang pesara polis berusia 64 tahun yang menemuinya,” katanya.

Fakhrudin berkata, dia kemudian mengarahkan jemaah masjid itu membuat laporan polis sebelum membawa bayi malang berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.


Menurutnya, bayi itu kini diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijaga dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata bayi lelaki itu kini menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang.

Ali berkata, siasatan awal di tempat kejadian tidak menemui saksi yang melihat individu meninggalkan bayi terbabit di atas bonet kereta.


“Kami (polis) minta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui individu yang baru sahaja melahirkan bayi supaya menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Hmetro

Baca lagi >>

Kreatif! Dari besi buruk jadi Transformers

HUNAN - CHINA. Dengan hanya menggunakan besi buruk, seorang petani dan anaknya berjaya menghasilkan model robot gergasi Transformers dan kini mereka mampu menjana pendapatan hingga 1 juta Yuan (RM580,000) setahun.

Yu Zhillin berkata, idea untuk menghasilkan model Transformers tersebut tercetus selepas filem Perancis popular berkisarkan tentang robot alien fiksyen itu mendapat sambutan hangat di China
Yu Zhillin dan anaknya bersama robot yang dihasilkannya.

Zhilin yang juga merupakan seorang petani dan mempunyai latar belakang dalam bidang seni halus memulakan kerja-kerja penghasilan robot ini di sebuah gudang lama dengan hanya berbekalkan gambar yang diambil dari internet dan besi buruk dari kereta terpakai.

Menurutnya lagi, ia agak sukar untuk dihasilkan pada mulanya.

"Model pertama mengambil masa selama 3 tahun untuk disiapkan tetapi atas bantuan anaknya dan pengalaman dalam bidang seni halus membantunya menyiapkan model ini" katanya dipetik Shanghaiist.‎

Siapa sangka kini mereka mampu menjana pendapatan hingga 1 juta Yuan setahun menerusi penjualan model-model berkenaan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Alhamdulillah, 67 rakyat Malaysia yang terperangkap di Aden, Yaman selamat

Kerajaan sedang berusaha mengeluarkan 67 rakyat Malaysia yang terperangkap di Aden, Yaman.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya sedang mencari opsyen terbaik untuk membawa mereka keluar dari Aden.

“Alhamdulillah, mereka semua berada dalam keadaan selamat.

“Kementerian saya sudah mengenal pasti kesemua rakyat yang masih terperangkap di Aden,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.  

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, 108 daripada kira-kira 600 rakyat Malaysia sudah keluar dari Hadramaut.

Menurutnya, 101 sudah berada di Salahah, Oman manakala tujuh orang lagi kini berada di Al-Mazyunah di sempadan Oman.
Penduduk Aden mengerumuni kereta kebal milik angkatan bersenjata pro Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi selepas pertempuran tercetus bersama pemberontak Houthi di bandar selatan tersebut, kelmarin.

“Tujuh orang ini terperangkap di Al-Mazyunah kerana mengalami masalah dokumen perjalanan termasuk pasport.

“Kedutaan kita di Oman sedang berurusan dengan pihak berkuasa di sana untuk menyelesaikan masalah mereka semua,” katanya dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Kementerian Pertahanan, di sini, semalam.

Beliau berkata, dua pesawat Hercules C130 milik Angkatan Tentera Malaysia sudah tiba di UAE, kelmarin.    

Katanya, salah sebuah daripada pesawat tersebut sudah siap sedia untuk diterbangkan ke Oman bagi membawa pulang rakyat Malaysia.

“Tentera Udara Diraja Malaysia sedang berbincang dengan Jawatankuasa Evakuasi Malaysia dari segi pengurusan logisitik, dokumen perjalanan serta urusan penerbangan ke Malaysia,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

AirAsia perkenal khidmat layan diri bagasi

SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) memperkenalkan pilihan ‘self bag drop' dan 'self bag tag’ bagi semua penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, pengguna di hub selatan itu boleh menikmati perkhidmatan layan diri yang lengkap bermula 20 April depan.

Menurutnya, pemilihan Johor sebagai hub pertama perkhidmatan itu berdasarkan maklum balas memberangsangkan daripada pengguna AirAsia di negeri ini.

“Pihak kami merekodkan sehingga 70 peratus pengguna AirAsia di Johor Bahru menggunakan perkhidmatan daftar masuk sendiri dan ‘self bag tag’.

“Pada peringkat permulaan, dua mesin perkhidmatan itu diletak di Lapangan Terbang Senai sebelum diperkenal di Lapangan Terbang Don Meng Phuket Thailand dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,” katanya selepas Majlis Pelancaran ‘Self Bag Drop dan Self Bag Tag’ di Johor Bahru.

Aireen berkata, ‘self bag drop’ membolehkan penumpang mendaftar masuk bagasi masing-masing tanpa perlu beratur di kaunter daftar masuk.

Menurutnya, ia lebih menjimatkan masa kerana hanya mengambil masa selama 35 saat hingga dua minit sahaja.

“Kedua-dua ciri ‘self bag drop' dan 'self bag tag’ sedia digunakan dari tiga jam bagi penerbangan antarabangsa dan dua jam bagi domestik sehingga 60 minit sebelum pelepasan penerbangan seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

‎"Saya tidak kenal Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes itu" - Datuk Seri Najib

‎"Saya tidak kenal Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes itu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan pengacara dalam program wawancara khas yang disiarkan TV3, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persoalan mengenai perkara itu seperti yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.

‎Tambah Najib, isu dirinya yang dikaitkan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi ini merupakan 'cerita lama' yang timbul pada 2008.

"Saya sudah lafaz sumpah yang saya tidak mengenali Altantuya dan tidak terlibat secara langsung sama sekali dengan Altantuya.

"Pak lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) iaitu Perdana Menteri yang terdahulu juga sudah mengesahkan perkara ini termasuk Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) pada masa itu juga sudah buat kenyataan saya tidak terlibat," katanya lagi.

Menurut Najib lagi, mahkamah juga tidak ada bukti atau saksi untuk mengaitkan beliau terlibat dalam kes itu.

"... takkan kita nak pertikai integriti mahkamah," katanya lagi.

Ketika disoal pengacara, sama ada Najib pernah disoal Dr Mahathir mengenai kes Altantuya, Najib berkata, beliau pernah membincangkan perkara itu sekali.

"Beliau tak persoal penglibatan perkara ini secara langsung kepada saya. Isu ini tak berbangkit sama sekali. 

"Saya sendiri, sebagai Perdana Menteri pergi ke rumah beliau untuk berbincang," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Stress? Baca ni

SITUASI: "Suatu pagi selepas mandi kita melihat di depan cermin ada seketul jerawat batu tumbuh di hidung. Sedangkan pada hari itu ada satu majlis penting yang perlu dihadiri." Stres bukan?

Atau, "Suatu pagi kita bangun pagi hendak pergi ke tempat kerja. Tiba-tiba kenderaan tidak dapat dihidupkan kerana petrol sudah habis. Dan pagi itu bos akan mengadakan mesyuarat penting." Apa perasaan?

Begitulah seterusnya...

Itu adalah beberapa contoh kecil permasalahan dan situasi yang sering kita hadapi sepanjang hari sepanjang hidup. Ia tidak berkesudahan selagi manusia masih bernafas dan jantungnya masih berdenyut.

Kata Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang sahih maksudnya: "Setiap manusia itu diciptakan dalam keadaan teruji (muftaan)."

Setiap hari yang dilalui, setiap nafas yang dihembus dan setiap nadi yang berdenyut; adalah modal untuk anak Adam beramal, diuji dan teruji untuk meraih pahala daripada ALLAH SWT.

Demikian janji ALLAH dalam al-Quran yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar daripada orang-orang yang telah diberikan kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)." (Surah Ali Imran: 186)
Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan antara hikmah ayat ini diturunkan adalah untuk membezakan antara mukmin yang sejati dan selainnya. ALLAH akan menguji hambanya dengan harta, ibadah yang berat pada kebanyakan orang seperti jihad dan seumpama dengannya.

Disebutkan golongan ulama bahawa dunia ini adalah tempatnya kita berladang, bertani dan bercucuk tanam. Sudah barang tentu tiada usaha yang tidak mengeluarkan peluh dan perlu berletih-letih melakukannya.

Tercipta sebuah kaedah: "Setiap ganjaran tergantung kepada kepada jenis amalnya." Semakin baik amalnya maka semakin besar ganjaran pahala daripada ALLAH. Semakin sungguh-sungguh ia dilakukan menepati sunnah Nabi SAW, semakin tinggi darjat amalnya disisi ALLAH.

Apakah pernah kita melihat seorang petani bekerja dalam keadaan selesa tanpa berkeringat sedikit pun? Dan bagi yang ikhlas setiap titis peluh itu kelak akan termasuk dalam hitungan ALLAH Yang Maha Halus penelitian-Nya.

Maka tidak hairan kita melihat dan membaca kisah para nabi dan orang soleh. Mereka tidak pernah jemu beribadah sekalipun sudah mengetahui jaminan kedudukan mereka di syurga.

Nabi Daud berpuasa selang sehari sepanjang hayatnya. Nabi SAW solat malam sehingga bengkak kakinya. Demikian seterusnya.

Walaupun mereka diuji dengan ujian yang amat besar dan mencabar. Mereka tidak pernah berasa stres atau tertekan sehingga meninggalkan ibadah yang mereka lakukan.

Lihat Nabi Ayyub AS yang ALLAH uji dengan penyakit kronik bertahun-tahun. Baginda tetap mengucapkan Alhamdulillah dan reda dengan apa yang berlaku. Habis semua hartanya dan wafat semua anaknya, Baginda tetap reda. Sehingga ALLAH menyebutkan baginda sebagai hamba yang bersabar.

Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; dia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya)." (Surah Shad: 44)

Sebesar mana stres kita?

Justeru, ketika kita stres dengan sebutir jerawat batu atau petrol kenderaan yang habis, maka wajar kita bandingkan dengan mereka yang jauh lebih besar diuji.

Jika terlalu jauh untuk membandingkan dengan para Nabi dan orang soleh terdahulu, bandingkan sahaja dengan rakan sepejabat atau jiran-jiran kita.

Dalam kalangan mereka ada yang diuji dengan penyakit kronik. Bukan sahaja jerawat. Juga ada yang diuji dengan kenderaan dicuri, bukan sekadar petrol habis.

Rumah kita dilanda banjir separas lutut, rumah orang lain ada yang dilanda banjir separas pinggang bahkan ada yang separas bumbung rumah.

Rumah kita dimasuki pencuri. Ada rumah lain dirompak, dicederakan, dibunuh dan dibakar! Nauzubillah.

Ada orang stres kerana pekerjaannya berat tidak tertanggung. Seorang cikgu berasa stres kerana sistem baharu yang diperkenalkan menambah beban kerja mereka. Namun jika dibandingkan dengan doktor di hospital kerajaan yang bekerja 36 jam secara terus-menerus. Ini pengalaman penulis sendiri ketika dimasukkan ke dalam wad selama dua minggu.

Mana lebih terbeban dengan nelayan mengerah keringat menurunkan pukat dan kemudiannya menariknya kembali dengan sedaya-upaya demi sesuap nasi! Siapa lebih berat pekerjaannya dan lebih patut berasa stres?

Dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja akhbar harian dan lihat betapa beruntungnya kita dan berapa perlunya kita reda dan bersyukur dengan ujian yang ALLAH timpakan kepada kita.

Penulis pernah menemui seorang guru di Kota Sarang Semut, Kedah, yang baharu kehilangan seluruh anggota keluarganya akibat tsunami 2004. Jika bukan kerana dikhabarkan oleh guru yang lain maka siapa pun tidak akan menduga ujian yang telah dilalui. Beliau tetap tenang dan ceria seperti orang lain.

ALLAH berjanji tidak akan menguji hamba-Nya lebih daripada apa yang hamba-Nya mampu. Dan ALLAH itu Maha Menepati Janji.

Makanya janganlah stres! Ucapkan seperti yang Nabi SAW ajarkan: "Innalillahi ilaihi rojiun. Allahumma’jurni fi musibati. Wakhlifli khoiran minha." Maksudnya: "Sesungguhnya kepada ALLAH kami kembali. Ya ALLAH berikan ampunan atas ujian yang menimpaku. Dan berikan ganti yang lebih baik darinya." (Riwayat Muslim)

Kesenangan hanya akan muncul selepas kesusahan. Pepatah Melayu lama menyebut: "Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang." Lazimnya pelangi akan muncul selepas hujan. Tersenyumlah!

Sinar Harian

Baca lagi >>

Norman, Memey timang cahayamata kedua

PELAKON Memey Suhaiza yang juga isteri kepada Norman Hakim selamat melahirkan cahaya mata kedua mereka malam kelmarin.

Perkara ini disampaikan Norman Hakim menerusi video yang dimuatnaik menerusi laman Instagramnya.

Bayi lelaki itu dilahirkan jam 9.57 malam kelmarin dengan berat 3.45 kilogram.

Norman dan Memey telah mendirikan rumah tangga pada 2011 dan sebelum ini telah dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Mohamed Darwisz Hakim.

Sinar Harian

Baca lagi >>