Wednesday, 1 April 2015

Simpati, kanak-kanak ini ingatkan dia di acu senapang, walhal jurufoto nak ambil gambar beliau

GAMBAR seorang kanak-kanak yang mengangkat tangan menyerah kerana menyangka dirinya akan ditembak mengundang simpati pengguna media sosial baru-baru ini. Apa cerita di sebalik gambar kanak-kanak ini?

Memetik laporan BBC, gambar yang di ambil pada tahun 2014 tersebut, menjadi perhatian pengguna-pengguna laman sosial selepas dikongsi dilaman mikro Twitter oleh Nadia Abu Shaban, jurufoto yang berpangkalan di Gaza.
Gambar yang diambil jurufoto Osman Sagirli. - Foto Osman Sağırlı

Gambar tersebut diambil oleh seorang jurufoto Turki, Osman Sagırlı yang kini bekerja di Tanzania.

Menurut Osman, kanak-kanak tersebut menyangka kameranya adalah senjata yang mahu menembaknya.

"Saya tahu, dia takut selepas saya mengambil gambarnya dan jika dilihat gambar tersebut dia mengetap bibirnya sambil mengangkat tangannya jelas menunjukkan dia ketakutan.

"Kebiasaannya kanak-kanak akan lari, menyembunyikan muka mereka atau senyum apabila mereka melihat kamera," katanya.

Kanak-kanak itu bukanlah seorang budak lelaki, tetapi seorang kanak-kanak perempuan yang berusia empat tahun, Hudea.

Hudea mengembara ke kem-kem pelarian kira-kira 10km dari sempadan Turki dengan ibunya dan dua adik-beradik iaitu kira-kira 150 km dari rumah mereka di Hama.

Gambar tersebut diambil di kem pelarian Atmeh di Syria, pada Disember tahun lepas.

Tambah Osman lagi, gambar tersebut menunjukkan ketakutan dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak pelarian.

"Ia mencerminkan kesengsaraan yang dihadapi oleh kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya.

Gambar mula-mula diterbitkan dalam akhbar Türkiye pada Januari lalu, di mana Osman telah bekerja selama 25 tahun sebagai  jurufoto yang melaporkan mengenai peperangan dan bencana alam di luar negara.

Ia kini mula  menjadi viral di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Barat sejak minggu lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ramai yang tak tahu prepaid sepatutnya tak kena GST

Walaupun perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bermula hari ini belum sampai 24 jam, namun telah banyak reaksi negatif mengenainya telah diluahkan menerusi laman-laman sosial.

Ini termasuk rasa tidak berpuas hati pengguna dengan tindakan pengusaha syarikat telekomunikasi yang mengenakan GST terhadap kad prabayar walaupun ia sepatutnya dikecualikan GST.

Antara komen-komen di laman Facebook ialah  "aku beli top up RM10 kena tambah lagi 60 sen menyusahkan aku.

" Aku baru sahaja topup.. Memang kena GST... kata seorang pengguna Facebook.

Sementara itu seorang Timbalan Menteri Kewangan dalam twitternya berkata, berlaku salah faham di antara syarikat telco dengan kerajaan.

"Surat kastam telah dihantar kepada syarikat telco tentang top-up prabayar sebelum ini. Tindakan susulan akan segera diambil agar diikuti arahan harganya", tulisnya.

Bermula hari ini, Malaysia menjadi negara kelapan dalam kalangan 10 negara Asean yang melaksanakan GST.

GST berkadar enam peratus menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus yang diguna pakai selama ini, merupakan kadar terendah dalam kalangan negara Asean.

Sinar Harian

Baca lagi >>

GST: Kahwin dengan air matalah gamaknya!

MEMANDANGKAN hari bahagia yang dirancang tidak lama sahaja lagi, hati yang sudah semestinya berbunga-bunga menanti hari bahagia tiba-tiba jadi gerun!

Apa tidaknya mengenangkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula secara rasmi, hari ini.

Kenapa perlu sebut perkataan 'rasmi'?

Sebab rasanya untuk bakal pengantin seperti penulis, kami sudah 'tengok-tengok' barangan untuk majlis perkahwinan sejak tahun lepas, walhal majlis tahun depan. Biasalah, teruja!

Asal ada hari terluang, ringanlah kaki penulis nak masuk ke kedai-kedai yang menjual barangan keperluan majlis. Oleh kerana menetap di Shah Alam, maka premis yang dipilih juga berhampiran dengan kediaman.

Dua hari lepas, penulis singgah lagi ke kedai barang-barang kahwin sambil membelek beberapa barangan yang berkenan di hati.

Kelihatan si gadis jurujual sibuk menyusun bunga artifisial di rak bunga... penulis lalu menghampirinya.

“Adik, untuk bekas hantaran ini, berapa harganya?

“Untuk bekas hantaran yang ini harga biasanya dalam RM 21.90, tetapi sekarang ada potongan harga jualan sehingga 20 peratus,” kata gadis manis itu membalas pertanyaan penulis.

“Lepas GST harga masih sama ke?," tanya penulis hendakkan kepastian.

“Lepas GST, naiklah sikit, hampir semua barang dalam kedai naik,” jawabnya dengan senyuman teragak-agak.

Penulis yang ketika itu bersama ibu dan adik perempuan, terdiam seketika. Tanpa sedar, penulis mengeluh panjang. "Ish nak kahwin pun kena GST!".

Memang kalau diikutkan, perkahwinan Islam sebenarnya mudah. Yang menjadikan ia susah adalah adat. Demi adat yang sudah tentu melibatkan air muka keluarga, majlis sederhana bagi meraikan hari bahagia perlu diadakan juga. Ya majlis sederhana pun, bukan sikit bajetnya kan!

Meskipun hanya merancang majlis kecil, tempias GST pasti terkena. Mana tidaknya, baju pengantin ada GST, khidmat katering disertakan GST, bahkan kad kahwin pun terkena GST!

Penulis teringat kembali soal jawab penulis bersama syarikat cetakan kad perkahwinan dalam talian (online) yang berlangsung beberapa hari lalu.

Tidak puas hati dengan pengumuman kenaikan harga yang dikenakan akibat GST, penulis mempersoal tindakan pihak pengurusan syarikat percetakan tersebut yang menaikkan harga perkhidmatan mereka.

“Saya tak faham kenapa awak (agensi perkhidmatan cetakan kad perkahwinan) nak naikkan harga sedangkan kadar 6 peratus (GST) yang awak kenakan pelanggan boleh dituntut atau claim dengan kastam,” tanya penulis di ruangan komen yang disediakan di laman sosial Facebook syarikat terbabit.

“Laa.. Saya pun pelik. Dalam sistem GST yang kami daftar, kami perlu buat macam-macam untuk GST. Kami hanya tukang collect (kutip), bukan apa-apa pun,” jawab pengendali laman sosial Facebook syarikat itu.

Berpinar seketika mata penulis ketika membalas apa yang ditulis oleh wakil syarikat tersebut. Kalaulah sana sini jadi tukang 'collect' bagaimana pula nasib rakyat yang hanya ‘tukang keluar duit’ seperti penulis ini?

Jika inilah ‘kebaikan GST’ yang dimaksudkan, maka berkahwin dengan airmatalah penulis nanti!

Sinar Harian

Baca lagi >>

Aduhai kicap lemak manis, mi segera pun naik harga

BELEK punya belek resit, hati mula panas... ish kenapa mahal sangat ni? Bila tengok, barang yang dibeli tak sampai separuh troli pun! Tapi itu bukan fenomena baharu.

Harga barangan keperluan di pasaran, jika tidak pandai pilih memang 'menjerut' leher pengguna...

Bermula hari ini, apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ramai yang kata hampir kesemua barangan keperluan asas akan naik harga.

Jom teliti buku 'Panduan Harga Pengguna' yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum beli.

Jangan tidak tahu, jika anda teliti buku ini, barangan yang anda fikir mungkin dinaikkan harga tetapi bila semak, rupa-rupanya jangkaan itu meleset.

Sama juga halnya dengan barangan yang anda fikirkan, ia tidak mungkin dikenakan GST tetapi barang itulah rupanya yang dikenakan cukai. Jadi hati-hati dan semak dahulu sebelum beli. Jadilah pengguna yang bijak.

Di sini kami senaraikan antara barangan yang turun, naik dan tiada penurunan harga untuk panduan kita bersama kita membeli barangan keperluan.

TURUN HARGA

- BERAS SUPER (TEMPATAN) (ST15%) 10KG RM19.65 - RM19.61
- BERAS CAP RAMBUTAN (SST15%) 10KG RM25.90 - RM25.85
- BAWANG BESAR KUNING (HOLLAND) 1KG RM3.30 - RM3.29
- ROTI SANDWIC GARDENIA 400G RM2.40 - RM2.39
- ROTI SANDWIC HIGH 5 400G RM2.40 - RM2.39
- NESCAFE CLASSIC 200G RM17.00 - RM16.38
- YOGURT NESTLE (TANPA LEMAK) 135G RM1.90 - RM1.88
- AYAM BERSIH - STANDARD 1KG RM7.10 - RM7.08
- AYAM BERSIH - SUPER 1KG RM8.50 - RM8.47
- MINYAK ANGIN CAP KAPAK 10ML RM4.95 - RM4.94


NAIK HARGA

- MI SEGERA MAGGI 2 MINIT PERISA KARI 5x79G RM4.50 - RM4.59
- SARDIN CAP KING CUP 9SOS TOMATO) 155G RM3.10 - RM3.28
- KICAP LEMAK MANIS CAP KIPAS UDANG 345ML RM5.40 - RM5.71
- BISKUT CREAM CRACKER CAP HUP SENG 428G RM3.95 - RM4.03
- SOS CILI MAGGI 500G RM3.85 - RM3.93
- TEPUNG JAGUNG (BERBUNGKUS) 400G RM1.80 - RM1.90
- MILO (PAKET) 400G RM8.20 - RM8.66
- SUSU ISIAN PEKAT MANIS CAP TEAPOT RM3.40 - RM3.60
- BURGER AYAM RAMLY ORIGINAL 6 KEPING RM5.50 - RM5.61
- AIR MINERAL SPRITZER 600ML  RM1.50 - RM1.58


TIADA PERUBAHAN HARGA

- TELUR AYAM GRED A 10 BIJI RM4.40
- TELUR AYAM GRED B 10 BIJI RM4.15
- TELUR AYAM GRED C 10 BIJI RM4.10
- MI KUNING BASAH 500G RM1.20
- REMPAH SUP BUNJUT ADABI 8G RM1.10
- CILI KERING KERINTING - BERTANGKAI RM1.30
- GARAM HALUS BIASA 350G RM0.80
- ASAM JAWA (BERBIJI) 200 G RM1.30
- KEPAK AYAM 100G RM1.30
- DADA AYAM 100G RM1.20

Sumber maklumat: Buku Panduan Harga Pengguna (Zon Tengah)

Buku ini menyenaraikan 500 barangan keperluan asas terpilih yang membandingkan harga sebelum dan selepas GST dilaksanakan bermula hari ini.  

Sinar Harian

Baca lagi >>

Malaysia negara pertama teroka pasaran vaksin halal

Malaysia akan menjadi negara pertama meneroka pasaran vaksin halal dunia yang mempunyai potensi bernilai sekurang-kurangnya US$80 bilion (US$1.00=RM3.68), kata Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, ia akan direalisasikan apabila kilang vaksin halal milik syarikat pengeluar vaksin Arab Saudi, AJ Pharma Holding, mula beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan pada 2017.

Beliau berkata, syarikat berkenaan telah memulakan pelaburan untuk membangunkan kilang berkenaan dalam tiga fasa dengan kos keseluruhan bernilai RM300 juta.

"Mereka sudah menyatakan minat yang amat tinggi untuk mencari kaedah bagi mengeluarkan produk vaksin halal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan aluan di Persidangan Halal Dunia di sini hari ini.

Jamil berkata, produk vaksin halal merupakan produk yang amat strategik untuk memenuhi permintaan pasaran umat Islam yang berjumlah 1.8 bilion selain mengukuhkan lagi kedudukan industri halal.

Beliau berkata setakat ini, masih tiada syarikat pengeluar vaksin di dunia yang mempunyai persijilan halal dan terdapat cadangan supaya produk yang berasaskan tumbuhan diberikan sijil halal.

Persidangan bertemakan "Ekonomi Halal: Penumpuan yang Menguntungkan" selama dua hari bermula hari ini tersebut berlangsung sempena Sidang Kemuncak Halal Dunia yang bermula sejak 30 Mac lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Perginya S/U Sulit kehilangan besar buat PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kepulangan ke Rahmatullah setiausaha sulitnya, Datuk Mohd Po'ad Jelani akibat barah Lymphoma, satu kehilangan besar bagi beliau dan Pejabat Perdana Menteri.

Najib berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham Mohd Po'ad telah menjalankan tanggungjawabnya dengan begitu dedikasi dan amanah serta mempunyai keperibadian baik.

"Saya amat sedih dengan pemergian Mohd Po'ad kerana beliau telah bekerja dengan saya sejak tahun 1999 ketika saya Menteri Pendidikan.

"Saya ambil beliau bekerja dengan saya selepas melihat ciri-ciri kepimpinan yang ada pada beliau sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid TUDM Subang di sini malam ini.

Mohd Po'ad, 50, meninggal dunia di Hospital Raffles, Singapura pada jam 9 pagi ini ketika sedang menjalani rawatan barah Lymphoma.

Najib tiba di masjid berkenaan pada pukul 7.30 malam bagi menziarahi jenazah dan menunaikan solat Maghrib berjemaah disusuli solat jenazah.

Beliau turut menemui keluarga Allahyarham bagi menzahirkan ucapan takziah kepada mereka.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan warga kerja Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri sebelum ini berada di Sarawak untuk lawatan kerja dua hari.

Jenazah yang diterbangkan dari Singapura tiba di pangkalan TUDM Subang 6 petang sebelum dimandi, dikafan serta disembahyangkan di masjid berkenaan dan seterusnya dibawa ke Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang untuk dikebumikan selepas solat Isyak.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Ana Farahah Mohd ketika ditemui pemberita berkata bapa saudaranya sebelum ini dimasukkan ke Hospital Ampang ketika cuti sekolah baru-baru ini.

Beliau berkata, Allahyarham kemudian dibawa ke Singapura pada Selasa lepas bagi menjalani rawatan kimoterapi di sana.   

"Pakcik ialah seorang yang tegas tetapi pemurah dan baik hati serta menjaga kebajikan anak-anak buahnya," katanya.

Usaha pemberita untuk menemu bual isteri dan anak-anak Allahyarham bagaimanapun gagal.

Mohd Po'ad yang berasal Kampung Janda Baik, Bentong meninggalkan isteri, Datin Hamizah Abdul Khalid, 48, dan tiga orang anak, iaitu Nabilatasha, 23, Nabila Afiqah, 21, dan Muhamad Irfan Hazim, 16.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Najib di Kementerian Pendidikan pada 1999.

Mohd Po'ad kemudian menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri pada 1 April 2004 seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Sinar Harian

Baca lagi >>

21 tahun membesar bersama keluarga angkat, akhirnya hasrat berjumpa ibu kandung tercapai

SEORANG gadis, Poppy Royal dari Oxfordshire, England menyedari dia adalah anak angkat kerana dia berdarah Tamil sedangkan ibu bapa yang membesarkannya adalah pasangan Inggeris.

Didorong keinginan yang tinggi, Poppy, 21, mengambil keputusan untuk mencari ibu kandungnya.

"Saya diambil sebagai anak angkat sejak berusia lima minggu. Ibu dan ayah merahsiakan perkara ini dari pengetahuan saya.

Poppy bersama ibu kandungnya.

"Tapi selepas beberapa tahun, keinginan untuk berjumpa dengan ibu kandung semakin tinggi.

"Nasib baik mereka faham dan akhirnya membuka rahsia yang selama ini disimpan rapi," katanya.

Poppy menjelaskan, ibu bapa angkatnya iaitu Cliff (68) dan Jenny (58) memberitahu dia sebenarnya diambil ketika masih bayi dari sebuah keluarga miskin di Sri Lanka.

Bertindak atas maklumat itu, Poppy bersama seorang rakan terbang ke Sri Lanka pada 2013 untuk mencari ibunya.

"Maklumat yang ada tidak banyak. Saya hanya diberitahu nama ladang teh di mana ibu kandung saya bekerja dan namanya Kalinga. Itu sahaja," katanya.

Tuah bagaimanapun menyebelahi Poppy apabila seorang pekerja hotel di Colombo mengetahui lokasi ladang teh tersebut dan ibu kandungnya masih bekerja di situ. 

Sinar Harian

Baca lagi >>