Tuesday, 31 March 2015

Bandar raya bakal berdiri megah di tengah gurun

Arab Saudi akan meneruskan rancangan menyiapkan kerja pembinaan bandar mega di kawasan gurun negara itu.

Bandar Ekonomi Raja Abdullah atau KAEC (disebut ‘kek’) akan lebih besar sedikit daripada Washington DC dan akan menempatkan kira-kira 2 juta penduduk.

SETAKAT ini hanya 15 peratus projek itu sudah dibangunkan

Bandar raya itu yang akan dibina kira-kira 100 kilometer dari Jeddah dengan belanja kira-kira RM368 bilion akan mempunyai keluasan 112 kilometer persegi dan dijangka menjadi pusat baru komersial baru negara itu.

Almarhum Raja Abdullah menaruh harapan terhadap masa depan negaranya dengan pembinaan bandar baru berkenaan yang mungkin mengambil lebih 10 tahun untuk disiapkan.

DENGAN kawasan seluas 112 kilometer persegi, pembinaan bandar itu menelan belanja sebanyak RM368 bilion.

Setakat ini, 15 peratus projek berkenaan sudah disiapkan. Kemudahan awam dan kawasan kediaman masih lagi dalam pembinaan.

Rancangan itu termasuk pembinaan sebuah pelabuhan, kompleks industri, pusat kewangan, kemudahan pantai dan kawasan kejiranan.

SEBUAH stadium juga akan dibina.

KAEC ialah antara empat bandar baru yang dalam pembinaan. Ia bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi Saudi yang sehingga ini terlalu bergantung kepada minyak.

Ia sudahpun mempunyai laman webnya sendiri, menunjukkan pelan, peta dan maklumat mengenai cara untuk melabur.

LAKARAN gambar stesen kereta api Haramain di KAEC yang akan dibuka tahun ini, menghubungkan Makkah dan Madinah.

“Kami membina bandar raya dengan jangkaan 65 peratus populasinya di bawah usia 30-an. Ketika ini, 200,000 rakyat Saudi belajar di luar negara. Mereka sudah pasti akan membuat perubahan apabila kembali nanti,” kata pengarah urusan Emaar Economic City Fadi Al-Rasheed.

Syarikat berkenaan bertanggungjawab mengendalikan projek KAEC.

KREN dilihat di sebelah bangunan tinggi yang dalam pembinaan.

Dalam pada itu, projek berkenaan juga akan menyaksikan pembinaan satu daripada pelabuhan terbesar dunia.

Rayan Bukhari, pengurus muda projek itu berkata, pihaknya yakin pelabuhan baru itu akan mengambil alih peranan pelabuhan Jebel Ali di Dubai apabila siap kelak.

PINTU gerbang KAEC.

“Buat masa ini kebanyakan barangan yang dihantar ke Riyadh perlu melalui Dubai. Keadaan itu akan berubah. Ia akan terus dihantar ke sini kerana ia lebih murah dan boleh diagihkan lebih cepat ke seluruh pelosok negara ini,” katanya.

KAEC juga dijangka menjadi tempat singgah penting bagi jemaah haji dan umrah memandangkan ia akan menjadi pusat menghubungkan rangkaian kereta api laju antara Makkah dan Madinah.

SEKUMPULAN pengunjung melihat model KAEC yang antara lain akan menyaksikan pembinaan pelabuhan terbesar di dunia.

Buat masa ini, untuk ke Makkah menerusi jalan darat, ia hanya mengambil masa sejam 20 minit dan Madinah, kira-kira tiga jam.

Stesen kereta api Haramain akan dibuka hujung tahun ini sekali gus menjadi pemacu kepada pembangunan yang dirancang serta mengurangkan perjalanan ke Jeddah kepada 30 minit.

Hmetro

Baca lagi >>

Selepas jalani lebih 9 pembedahan, bayi yang lahir dengan separuh jantung kini sihat

DUNHAM - ENGLAND. Seorang bayi yang lahir dengan hanya separuh jantung sempurna kini sihat selepas menjalani lebih sembilan pembedahan.

Jack Stevens, 15 bulan, juga pernah diserang strok.


Menurut Dailymail.uk, Stevens mengalami sindrom Hypoplastic Left Heart (HLHS) yakni hanya separuh jantungnya berjaya terbentuk ketika dalam kandungan.

Stevens kini tidak dibantu dengan alat bantuan pernafasan dan dibenarkan balik ke rumah selepas keadaannya bertambah baik.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Badak sumbu mengamuk, seorang wanita maut, 6 lagi cedera

HETAUDA - NEPAL. Seekor badak sumbu liar mengamuk di bandar Hetauda, menyebabkan seorang wanita maut dan enam orang lagi cedera dan mengejar orang ramai di pasar dan hospital, semalam.

Menurut The Guardian, orang ramai cuba menghalau badak sumbu berkenaan dengan membunyikan hon dan memukul deram, namun tidak berjaya.

Sedutan video rakaman amatur yang dimuatnaik ke laman sosial.

Pegawai kerajaan, Ram Prasad Thapaliya memberitahu, satu pasukan bersama ubat pelali (tranquilizer) sedang cuba menangkap haiwan tersebut.

"Badak sumbu ini gemparkan penduduk. Ia juga masuk ke dalam hospital dan membuatkan orang ramai melarikan diri dan lompat dari pagar," kata Ram Prasad.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Mohon kerajaan tangguhkan dulu GST

MELIHAT rakyat marhaen berpusu-pusu memasuki pasaraya membeli pelbagai barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak pada hujung minggu yang lalu menggambarkan kerisauan yang mendalam di kalangan rakyat terhadap GST.

Situasi tersebut adalah sama seperti yang disaksikan di stesen minyak pada malam terakhir sebelum harga minyak diumumkan naik pada hari keesokkannya.

Fenomena ini menunjukkan rata-rata pembeli merasakan harga barangan akan meningkat selepas 1 April ini.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Majoriti negara di dunia ini melaksanakan GST sebagai sumber pendapatan.

GST tidak pernah diperlukan selama ini di negara kita kerana negara Malaysia sebenarnya kaya dengan sumber asli.

Sejak zaman Pak Lah sehinggalah sekarang, kita mula kedengaran hutang negara menjadi semakin meningkat menghampiri 55 peratus GDP.

Kita mula mendengar penyelewengan dan salahguna dana awam yang semakin meruncing setiap tahun di dalam laporan audit tahunan.

Selepas itulah, baru kita terdengar negara Malaysia tiba-tiba memerlukan GST untuk memperbetulkan defisit kewangannya.

Ketika rakyat masih samar-samar mencari jawapan, tanpa sedar, GST bakal menemui rakyat Malaysia dalam 1 hari lagi.

Persoalannya, apakah negara sudah bersedia dengan GST?

Apakah kerajaan sudah melakukan persiapan yang cukup dan melakukan simulasi terhadap apa yang akan berlaku bilamana GST terlaksana?

Jika ya, apakah impak kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana (RM5000 ke bawah)? Apakah kesannya kepada hutang seisi rumah? Tanpa GST, rata-rata rakyat marhaen sudah hidup dalam keadaan hutang sekeliling - bagaimana pula selepas GST?

Bagaimana pula dengan golongan pencen dan tua? Apakah kerajaan sudah membuat simulasi kesan GST terhadap mereka? Apakah semua ini sudah dikaji, dan daripadanya terhasil satu tindakan susulan untuk membantu mereka selepas GST terlaksana?

Selain itu, apakah kerajaan sudah membuat simulasi kadar inflasi untuk 3, 6 dan 12 bulan seterusnya sejurus GST dilaksanakan? Jika ya, sekadar pertanyaan, apakah kerajaan sudah ada satu pelan tindakan sekiranya kadar inflasi melebihi kadar yang dijangkau kerajaan untuk mengelakkan rakyat tertekan dan terbeban?

Bukan itu sahaja, apakah GST akan menyebabkan peningkatan kadar  penggangguran kerana mungkin ada perniagaan-perniagaan bermodal sederhana yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk menampung kos perniagaan yang meningkat kerana GST?

Apakah kerajan sudah melakukan simulasi terhadap situasi ini? Jika ya, apakah hasilnya?

Ada juga yang tertanya-tanya mengenai kesan GST pada yuran di universiti awam? Apakah pelajar yang sedang mengaji perlu membayar 6 peratus tambahan kepada pemprosesan yuran universiti dan apa-apa kos pentadbiran universiti yang lain termasuk bayaran peperiksaan dan juga graduasi?

Bagaimana pula dengan pihak PTPTN, apakah kerajaan sudah mengkaji apakah wajar pelajar diberikan pinjaman tambahan untuk menampung kos kehidupan mereka selepas GST terlaksana?

Apakah saluran sudah disediakan untuk para konsumer yang menjadi mangsa untuk mendapatkan pampasan sekiranya mereka terbayar GST kepada barangan yang sepatutnya dikecualikan GST? 

Bagaimanakah para konsumer boleh mengetahui samada mana-mana satu kedai boleh mengenakan GST mahupun tidak? Bagaimana pihak kastam dapat memantau kutipan GST haram daripada mereka yang tidak layak mengenakan GST?

Pokoknya, apakah kita sebagai satu negara sudah bersedia dengan GST?

Maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa tidak lagi bersedia. Dan saya yakin ramai lagi yang bersetuju dengan saya.

Saya percaya ramai rakyat biasa hanya sekadar bersedia dan tahu mereka terpaksa berbelanja lebih apabila GST terlaksana tanpa mengetahui apa-apa yang lain dan kesannya.

Kerajaan pula dilihat hanya menyibukkan diri untuk menyakinkan rakyat bahawa GST tidak akan menyebabkan peningkatkan kos sara hidup daripada tugas untuk memastikan perlaksanaan GST tidak bermasalah.

Melihat bagaimana kerajaan tiba-tiba tidak mengenakan GST pada buku pada saat-saat akhir sebelum melaksanakan GST menyakinkan saya lagi bahawa kerajaan masih tidak bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan GST.

Saya merasa perlunya untuk kerajaan melaksanakan tempoh percubaan GST selama tiga bulan, contohnya di Langkawi, untuk menilai keberkesanan sistem GST yang ada sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara.

Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, inilah masanya untuk mendahulukan rakyat. Jangan perjudikan nasib rakyat dengan perlaksanaan GST yang masih tidak menentu dan stabil.

Oleh itu, saya memohon agar kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST sekurang-kurangnya untuk 6 bulan untuk memastikan segala impak pada negara dan rakyat dapat diminimakan. 

Lebih baik jika kerajaan dapat memansuhkannya sahaja dan fokus kepada usaha menangani rasuah dan ketirisan dengan cara lebih efektif.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden Pas

Baca lagi >>

Benjy bakal berdepan hukuman gantung?

BEKAS pelakon, Benjy atau nama sebenar Khaeryll Benjamin Ibrahim berdepan  hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan selepas ditahan bersama peralatan dan bahan kimia yang biasanya digunakan untuk memproses syabu.

Benjy, 37, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut laporan media tempatan, dadah jenis syabu seberat lebih 1.3kg juga ditemui bersama anak lelaki tunggal kepada pelakon Allahyarham Azean Irdawaty itu.

Benjy ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan sebuah stesen minyak di Pagoh, semalam.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Jadual Liga Premier dan Liga Super dipinda

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan meminda beberapa jadual Liga Premier dan Liga Super bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pindaan itu juga mengambil kira jadual persatuan bola sepak negeri dan kelab yang layak ke suku akhir Piala FA serta pasukan terlibat dalam kejohanan Piala AFC 2015.

Pasukan Pilihan Malaysia akan berdepan dua pasukan Liga Perdana Inggeris iaitu Tottenham Hotspur dan Liverpool FC pada Mei dan Julai ini.

Anak buah Dollah Salleh akan berdepan skuad bimbingan Mauricio Pochettino pada 27 Mei dan Liverpool pada 24 Julai.

"Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (Datuk Seri Afandi Hamzah) memutuskan beberapa pindaan jadual perlawanan Liga Super dan Liga Premier 2015 perlu dibuat bagi memberi laluan kepada pasukan Pilihan Malaysia menghadapi perlawanan antarabangsa tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jadual Liga Super terlibat adalah perlawanan ke-11 pada 30 Mei yang dipinda kepada 27 Jun, perlawanan ke-15 pada 27 Jun diawalkan kepada 23 Jun dan perlawanan ke-17 pada 25 Julai dipinda kepada 5 Ogos

Sinar Harian

Baca lagi >>

Gerhana bulan Sabtu ni, jom pakat-pakat solat sunat gerhana

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 4 April ini, satu-satunya gerhana bulan yang dapat dilihat di Malaysia pada tahun ini.

Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di sini hari ini, fasa fenomena tersebut bermula pada 5.01 petang, iaitu bulan memasuki bayang-bayang penumbra.

Kemuncak gerhana berlaku pada 8 malam dan fenomena itu berakhir pada 10.59 malam, iaitu bulan keluar dari bayang-bayang penumbra.

Menurut kenyataan itu, di Sabah, bulan akan terbit lebih awal berbanding di semenanjung iaitu sekitar 6 petang dan untuk itu penduduk di Sabah dapat menyaksikan fenomena tersebut bermula dari fasa separa sehingga tamat keseluruhan gerhana.

"Di semenanjung pula, bulan hanya akan terbit sekitar 7.20 malam dan ini bermakna fasa gerhana bulan penuh bermula sejurus selepas bulan terbit," menurut kenyataan berkenaan.

Lokasi terbaik untuk melihat fenomena tersebut adalah di kawasan yang paling timur dengan ufuk yang tidak terlindung.

Sehubungan itu, Angkasa dan Jabatan Mufti Selangor akan mengadakan program pencerapan bulan dan planet Musytari, melihat bintang Sirus dan buruj Belantik (Orion) di perkarangan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor.

Selain itu, Angkasa juga akan membawa Mini Planetarium bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menonton tayangan filem pendek astronomi secara percuma.

Untuk mendapatkan perkembangan terkini tentang fenomena tersebut, orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) atau hubungi talian 03-22734403/5484. 

Tatacara solat sunat gerhana boleh lihat di SINI

Sinar Harian

Baca lagi >>