Thursday, 9 April 2015

Alhamdulillah, pembedahan injap jantung adik Nazmi berjaya

PEKAN – Berkat doa, sokongan dan bantuan semua pihak, Mohamad Nazmi Haziq, 3, berjaya dalam pembedahan injap jantung pada 24 Mac lalu.

Pembedahan yang memakan masa kira-kira lima jam di Institut Jantung Negara (IJN) itu memberi sinar baru kepada Mohamad Nazmi menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.
Mohamad Nazmi sejurus menjalani pembedahan injap jantung di IJN.

Ibunya, Khamsiah Omar, 45, berkata, keresahan yang dirasainya dan suami, Mazlan Zakaria, 46, terlerai selepas melihat anak bongsu mereka keluar dari bilik pembedahan.

“Beberapa kali melihat tubuh kecil Adik (Nazmi) berselirat wayar dan tiub selepas menjalani pembedahan pastinya mengundang rasa sayu kami yang seolah-olah turut merasai kesakitan yang ditanggungnya.

“Namun, rasa syukur kepada ALLAH SWT lebih besar dipanjatkan di dalam hati apabila Adik selamat menjalani pembedahan walaupun tahu ada risiko yang menanti kami semua,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Khamsiah berkata, pembedahan memasang injap jantung baru ini berjaya meluaskan saluran pernafasan Adik yang kian sempit berikutan injap yang dipasang ketika berusia 40 hari tidak lagi mampu menampung keperluan oksigen yang sepadan dengan dirinya yang semakin membesar.

“Selepas dibenarkan keluar wad IJN pada 31 Mac lalu, keadaan kesihatan Adik tidak begitu stabil dan dimasukkan ke Hospital Pekan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman.

“Semua kesukaran itu dilalui Adik dengan semangat juang tinggi dan dia semakin sembuh selepas doktor yang merawat membenarkan Adik pulang ke rumah 2 April baru-baru ini,“ katanya.

Adik kini makin ceria malah sentiasa aktif bermain seperti kanak-kanak sebaya walaupun masih dalam proses  sembuh setelah menjalani pembedahan penting kira-kira dua minggu lalu.

“Melihat keletah Adik yang suka tersenyum dan ketawa begitu menggembirakan hati saya dan suami yang amat bersyukur dengan keadaan dirinya kini.

“Kami juga ingin menyampaikan rasa penghargaan kepada semua pihak terutamanya keluarga serta orang ramai yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kos pembedahan ditanggung kami sekeluarga,” katanya.

Khamsiah turut mengakui, masih ada dugaan yang bakal dihadapi dia dan suami berikutan beberapa siri pembedahan melibatkan usaha membuat lelangit, gigi dan lain-lain di Hospital Kuala Lumpur (HKL) perlu dijalani Adik pada suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“HKL ada memberi tarikh pembedahan pada Mei depan, namun saya meminta pihak hospital memberi tempoh penangguhan kerana tidak sampai hati melihat keadaan Adik yang baru sahaja selesai dan pulih dari pembedahan memasang injap jantung kekal baru-baru ini,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hebat! Nicol hampir 9 tahun bergelar pemain nombor satu dunia

DATUK Nicol Ann David berharap pemain junior kebangsaan mampu mempamerkan minat yang mendalam dalam sukan skuasy hingga ke peringkat lebih tinggi.

Pemain skuasy nombor satu dunia, Nicol berkata, program pembangunan skuasy juga perlu diperhalusi dengan memberikan bimbingan yang betul untuk bakat muda.
Nicol bersama poster khas yang disampaikan penaja, CIMB Malaysia.

“Kita mempunyai banyak pemain junior dan perlu memberikan mereka galakan untuk membolehkan merasa seronok dan gembira bermain skuasy.

"Kita mempunyai satu program pembangunan junior. Banyak pemain junior yang datang menyertai antara 500 ke 700 kanak-kanak.

"Kesemua mereka mahu bermain dengan baik tetapi saya boleh melihat ada antara mereka yang terlalu mahukannya dan ada yang tidak berapa pasti hala tuju mereka," katanya.


Elak beri tekanan

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, permainan skuasy cukup menyeronokkan apabila bermain bersama rakan sepermainan.

Tetapi,  untuk berjaya sehingga di pentas antarabangsa, pemain jangan sesekali diberikan tekanan terlalu tinggi dan boleh mengakibatkan mental seseorang pemain akan jatuh.

“Skuasy adalah amat menyeronokkan, mereka boleh berseronok bersama rakan dan menikmatinya.

"Jangan memberikan tekanan untuk menjadi seperti saya atau Low Wee Wern,” katanya kepada pemberita pada satu majlis menghargai pencapaian Nicol sebagai pemain nombor satu semasa dunia paling lama oleh CIMB, penaja kejuaraan, baru-baru ini.

Faktor Liz Irving

Nicol juga melahirkan perasaan terhutang budi kepada jurulatihnya Liz Irving yang membantu beliau selama 12 tahun di dalam skuasy untuk muncul sebagai pemain yang menyerlah dan berdaya saing dalam menjadi pemain nombor satu dunia untuk 106 bulan.

“Sebagai jurulatih pemain skuasy, beliau memahami apa yang saya perlukan. Beliau memberikan segala nasihat dan kepakaran.

"Saya bermula dari bawah dan kosong pengalaman. Irving banyak mencurahkan budi pengalaman dan memperbaiki teknik permainan saya hingga berada pada tahap ini.

"Beliau mencari dan memilih mereka yang tepat untuk bekerja dengan saya sebagai satu pasukan. Saya fikir beliau juga tidak terlalu mengongkong anak didiknya," katanya.

Masih dahaga kejuaraan Biarpun menghabiskan kira-kira 15 tahun dalam Siri Jelajah, Nicol jelas masih mahukan lebih banyak gelaran selepas ini.

Katanya, impiannya adalah satu, 'lakukan dan menang' setiap pertandingan disertai.

Ini kerana, Nicol akan bersaing di Terbuka British pada 11 hingga 17 Mei depan dalam misi mempertahankan gelaran.

Sebelum itu,  beliau akan mengambil bahagian di Kejohanan Individu Asia di Kuwait pada 1 hingga 5 Mei depan.

"Banyak halangan perlu saya tempuh. Jadi, mental dan fizikal harus bersedia," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Semua diemput ke Pameran Tok Guru di Muzium Islam Kelantan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengalu-alukan individu yang memiliki khazanah Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat agar tampil menyerahkannya untuk tatapan pengunjung sempena Pameran Tok Guru, yang bermula semalam.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata,koleksi yang dimaksudkan mungkin dalam bentuk aset, ucapan, nasihat atau ceramah Allahyarham.
Ahmad (tiga, kanan) ketika melawat Pameran Tok Guru di Muzium Islam Kelantan.
- Foto Unit Komunikasi Menteri Besar Kelantan

“Kemukakan semula untuk dibukukan agar rakyat hari ini mendapat manfaat. Pameran ini menggamit nostalgia arwah Tok Guru dalam kalangan pemimpin hari ini dan rakyat. Tidak mustahil inspirasi daripada pameran ini memberi motivasi kepada kita untuk terus membangun bersama Islam.

“Allahyarham sebagai murabbi ummah yang berjaya mendidik rakyat Kelantan, khususnya dalam mendekati diri kepada pencipta ALLAH SWT.

"Saya antara pemimpin lama yang bersama-sama dalam pentadbiran, rasa hormat dan sayang sangat menebal untuk arwah Tok Guru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Pameran Tok Guru di Muzium Islam, anjuran Perbadanan Muzium Kelantan, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman.

Pameran Tok Guru mempamerkan kira-kira 40 koleksi gambar daripada pelukis terkenal, foto kenangan Allahyarham dan catatan peribadi semasa hayatnya sebagai  Menteri Besar Kelantan.

Selain itu koleksi peribadi Allahyarham Nik Abdul Aziz  seperti baju, tongkat, kopiah, sejadah, cermin mata dan bag yang digunakan ketika mula-mula menjadi wakil rakyat turut dipamerkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan, Abustarim Yaacob berkata, pameran tersebut dibuka kepada orang ramai selama seminggu secara percuma pada setiap hari kecuali Jumaat.

"Selepas tempoh seminggu, bayaran akan dikenakan iaitu RM4 untuk pelancong asing dan RM3 bagi pelancong tempatan, sementara warga emas, pelajar Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika)  dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) tidak dikenakan bayaran.

“Pameran ini akan berterusan. Buat sementara waktu, kita adakan  di Muzium Islam sehinggalah satu galeri khas dibuka untuk Pameran Tok Guru ini,”katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ayam serama pun naik harga juga, tempias GST

KOTA BHARU - Tempias pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa 1 April lalu secara tidak langsung turut beri kesan kepada kenaikan harga ayam serama.

Pengerusi Ayam Serama Malaysia, Sahasdi Yusoff berkata, peningkatan harga jualan haiwan peliharaan itu naik, susulan peningkatan kos penjagaannya yang turut mengalami peningkatan termasuk harga makanan asas.
Ayam serama bernilai RM25,000 milik seorang pencinta ayam serama di Kelantan.

“Kebiasaannya, saya beli dedak dengan harga RM2.30 sekilogram (kg), tetapi semalam, harganya sudah mencecah RM2.50 hingga RM2.80 bagi setiap kg. Itu baru kos makanan asas dan belum lagi makanan tambahan serta perbelanjaan perubatan yang sudah tentu lebih tinggi.

“Jadi, bagi menampung kos tersebut, harga seekor ayam serama juga sudah tidak sama seperti dulu. Contohnya, kalau dulu boleh dapat RM100 seekor, kali ini mungkin dijual dengan harga sekitar RM150 hingga RM200” katanya.

Sahasdi berkata, kebiasaannya harga anak ayam serama berusia sebulan dijual serendah RM30 setiap seekor dan harga itu boleh mencecah RM40,000 bergantung keupayaan ayam itu memukau peminat dengan kecantikan dimiliki dan ‘gerak tari’ dipersembahkan.

“Berapa pun nilai harganya, saya percaya peminat tidak akan banyak berkira dalam soal kos penjagaannya kerana minat mereka terlalu mendalam.

"Ia tidak akan jadi penghalang atau kekangan daripada terus ‘mencintai’ haiwan genit ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga makanan dan keperluan asas haiwan yang enggan dikenali berkata, harga makanan binatang peliharaan di kedainya masih dijual dengan harga sama walaupun selepas GST dilaksanakan.

“Harga sama juga saya dapat daripada pembekal dari Pulau Pinang, jadi saya tidak mahu ambil kesempatan terhadap peminat haiwan dengan naik harga dedak atau makanan tambahan kerana saya juga pencinta haiwan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Anak disangka tidur, rupanya telah meninggal dunia

KERTEH – Seorang pemandu lori berusia 24 tahun ditemui mati terbaring di dalam sebuah bangsal kayu dalam kejadian di Kampung Labohan, di sini, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Mayat pemuda berkenaan dijumpai bapanya  yang masuk ke bangsal itu untuk mengejutkan anaknya itu yang bekerja di sebuah syarikat di kawasan perindustrian Kerteh.
Gambar hiasan

Pemuda itu yang belum berumah tangga bekerja sebagai pemandu lori sejak empat tahun lalu dan tinggal berseorangan di bangsal berkenaan yang terletak dalam kawasan rumah keluarganya.

Sebelum kejadian, bapa pemuda berkenaan dikatakan melihat anaknya itu terbaring di atas lantai bangsal namun menyangka anaknya tidur kerana keletihan dan tidak mengesyaki apa-apa.

Bapa mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, bagaimanapun selepas beberapa kali cuba mengejutkan dan memanggil anaknya itu, tiada sebarang reaksi menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.

Menurutnya, apabila diperiksa, badan anaknya itu sejuk dan kaku, dia kemudian segera menghubungi Balai Polis Kerteh untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Katanya, anaknya itu sebelum ini kelihatan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kronik atau penyakit berbahaya lain.

Anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengesahkan pemuda berkenaan telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Normansah Din mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Setelah kita lakukan bedah siasat kita dapati kes tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bermula dengan sebiji nangka, akhirnya menjadi sumber pendapatan tetap

KULIM - Hanya berbekalkan sebiji nangka, seorang bekas pekerja swasta mampu memperoleh sumber pendapatan tetap.

Nasrul Zairi, 31, berkata, dia menjalankan perniagaan menjual nangka madu itu sejak dua tahun lalu secara sambilan namun ia lebih menguntungkan dan mengambil keputusan berniaga sepenuh masa.

“Saya pun tak menyangka idea daripada abang yang mencadangkan menjual nangka madu sekarang menjadi sumber pendapatan tetap.

“Saya tak perlu lagi bekerja kilang yang memenatkan sehingga tak ada masa dengan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, selain mudah untuk mendapatkan bekalan ia juga tidak memerlukan banyak perkakasan bagi mengekalkan kesegaran nangka tersebut.

“Ia mudah, tak perlu ada peti sejuk beku untuk simpan, beli sahaja nangka kemudian potong dan masukkan dalam plastik setelah ditimbang sebelum dijual kepada pelanggan,” katanya.

Nasrul yang juga mempunyai  dua anak juga berkata, nangka madu yang dijualnya juga mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai kaum dan usia.

“Selalu kebanyakan wanita lebih menggemarinya  terutama pada waktu panas,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Peserta Rumah Ngaji dibahagikan kepada tiga kategori; lancar, tersekat-sekat dan langsung tidak boleh membaca al-Quran

KOTA BHARU - Rumah Ngaji Sinar Harian Kelantan mengelaskan peserta yang berkebolehan membaca al-Quran dan kurang lancar sebagai usaha memudahkan pengajaran.

Tenaga pengajarnya, Ahmad Sahibul Akmal Mohamad berkata, pengkelasan itu dipecahkan kepada tiga kategori iaitu lancar, tersekat-sekat dan langsung tidak boleh membaca al-Quran.
Peserta yang mengikuti program Rumah Ngaji hari kedua di pejabat Sinar Harian, Pengkalan Chepa, semalam.

“Pengelasan ini dibuat selepas mengenal pasti kebolehan peserta Rumah Ngaji Sinar Harian Kelantan  menerusi bacaan yang dilakukan seorang demi seorang.

“Peserta yang lancar dan tersekat-sekat membaca al-Quran diminta hadir pada setiap Rabu, manakala yang kurang lancar perlu hadir pada setiap Isnin,” katanya pada hari kedua program Rumah Ngaji di pejabat Sinar Harian, Pengkalan Chepa, di sini, yang dihadiri lebih 50 peserta, semalam.

Ahmad Sahibul Akmal berkata, dia mempunyai pendekatan tersendiri selepas mengelaskan semua peserta bagi tujuan mengenal, membaca dan menghafal 30 juzuk al-Quran.

“Saya mahu peserta membuat praktis mengaji al-Quran di rumah dan tidak mengharapkan kelas semata-mata.

“Selepas ini, saya akan mengajar mereka membacanya secara serentak helaian demi helaian bersama-sama dan menyasarkan mampu khatam 30 juzuk al-Quran,” katanya.

Selain sentiasa istiqamah semasa hadir mempelajari al-Quran, Ahmad Sahibul Akmal juga mahu peserta membulatkan tekad menghafal sebaris ayat sehari dalam usaha tersebut.

Sementara itu, peserta, Wan Jaafar Wan Ibrahim, 62, dari Pasir Tumboh, mengakui, banyak tempat mengaji al-Quran percuma ditawarkan di Kelantan, tetapi program dianjurkan Sinar Harian mendapat sambutan.

“Ini adalah peluang terbaik dan saya percaya program Sinar Harian ini akan mendapat sambutan luar biasa suatu hari nanti kerana sistem pengajaran yang diperkenalkan sistematik dan mudah,” katanya.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Nik Mat-Mahmood Al-Daudi, 65, pula berkata, pengajaran al-Quran secara asas diperkenalkan Rumah Ngaji sangat memudahkan peserta untuk belajar.

Sinar Harian

Baca lagi >>