Sunday, 5 April 2015

5 tahun terperangkap di sebalik dinding, akhirnya Biso berjaya dikeluarkan

SEEKOR kucing telah diselamatkan selepas terperangkap dalam lubang di dinding sebuah stesen keretapi selama lima tahun di Kaherah, Mesir.

Kucing yang dipanggil Biso itu teperangkap di dinding tersebut sejak 2010 masih bernyawa kerana diberi makan dan minum oleh seorang lelaki dikenali sebagai Uncle Abdo.

Menurut Uncle Abdo, kucing itu sering menjadikan lubang di dinding tersebut sebagai tempat persembunyian daripada kucing lain yang lebih besar.


Namun mungkin gara-gara memberi makan kepada Biso di situ, kucing tersebut membesar dan akhirnya tidak boleh keluar.

Usaha menyelamat Biso sebenarnya telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu namun gagal kerana kucing itu terlalu malu dan melarikan diri menjauhi lubang dinding tersebut.

Usaha menyelamat itu bermula dengan kempen di media sosial pada 12 Mac lalu dengan mesej berbunyi 'ekor Biso kelihatan dari lubang ini'.

Kempen itu kemudiannya menarik perhatian aktivis haiwan, Dina Zulfikar, Marwa Elgebaly dan Rania el-Kordy.

Dina membuat laporan polis dan beberapa hari kemudian perintah pendakwaan untuk menyelamatkan Biso dikeluarkan.

Dinding itu dirobohkan dan Biso akhirnya diselamatkan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Nahas heli; kotak hitam dijumpai dan akan diekstrak di UK


Kotak hitam helikopter yang ditemui pagi ini akan dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di Farnborough United Kingdom untuk diekstrak data, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang media sebentar tadi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini adalah prosedur biasa bagi kotak hitam dihantar ke makmal terdekat yang ditauliahkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk dianalisis.


Beliau berkata, siasatan punca kemalangan juga akan disertai oleh pakar dari Perancis, bersama empat wakil dari Malaysia yang diketuai oleh Datuk Yahya Abdul Rahman yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam siasatan kemalangan helikopter.

Terdahulu, Tiong Lai mengesahkan kotak hitam mengesahkan penemuan itu dan ia penting bagi membolehkan siasatan dijalankan dan seterusnya mengenalpasti punca nahas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, di Makam Masjid Negara di sini, hari.
       
Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara pada 3.15 petang dari kediamannya di Seri Kembangan di sini.
       
Ayat-ayat suci al-Quran dibacakan dengan diketuai Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad sebelum jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat Asar.
      
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob serta anggota keluarga Allahyarham dan kira-kira 1,000 tetamu.
       
Balu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Datin Sri Kalsom Ismail memberi penghormatan terakhir untuk Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang telah dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.
- Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan  bersebelahan pusara bekas Menteri Undang-undang Tan Sri Hamzah Abu Samah, pada 5.50 petang.
       
Najib dan Rosmah yang kelihatan sugul, turut menabur bunga dan menyiram air di pusara Allahyarham.
       
Jamaluddin, 63, terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaikinya bersama lima yang lain terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.45 petang semalam.
       
Allahyarham adalah dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak Najib, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessibayev di Pekan, Pahang.
       
Nahas itu turut mengorbankan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lin Dan tewas

HASRAT juara Olimpik dua kali, Lin Dan dari China untuk meraih kejuaraan sulung Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila disekat rakan senegara Chen Long pada perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.
   
Pemain berusia 31 tahun itu yang kali terakhir beraksi di Terbuka Malaysia pada 2012 di mana beliau tewas kepada jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, gagal menjulang kejuaraan tersebut kali ini, walaupun tanpa kelibat pencabar sengitnya itu yang digantung sementara berikutan kes doping.
  
Lin Dan yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan, bermula cemerlang pada set pertama apabila mengatasi Chen Long yang juga pemain nombor satu dunia, dengan 22-20 sebelum tewas dua set seterusnya 13-21 dan 11-21 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam 18 minit.
  
Bagaimanapun, Lin Dan yang juga juara dunia lima kali, yakin untuk menjulang kejuaraan tersebut tahun depan, dengan berdepan Chong Wei.
   
"Kekalahan ini disebabkan corak permainan saya yang perlahan dan tidak yakin sehingga membolehkan Chen Long memenangi set kedua dan ketiga. Oleh kerana Terbuka Malaysia antara kejohanan kelayakan Sukan Olimpik, saya akan kembali ke sini tahun depan dan harap dapat berdepan dengan Chong Wei," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Helikopter meletup di udara - saksi

SEMENYIH - Saksi melihat sebuah helikopter, yang dinaiki enam orang, meletup di udara sebelum terhempas dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, semalam.    

Roslan Harun, 54, seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga stor berhampiran tempat kejadian, berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.    

"Meletup terus, berkecai di udara, tak jauh dari tanah, kipas dan ekor helikopter terpelanting ke merata tempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.    

Roslan yang ketika itu  berehat di rumahnya kira-kira satu kilometer (km) dari tempat nahas helikopter itu, berkata beliau cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi membatalkan niatnya dan terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.    

Menurutnya kawasan nahas itu terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan ini.    

"Nak masuk ke tempat helikopter betul-betul terhempas, kita kena masuk 2km ke dalam kawasan kebun getah," katanya.    

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang semalam. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bapa DS Anwar Ibrahim meninggal dunia

Bapa kepada Ketua Umum PKR, Datuk Ibrahim Abd Rahman telah kembali ke rahmatullah pada jam 1.45 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi media sosial milik Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


 "Jenazah dibawa pulang di alamat Lot 459 Pinggir Pelangi Pagi, Country Height, Kajang. Jangkaan setakat ini pengebumian di Tanah Perkuburan Sg. Ramal, selepas Zuhur, InsyaALLAH.

"Kali pertama Anwar dipenjara beliau diuji dengan pemergian Ibunda beliau dan juga pemergian Ustaz Fadhil Noor. Kali ni diuji pula dengan pemergian TGNA dan kini, ayahanda beliau," tulis kenyataan di laman sosial Wan Azizah.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun di penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Senarai mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter di Semenyih

SHAH ALAM - Jenazah Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dijangka akan disembahyangkan dan dikebumikan sebelum solat Zuhur.

Jenazah sebelum itu akan dibawa pulang ke rumahnya di Mines Resort Golf & Country Club, Sri Kembangan.
Salah seorang mayat mangsa dibawa masuk ke Jabatan Forensik HKL. Turut berada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi. Foto Sinar Harian: AFIQ RAZALI

Terdahulu, enam individu termasuk Jamaluddin dilaporkan terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru Semenyih, petang semalam.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan mengesahkan enam identiti mangsa nahas helikopter adalah seperti berikut:

1. Kapten Clifford William Fournier (juruterbang)

2. Aidana Baizieva (pembantu juruterbang) 

3. Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis (Ahli Parlimen Rompin) 

4. Razakan Seran (pegawai pengiring Tan Sri Jamaluddin)

5. Datuk Sri Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri)

6. Datuk Tan Huat Seang

Sinar Harian

Baca lagi >>