Friday, 3 April 2015

Setiap 5 minit menerima panggilan bertanyakan hal GST

KUALA LUMPUR - Pusat Gerakan Antipencatutan (PGAP) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan secara purata menerima panggilan telefon daripada orang ramai setiap lima minit bagi bertanyakan hal GST.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Muez Abd Aziz berkata, selain itu orang ramai juga menyalurkan maklumat terhadap peniaga yang mengenakan GST namun, gagal memberikan resit dan memaparkan nombor pendaftaran GST.

"Sehingga jam 3 petang tadi (semalam), PGAP KPDNKK Wilayah Persekutuan menerima 286 aduan, dengan 51 pemeriksaan dilakukan terhadap premis perniagaan yang dilaporkan orang ramai.

"Manakala dalam tempoh itu, tindakan telah diambil terhadap peniaga dalam dua kes dan empat premis perniagaan telah diberikan notis tunjuk sebab," katanya.

Penubuhan PGAP oleh KPDNKK bertujuan memantau aduan orang ramai berkaitan aktiviti pencatutan semasa pelaksanaan GST yang bermula sejak 1 April lalu.

Muez meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat, pertanyaan dan aduan berkaitan GST ke PGAP yang beroperasi 24 jam sehari sehingga 15 April ini.

“Mereka boleh menghubungi talian hotline KPDNKK 1-800-886-800 atau secara terus kepada KPDNKK Wilayah Persekutuan di talian 03-40454471,” katanya sambil menambah PGAP turut dibuka pada Sabtu dan Ahad.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan dengan datang sendiri ke pejabat KPDNKK berdekatan atau melalui sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.

“Orang ramai yang mahu membuat perbandingan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan GST boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan aplikasi tersebut,” katanya.

Tambahnya, antara ciri utama aplikasi itu ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.

Menurut Muez, pihaknya akan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam terhadap aduan yang diterima khususnya kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Setiap aduan yang diterima direkodkan dan siasatan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam oleh pasukan khas,” ujarnya.

Katanya, peniaga individu yang didapati gagal mematuhi peraturan sedia ada boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bas terbakar, penumpang nyaris maut

KUALA LUMPUR - Kira-kira sepuluh hingga 20 penumpang yang dalam perjalanan ke Selayang dan Rawang berdepan detik cemas apabila bas RapidKL dinaiki mereka tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Ipoh berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Ketua Balai Bomba Jinjang, Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada awam berkenaan insiden bas terbakar sekitar jam 11 malam.


Menurutnya, sewaktu tiba di lokasi 18 minit kemudian, didapati bas tersebut sudah terbakar 90 peratus.

“Tiada mangsa yang terperangkap atau mengalami kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri sebelum anggota bomba tiba.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit dengan bantuan Gombak Selatan dan Hang Tuan melibatkan tiga jentera selain balai Jinjang,” katanya.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Berikan anak nama yang baik

SETIAP insan mempunyai nama tersendiri. Islam menetapkan pemberian nama kepada si anak adalah tanggungjawab dipikul orang tuanya. 

Dewasa ini, ramai dalam kalangan ibu bapa cakna perihal nama yang diberikan kepada anak. Ini petanda baik menunjukkan ibu bapa mementingkan pemilihan nama anak mereka.

Satu tanggungjawab

Pendakwah, Mohd Shahrizal Nasir berkata, beliau kerap kali menerima pertanyaan daripada rakan yang memintanya menyemak makna nama yang sesuai untuk anak mereka.

"Perkara pokok yang perlu difahami ibu bapa di luar sana ialah pemberian nama si anak adalah tanggungjawab. Apabila disebut tanggungjawab, ia tak boleh secara sambil lewa.

"Ada seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan bertanya mengenai hak anaknya yang perlu ditunaikannya.

Nabi SAW bersabda: "Engkau berikan nama yang baik dan mengambil berat mengenai pendidikannya, kemudian engkau tempatkannya di tempat yang baik. Perbaikilah namamu kerana dengan nama itu kamu akan dipanggil pada hari kiamat." (Riwayat Abu Dawud)

"Rasulullah SAW ada menggariskan panduan mengenai tatacara memberi nama anak. Antaranya ialah dengan memberi nama kepada anak pada hari ketujuh dan melakukan beberapa lagi perkara termasuk dalam sunnahnya.

Banyak hikmah yang boleh difahami daripada pemilihan hari ketujuh, antaranya ialah memberi tempoh yang cukup bagi memastikan bayi yang lahir sihat dan hidup sepertimana insan lain," katanya kepada Rehal.

Beliau menganjurkan kepada semua ibu bapa yang baru memperoleh anak, agar mengikut sunnah pemberian nama anak pada hari ketujuh dan menguar-uarkan nama tersebut kepada orang ramai pada hari tersebut.

Mudah-mudahan ia termasuk dalam amalan sunnah yang  mendapat ganjaran pahala daripada ALLAH SWT serta memperoleh keberkatan buat si anak.

Maksud yang baik

Beliau yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjelaskan, apabila memberi nama kepada si anak, beberapa perkara perlu diambil perhatian.

"Paling utama, beri nama yang bermaksud baik kepada si anak. Perkara ini perlu menjadi keutamaan ibu bapa. Rata-rata ibu bapa mendahulukan aspek "sedap dipanggil dan didengar" daripada "makna baik" yang sepatutnya diutamakan.

"Apabila soal sedap didengar ini diutamakan, maka akan timbullah seribu satu sebutan nama yang dicedok dari sini sana. Dan biasanya, selepas nama itu dipilih, maka langkah seterusnya ialah untuk mendapatkan pengesahan "rasmi" daripada ustaz dan ustazah. Perkara ini perlu diperbetulkan," katanya.

Beliau berkata, perkara utama ialah mencari atau memilih nama yang membawa maksud baik. Apa gunanya nama yang dipilih itu sedap didengar tetapi hakikatnya membawa maksud buruk.

Usah jadikan ustaz dan ustazah tempat untuk mendapat pengesahan sahaja, sebaliknya perlu berbincang atau minta pandangan mereka semasa proses pemilihan nama dilakukan.

DALAM Kitab Tarbiyah al-Awlad, Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan memberikan beberapa panduan dalam memberikan nama yang baik kepada anak, antaranya:

Pertama: Tidak dibenarkan memberi nama yang secara langsung merujuk kepada ALLAH seperti Khaliq (pencipta). Dianjurkan untuk memberi nama yang merujuk kepada hamba ALLAH seperti Abdullah (hamba ALLAH), ‘Abd al-Rahman (hamba ALLAH yang Maha Pemurah), ‘Abd al-Rahim (hamba ALLAH yang Maha Mengasihani) dan sebagainya.

Kedua: Tidak memberi nama yang merujuk hamba kepada tuhan dalam kepercayaan lain. Umat Islam dilarang sama sekali mengiktiraf kewujudan tuhan lain selain ALLAH.

Ketiga: Menjauhi nama yang membawa makna melampau meskipun ia membawa makna yang baik seperti Nafi’ yang bermaksud selalu memberi manfaat.

Keempat: Tidak memberi nama anak yang membawa makna negatif seperti bodoh, lemah dan sebagainya. Hal ini kerana ia memberi kesan negatif kepada kelakuan si anak.

Kelima: Tidak memberi nama anak yang membawa makna tidak selari dengan fitrah Islam seperti nama Harb (peperangan dan keganasan).

Keenam: Memilih nama tokoh hebat dalam sejarah Islam terdiri daripada sahabat Rasulullah SAW dan juga alim ulama yang berjuang menegakkan Islam. Mengambil nama dalam kalangan nabi dan rasul yang terdapat dalam al-Quran juga digalakkan.

Ketujuh: Memilih nama yang membawa makna yang baik meskipun ia bukan dalam bahasa Arab.

Nama dalam lahjah Arab?

Anak jati Johor ini menjelaskan, dalam soal pemilihan nama anak juga, perkara yang perlu diambil perhatian ialah memberi nama anak dengan nama yang  bermaksud baik. Namun, bukanlah menjadi satu kemestian memberikan nama dalam bahasa atau lahjah Arab.

"Benar, nama yang baik adalah nama yang merujuk kepada hamba ALLAH, atau nama rasul dan nabi, nama sahabat dan tokoh Islam yang majoritinya dalam kalangan orang Arab, namun pemilihan nama yang baik tidak semestinya dalam bahasa Arab. Terdapat sesetengah orang mengutamakan nama dalam sebutan Arab tetapi mengetepikan makna yang dibawa nama tersebut.

"Dalam bahasa Arab juga terdapat nama yang maksudnya tidak baik. Sebagai contoh, menamakan anak dengan nama "Muhammad baik" lebih afdal daripada memberi namanya dengan Zani bermaksud penzina dan ia adalah perkataan bahasa Arab yang turut terdapat dalam al-Quran.

Sunnah tukar nama

Menjadi satu sunnah apabila seseorang yang memiliki nama tidak baik menukarnya kepada nama lain yang membawa makna baik. Hal ini juga melibatkan soal nama bagi golongan yang baru masuk Islam.

Sekiranya nama sebelum Islam mereka membawa makna yang baik dan tidak bertentangan dengan Islam, bukanlah satu kemestian untuk dia menukar namanya.

Namun sekiranya nama sebelum dia memeluk agama Islam bercanggah dengan akidah Islam, baik jika nama tersebut ditukar kepada nama yang dibenarkan Islam.

Perkara ini berlaku kepada Abdul Rahman bin ‘Auf. Beliau adalah salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW.

Penulis kitab Tasmiyah al-Mawlud ada menukilkan pandangan Ibn al-Qayyim, nama yang diberikan kepada si anak mempengaruhi sifat dan kelakuan si anak. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu ayah memberikan nama yang baik kepadanya.

Hakikatnya, nama yang kita berikan kepada si anak digunakan orang ramai untuk memanggilnya. Justeru, ia dilihat sebagai satu doa kepada si anak.

Oleh itu, sekiranya nama anak tersebut membawa makna yang buruk dan negatif, maka tidak mustahil perangai si anak akan menterjemahkan maksud nama itu. Malah, nama tersebut bukan sahaja digunakan semasa di dunia, tetapi juga di akhirat kelak.

Nama terlalu panjang  

"Saya menasihati ibu bapa agar tidak memberikan nama terlalu panjang kepada si anak. Ia bukan sahaja akan membebankan si anak untuk membawa nama itu, tetapi menyusahkan pihak yang berurusan dengan si anak nanti.

"Begitu juga dari segi ejaan, elakkan mengeja nama anak dengan ejaan yang rumit hanya kerana ingin nama tersebut kelihatan seperti nama Barat dan sebagainya.

Khuatir sekiranya kita tidak berusaha untuk mempermudah urusan si anak, akibatnya si anak berdepan dengan masalah melibatkan nama khususnya dalam urusan rasmi," katanya.

Menurutnya, pemberian nama yang panjang kepada si anak boleh menyebabkan timbul nama singkatan untuk si anak. Ini adalah trend terkini khususnya dalam kalangan anak remaja.

Apa gunanya nama yang diberikan itu membawa makna yang baik tetapi akhirnya menjadi panggilan kepada si anak adalah nama yang disingkatkan rakan mereka.

Nama singkatan seperti "Mamat" contohnya, kerap kali didengar sebagai satu nama timangan. Sedangkan dalam bahasa Arab, nama 'Mamat' bermaksud mati. Cuba bayangkan apabila semua orang mendoakan kematian buat anak kita. Hal ini perlu diambil perhatian secara serius.

ALLAH berfirman: "... dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk..." (Surah al-Hujurat, 11)

Elak nama agungkan diri

Dalam pemilihan nama untuk anak, perlu dielakkan juga nama yang menampakkan secara jelas merujuk kepada usaha menyucikan diri atau mengagungkan diri sendiri.

Kita dianjurkan untuk memberikan nama yang baik kepada si anak, namun bukan dengan tujuan diagung-agungkan dan diberi penghormatan melampaui batas ditetapkan Islam.

Kita dilarang untuk membesarkan diri sendiri kerana hakikatnya kita adalah makhluk-Nya yang memiliki seribu satu kekurangan. Hanya Dia sahaja yang memiliki sifat kesempurnaan.

Marilah sama-sama kita berusaha memberi nama yang baik kepada anak-anak kerana ia satu daripada tanggungjawab ayah dan ibu.

Itu adalah tanggungjawab pertama yang perlu dilaksanakan dengan baik sebelum menyusul tanggungjawab lain yang lebih besar iaitu memberi didikan Islam yang sempurna kepada anak-anak.

Bertanyalah kepada golongan alim ulama sekiranya tidak pasti mengenai perkara melibatkan agama Islam dan ambillah pandangan mereka.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Akibat mengambil botol minuman ketika memandu, warga emas terlibat dalam kemalangan

SEREMBAN - Akibat satu botol minuman, seorang warga emas menempuh detik mencemaskan apabila kereta Toyota Camry 2.2GX dipandu terlibat dalam kemalangan di Jalan Tuanku Munawir, di sini, berdekatan Pasar Besar Seremban, petang kelmarin.

Berdasarkan cerita wanita berusia lingkungan 60-an yang enggan dikenali itu, kejadian malang berkenaan menimpanya ketika dalam perjalanan pulang ke Nilai bersama seorang anak perempuan serta dua cucu, sekitar jam 6 petang.

“Kami baru selesai beli barang di bandar Seremban. Kalau diikutkan, semuanya nampak macam berjalan lancar dari awal hingga akhir.

“Tapi berlaku situasi luar dugaan masa menghala ke arah Lobak. Kereta yang kami naiki terlibat dalam kemalangan sampai terbalik lebih kurang 90 darjah,” katanya.

Berdasarkan penjelasan diberikan, dipercayai cubaan warga emas terbabit untuk mengambil botol minuman yang jatuh di kaki semasa memandu telah mengundang padah.

“Entah macam mana, tumpuan saya terganggu sekejap. Akibatnya, saya nyaris merempuh sebuah motosikal yang berada dalam laluan sama.

“Walaupun sempat mengelak, masalah lain pula menunggu. Sedar-sedar saja, kami dah melanggar dua kenderaan diletakkan di bahu jalan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

“Beli jet tak ada pula tanya dahulu, GST pula kata halal" - Azmin

Kerajaan Selangor bertegas menolak sistem pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia dilihat hanya menzalimi rakyat.

Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun sistem cukai itu telus, namun kerajaan pusat seharusnya berpegang kepada prinsip asas iaitu berlaku adil terutama sekali kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau berkata, ketirisan dan rasuah perlu dibendung terlebih dahulu sebelum pelaksanaan GST dijalankan.

“Beli jet tak ada pula tanya dahulu, GST pula kata halal. Jual dulu jet peribadi. Tutup dahulu yang tiris, yang bocor, baru boleh cukai. Kenakan cukai kepada yang kaya saja, bukan rakyat miskin. Saya dengan ini mengisytiharkan Kerajaan Negeri Selangor menolak GST oleh kerajaan BN.

“Cukai sewajarnya dibezakan dengan golongan mampu dan tidak mampu. GST yang diperkenalkan Umno tidak mematuhi pun prinsip asas ini. Saya ingin beri contoh, hanya 10 peratus saja dari rakyat berpendapatan tinggi dan melepasi garis membayar cukai.

“Manakala 90 peratus lagi rakyat tidak membayar cukai pendapatan. Memanglah sistem ini sudah dijalankan di 162 negara, tetapi mereka mulakan dengan kadar yang minima. Contohnya, Singapura dulu kenalkan cukai dengan kadar tiga peratus saja dan cukai pendapatan mereka diturunkan.

“Kita tetap tolak GST kerana ia sistem cukai yang zalim,” katanya dalam sidang Dun, semalam.

Azmin menambah, kerajaan persekutuan juga celaru dan tidak faham dengan sistem GST.

“Bagaimana mahu cipta pendapatan baru jika Jabatan Audit Negara sendiri kata berlaku ketirisan dan seleweng lebih RM20 bilion?

“Amalan kerajaan pusat sekarang ini pun semua rang undang-undang yang dibentang tidak pernah didengar oleh jawatankuasa untuk dibincang dan mendapat persetujuan ahli dewan rakyat, semuanya dipaksa.

“Tokoh besar seperti Tun Mahathir mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan, namun mengapa pandangan mereka tak pernah diterima?” tegas Azmin.

Beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata,  sistem ini bakal memberi kesan kepada golongan miskin dan sederhana kerana golongan ini tidak pernah dikenakan cukai sebelum ini.

“Orang yang berpendapatan tinggi tidak ada kesan pun, tetapi golongan miskin yang sebelum ini tidak bayar pun cukai, mahu makan roti canai, sardin.

"Bukan mereka mahu elak cukai pun, tetapi pendapatan mereka sememangnya di luar lingkungan untuk membayar cukai pendapatan. Jadi di mana keadilan itu?

“GST ini adalah zalim dan menunjukkan Umno akan terkubur dalam PRU akan datang,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hero Filem Ali Setan kini pendakwah

FILEM Ali Setan yang diterbitkan pada 1986 benar-benar melonjakkan nama Azmil Mustapha dalam bidang lakonan.

Biarpun Azmil mula dikenali melalui filem Mekanik arahan Othman Hafsham, tidak dinafikan namanya mula meniti di bibir peminat selepas membintangi filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin itu.

Bahkan, wataknya sebagai Ali iaitu siswa paling nakal di sebuah universiti di utara tanah air berjaya mencipta fenomenanya tersendiri sehingga ke hari ini, walaupun sudah hampir 30 tahun berlalu.

Masakan tidak, dek kenakalannya mengusik Asmidar lakonan Fauziah Ahmad Daud, bukan sahaja telah membuatkan nama Azmil semakin tenggelam kerana lebih dikenali sebagai Ali Setan, malah filem itu juga telah melayakkannya memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-6 pada 1986.

Tidak menganggapnya sebagai beban, Azmil yang kini sudah berhijrah sebaliknya mengakui populariti Ali Setan adalah tarikan utama kepada dirinya ketika berdakwah.

Pemilik nama sebenar Mohd Azmil Mustapha ini memberitahu, watak Ali Setan menyebabkannya lebih dikenali berbanding dengan nama Ustaz Azmil.

"Dari dulu, pergilah mana-mana pun, gelaran itu tetap timbul, tapi saya rasa itu bukanlah satu masalah besar. Terpulang kepada individu itu nak panggil saya Ali Setan ataupun Ustaz Azmil sebab itu hanyalah sekadar gelaran.

"Apa yang penting, dalam menentukan diri kita yang sebenar adalah amalan kita dengan ALLAH SWT.

"Jika dengan panggilan tersebut, saya dapat memenuhkan masjid atas usaha menyampaikan ilmu ALLAH SWT, jadi itu merupakan satu pilihan yang sangat baik," katanya kepada Zass.

Malah, dek populariti itu juga, Azmil turut dilantik sebagai duta agensi Harmony Excellence Holidays Sdn Bhd.

"Fungsi saya adalah untuk mempromosikan pakej umrah yang dikendalikan oleh agensi pelancongan itu yang bermula dari RM4,990 hingga RM6,500.

"Pelantikan ini merupakan rezeki daripada ALLAH SWT kerana ia sangat menguntungkan diri saya.

"Saya mengibaratkan pemergian ke tanah suci merupakan satu nikmat dan rahmat yang sangat besar

"Pada masa sama, saya dapat menarik minat orang ramai untuk melakukan ibadah umrah bersama sekali gus berkongsi pengalaman dengan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Azmil kini sudah kembali ke tanah air selepas berhijrah dari Pattani, Thailand, sejak setahun lalu.

"Saya kini kembali menetap di Shah Alam selepas usaha mewujudkan sebuah pusat pengajian agama di sana tidak diizinkan oleh kerajaan Thailand.

"Walaupun ketika itu saya berjaya mendapatkan tanah seluas 20.8 hektar dengan kerjasama pelbagai jabatan tetapi usaha tersebut terpaksa dihentikan ekoran undang-undang negara berkenaan yang tidak mengizinkan orang asing memiliki tanah.

"Oleh kerana itu, saya pulang ke tanah air dan akhirnya menerima pelawaan menjadi duta agensi tersebut," katanya yang pernah menetap di Syria selama lima tahun, sebelum ini.

Terbit filem Islamik?

Semenjak berhijrah, nama Azmil sememangnya tidak lagi kedengaran dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, jauh di lubuk hatinya, pelakon berusia 63 tahun ini mengakui tidak menyesali keputusannya untuk terjun ke bidang hiburan kerana penglibatan dalam dunia hiburan adalah darah dagingnya.

Azmil memberitahu, dunia hiburan dan seni merupakan sebahagian dari kehidupannya sejak belajar di bangku sekolah sehingga melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

Malah, biarpun kini bertukar imej secara mendadak, minatnya terhadap muzik dan lakonan sukar dipadamkan.

Ketika ditanya, adakah dia akan kembali aktif dalam industri tanah air selepas ini, bintang utama filem Suara Kekasih ini ternyata punya jawapannya tersendiri.

"Saya mempunyai gerak hati untuk menerbitkan filem berbentuk keislaman.

"Saya ada terfikir hendak menerbitkan sebuah filem berbentuk keislaman yang menerapkan ajaran Islam sebenar-benarnya

"Pada masa sama, saya juga boleh berdakwah melalui filem berkenaan," katanya sambil memberitahu ada pihak yang merancang untuk menghasilkan dokumentari mengenai kisah hidupnya itu.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ahli dan pemimpin Umno perlu sedar BN akan kalah pada PRU14 nanti - Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan ahli dan pemimpin Umno perlu menyedari hakikat tersebut dan BN akan kalah pada PRU14 akan datang jika Datuk Seri Najib Tun Razak terus memimpin parti itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia didakwa sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib sebagai perdana menteri apabila banyak tuduhan yang dilemparkan gagal dijawab dengan baik.

“Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Datuk Seri Najib.

"Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya, Chedet, hari ini.

Dr Mahathir juga berkata, ahli dan pemimpin Umno didakwa menunjukkan kesetiaannya kepada Najib secara membuta tuli.

“Saya juga setia tetapi kesetiaan saya ialah kepada parti dan orang Melayu yang diwakili olehnya. Bukanlah mudah bagi saya menulis blog ini. Tetapi demi bangsa dan negara saya terpaksa dedah semua ini.

“Melayu hanya akan selamat jika bersikap bangsa lebih utama daripada diri sendiri,” ujarnya.

Katanya lagi, dasar pemerintahan yang diperkenalkan Najib juga hanya menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan mengetepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), semata-mata untuk meraih sokongan pengundi Cina.

“Namun, penolakan BN dalam PRU13 membuktikan orang Cina tolak pemerintahan Najib,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>