Tuesday, 7 April 2015

Lori dengan muatan tepung terbalik di Lebuhraya PLUS

ALOR SETAR - Tiga orang cedera apabila sebuah lori dengan muatan tepung terbalik di Kilometer 53.9 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Utara hari ini.

   
Dalam kejadian 11 pagi itu, lori yang dinaiki mangsa dipercayai terlanggar pembahagi jalan sebelum terbalik melintang jalan.
   

Pegawai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Zaidi Mazuki berkata, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 11.06 pagi.
      
Zaidi berkata, pihaknya mengambil masa setengah jam bagi mengeluarkan pemandu lori berkenaan yang tersepit dalam kenderaan terbabit.
   
Dua lagi pembantu nya turut cedera dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.
   
Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, beliau terdengar bunyi dentuman yang kuat di tempat kejadian dan melihat tepung berterabur di atas jalan dan di ruang udara. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wanita dalam nahas helikopter kenalan juruterbang

Polis mengesahkan wanita dalam nahas helikopter di sini Sabtu lepas, yang identitinya masih belum dikenal pasti, merupakan kenalan kepada juruterbang Clifford William Fournier, yang turut maut dalam kejadian itu.


Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata polis tidak menolak kemungkinan wanita itu adalah Aidana Baizieva, seperti dalam daftar penerbangan helikopter itu yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, tetapi ujian DNA perlu dijalankan sebelum dapat disahkan.


Katanya hasil ujian yang dibuat ke atas mangsa wanita dalam kejadian itu, ia merupakan mayat wanita berusia 25 tahun.

"Polis berpuas hati dengan keputusan siasatan yang dijalankan. Bagaimanapun identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti dan memerlukan masa," katanya dalam sidang media berhampiran lokasi nahas hari ini.

Abdul Samah berkata polis telah pergi ke rumah Aidana iaitu sebuah pangsapuri di Pantai Dalam, Kuala Lumpur untuk mengambil beberapa barang, dokumen dan spesimen milik mangsa untuk ujian DNA bagi mengesahkan identiti mangsa keenam nahas helikopter itu.     

"Polis menemui bukti tiket penerbangan mangsa (Aidana) ke Langkawi pada 21 Mac lalu semasa LIMA (Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi)  sedang berlangsung tertera namanya dan juruterbang terbabit (Fournier). Juruterbang itu mempunyai akses masuk ke kediaman wanita itu," katanya.

Abdul Samah berkata siasatan polis mendapati Aidana merupakan pelajar jurusan diploma pelancongan di tiga buah kolej iaitu Sunway University, Lim Kok Weng Universiti dan Segi College.

"Dia belajar di tiga kolej itu pada tahun 2010 hingga 2014 dan mendapat diploma dari Segi College pada 10 Okt lalu," katanya. 

Berikutan itu, polis mengambil keterangan daripada rakan-rakan wanita itu. 

"Wanita itu amat berminat untuk menjadi seorang juruterbang, selain itu, ada saksi yang pernah melihat mereka (Aidana dan Fournier) terbang menaiki helikopter bersama beberapa kali sebelum insiden," katanya yang meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai wanita itu.

Sekiranya identiti mangsa tidak dikenal pasti lagi, polis akan mengambil langkah terakhir iaitu menghubungi ayah Aidana yang berumur 75 tahun di Kyrgyzstan untuk membuat ujian DNA dan mengenal pasti mangsa.

Sementara itu, mayat juruterbang warga Amerika Syarikat itu dibawa keluar dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pukul 8.15 malam tadi.

"Mayat telah dituntut oleh sebuah syarikat pengurusan jenazah tempatan dan kini diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat. Pihak kedutaan akan membuat keputusan sama ada mayat akan disemadikan di sini ataupun dibawa pulang ke negara asal," katanya.    

Siasatan tragedi nahas helikopter yang mengorbankan enam orang termasuk anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias masuk hari keempat hari ini. 

Dalam kejadian Sabtu lepas, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-1GB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang. 

Dua lagi yang maut dalam kejadian itu adalah pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hampir 30 tahun mengkaji agama, akhirnya sami memeluk Islam


MELAKA - Hampir 30 tahun mengkaji setiap agama di dunia ini, akhirnya seorang sami Buddha berusia 66 tahun mengambil keputusan memeluk Islam.

Pengalaman menjadi sami selama 28 tahun di Taiwan mendorong lelaki yang enggan identitinya itu didedahkan, mencari kebenaran dan akhirnya mengakui Islam merupakan satu agama yang indah dan sempurna.
Majlis pengislaman sami berusia 66 tahun disempurnakan Abdul Rahim di Masjid Cina, Melaka,

Semalam, lelaki terbabit mengucap dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Cina, di sini.

Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (Macma), Lim Jooi Soon berkata, sepanjang menjadi sami di Taiwan, lelaki berkenaan banyak menghabiskan masa mengkaji setiap agama di dunia ini.

"Semasa menjadi sami, dia begitu banyak mengkaji tentang banyak agama di dunia ini. Dalam pengkajian itu, dia cuma menemui Islam sebagai sebuah agama paling lengkap dan meliputi segala aspek setiap kali berhujah.

“Dia banyak melihat agama Islam ini semakin berkembang, tetapi dia tidak tahu puncanya," katanya.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Johor itu datang ke negeri ini sejak tiga minggu lalu.

"Akhirnya, dia berjumpa saya dan saya telah menerangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini menyebabkan dia tertarik untuk memeluk Islam,” katanya selepas majlis itu semalam yang disempurnakan penaung Macma, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin dan Mufti negeri, Datuk Dr Mohadis Yasin.

Jooi Soon berkata, kini tugas Macma adalah untuk membimbingnya agar dapat mengetahui ajaran Islam secara mendalam.

“Kerja kami baru hendak bermula untuk mengajarnya dan kami hanya boleh mengajar dalam bahasa Mandarin kerana dia tidak fasih bahasa Melayu dan Inggeris. Ia mungkin menuntut sedikit kesabaran,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama semalam turut menyaksikan pengislaman seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 31 tahun.

Menurut Jooi Soon, lelaki dikenali sebagai Teo itu dikatakan ditemui ketika hidup di dalam gelandangan dan hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk sesuap nasi.

“Dia mengalami kecacatan anggota kaki dan tangan. Rakan-rakan kami menemuinya sehingga akhirnya kami dakwah dia untuk tertarik terhadap Islam.

“Paling mencabar lagi bagi kami, OKU ini juga tidak berpelajaran dan tidak tahu membaca,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kereta terbalik ke dalam longkang di Kuala Pilah

KUALA PILAH – Sepasang suami isteri berhadapan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terbalik ke dalam longkang di Jalan kampung Inas, Dingir, kira-kira jam 6 pagi, semalam.


Bagaimanapun kedua-dua mangsa, Abu Bakar Haizar, 29, dan isterinya, Norafidah Yazid, 28, yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi hanya mengalami cedera ringan.

Penduduk kampung yang ingin dikenali Anuar, 40-an berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan dari Rumah Rakyat Sungai Layang Rembau menuju ke Simpang Durian, Jelebu.

“Tiba di selekoh jalan ini, kereta dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan hingga melanggar tembok longkang sebuah rumah.

“Bunyi dentuman kuat menyebabkan penduduk berhampiran keluar melihat insiden tersebut," katanya.

Tambah Anuar, kedua-dua mangsa dalam keadaan trauma dan penduduk telah membantu mengeluarkan mereka melalui pintu belakang kereta.

"Mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan lanjut," katanya.

Kata Anuar, jalan kampung itu merbahaya terutama di selekoh tajam ditambah pula cuaca masih gelap.

“Saya berharap pengguna lebih berwaspada kerana jalan kampung ini agak kecil dan banyak selekoh merbahaya” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian dan kemalangan itu disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Gemok is awesome?

PAKAR pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri Abdul Ghaffar, menyuarakan hasrat untuk membantu mengubah gaya hidup.


Melalui sebuah perkongsian di laman sosial Facebook, Kevin yang juga pengasas kepada program Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) berkata, seorang selebriti sentiasa berdepan dengan tekanan untuk mencapai jangkaan masyarakat.

"Tak kisah jika anda Angelina Jolie, Abam Bocey ataupun Kevin Zahri. Setelah seseorang membina nama di atas penampilan tertentu, akan ada tekanan (dalam usaha) untuk  kekalkannya. Itu yang membimbangkan saya untuk Abam Bocey," kata Kevin.

Sebelum ini, pelawak Abam Bocey mengasaskan hashtag #‎gemokisawesome dan terdapat tanggapan individu berbadan besar tidak akan menjaga berat badan sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

"Apabila saya lihat kedudukan Abam Bocey, ia mengingatkan saya kepada allahyarham Bob Kuman yang juga membina nama sebagai pelakon dan penghibur berbadan besar.

"Allahyarham berhubung dan berjumpa dengan saya untuk kurangkan berat badan dalam  setahun sebelum kembali ke rahmatullah tapi pada masa tersebut keadaan kesihatan dah pun mengganggu pergerakan dan gaya hidup beliau," jelasnya.

"Tawaran ikhlas saya kepada Abam Bocey, (atau) mana-mana selebriti tanah air, dan para pembaca di sini: pada waktu dan masa yang anda ingin mengubah gaya hidup (tak kira bila), saya dan keluarga JK1M sedia untuk membantu anda, insya-ALLAH," akhiri beliau.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Dua beranak maut terkena renjatan elektrik di Banting

SHAH ALAM - Seorang bapa dan anak lelakinya yang baru berusia dua bulan maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Sungai Buaya, Kampung Chodoi, Banting hari ini.

   
Mangsa dikenali sebagai Mohd Amir Jiran, 45, manakala nama bayi tidak dapat dikenal pasti.
   
gambar hiasan

Ketua Balai Bomba Banting Mohd Jaslizad Jalil ketika dihubungi Bernama berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 3.39 petang dan jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
   
"Difahamkan renjatan elektrik itu berpunca daripada kipas di rumah baharu mangsa yang masih dalam pembinaan, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya.
   
Mohd Jaslizad berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai rumah itu ketika bomba tiba di tempat kejadian.
   
Katanya pasukan perubatan kemudian mengesahkan Mohd Amir meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya meninggal dunia di klinik kesihatan berhampiran.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kubah masjid di Gemencheh disambar petir

GEMENCHEH – Penduduk Felda Bukit Jalor, di sini gempar apabila kubah Masjid Kariah Felda Bukit Jalor disambar petir dalam kejadian hujan lebat berserta petir, petang kelmarin.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Jalor, Rosli Baharudin berkata, kejadian berkenaan berlaku selepas solat Asar kira-kira jam 5 petang.


"Sebelum kejadian seorang siak, Roslan Deresa, berada di dalam masjid sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

“Sejurus selepas elektrik tiada, kubah masjid disambar petir menyebabkan serpihan kubah itu tercampak ke atas jalan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Rosli berkata, kejadian tersebut kali pertama berlaku selepas masjid berkenaan didirikan sejak 1970-an.

"Kubah di masjid ini tidak pernah diganti baru sejak dibina dan penduduk serta jawatankuasa masjid dari masa ke masa sering membersihkan dan mengecatnya supaya kelihatan baru dan bahagian bawah kubah menempatkan suis utama bagi bekalan elektrik masjid," katanya.

Rosli berkata, berikutan itu, ahli jawatankuasa masjid diminta untuk membuat permohonan bantuan baik pulih kerosakan kubah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Sinar Harian

Baca lagi >>