Sunday, 29 March 2015

Awal Ashaari kemalangan di Melaka


PENGACARA terkenal, Awal Ashaari dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Plus ketika dalam perjalanan ke siaran langsung Melodi di Melaka, hari ini.

Berita itu dimaklumkan wartawan Melodi, Zuan Azmi melalui akaun Instagram miliknya, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pengacara Melodi, Awal Ashaari terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Plus berdekatan R&R Ayer Keroh Melaka arah selatan.

“Awal ditemani Izuan Mokhtar dalam perjalanan untuk siaran langsung Melodi dari Jom Heboh Stadium Ayer Keroh,” tulisnya.

Zuan turut berkongsi gambar keadaan kereta Awal yang remuk teruk.

Menurutnya lagi, Awal telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Awal sudah dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans dan saya masih berada di lokasi kemalangan menunggu pegawai penyiasat dan ‘towing’. Dalam pemerhatian saya, Awal tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sama-sama kita doakan untuk Awal,” katanya lagi.

Sementara itu, isterinya, Scha Al Yahya ketika ditemui di hospital berkenaan berkata, Awal hanya mengalami cedera ringan di bahagian mulut dipercayai akibat terhentak ketika kemalangan itu.

Dalam pada itu, Zuan berkata, tempat Awal sebagai pengacara Melodi digantikan oleh penerbit Micheal dan Liza Hot Fm.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kenali pulau paling terpencil di dunia

Dengan hanya boleh dijejaki menerusi pelayaran enam hari dengan bot atau mengikuti percutian belayar selama sebulan merentasi Lautan Atlantik Selatan, Tristan da Cunha ialah destinasi percutian paling jauh.

Gugusan pulau berpenghuni paling terpencil di dunia itu terletak kira-kira-kira 2,000 kilometer dari Saint Helena, pulau berpenduduk paling hampir dengannya, 2,399 kilometer dari Afrika Selatan dan 3,360 kilometer dari Amerika Selatan.

PETA menunjukkan kedudukan Tristan da Cunha.

Ia hanya 11 kilometer panjang dan luas kira-kira 60 kilometer persegi.

Satu-satunya penempatan di kepulauan itu dikenali sebagai Edinburgh of the Seven Seas, yang digelar oleh kira-kira 300 penduduknya sebagai The Settlement.

PENEMPATAN di Ttistan da Cunha juga dikenali sebagai The Settlement dan mempunyai kurang daripada 300 penduduk

Walaupun kecil dan terpencil, Tristan da Cunha kaya dengan sejarah dan amat unik.

Antara syarikat pelancongan yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong belayar ke sana ialah Oceanwide Expeditions yang akan berlabuh tiga hari di Tristan da Cunha, nama yang diberi kepada pulau utama dan pulau sekelilingnya, termasuk Pulau Nightingale yang tidak berpenghuni.

Kapal syarikat berkenaan berlepas dari Ushuaia di Tierra del Fuego, Argentina kerana ia cara terbaik untuk sampai ke kepulauan itu.

SATU-SATUNYA penempatan di Tristan da Cunha, Edinburgh of the Seven Seas, terletak di kaki gunung berapi Queen Mary.

Bagaimanapun, untuk berlabuh atau mendarat tidak dijamin. Kira-kira 30 peratus cubaan mendarat sejak 1998 gagal kerana cuaca buruk.

Bagi mereka yang bercuti ke sana, tidak ada hotel disediakan.

Bagaimanapun, mereka boleh tinggal sementara dengan penduduk tempatan, keturunan dari pelbagai negara, termasuk Scotland, England, Belanda, Amerika Syarikat dan Itali.

Penduduk yang semuanya petani, juga menjadi pemandu pelancong dan penjual cenderamata.

PANDANGAN dari atas atas pulau utama di Tristan da Cunha.

Berdasarkan sejarah, pulau berkenaan terbukti menjadi persinggahan penting bagi kapal yang perlu berhenti dalam pelayaran merentasi Atlantik.

United Kingdom mengisytiharkan kepulauan itu tanah jajahannya pada 1816 untuk memastikan Perancis tidak boleh menggunakannya sebagai pangkalan untuk menyelamatkan Napoleon Bonaparte yang dipenjarakan di Saint Helena.

PENUNJUK arah menunjukkan betapa jauhnya perjalanan untuk sampai ke Tristan da Cunha.

The Settlement dinamakan sebagai tanda penghormatan untuk anak Ratu Vicoria, Putera Alfred, Duke of Edinburgh yang melawat pulau berkenaan pada 1867.

Duke of Edinburgh kedua, Putera Phillip, juga melawat pulau berkenaan pada 1957.

PENGUIN baka rockhopper yang banyak terdapat di kepulauan itu.
Hmetro

Baca lagi >>

Kagum! Umur 7 tahun dah khatam al-Quran

TUMPAT - “Walaupun baru setahun dia belajar al-Quran di Masjid Kampung Laut, alhamdulillah dia sudah khatam 30 juzuk al-Quran,” kata Nasirizal Mohd Nasir, 42, ibu kepada Mohd Adib Che Daud.

Mohd Adib, 7, merupakan pelajar termuda dari kelas al-Quran di Masjid Kampung Laut, berjaya khatam al-Quran, kelmarin.
Wan Mat Zain mengetuai majlis khatam a-Quran beramai-ramai di Masjid Kampung Laut, Tumpat, kelamarin.
Gambar kecil: Mohd Adib.

Nasirizal berkata, seorang lagi anaknya, Aisyah Farina, 9, kakak kepada Mohd Adib turut berjaya khatam 30 juzuk al-Quran.

Menurutnya, ia melakar sejarah tersendiri kerana dua anaknya khatam serentak sempena majlis khatam al-Quran beramai-ramai di Masjid Kampung Laut.

“Ia anugerah ALLAH apabila Mohd Adib mampu habiskan 30 juzuk al-Quran hanya dalam masa setahun.

“Kelebihan itu saya kesan ketika Mohd Adib berusia lima tahun lagi. Ketika berumur enam tahun dia mengikuti kelas al-Quran di masjid ini,” katanya yang mempunyai tujuh anak.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Laut, Wan Mat Zain Wan Yusof berkata, 43 pelajar berjaya khatam al-Quran tahun ini.

Menurutnya, majlis khatam al-Quran lebih meriah kerana turut diadakan majlis perarakan, persembahan nasyid dan kuiz yang turut dihadiri ibu bapa.

“Khatam al-Quran mendapat kerjasama Kumpulan Media Karangkraf yang mengaktifkan Rumah Ngaji di masjid ini,” katanya.

Wan Mat Zain berkata, lebih bermakna apabila al-Quran sumbangan Kumpulan Media Karangkraf dimanfaatkan sepenuhnya apabila al-Quran itu digunakan ketika majlis khatam berkenaan.

Menurutnya, 350 pelajar yang mengikuti kelas al-Quran yang dibahagikan kepada tujuh kelas dengan tujuh tenaga pengajarnya.

“Kelas al-Quran ini diwujudkan sejak 10 tahun lalu dengan pelajarnya berusia 6 tahun hingga 13 tahun,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Penggunaan contact lens yang tidak betul boleh menyebabkan mata buta

Jika dulu, kanta lekap menjadi alternatif remaja untuk menggantikan penggunaan cermin mata, kini penggunaan kanta lekap lebih untuk tujuan berfesyen sama ada yang rabun penglihatan atau sebaliknya.

Kewujudan kanta lekap berwarna menjadikan pemakaian kanta lekap lebih popular dalam kalangan remaja sebagai aksesori kecantikan mata.

Permintaan yang tinggi menyebabkan ejen yang tidak berdaftar mengambil kesempatan menjual kanta lekap secara terus kepada pembeli. Lihat saja lambakan pelbagai jenama kanta lekap di pasaran. Ada yang dijual dengan harga serendah RM20.

Namun, adakah anda tahu ia akan memberi kesan buruk kepada kesihatan mata?

Menurut Ketua Pusat Mata dan Lasik Pusat Perubatan Prince Court, Prof Dr Muhaya Mohamad, pengguna dinasihatkan jangan cepat terpengaruh dengan harga murah kerana kebersihan dan kualiti kanta lekap berkenaan tidak terjamin.


“Kebersihan adalah aspek paling penting dalam pemakaian kanta lekap kerana mata sangat sensitif dengan kekotoran yang boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius,” katanya.

Dalam artikel ini, Gen Y mengupas beberapa isu berkenaan penggunaan kanta lekap yang perlu diberi perhatian. Meskipun kanta lekap berperanan besar membantu memperbaiki penglihatan, namun pemakai kanta lekap akan terdedah dengan pelbagai risiko jika salah cara penggunaannya.

Pengguna remaja meningkat

Mata individu normal mempunyai tisu berwarna yang dikenali sebagai iris. Setiap individu mempunyai iris berbeza-beza. Kebanyakan remaja kita mempunyai iris berwarna hitam dan coklat gelap.

Untuk tampil berbeza, remaja antara individu yang dikenal pasti obses membeli kanta lekap berwarna untuk dijadikan koleksi aksesori mata mereka.

Corak kanta lekap juga berperanan menampilkan kelainan pada paras rupa si pemakai. Selain meniru gaya artis pujaan mereka, warna yang pelbagai mampu menaikkan aura mata mereka supaya kelihatan lebih seksi.
Jangan terlalu obses untuk kelihatan cantik sampai tidak memikirkan akibatnya pada masa akan datang. Seeloknya pengguna disarankan membeli dan mendapatkan nasihat daripada pakar optometris.

Wujud ejen tidak berdaftar

Hari ini, kanta lekap bukan saja mudah didapati di pasar malam bahkan boleh dibeli secara atas talian. Remaja yang tidak mengalami masalah penglihatan biasanya berani membeli dan menggunakannya tanpa nasihat pegawai optometris.

Tidak kisah akan risikonya, asalkan dapat memiliki kanta lekap dengan harga murah. Pembelian daripada ejen yang tidak berdaftar akan menyebabkan pengguna tidak tahu cara penjagaan dan penggunaan kanta lekap.

Justeru, remaja juga tidak tahu komplikasi teruk yang akan terjadi disebabkan penyalahgunaan kanta lekap. Ini kerana mereka tidak didedahkan dengan maklumat dari segi jenama berdaftar, saiz dan tarikh luput kanta lekap ketika membelinya daripada ejen yang tidak berdaftar.

Berkongsi kanta lekap

Kebanyakan pengguna terutamanya remaja sering berkongsi atau bertukar-tukar kanta lekap. Tanpa mengeluarkan wang yang banyak, mereka punya lebih banyak pilihan untuk digayakan.

Sekali dua mungkin tidak menjejaskan kesihatan mata. Hakikatnya pada masa terdekat ia akan menyebabkan komplikasi yang teruk pada mata mereka. Komplikasi mungkin dialami seperti jangkitan kuman, kabur penglihatan atau sakit mata yang berlarutan.

Sekiranya anda mengalami komplikasi itu, anda dinasihatkan berhenti menggunakan kanta lekap dan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor mata.

Mata anda boleh menjadi buta jika lambat mendapatkan rawatan daripada doktor kerana jangkitan kuman amat mudah merebak.

Kurang pendedahan

Ramai remaja beranggapan kanta lekap sama seperti aksesori kecantikan yang lain. Asalkan mata kelihatan cantik, itu sudah mencukupi. Namun, risiko yang berlaku nanti akan memudaratkan masa depan mereka.

Kurang pendedahan atau iklan mengenai komplikasi dan cara penggunaan yang betul menyebabkan remaja mengambil mudah masalah ini.

Malah, ada yang berani menggunakan kanta lekap lebih daripada lapan jam sehari. Patuhi had masa yang disarankan kerana mata juga memerlukan oksigen. Selain itu, tidur tanpa menanggalkannya juga berisiko tinggi menghidap ‘ulser kornea’.

Ulser kornea boleh menyebabkan seseorang menjadi buta. Pembedahan penggantian kornea adalah satu-satunya rawatan yang ada. Namun, perlu di ingatkan bukan mudah untuk mendapatkan penderma mata.

Penjagaan rapi

Memakai kanta lekap tidaklah semudah yang disangka. Kanta lekap bukan seperti anda memakai bulu mata palsu yang hanya perlu digam. Ia memerlukan penjagaan yang rapi bagi menghindari komplikasi kebutaan.

Anda perlu mengikut arahan penjagaan seperti berikut untuk menghindari risiko itu. Cuci tangan dengan sabun tanpa pewangi sebelum memegang kanta lekap. Keringkan tangan menggunakan tuala yang bersih.

Bagi remaja yang bersolek, anda mesti memakai kanta sentuh sebelum bersolek. Jangan gunakan air paip untuk mencuci kanta lekap kerana kuman di dalam air paip boleh menyebabkan jangkitan pada mata.

Cuci kanta lekap menggunakan jari kelengkeng dengan menyapu secara perlahan pada kanta yang diletakkan di telapak tangan untuk membuang kekotoran. Gunakan bahan pembersih yang disarankan oleh pembekal atau kedai optometris.

Risiko

Penjagaan sambil lewa dan penggunaan kanta lekap melebihi had masa memang memberi kesan buruk pada kesihatan mata. Ini kerana mata memerlukan oksigen dan jangkitan kuman akan memburukkan lagi keadaan mata anda.

Antara risiko yang anda akan hadapi adalah luka atau calar pada lapisan atas bola mata. Selain itu, alahan akan menyebabkan mata gatal, berair dan merah. Jika anda kabur penglihatan secara tiba-tiba, kemungkinan mata anda telah dijangkiti kuman dan akan buta.

Mata bukan mudah untuk ditukar ganti. Tidak salah untuk bergaya dengan kanta lekap tetapi belilah daripada pembekal yang berdaftar demi keselamatan mata anda!

Hmetro

Baca lagi >>

Kuala Lumpur bergelap

KUALA LUMPUR - Beberapa bangunan di sekitar ibu negara bergelap selama sejam sebagai tanda sokongan terhadap kempen Earth Hour mulai 8.30 malam tadi. 

Tinjauan Bernama mendapati antara bangunan tersebut ialah bangunan mercu tanda Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Bangunan Daya Bumi, pusat beli-belah Pavillion, Fahrenheit, Lot 10 dan Galeri Starhill. 

Ribuan warga kota dan pelancong di sekitar kawasan berkenaan bersorak apabila lampu dipadamkan bagi menunjukkan sokongan terhadap kempen yang bertujuan menyelamatkan bumi daripada pemanasan dan perubahan iklim. 

Bagi seorang warga kota, Mohd Fattah Abdul Sidek, 28, kempen Earth Hour yang diadakan selama sejam ini dapat memberi manfaat kepada dunia. 

Katanya, dunia tidak dapat lari daripada perubahan iklim dan pemanasan global dan isu ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak. 

"Atas dasar kesedaran ini saya hadir ke ibu negara pada malam ini bagi menyatakan sokongan saya terhadap kempen Earth Hour ini," katanya. 

Seorang lagi pengunjung, Siti Zulaikha Mohd Rosli, berkata beliau berharap kempen ini dapat memberi kesedaran kepada semua pihak dan lebih ramai individu mengambil bahagian pada kempen yang akan datang. 

"Kalau boleh saya harap kempen ini dapat dilaksanakan pada setiap bulan untuk menggalakkan lebih banyak orang menggunakan tenaga elektrik dengan berhemah," katanya. 

Pelancong Australia, David Matthew, 32, turut menyifatkan kempen ini sebagai satu usaha bagi menjimatkan tenaga elektrik, sekali gus menyelamatkan bumi daripada pencemaran. 

Earth Hour merupakan acara tahunan, yang diadakan pada hari Sabtu terakhir bulan Mac, untuk setiap kediaman dan pejabat mematikan lampu dan peralatan elektrik yang tidak digunakan selama satu jam sebagai usaha mengurangi penggunaan karbon. 

Ini merupakan kali keempat Kuala Lumpur bersama-sama 7,000 bandar raya dari 172 negara di seluruh dunia menyertai kempen alam sekitar terhadap perubahan iklim.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kanak-kanak cedera angkara bom kluster Israel

BEIRUT - LUBNAN. Sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak cedera dalam satu letupan di selatan Lubnan, kelmarin.

Menurut Reuters, saksi berkata, letupan berpunca daripada bom kluster lama milik Israel yang digugurkan di kawasan itu semasa perang Israel-Lubnan pada 2006.
Mangsa yang cedera di bawa ke hospital di bandar Tyre.

Bom roket berangkai itu meletup ketika mereka bermain di perkampungan Zibqin, beberapa kilometer dari sempadan Israel.

"Dua kanak-kanak mengalami kecederaan parah dan salah seorang daripada mereka dalam keadaan kritikal," kata anggota paramedik.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pengacara Olga Syahputra meninggal dunia akibat kanser

PENGACARA dan pelawak terkenal Indonesia, Olga Syahputra atau nama sebenarnya Yoga Syahputra dilaporkan meninggal dunia semalam di Singapura selepas menderita kanser meningtis sejak 2013, lapor portal berita, Liputan6.com.

Berita sedih itu disahkan pengurusnya, Vera Zanobia melalui panggilan telefon kepada sebuah stesen TV swasta.

Kemudiannya, stesen TV itu turut berkongsi berita tersebut di laman mikro Twitter.

"Turut berdukacita atas meninggalnya Olga Syahputra pada jam 5.17 petang," tulis stesen TV itu.

Sebelum pengesahan rasmi dibuat, berita kematian Olga di Hospital Mount Elizabeth, Singapura itu telah pun kecoh di Twitter.

Vera sekali lagi mengesahkan pemergian Olga melalui kemaskini status terkini di Twitternya.

"Innalilahiwainalilahirojiun telah 'pulang' kesayangan mak, Olga Syahputra pada jam 5.17 petang (waktu Jakarta) dihari Jumaat. Minta doa buat kesayangan mak," tulisnya.

Ucapan takziah buat Olga menjadi 'trending' di Twitter apabila peminat dan kenalannya melahirkan rasa sedih atas pemergian pengacara berusia 32 tahun itu.

Sebelum ini, Olga telah menerima rawatan di hospital di Singapura berkenaan untuk tempoh yang agak lama.

Sinar Harian

Baca lagi >>