Friday, 27 March 2015

Detik indah bersama Tok Guru Nik Abdul Aziz

PEMERGIAN Ayahanda Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat pada Khamis, 12 Februari (23 Rabiulakhir 1436 Hijrah) ibarat seperti kapal ketiadaan nakhoda hanyut dibawa arus lautan. Kehilangannya meninggalkan ruang kosong dalam masyarakat yang saat ini memerlukan ulama sepertinya untuk memimpin kehidupan mereka. 

Ramai menangisi pemergiannya. Bukan sahaja umat Islam di Malaysia, bahkan seluruh dunia Islam mengenali Tok Guru dan kepimpinannya.

Kolum wawancara Majalah I bulan ini mengupas mengenai kehidupan Allahyarham secara dekat. Penulis berkesempatan menemui anak saudaranya, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang membesar bersama Allahyarham.

Ceritakan pengalaman ustaz bersama Allahyarham?

Saya adalah anak saudara kepada Allahyarham kerana adik kepada Tok Guru adalah mak saya iaitu Nik Khadijah Nik Mat. Allahyarham memiliki lima adik-beradik bermula dengan Nik Zainab, Nik Abdul Aziz, Nik Khadijah, Nik Azizah dan terakhir Nik Rozi. Jadi mak saya adalah anak ketiga selepas Allahyarham.

Setelah kematian ayah ketika saya berusia 8 tahun, Allahyarham meminta supaya saya tinggal di rumahnya dan belajar di Maahad Darul Anuar (Mada), Kampung Pulau Melaka, Kelantan. Waktu itu saya berusia 11 tahun.

Di Pulau Melaka, saya tinggal di rumahnya. Pada masa itu ada dua anak saudara tinggal bersama Allahyarham. Satu daripadanya saya dan seorang lagi sepupu iaitu Nik Zabidah.

Rapatnya saya dengan Allahyarham, apabila ke mana-mana sahaja beliau pergi berceramah, saya akan ikut walaupun di luar negeri kecuali Allahyarham tidak benarkan saya pergi jika esok paginya ada kelas kerana beliau risau pembelajaran saya terabai.

Setiap Jumaat wajib pada saya dan anak-anaknya pergi ke dewan zon untuk belajar. Pada malam Khamis, kami belajar Kitab Muizzah, manakala malam Jumaat, belajar Kitab Sirah bersamanya.

Kadang kala ada ketikanya curi-curi pergi ke tempat kuliah Tok Guru walaupun Allahyarham tidak benarkan saya pergi. Pada hari minggu pula, saya menemani isterinya ke pasar untuk membawa barang yang dibeli. Allahyarham hanya menunggu di dalam kereta. Ini kerana jika beliau yang pergi ke pasar, beliau akan peroleh banyak barang percuma.

Semua itu berlaku sebelum kemenangan beliau dalam tahun 1987-88. Selepas beliau menang pilihan raya, Allahyarham banyak terikat dengan protokol. Dari situ saya sukar mengikuti beliau.

Walau bagaimana ketat sekalipun kawalan keselamatan, saya masih sempat mengikutinya ke kuliah sehinggalah menyambung pelajaran saya di Maahad Muhammadi Lelaki, Jalan Pengkalan Chepa Kelantan.

Apabila saya melanjutkan pelajaran saya di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam jurusan syariah dan undang-undang, Allahyarham masih menghubungi saya dan meminta supaya saya dapatkan biasiswa dari negeri Kelantan walaupun saya anak jati Pahang. Allahyarham banyak menolong dan memberikan bantuan kepada saya.

Allahyarham anggap saya seperti anaknya. Apabila saya balik kampung, beliau sentiasa menghantar saya ke stesen bas dan bila saya sampai ke Kelantan, beliau ambil saya di stesen bas. 

Apa pandangan Ustaz mengenai Allahyarham sebagai ayah, tenaga pengajar, penceramah, suami, dan pemimpin masyarakat?

Saya melihat cara hidupnya betul-betul mengikut sunnah Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan hubungannya dengan ibu beliau, Aminah Majid. Setiap kali balik daripada menyampaikan kuliah atau ceramah, Allahyarham akan melihat ibunya terlebih dahulu. Dan bila lihat ibunya tidur dan berada dalam keadaan sihat, barulah Allahyarham berjumpa dengan orang lain. Ibunya memang tinggal dengan beliau.

Pernah sekali selepas Allahyarham menang pilihan raya dan dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan, ibunya tidak mahu tinggal di rumahnya lagi.

Dia mengemas barang dan beliau bertanya kepada ibunya: "Buat pa mek mengemas barang." Ibunya menjawab: "Mek mahu duk Pahang, balik kampung." Nik Aziz bertanya kembali: "Kenapa?." Ibunya menjawab: "Zid dah jadi Menteri Besar, Zid akan duduk di rumah Menteri Besar".

Selepas sahaja Allahyarham mendengar jawapan daripada ibunya itu, beliau terus menitiskan air mata dan memberitahu kepada ibunya, beliau tidak akan mendiami rumah Menteri Besar, beliau akan tinggal di rumah ini seperti biasa. Mendengar jawapan daripada Allahyarham, ibunya tidak jadi pindah dan terus menginap bersamanya. Kejadian itu pada 1990. Mek Allahyarham adalah antara orang yang rajin membaca al-Quran dan dia khatam al-Quran tiga hari sekali di penghujung usianya.

Saya lihat betapa Allahyarham betul-betul menjaga sunnah Rasulullah SAW seperti tahajud malam.

Saya masih ingat lagi setiap jam 4 pagi, Allahyarham akan bangun dan bawa termosnya lalu pergi ke bilik air untuk mandi. Balik macam mana lewat sekalipun, Allahyarham pasti menjaga solat tahajudnya itu.

Allahyarham ada berkata: "Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah daripada ALLAH. ALLAH kirimkan malaikat-Nya mengejutkan kita supaya bangun beribadah kepada ALLAH. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada ALLAH. Kemudian tidurlah.

"Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya). Kemudian malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga. Kita bimbang malaikat tidak akan datang lagi mengejutkan kita."

Satu lagi adalah sifat dermawan yang ada padanya. Masuk satu Ramadan sahaja sejak saya kecil lagi sampai penghujung akhir hayatnya, ramai yang meminta derma kepadanya.

Dan tidak ada orang yang minta derma kepadanya pulang dengan tangan kosong. Pasti Allahyarham akan menderma walau tidak banyak jumlahnya.

Apa kenangan manis yang Ustaz tidak lupakan sepanjang bersama Allahyarham? 

Kenangan saya bersama dengan Allahyarham ada banyak dan yang masih segar dalam ingatan adalah ketika bermusafir dengannya dari Pahang ke Kelantan, kenangan ketika pergi ke setiap kuliah dan ceramahnya dan banyak lagi.

Apa yang paling seronok dalam hidup saya apabila dapat duduk bersama dengannya dalam kenderaan.

Saya melihat Allahyarham adalah seorang yang sangat rendah diri (humble), tidak banyak bercakap dalam kenderaan, duduk dengan zikir dan membaca al-Quran. Adakalanya dia mendengar kuliah daripada ceramahnya dan beliau pasangkannya dalam kereta.

Perjalanan dari Kelantan ke Pahang jauh, kami akan berhenti di mana sahaja kedai makan tanpa memilih kedai. Kedai tepi jalan pun Allahyarham tidak ada masalah untuk menjadi pelanggan di kedai berkenaan.

* Mahu mengetahui lebih lanjut mengenai murabbi ummah ini, dapatkan Majalah I edisi 150 keluaran April di tempat anda!

Sinar Harian

Baca lagi >>

Penceroboh dakwa miliki senjata mencukupi untuk menawan Sabah

KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kumpulan lelaki bersenjata Sulu, yang menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu kira-kira dua tahun lepas, mendakwa mereka memiliki cukup senjata untuk menimbulkan keadaan huru-hara di Sabah.

Pegawai Penyelia Unit Pemintasan Komuniksi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, Asisten Superitendan Muhammad Fauzairi Jaidi berkata dalam perbualan telefon yang dipintas pada 6.56 petang 18 Februari 2013, seorang suspek, Salib Akhmad Emali, memberitahu seorang lelaki tidak dikenali bahawa para penceroboh itu mempersiapkan senjata untuk melancarkan satu peperangan.

"Salib berkata 'mereka' mempersiapkan lima kampit baja, sembilan senjata besar, empat 'senjata 50', lima 'senjata 30' dan lima 'senjata 60', yang cukup untuk 'memusnahkan' Sabah," katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan itu.

Sebanyak 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas, melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota bagi sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.      

Muhammad Fauzairi berkata lelaki tidak dikenali itu, yang digelar polis sebagai 'lelaki Sabah', memberi respons kepada Salib dengan berkata 'Najib', yang polis percaya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, "akan menugaskan askarnya (Najib), tapi mereka tidak tahu kekuatan senjata kita.       

Pegawai SB itu memberi penjelasan tentang kandungan komunikasi yang dipintas unitnya selepas mendapat kebenaran daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Muhammad Fauzairi berkata dalam perbualan telefon antara Salib dan seorang individu dirujuk sebagai 'Raja' yang dipintas itu, Raja menasihati Salib dan mungkin juga beberapa orang lain supaya mengambil tindakan tertentu di kawasan masing-masing.

"Raja berkata dia tidak akan berundur (dari Kampung Tanduo) dan keputusan muktamad terletak di tangan Sultan Jamalul Kiram di Manila.

"Raja seterusnya memberitahu Salib bahawa SB sudah sampai pagi itu (16 Februari 2013) dan menyuruh mereka kembali ke tempat asal mereka datang. 

"Raja juga berkata walaupun Salib dan yang lain-lain tidak dapat datang (ke Kampung Tanduo), maka (mereka boleh) 'memulakan' di kawasan masing-masing," katanya tentang panggilan telefon yang dipintas pada 3.51 petang 16 Februari 2013.   

Muhammad Fauzairi berkata dalam satu lagi perbualan telefon yang dipintas pada 18 Februari 2013, adalah difahamkan Salib bersiap sedia untuk berperang.   

"Salib berkata kepada Raja bahawa sekiranya kawasan 'kita' diserang, dengan nama Allah, maka peperangan akan berlaku," katanya bagi merujuk kepada perbualantelefon yang dipintas unitnya pada 6.47 petang. 

Kata saksi berkenaan, pada malam itu, Salib memberitahu Raja dia mendapat tahu daripada berita televisyen bahawa 'Musa Aman', dipercayai merujuk kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, tidak mahu berlaku sebarang pertumpahan darah.

Muhammad Fauzairi berkata, dalam satu panggilan telefon yang dipintas pada 8.30 pagi 20 Februari 2013, Salib memberitahu Raja bahawa orang dari Kerajaan Malaysia berada di ladang sawit dan membuat pemerhatian melalui teropong.

Beliau berkata Salib juga memberitahu Raja bahawa 'mereka', dipercayai merujuk kepada Kerajaan Malaysia, mempunyai 3,000 lelaki.

Kata saksi itu, pada pagi berikutnya (21 Februari 2013), Salib memberitahu Raja bahawa dia (Salib) sedang dicari polis.

"Raja memerintahkan Salib mengasah parangnya dan melawan balik jika mereka (polis) datang," katanya. 

Dalam satu perbualan telefon antara Salib dan seorang lelaki dikenal pasti sebagai anaknya, kata Muhammad Fauzairi, Salib meminta lelaki itu agar tidak mengaku bahawa Salib adalah bapanya sekiranya para pegawai kerajaan datang mencarinya (Salib).

Saksi itu berkata, dalam satu lagi perbualan telefon, seorang individu dikenali sebagai Datu Bahang, memberi tahu Salib supaya menyerah diri jika benar polis ingin menangkapnya. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Jepun lancar satelit pengintip

Kerajaan Jepun berjaya memasukkan satelit kameranya ke ruang orbit, menurut Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (Jaxa), semalam.

Satelit berkenaan dilancarkan jam 10.21 pagi (waktu tempatan) menerusi roket H-2A dari Pusat Angkasa Tanegashima di wilayah Kagoshima.
gambar hiasan

Ia merupakan pelancaran kedua oleh Jepun tahun ini.

Difahamkan, satelit baharu itu akan menggantikan salah satu daripada dua satelit yang dilancarkan pada 2009.

Sehingga kini, Jepun mempunyai dua satelit radar dan dua satelit optik di ruang orbit.

Sinar Harian

Baca lagi >>

DBKL haramkan penggunaan bekas polisterin

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengharamkan penggunaan bekas makanan styrofoam di kawasan Dataran Merdeka di sini dalam usaha mewujudkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya hijau.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, DBKL dalam masa terdekat akan mewujudkan kempen kesedaran untuk menjadikan bandar raya ini bebas daripada penggunaan bahan styrofoam.

DBKL akan memberikan pendidikan mengenai penggunaan bekas makanan yang lebih selamat dan mesra alam.

Dataran Merdeka meryupakan zon perintis untuk merealisasikan inisiatif ini, katanya pada sidang media mengenai 'Earth Hour' 2015 di sini, malam tadi.

Beliau juga berkata, salah satu usaha ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau adalah dengan memperkenalkan laluan berbasikal, yang juga merupakan persediaan kepada acara 'Cabaran Earth Hour Bandaraya KL' tahun depan.
   
Ahmad Phesal berkata, DBKL dengan kerjasama WWF Malaysia akan terlibat dalam program WWF's Earth Hour City Challenge (EHCC) 2016 yang merupakan pertandingan di antara bandaraya di seluruh negara dalam usaha untuk mempromosikan tenaga yang boleh diperbaharui dan bersedia terhadap perubahan iklim.

Menyentuh mengenai Earth Hour 2015, Sabtu ini, beliau menyasarkan 350 buah bangunan di Kuala Lumpur akan menyertai program tersebut, iaitu peningkatan daripada 277 buah bangunan pada tahun lepas dan 86 pada tahun 2013.

Kempen Earth Hour ialah sambutan peringkat dunia di mana semua bangunan disaran memadamkan lampu masing-masing selama satu jam pada malam hari tersebut.

"Sekiranya sasaran ini berjaya dicapai, saya berikrar akan memperkenalkan laluan berbasikal yang baharu dan selamat di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata setakat ini DBKL telah mendapat pengesahana daripada Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Bangunan Daya Bumi, YTL dan, Menara DBKL untuk terlibat dalam program tersebut yang akan bermula pada pukul 8.30 malam Sabtu ini.

Selain Galeri Kuala Lumpur, pusat beli-belah Pavillion, Fahrenheit, Lot 10 dan Galeri Starhill, serta Bangunan Felda, Bank Negara, Musium Kesenian Islam, Taman Burung Kuala Lumpur, Muzium Polis, Planterium Negara.

Hotel Shangri-La, Seri Pacific, Fraser Suites, Raggae Mansion, Dorsett Regebcy , Silka Cheras, Maytower, Capitol dan Federal, serta Perbadanan Kampung Baharu.

Baca lagi >>

Kereta 3D pertama berjaya di'print' di China

HAINAN - CHINA. Sebuah firma berjaya 'mencetak' kereta menggunakan teknologi cetakan 3D dengan kos hanya USD 1,700 atau RM 6,300.

Menurut Dailymai.uk, model berkenaan yang dipamerkan Selasa lalu, digerakkan oleh tenaga elektrik dan mampu mencapai kelajuan 40 km/j dalam sebuah ujian.


Antara bahan yang digunakan adalah filamen Tyrant Gold, bahan-bahan komposit yang kemudian digabungkan dengan komponen-komponen asas sebuah kereta.

Kereta tersebut yang dinamakan 'Shuya' dicetak dalam masa lima hari adalah hasil dari Sanya Si Hai 3D.

Sebelum ini, syarikat Local Motors 3D dari Amerika mengumumkan kereta cetakan pertama mereka, Strati pada September lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Punca pesawat germanwings terhempas

PARIS - PERANCIS. Pembantu juruterbang pesawat malang milik Germanwings didakwa sengaja menjatuhkan pesawat tersebut di kawasan pergunungan Alps selepas mengunci juruterbang di luar kokpit.

Bagaimanapun, tiada sebarang petanda insiden tersebut sebahagian daripada kegiatan pengganas, menurut jurucakap rasmi Perancis yang dipetik dari portal BBC.

Menurut pegawai penyiasatan Brice Robin, pembantu juruterbang Andreas Lubitz, 28, sengaja menjunamkan pesawat tersebut sehingga menyebabkan 150 orang terbunuh.

"Pembantu juruterbang tersebut berseorangan dalam kokpit tersebut.

"Dia dengan sengaja enggan untuk membuka pintu kokpit dan dengan sengaja menjunamkan pesawat tersebut,” katanya dalam sidang media.

Menurutnya, penumpang pesawat malang tersebut tidak menyedari situasi tersebut sehingga saat akhir.

"Jeritan tidak kedengaran sehingga di saat akhir. Kesemua enam anak kapal dan 144 penumpang mati serta-merta,” katanya lagi.

Motif pembantu juruterbang tersebut masih belum diketahui, namun pegawai penyiasat menolak kaitan dengan aktiviti pengganas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tak masuk akal! Bapa tembak anak kerana jus oren berkurangan di rumah

BATON ROUGE - AMERIKA SYARIKAT. Kekurangan jus oren di rumah menjadi punca seorang bapa bertindak di luar kawalan apabila sanggup menembak punggung anak lelakinya yang berusia 18 tahun.
Dek kerana perbuatan itu, Eldridge Dukes,58, ditahan dan bakal berdepan tuduhan cubaan membunuh tanpa niat dan menggunakan senjata api secara haram.


Jurucakap polis Baton Rouge, Koperal Don Coppola berkata, kejadian bermula apabila si ayah mulai naik berang apabila mengesyaki si anak telah menyebabkan simpanan jus oren berkurangan, namun dinafikan si anak sehingga timbul perbalahan.

"Perbalahan makin panas apabila si anak lelaki tertuduh merosakkan rumah dan memecahkan pasu porselin, menyebabkan bapanya marah.

"Dengan bersenjatakan pistol, lelaki itu mengejar anaknya hingga ke pintu hadapan lalu melepaskan beberapa das tembakan sebelum satu daripadanya terkena punggung remaja itu," katanya dipetik Reuters.

Remaja itu dibawa ke hospital dan dilaporkan stabil.

Sinar Harian

Baca lagi >>