Monday, 6 April 2015

Tak boleh sapu ubat gigi, kicap pada kulit melecur

Kepercayaan umum bahawa ubat gigi, kicap atau minyak gamat boleh mengelak kelecuran adalah tidak benar, kata pakar bedah plastik dan rekonstruktif Hospital Umum Sarawak (HUS) John Ranjit Nesaraj.

Bercakap dalam forum umum sempena program Kesedaran Kelecuran di sini, hari ini, beliau berkata tindakan menyapu bahan berkenaan pada kulit yang melecur hanya akan menyebabkan kesan melecur menjadi bertambah serius.

Beliau berkata, tindakan meletakkan ketulan ais pada kulit yang melecur juga boleh memudaratkan.


Sebaliknya, menurut John mangsa perlu menyejukkan bahagian yang melecur dengan mengalirkan air yang bersih selama 20 hingga 30 minit di bahagian yang melecur.

“Jika langkah ini tidak dilakukan ia akan menyebabkan bahagian yang melecur merebak lebih dalam dan lebar,” jelasnya.

Katanya, jika kawasan yang melecur telah sejuk, sapukan losyen yang mengandungi aloe vera, antibiotik atau pelembap kerana ia akan menjadikan kulit lebih selesa dan lembap.

John yang juga pengelola program berkenaan berkata ia diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang rawatan awal menangani sebarang kes kelecuran sementara menunggu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Selain itu, katanya, ia juga bertujuan memberi pendidikan kepada orang awam tentang situasi berisiko tinggi yang boleh mengakibatkan kelecuran serta cara-cara pencegahan.

Turut serta dalam forum berkenaan ialah Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil yang turut menyempurnakan majlis penutupan program dua hari itu.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Proton sasarkan jualan Iriz mencapai 130,000 unit tahun ini

PROTON Holdings Berhad (Proton) yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan keretanya antara 12 hingga 15 peratus tahun ini, hasil daripada populariti model baharu, Iriz.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, setakat ini model yang dilancar September tahun lepas mencatat jualan 11,000 unit di seluruh negara.

"Sebanyak 30 peratus daripada jualan itu datang dari Wilayah Selatan manakala bakinya Lembah Klang dan lain-lain kawasan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di penutupan Karnival Alami Proton sempena Pertandingan Worldskills Malaysia Belia 2015 di perkarangan letak kereta Plaza Angsana, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Romli Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Norzahid Mohd Zahudi.

Abdul Harith berkata, populariti Iriz dijangka meningkat menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Faktor utama Iriz menarik perhatian pembeli ialah ia mempunyai teknologi yang didapati pada kereta kontinental buatan Eropah.

"Tetapi harga dibayar cuma sesetengah daripada apa yang dibayar untuk kereta kontinental tersebut," katanya.

Proton menyasarkan jualan 130,000 unit bagi semua model di seluruh negara tahun ini berbanding 115,00 unit pada tahun lepas.

Mengenai pelan jangka pendek,  Abdul Harith berkata, tumpuan tidak akan terarah untuk memperkenal model baharu, sebaliknya memastikan Iriz terus berjaya mendapat jualan optimum.

"Kami mungkin mengambil lima hingga tujuh tahun untuk memperkenal model kereta baharu," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Cikgu melakar nama dalam Malaysia Book Of Records jawab 736 soalan Matematik Tambahan tanpa henti

Seorang guru Matematik Tambahan melakar nama dalam Malaysia Book Of Records apabila beliau berjaya menjawab 736 soalan Matematik Tambahan tanpa henti dalam tempoh 11 jam 30 minit.

Kiranjit Sharma Bahadur, 39, mula menjawab soalan itu dari 6.30 pagi sehingga 6 petang semalam dengan kira-kira 70 soalan diselesaikan setiap satu jam.

Berbekalkan 20 tahun pengalaman mengajar mata pelajaran berkenaan, ibu tunggal itu berkata tujuan beliau adalah untuk mengubah tanggapan negatif tentang Matematik Tambahan yang dianggap sebagai mata pelajaran yang susah.

"Sebagai guru kontrak dari rumah ke rumah di bawah syarikat saya sendiri, Eelam Study Link, saya sedih apabila mendengar banyak calon SPM gagal dalam Matematik Tambahan dan pelajar saya berasakan ia mata pelajaran paling sukar untuk mencapai keputusan cemerlang," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas pengesahan rekod itu di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata projek mencatat rekod itu bertujuan memberi motivasi kepada pelajar Malaysia dan meyakinkan mereka bahawa Matematik Tambahan bukanlah subjek yang 'mustahil' sekiranya mereka tidak menyerah kalah dalam mempelajarinya.   

Pencapaian ini menjadikan kali ketiga namanya dicatat dalam Malaysia Book of Records memandangkan beliau juga pemegang rekod bagi Tarian Tradisional Paling Lama Tanpa Henti (10 jam 29 minit) pada 2003 dan Maraton Tarian Tamil Moden Paling Lama Tanpa Henti selama 20 jam pada 2005.

Semangat yang berkobar-kobar untuk mencabar diri menjadi inspirasi untuk mencatat pelbagai rekod Malaysia, kata Kiranjit, yang juga menetapkan matlamat untuk memungut derma bagi projek kesukarelawan beliau membabitkan pesakit mental.

Selain Kiranjit, anak perempuan beliau, Charanjit De Hothep Putri Ya'azhini, 14, akan turut melakukan percubaan mencatat rekod dengan menjawab soalan Matematik bagi Tingkatan Dua dalam masa dua hari (tanpa henti) November ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bayi perempuan ditemui di masjid

KUALA TERENGGANU - Seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui di Masjid Merang, Setiu, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, bayi tersebut dijumpai lebih kurang jam 4 petang oleh seorang lelaki berusia 37 tahun yang singgah di masjid berkenaan untuk solat Zohor.
Bayi perempuan yang cukup sifat ini ditemui dalam Masjid Merang, Setiu, petang kelmarin.

“Lelaki yang bekerja sebagai juruelektrik itu singgah di masjid berkenaan bersama keluarganya.

“Bagaimanapun, ketika masuk ke ruangan solat lelaki, dia ternampak satu bungkusan yang dibalut dengan kain dan diletakkan di satu sudut hujung ruang solat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Jelas Wan Abd Aziz, pada mulanya lelaki itu ingin mengabaikan sahaja bungkusan tersebut, namun dia berasa tidak sedap hati lalu mendekatinya.

Dia sangat terkejut apabila mendapati di dalam bungkusan itu terdapat seorang bayi perempuan.

Katanya lagi, bayi yang cukup sifat itu terus dihantar ke Balai Polis Penarik untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar menerima rawatan susulan di Hospital Setiu.

“Hasil laporan perubatan awal mendapati bayi perempuan itu dalam keadaan sihat dan pihak hospital yakin bayi berkenaan dilahirkan dalam tempoh sehari atau dua hari sebelum ditemui,” katanya.

Kata beliau, pihaknya kini menubuhkan satu unit pasukan khas bagi mengesan mereka bertanggungjawab yang membuang bayi tersebut.

“Namun, kami percaya suspek dalam kes ini akan dapat dikesan dalam tempoh terdekat hasil rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di dalam masjid berkenaan,” katanya.

Dalam masa sama, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu dan klinik atau hospital yang menerima pesakit baru lepas bersalin supaya menghubungi polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Mengajar percuma, impiannya mahu melihat rakan-rakan sekampung dapat membaca al-Quran dengan baik

PASIR MAS - Impian melihat rakan-rakan sekampungnya dapat membaca al-Quran dengan baik mendorong seorang suri rumah mengorbankan masanya untuk menjadi tenaga pengajar kepada mereka.

Norhayati Salleh, 49, berkata, kemahiran diwarisi daripada keluarganya itu digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakan-rakan yang terdiri daripada suri rumah tangga di Kampung Bechah Semak, Bunut Susu, di sini.
Norhayati (kanan) mengajar rakan-rakan sekampungnya membaca al-Quran secara percuma
demi melihat mereka dapat membaca kitab suci itu dengan baik.

Menurutnya, hampir 10 suri rumah akan bertandang ke rumahnya pada jam 3 hingga 6 petang setiap hari untuk belajar membaca al-Quran.

"Saya mengajar al-Quran secara percuma setelah diminta oleh rakan-rakan. Walaupun kebanyakannya sudah berumur, tetapi minat untuk baiki bacaan sangat membanggakan di samping masa terluang dapat dipenuhi dengan perkara bermanfaat," katanya.

Salah seorang suri rumah yang ditemui, Rohani Abdullah, 53, berkata, dia akan membaca satu muka surat al-Quran setiap hari sepanjang kelas diadakan.

Menurutnya, setakat ini pembacaannya semakin lancar dan baik dan kelas al-Quran secara beramai-ramai memberi semangat kepada suri rumah untuk terus membaca kitab suci itu.

"Sebelum ini alasan sibuk dengan tugas di rumah dan urus anak-anak menjadi antara sebab suri rumah tidak dapat belajar al-Quran.

"Tetapi kini semua itu tidak menjadi halangan lagi kerana minat dan kesedaran mengenai betapa pentingnya kita mendekati al-Quran. Ia membuatkan kita tenang dan senang melakukannya," katanya.

Katanya, jika diikutkan kesibukan sehari-hari, masa tidak akan pernah cukup dan kerana itulah dia dan rakan-rakan lain mencari ruang waktu di sebelah petang untuk belajar al-Quran.

Tambahnya, lebih menggembirakan apabila mereka dipilih menyertai program Rumah Ngaji yang dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menerusi kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) serta Kumpulan Media Karangkraf.

Sinar Harian

Baca lagi >>

"GST masih gagal seragamkan cukai-cukai sedia ada dan ia hanya merunsingkan rakyat"

SHAH ALAM - Caj perkhidmatan sehingga 10 peratus masih dikenakan oleh segelintir peniaga kepada pengguna walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mula dilaksanakan pada 1 April lalu.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani berkata, walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dimansuh dan digantikan dengan GST, namun caj itu masih dikutip oleh peniaga.

Resit pembelian yang didakwa mengenakan caj perkhidmatan sehingga 10 peratus
disalah sebuah restoran terkemuka di Malaysia.

" Saya sendiri terasa beban GST itu, bayangkan ada kedai dan restoran mamak mengenakan caj servis lima peratus dan ditambah pula GST enam peratus menjadikan jumlah cukai 11 peratus.

"Kesan GST dan caj servis ini memberi implikasi yang besar kepada kenaikan harga barang," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata beliau akan membawa isu tersebut ke Dewam Rakyat susulan tindakan peniaga yang mengenakan caj berganda itu.

"Resit pembelian saya masih simpan nanti saya akan bawa ke Parlimen untuk mendapatkan pengesahan daripada kerajaan yang sebelum ini mengatakan caj servis tidak dikenakan lagi bila GST dilaksanakan.

"Menteri Kewangan II sebelum ini berkata caj servis tidak kena (dicaj kepada pengguna), caj 10 peratus itu tiada lagi, yang tinggal hanya enam peratus saja. Sekarang ini kenapa masih ada lagi (caj servis)," soalnya.

Dalam pada itu, Abdullah turut menyifatkan GST masih gagal menyeragamkan cukai-cukai sedia ada termasuk SST dan caj servis.

"Saya tengok keadaan ini sangat kritikal apabila caj servis ini dikenakan di restoran makanan yang dikunjungi oleh rakyat biasa kerana alasan kerajaan perkenalkan GST untuk seragamkan cukai-cukai sedia ada untuk meringankan beban rakyat.

"GST masih gagal seragamkan cukai-cukai sedia ada dan ia hanya merunsingkan rakyat.

"Sekarang ini bila tengok dalam resit tertera caj servis dan ditambah pula dengan GST, ia benar-benar menganggu permikiran kita," katanya lagi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ringankan beban, hulurkan bantuan kepada mangsa banjir

KOTA BHARU - Sudah lebih tiga bulan tragedi bah kuning melanda Kelantan berlalu dan kini kerajaan negeri giat merancakkan lagi pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang terlibat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan mangsa banjir dapat menduduki rumah baharu mereka sebelum Ramadan sebagaimana dijanjikan.
Ahmad (tengah) ketika menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir di Tumpat, semalam.

Menurutnya, sebanyak 600 buah rumah akan dibangunkan oleh kerajaan negeri bagi membantu mangsa banjir yang terjejas teruk baru-baru ini, manakala selebihnya dibina Kerajaan Pusat.

“Semua jajahan yang terlibat sudah melaksanakan kerja-kerja pembinaan rumah iaitu di Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang. Kita cuba siapkan sebagaimana sasaran asal,” katanya, semalam.

Terdahulu beliau merasmikan majlis Pecah Tanah ‘Projek Shelter’ Tesco Malaysia bagi Misi Bantuan Banjir untuk rumah kekal banjir di Kampung Berlian, Tumpat yang turut dihadiri Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Korporat Tesco, Datuk Azlam Shah Alias dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Ahmad turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Sementara itu, Azlam berkata, sebanyak RM500,000 disumbangkan  bagi membina lapan rumah kekal kepada penduduk di jajahan Tumpat yang terjejas teruk akibat banjir penghujung tahun lalu.

Katanya, pihaknya menjangkakan kesemua rumah tersebut dapat disiapkan sebelum Syawal.

Rumah berkeluasan 740 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik dan dua bilik mandi yang menggunakan bahan mesra alam.

Sinar Harian

Baca lagi >>