Saturday, 28 March 2015

Kebakaran di Semporna, mangsa menerima sumbangan RM100,000

SEMPORNA - Sebanyak 297 ketua isi rumah mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau di sini, menerima wang tunai RM100,000 sumbangan peribadi Adun Bugaya Datuk Ramlee Marhaban.

Ramlee berkata, sumbangan berkenaan untuk meringankan beban dan penderitaan yang dialami kira-kira 2,600 mangsa yang terbabit dalam musibah itu.

"Kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa. Oleh itu kerajaan negeri akan pastikan semua mangsa mendapat bantuan sewajarnya," katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di Dewan Masyarakat Semporna, di sini hari ini.



Beliau berharap kesemua mangsa bersabar dengan musibah yang menimpa mereka serta sentiasa menjaga kesihatan ketika berada di pusat pemindahan sementara.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi Rabu lepas, 233 rumah atas air musnah dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah menasihatkan agar semua pemimpin masyarakat di daerah itu mangambil langkah berjaga-jaga dalam isu keselamatan kampung, untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

"Selain itu saya berharap semua penduduk dapat bersatu padu dan mengamalkan sikap tolong-menolong dalam menghadapi kesukaran ketika diuji dengan musibah yang tidak diduga," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

GST tidak bebankan petani, penternak atau nelayan - Datuk Seri Ismail Sabri

BERA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 April ini tidak membebankan petani, penternak atau nelayan malah golongan tersebut akan terus mendapat pelbagai inisiatif dan bantuan kerajaan.

Katanya, walaupun terdapat sedikit kenaikan harga produk dan peralatan pertanian, tetapi ia tidak akan memberi kesan buruk ke atas pendapatan golongan tersebut kerana mereka akan turut menikmati hasil yang baik dan lumayan.

"GST tidak akan memberi kesan besar sehingga mengakibatkan kenaikan harga barangan yang tinggi. Bagi golongan petani, peladang kebanyakannya sudahpun membeli alat jentera dan pembelian jentera itu adalah dalam jangka masa panjang.

"Meskipun racun dan baja turut dikenakan GST, kerajaan akan terus memberi bantuan baja dan racun kepada golongan petani kecil dari semasa ke semasa supaya dapat meningkatkan pengeluaran masing masing," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak di sini hari ini.  

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan dan membela nasib golongan petani, penternak dan nelayan di negara ini agar mereka tidak terbeban, malah pelbagai bantuan dan insentif diberikan setiap tahun.

"Pelbagai bantuan dan inisiatif itu akan terus dilaksanakan selain pelbagai pendekatan baharu membantu mereka akan dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan GST tidak akan mengubah hasrat kerajaan menurunkan harga jualan di pasar tani seluruh negara memandangkan peniaga terlibat tidak akan dikenakan cukai berkenaan.

Katanya lagi, bermula Jun ini semua peniaga pasar tani di seluruh negara diarahkan supaya tidak bergantung kepada pemborong dan mengambil terus produk jualan daripada ladang dan pusat pengumpulan hasil pertanian bagi membantu memasarkan barangan mereka terus kepada pengguna dengan harga berpatutan. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Presiden China beri hadiah istimewa kepada anak perempuan Datuk Seri Najib sempena majlis perkahwinannya

BOAO - CHINA. Presiden China, Xi Jinping menyampaikan hadiah istimewa kepada anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa, yang melangsungkan perkahwinan baru-baru ini.

"Beliau telah membuat sesuatu yang saya tidak jangka iaitu memberikan hadiah istimewa untuk anak saya,” kata Najib selepas mesyuarat dua hala dengan Jinping di sini hari ini.

Beliau berkata hadiah itu ialah berupa kain sulaman dua belah bercorak bulan penuh dan bunga mekar serta set teh porcelin China.

"Saya diberitahu bahawa sulaman itu melambangkan kebahagiaan yang abadi," kata Najib yang berada di sini untuk menghadiri Forum Boao Untuk Asia 2015 di sini.

"Presiden Xi juga telah dua kali menyampaikan ucapan tahniah kepada anak saya saya atas perkahwinannya, kata beliau.

Nooryana Najwa melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Daniyar Kessikbayev pada 19 Mac lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

TRW kena rombak barisan pemain import

KELANTAN perlu membuat rombakan barisan pemain import sedia ada bagi memantapkan lagi kesebelasan utama pasukan itu, kata jurulatih baharu pasukan itu, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Beliau berkata, pasukan itu perlu mendapatkan pemain import yang berkualiti kerana masalah yang dihadapi buat masa ini adalah kerana pemain import beraksi di bawah tahap yang diharapkan.

"Banyak yang perlu dikemaskini dan saya perlu kemaskan pasukan, apa yang saya inginkan ialah lakukan lebih banyak hantaran pendek.

"Kita masih ada masa, bahagian pemain pertahanan tiada banyak masalah yang ketara cuma di bahagian tengah kena cari untuk gandingkan dengan Piya (Mohd Badri Radzi), kita perlukan pemain import yang berkualiti," katanya ketika ditemui pemberita Kota Bharu, hari ini.

Mohd Azraai berkata masa yang ada perlu digunakan oleh pengurusan bagi mendapatkan pemain yang berkualiti untuk mencerahkan peluang pasukan untuk mencabar kejuaraan pada musim ini.

"Kita perlu dapatkan pemain yang masih beraksi kerana ia amat penting, kita tidak perlu tunggu pemain itu cergas sepenuhnya kerana ia akan memakan masa," katanya.

Bekas pengendali T-Team itu dilantik sebagai jurulatih baharu bagi menggantikan George Boateng dan beliau akan dibantu oleh Zahasmi Ismail dan Mohamad Sidek Shamsuddin.

Jendela perpindahan pemain akan dibuka pada April ini dan Kelantan kini memiliki empat pemain import iaitu Emmanuel Kenmogne dari Cameroon, Isaac Pupo dari Liberia, Jonathan McKain dari Australia dan Erwin Carillo dari Colombia.

Pada musim ini, Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super selepas hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dalam lima perlawanan dan kini berada pada kedudukan ketujuh liga dengan tujuh mata.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Menghidap kanser hidung, semoga adik ini tabah

KULIM - Jika dahulu Mohd Ihsan Abd Ghuppar, 20, aktif dalam sukan, namun sejak mendapat tahu dirinya menghidap kanser hidung segala aktiviti  terpaksa dihentikan.

Mohd Ihsan mendapat kanser hidung sejak berumur 17 tahun apabila hidungnya sering mengeluarkan darah dan berhingus serta di dalam rongga hidungnya bengkak.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak tahu menghidap kanser dan apabila ke klinik dia hanya diberi ubat biasa untuk hentikan pendarahan di hidung.
Robiah tidak sanggup melihat anaknya Mohd Ihsan menahan sakit akibat menghidap kanser hidung tahap empat.

“Namun, ketika saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kesihatan saya semakin menurun kerana terdapat ketumbuhan di dalam hidung sekali gus menyukarkan saya untuk bernafas.

“Saya kemudiannya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan itu, doktor memberitahu saya mengidap kanser hidung. Ketika itu saya rasa dunia gelap seketika dan tidak sangka menghidap penyakit itu pada usia muda,” katanya.

Katanya, walaupun dia menghidap kanser, namun bukan halangan untuknya meneruskan pelajaran ke institut kemahiran selepas tamat SPM.

"Kini saya  sukar untuk bergerak dan terpaksa menangguhkan pelajaran untuk menjalankan kemoterapi," katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia  menaiki motosikal ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan, namun kini dia perlu ditemani ibu kerana sering pening.

"Doktor mengesahkan kanser yang saya hidapinya sejak hampir lima tahun lalu berada di tahap empat dan sudah merebak ke seluruh badan.

“Apa pun saya pasrah dan reda dengan ujian yang diberikan ALLAH dan tidak akan berputus asa untuk berubat,” katanya.

Ibunya yang juga ibu tunggal Robiah Hashim, 53, berkata, dia tidak mampu menanggung kos perjalanan membawa Mohd Ihsan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kantin sekolah dan gaji yang diperoleh tidak seberapa.

“Kalau nak ke hospital atau membuat rawatan, saya terpaksa menumpang saudara mara terdekat kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.

"Saya amat berharap ada pihak prihatin sudi memberikan bantuan untuk meringankan beban saya sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank BSN : 02004-41-00002525-9 atas nama Mohd Ihsan Abd Ghuppar.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Thailand janji siasat pembunuhan orang ramai dan akan bayar pampasan kepada keluarga mangsa

PATTANI - THAILAND. Pihak berkuasa di selatan Thailand akan menyiasat kejadian anggota keselamatan membunuh empat orang awam dan menahan 22 orang lagi.

Wirapong Keawsuwang, Gabenor Wilayah Pattani berkata pihak beliau akan menyiasat kejadian dengan teliti dan akan memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau juga berjanji membayar wang pampasan kepada keluarga mangsa.  

Ketua Polis Wilayah Pattani Mej Jen Pol. Krisakorn Plitanyawong berkata pasukan penyiasat akan ditugaskan untuk menyiasat kejadian itu dengan tepat dan adil.   

“Kami akan menyiasat kejadian ini dan jika didapati ada yang bersalah maka mereka akan dihukum mengikut undang-undang bagi mendapat keadilan kepada semua pihak," kata beliau.

Kejadian tersebut melahirkan perasaan tidak puas hati anggota keluarga mangsa dan yang ditahan dengan tindakan melampaui pihak keselematan.

Selain itu mereka mempersoalkan dari mana senjata api yang terdapat di tempat kejadian.

Seorang abang kepada mangsa berkata dia tidak percaya adiknya dan yang lain ada kaitan dengan gerakan pembebasan Patani.

“Kenapa pihak pegawai keselamatan bertindak menembak mereka yang tidak bersalah,” katanya.

Rektor Universiti Islam Fathoni, Dr Ismail Lutfi Chapakia turut mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan kes tersebut kerana dua orang daripada mangsa yang mati adalah pelajar universiti swasta tersebut.

“Kami usaha dalam membina sumber manusia tetapi kamu (pegawai keselamatan) datang merosakkannya. Kami sangat kecewa,” kata beliau.

Beliau berkata dua orang yang terkorban adalah pelajar tahun empat universiti itu dan kedua-dua mereka tidak ada kaitan dengan anggota pemisah seperti yang dituduh oleh pihak keselamatan. 

Beliau juga mahu jawatankuasa diwakili pelbagai organisasi menyiasat kejadian.

Pada Rabu lepas, lebih kurang 100 orang anggota keselamatan Thailand telah mengepung sebuah rumah setelah mendakwa pihak perisikan mendapat laporan  bahawa terdapat lebih 20 orang lelaki yang disyaki anggota gerakan Pembebasan Pattani mengadakan mesyuarat.

Mereka didakwa merancang serangan ke atas pihak anggota keselamatan dan ia menyebabkan satu pertempuran di mana empat orang terkorban dan 22 orang lagi  di tahan

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pengampunan diraja kes Anwar sudah ada keputusan

KUALA LUMPUR - Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan terhadap petisyen bagi pengampunan diraja dikemukakan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disabitkan kesalahan meliwat dan pengumuman akan dibuat pada Rabu depan.

Peguam mewakili Anwar, N Surendran memberitahu pemberita pengumuman itu akan dibuat apabila Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Anwar bagi kebenaran untuk mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara melarangnya menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Peguam itu, bersama-sama Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, telah berjumpa dengan Hakim Datuk Asmabi Mohamad di dalam kamar.
Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Keputusan telah dibuat, seperti dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan (di dalam kamar). Mahkamah menetapkan Rabu untuk mengesahkan status petisyen pengampunan," kata Surendran.

Sementara itu, Amarjeet Singh berkata, Surendran telah meminta sedikit masa untuk mengesahkan fakta dalam afidavit yang diperakui oleh Ketua Pengarah Hal Ehwal  Perundangan yang juga Sekretariat Lembaga Pengampunan.

"Mereka meminta masa. Sebaik sahaja keputusan dibuat, Perlembagaan yang menentukannya. Apabila Ahli Parlimen lucut kelayakan; hakim memberikan masa kepada mereka untuk mengesahkannya," katanya.

Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, memfailkan permohonan itu pada 18 Mac dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan, Anwar, 67, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, mendakwa beliau masih anggota Dewan  Rakyat dan Ketua Pembangkang berikutan petisyen bagi pengampunan diraja masih belum diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau memgemukakan permohonan bagi pengampunan diraja pada 24 Feb selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. 

Anwar mendakwa keputusan kedua-dua responden tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat adalah salah di sini perlembagaan, tidak sah danbatal.

Anwar memohon perintah supaya keputusan Komisioner Jeneral Penjara bertarikh 4  Mac dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan di bawah perintah certiorari.

Beliau juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Komisioner Jeneral Penjara membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat dan mengisytiharkan  bahawa beliau ada hak untuk menghadiri sidang itu.

Sinar Harian

Baca lagi >>