Saturday, 4 April 2015

Wow! Astro untung RM5.2 bilion

ASTRO Malaysia Holdings Berhad (Astro) mengumumkan penyata kewangan berakhir 31 Januari lalu mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus iaitu RM5.2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, prestasi Astro disokong dengan penambahan jumlah pelanggan, jualan produk dan perkhidmatan juga menjana peningkatan Hasil Purata Setiap Pelanggan (Arpu).

"Kami menjana pertumbuhan pada Tahun Kewangan 2015 meskipun keadaan pasaran tidak memberangsangkan.

"Dalam situasi ini, kemampuan kami teruji dengan menyediakan pelbagai pilihan yang meluas dan teliti kepada semua rakyat Malaysia," katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Menurut Rohana, melihat kepada momentum langganan produk dan perkhidmatan, platform televisyen berbayar seperti NJOI, Astro On the Go dan OTT semakin mendapat perhatian rakyat negara ini.
Rohana (tengah) selepas sidang media pengumuman penyata kewangan Astro, baru-baru ini.

Katanya, jumlah pelanggan juga meningkat sebanyak 547,000 menjadikan kepada 4.4 juta iaitu 63 peratus keseluruhan kediaman penduduk.

"Peningkatan ini berpunca daripada pelancaran 12 saluran baharu, penambahan jumlah saluran dan pakej-pakej lebih menarik.

"Kami berjanji untuk terus memberi pilihan kepada pelanggan menerusi penawaran televisyen satelit percuma kami, NJOI," katanya.

Rohana berkata, permintaan NJOI melebihi jangkaan dengan pertambahan jumlah pelanggan dan langganan kandungan prabayar meningkat dua kali ganda.

Menurutnya, untuk memperkayakan pengisian NJOI, pihak Astro telah melancarkan saluran HD Bahasa Cina iaitu Astro Xi Yue HD dan bakal memperkenalkan saluran HD Bahasa Malaysia baharu pada Jun ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Yang di-Pertuan Agong jalani pemeriksaan di IJN

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN), menurut   Istana Negara.  
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman berkata kesihatan baginda adalah baik.   

"Istana Negara mengucapkan terima kasih atas keprihatinan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Seri Paduka Baginda Tuanku," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Helikopter terhempas di Semenyih

SEMENYIH -Sebuah helikopter terhempas manakala, dua penumpang dipercayai rentung dalam kejadian  di Kampung Pasir Baru Semenyih kira-kira 4.55 petang tadi.

Menurut jurucakap bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan pada jam, 4.57 petang.

Lokasi nahas

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Bangi dan Kajang diarahkan ke lokasi kejadian.

“Laporan awal mendapati helikopter terhempas dan terbakar. Terdapat enam mangsa dalam pesawat berkenaan.

Maklumat awal, bangkai helikopter ditemui kira-kira jam 6. 10 petang.

“Tiga mangsa termasuk dua rentung berjaya ditemui, manakala, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan ke atas tiga lagi mangsa,"katanya

Sinar Harian

Baca lagi >>

Gempa bumi sederhana di Laut Ceram

Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter melanda Laut Ceram, Indonesia pada 4.06 petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa itu berpusat 120 kilometer dari barat laut Ambon, Indonesia dan 1,300 kilometer tenggara Semporna, Sabah.

Tiada ancaman tsunami dilaporkan. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Nor Malaysia, pernah tertekan nama menjadi ejekan

LABIS – Memiliki nama agak unik tidak menghalang seorang gadis di sini untuk bergaul dengan masyarakat walaupun mengakui pernah tertekan kerana menjadi bahan ejekan dan dipersendakan rakan-rakannya ketika di zaman persekolahan dahulu.

Namun selepas menginjak usia matang, Nor Malaysia Anwar, 27, sudah mula menyesuaikan diri dan tidak lagi berasa rendah diri, sebaliknya bangga kerana mungkin dia merupakan salah satu rakyat di negara ini yang menggunakan perkataan  Malaysia sebagai nama.

“Dahulu ketika masih bersekolah saya tertekan kerana nama saya ini sering diejek orakan-rakan lain dengan panggilan seperti Selamat Pagi Malaysia dan Malaysia Hari Ini.

“Namun, saya beruntung kerana mempunyai ibu bapa yang sentiasa memberi saya kata-kata semangat supaya tidak rendah diri dan lama kelamaan kesemua itu sudah menjadi seperti satu kebiasaan,” katanya.

Menurut anak kedua daripada lapan beradik kepada pasangan Anwar Mursidek, 55, dan Fatimah Moslan, 53, itu, banyak pengalaman mencuit hati yang dialaminya setiap kali melakukan urusan rasmi di pejabat kerajaan.

Katanya, sewaktu dia sedang memohon pasport antarabangsa di Pejabat Imigresen Batu Pahat, tahun lalu, semua yang berada di pejabat tersebut memandang ketika namanya dipanggil oleh pegawai yang bertugas di kaunter menyebabkan dia hanya mampu tersenyum sahaja ketika itu.

“Ada yang beranggapan saya berseloroh ketika saya memberi tahu nama sebenar saya kepada mereka, namun selepas saya menunjukkan kad pengenalan saya, mereka tak banyak bertanya.

“Saya tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak termasuk kedua ibu bapa saya yang memberi nama ini kepada saya, sebaliknya bangga dengan nama tersebut,” katanya.

Menurut cerita ibu bapanya, dia mendapat nama tersebut disebabkan sedikit salah faham yang berlaku di antara anggota Balai Polis Chaah yang menerima pendaftaran bapanya di mana bapanya ketika itu berhasrat mahu memberi nama ‘Nor Malasiah’ tetapi didengar sebagai ‘Nor Malaysia’.

Katanya, dia pernah cuba memohon menukar nama tersebut kira-kira 10 tahun lalu, namun disebabkan prosesnya  sukar dan memerlukan dia serta ibu bapanya berulang alik ke pejabat pendaftaran, dia membatalkan sahaja niatnya itu.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Panduan solat sunat gerhana bulan


Baca lagi >>

Kanak-kanak maut, terjatuh dari tingkat dua di kompleks beli-belah

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat dua di kompleks beli-belah Kenanga Wholesale City Mall di sini, semalam.

Insiden itu berlaku kira-kira 3.04 petang ketika kanak-kanak itu, yang dipercayai sedang bermain dengan eskalator, terjatuh hingga ke tingkat bawah.
    

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner (ACP) Zainol Samah berkata, kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Nurhayada Sofia Musa, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
    
Dia ke pusat beli-belah itu bersama-sama ibu bapanya.
    
"Punca kejadian masih disiasat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Zainol berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sinar Harian

Baca lagi >>