Thursday, 2 April 2015

Berita gembira buat peminjam PTPTN, bayaran balik PTPTN dikecualikan GST

Pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, sebarang bayaran balik pinjaman yang dilakukan melalui kaunter atau kios di mana-mana cawangan milik PTPTN tidak akan dikenakan GST.

"Bagaimanapun bayaran balik melalui perbankan internet atau di luar daripada cawangan PTPTN akan tertakluk kepada institusi perbankan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cabutan Hadiah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengecualian cukai itu memberi lebih peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus melangsaikan hutang pinjaman mereka yang tertunggak.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, langkah kerajaan memberikan insentif diskaun 20 peratus bagi bayaran balik keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah berjaya menggalakkan peminjam yang telah disenarai hitam membuat bayaran balik.

Sehingga Selasa lepas, 33,059 peminjam telah mengambil peluang mendapatkan insentif diskaun itu yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM404.75 juta.

Daripada jumlah peminjam itu, 1,392 orang merupakan peminjam tegar yang tidak pernah membuat bayaran balik, melibatkan pinjaman keseluruhan sebanyak RM18.03 juta.

Sepanjang tempoh pemberian insentif berkenaan, sejumlah RM80.95 juta diskaun telah diberikan kepada peminjam manakala bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM323.80 juta.

"Daripada angka ini kita akan kaji dan lihat daripada pelbagai aspek dan menilai dapatan baru yang mungkin kita akan buat supaya trend pembayaran yang meningkat ini akan terus berlaku," katanya.

Pemberian insentif diskaun 20 peratus telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2015, bagi membantu mengatasi masalah hutang tertunggak peminjam PTPTN.

Terdahulu Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucapan perasmian mengumumkan kadar dividen SSPN-i bagi tahun lepas ialah sebanyak 4.25 peratus melibatkan peruntukan sebanyak RM50.56 juta.

"Kadar yang diberikan ini adalah lebih tinggi daripada kadar faedah dan keuntungan untuk akaun simpanan yang diberikan oleh kebanyakan institusi kewangan," katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai melaksanakan perancangan kewangan yang baik melalui SSPN-i dengan membuat penabungan khusus bagi tujuan pendidikan tinggi di masa akan datang.

"Saya berkeyakinan penuh dengan adanya skim ini masalah keciciran di kalangan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi akan dapat diatasi," katanya.

Sehingga 28 Februari lepas, sebanyak 2.2 juta akaun SSPN-i telah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM1.6 bilion.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kedai serbaneka RM2 tidak dapat lagi menjual barangan dengan harga RM2?

KULIM - Kalau sebelum ini kedai serbaneka RM2 sangat popular dalam kalangan pengguna, namun pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan harga tersebut tidak dapat dikekalkan.

Pengurus Kedai Serbaneka Eco Shop Kulim, Teoh berkata walaupun sebelum ini kedainya menjual semua barangan dengan harga RM2 namun terpaksa dinaikkan sebanyak 12 sen kerana GST.

"Untuk mengekalkan harga RM2 amat sukar kerana pembekal dan premis lain mengenakan GST terhadap setiap barangan. Kami juga terpaksa naikkan harga dan kedai RM2 takkan ada lagi.

“Memang nampak nilai 12 sen kecil namun jika pelanggan membeli 10 barang mereka perlu membayar lebih daripada RM20,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Teoh berkata, selain itu pihaknya juga terpaksa menyediakan syiling untuk dipulangkan kepada pelanggan.

“Kami terpaksa menyediakan syiling pula sekarang ini, dan terpaksa menukar di bank yang turut dikenakan caj. Kadangkala bank juga tak ada stok atau simpanan  syiling dan terpaksa kami tunggu pula,” katanya.

Manakala Pelanggan, Syazwani Abd Razak, 24 berkata, kenaikan 12 sen untuk GST di kedai RM2 agak membebankan.

Jelasnya, jika dahulu membeli barangan kedai serbaneka RM2, dia hanya membelanjakan RM10 untuk lima barangan.

“Tetapi kini kerana GST, saya terpaksa menyediakan wang lebih untuk membeli barangan.

“Kedai RM2 sekarang tak akan wujud lagi dan memang mengecewakan kami yang berpendapatan rendah,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Afzani Rasidi, 25, kecewa kerana kedai serbaneka yang menjual pelbagai keperluan seperti perkakas dapur dan makanan tidak lagi berharga RM2.

“Kalau dulu saya akan beli bermacam-macam barangan di kedai serbaneka RM2, tetapi sekarang tiada lagi kedai RM2 kerana semua dikenakan GST.

“Mulai hari ini (semalam) saya dapati semua barangan yang dijual naik 12 sen setiap satu dan sangat membebankan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Selamat pengantin baru Sarimah & Tunku Nadzimuddin

PELAKON dan pengacara Sarimah Ibrahim selamat bergelar isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 43, hari ini.

Memetik laporan sebuah portal, pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah dari Istana Negara, Ustaz Nik Ridzuan Nik Mohamad.

Sarimah menerima mas kahwin berjumlah RM6,000 serta tujuh dulang hantaran dan dibalas jumlah sama buat pengantin lelaki.

Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 27 September 2014 lalu dan merupakan perkahwinan kali kedua buat Sarimah dan Tengku Nadzimuddin.

Pada tahun 2006 Sarimah pernah mendirikan rumah tangga bersama jejaka dari Australia, Amir Andrew Abdullah namun telah bercerai pada tahun 2008.

Tunku Nadzimuddin adalah cucu kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 10, iaitu Al-Marhum Tuanku Jaafar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman.

Sinar Harian

Baca lagi >>

7-Eleven memohon maaf kenakan GST terhadap penjualan akhbar

Rangkaian kedai runcit 24 jam, 7-Eleven memohon maaf kerana kesilapan mengenakan bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap penjualan akhbar di kedai tersebut bermula pagi semalam.

Menulis di Facebook hari ini, 7-Eleven menjelaskan bahawa perkara itu berlaku akibat kesilapan sistem mesin jualan dan pihaknya tidak berniat untuk berbuat demikian.

“Sejurus sahaja kesilapan sistem itu diketahui kami terus ambil tindakan dengan menarik balik produk ini daripada jualan supaya tidak menyusahkan pelanggan.

“Bagaimanapun kami faham bahawa insiden itu menyebabkan kekecewaan kepada pelanggan kami dan oleh itu kami dengan ikhlas memohon maaf,” katanya.

7-Eleven berkata, kesilapan tersebut telah diperbaiki dan pihaknya menegaskan 7-Eleven sentiasa menyokong pelaksanaan GST.

“Bagi sesiapa yang telah memberi kesan pada hari ini, kami hargai jika anda boleh menghubungi  dengan menggunakan facebook atau e-mel rasmi 7-Eleven Malaysia dengan maklumat anda (e-mel dan nombor telefon bimbit) untuk kami membetulkan kesilapan ini.

“Sekali lagi kami ingin memohon maaf kepada semua pelanggan kami berikutan kesilapan teknikal dalam sistem kami ini,” kata 7-Eleven.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hanya dua minit, Lin Dan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2015

JUARA dunia lima kali, Lin Dan hanya memerlukan masa dua minit untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2015 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di Kuala Lumpur hari ini.
   
Bintang China itu membuka kempen memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia dengan memperoleh kemenangan mudah selepas lawannya Tommy Sugiarto dari Indonesia terpaksa menarik diri ekoran kesakitan kecederaan belakangnya kembali.
Lin Dan memperolehi kemenangan percuma setelah Tommy Sugiarto mengalami kecederaan pada aksi Kejohanan Badminton Maybank Malaysian Open 2015, hari ini. – Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

Tommy, yang mengalami kecederaan itu pada Terbuka India, minggu lepas, ketika itu ketinggalan 2-0 pada set pertama.
   
"Banyak peminat mahu melihat saya bermain dengan Lee Chong Wei tetapi malangnya dia kini digantung. Namun saya berharap mendapat sokongan peminat Malaysia dan akan bermain dengan sebaik mungkin di sini," kata Lin Dan.
   
Pemain berusia 31 tahun itu kali terakhir beraksi pada Terbuka Malaysia pada edisi 2012 tetapi kalah kepada pemain Denmark, Jan O Jorgensen, pada pusingan kedua.   
   
Pada pusingan kedua esok, Lin Dan akan berdepan H.S.Prannoy, selepas pemain Indonesia berusia 22 tahun itu mengalahkan pemain Ireland, Scott Evans 22-20 dan 21-18 pada pusingan pertama.
   
Sementara itu, Tommy berkata beliau mengambil keputusan untuk menarik diri daripada meneruskan permainan kerana tidak lagi mampu menanggung kesakitan di bahagian pinggangnya.
   
Katanya, kecederaan yang dialami ketika separuh akhir Terbuka India minggu lepas kembali menghantuinya sejurus perlawanan menentang Lin Dan bermula.
   
"Saya merasakan saya sudah tidak mampu bermain dengan sempurna pada perlawanan ini. Mahu bergerak ke depan juga tidak mampu apatah lagi mahu pantas dalam mengawal gelanggang," katanya yang agak kecewa tidak dapat meneruskan perlawanan dengan jaguh China itu.
   
Beliau akan kembali ke Indonesia untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat keputusan sama ada menyertai kejohanan Terbuka Singapura atau terpaksa melupakan dulu kejohanan itu bagi mendapatkan rawatan dan rehat yang secukupnya.

"Saya mahu cepat sembuh," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Senarai syarikat yang menurunkan harga kereta

Lebih banyak syarikat mengumumkan penurunan harga kenderaan mereka, berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hari ini.

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Mercedes-Benz, Perodua dan Sime Darby Auto Connexion telah mengurangkan harga sehingga RM10,000 sejajar dengan cadangan kerajaan dan Akta Anti-Pencatutan 2011.


Sime Darby Auto Connexion, pengedar kenderaan Ford, menurunkan harga  Ranger 3.2 XLT 4×4 Automatic kepada RM110,504.80 daripada RM110,506.45 sebelum ini, manakala S-Max 2.0 dikurangkan kepada RM198,833.41 berbanding 198,933.90 sebelum GST.

Harga kereta Mercedes-Benz dijual di Malaysia turun sebanyak RM10,000 berbanding sebelum GST.

"Kami gembira untuk mengumumkan yang harga kereta kami telah dikurangkan berikutan pelaksanaan GST.

"Ini mematuhi sepenuhnya cadangan kerajaan dan Akta Anti-Pencatutan 2011 dan demi kepentingan pengguna, kami akan terus menawarkan perkhidmatan dan kualiti terbaik," kata Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine.

Selepas enam peratus GST mulai hari ini, harga Mercedes-Benz E300 Blue TEC Hybrid turun 2.87 peratus kepada RM338,888 daripada RM348,888 (tanpa insurans).

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd mengumumkan ia mengurangkan harga kenderaan sebanyak 0.3 peratus hingga dua peratus untuk model terurai sepenuhnya, walaupun harga model siap dipasang kekal tidak berubah.

Pengeluar kereta tempatan, Perodua mengurangkan harga keretanya di antara 0.1 dan 1.6 peratus, tetapi harga alat ganti tidak berubah.

Bagaimanapun, Volkswagen Malaysia mengekalkan harga jualan bersihnya (tidak termasuk kos atas jalan dan insurans), termasuk GST.

Sebelum ini, semua kereta baharu tertakluk kepada 10 peratus cukai jualan ke atas Harga Jualan Diluluskan Kerajaan.

Bagaimanapun, rejim cukai jualan itu dihapus dan diganti dengan enam peratus GST, iaitu cukai nilai tambah, cukai yang dibayar ke atas nilai yang ditambah kepada produk atau perkhidmatan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Misao Okawa, wanita tertua meninggal dunia pada usia 117 tahun

TOKYO - JEPUN. Manusia tertua di dunia, Misao Okawa dari Jepun meninggal dunia pada usia 117 tahun, semalam.

Okawa yang juga wanita tertua di dunia menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah pusat jagaan di barat Jepun, lapor agensi berita Kyodo News.

Pada usia 114 tahun, Okawa diiktiraf oleh rekod dunia Guiness sebagai wanita tertua pernah hidup di dunia pada Februari 2013.

Okawa memecah satu lagi rekod menjadi manusia tertua pernah hidup apabila dia mencecah usia 115 tahun pada Ogos 2013.

Sinar Harian

Baca lagi >>