Wednesday, 25 March 2015

Tipu konon jumpa bayi, rupa-rupanya anak hasil hubungan intim dengan kekasihnya

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana membuat laporan palsu mengenai kes 'buang bayi' petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abd Rozak Muhammad berkata, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu kononnya dijumpai di kawasan perkelahan Jeram Pasu, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi itu hasil hubungan intim remaja lelaki terbabit dengan kekasihnya yang berusia 15 tahun.

"Suspek membawa bayi itu ke rumahnya di Kok Lanas dan memberitahu ibunya bahawa bayi itu dijumpai di Jeram Pasu.

"Di atas desakan ibu, suspek membuat laporan polis di Balai Polis Ketereh," katanya dalam sidang media selepas perbarisan sambutan Hari Polis Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, hari ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Mahalnya! Telur ayam sepuluh biji RM6.80

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyifatkan harga RM6.80 bagi sepuluh biji telur ayam adalah tidak munasabah.

Timbalan Menterinya,  Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya memerlukan bantuan agar pengguna membuat aduan kepada kementerian supaya tindakan dapat diambil.

"Saya setuju harga barang itu tidak munasabah. Contoh kalau telur, sepatutnya dalam RM3 hingga RM3.50 bukan RM6.50 dan sardin dari RM2 jadi RM5.

"Ini adalah harga yang tidak munasabah. Sebab itu, kita perlukan kerjasama Yang Berhormat untuk buat aduan. Supaya kami dapat buat penguatkuasaan kerana saya sendiri rasa harga itu tak munasabah," katanya ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dari Datuk Mohd Idris Jusi (PKR-Batu Pahat) yang mendakwa terpaksa membayar RM6.80 bagi 10 biji telur ayam ketika menemani isterinya berbelanja.

"Saya teman isteri belanja barang dapur. Dia kata harga telur ayam RM6.80 sepuluh biji. Maknanya sebiji telur 68 sen. Kemudian, beli sardin kecil yang dulunya berharga RM2.50 sekarang RM5.50 setin.

“Harga ini belum GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Umumnya harga sudah naik sebelum GST. Selain mekanisme biasa, apa mekanisme yang luar biasa yang boleh difikirkan kementerian?," ujarnya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang menyentuh soal persediaan kementerian berdepan GST, beliau mengesahkan pihaknya telah bersedia menanti pelaksanaan GST, 1 April ini.

"Kita telah bersedia menghadapi GST. Walaupun kita tahu banyak cabaran. (Sebab) apa juga permulaan yang akan bermula, (pasti) banyak cabaran.

"Tapi kita dah bersedia insya-ALLAH kita akan cuba atasi. Pegawai penguat kuasa telah ditambah, persediaan lain seperti bilik gerakan...tempat menerima aduan juga telah disediakan," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Nahas pesawat Germanwings; tiada mangsa yang terselamat

PARIS - PERANCIS. Tiada mangsa yang terselamat dalam nahas membabitkan pesawat Germanwings yang terhempas di selatan Perancis semalam ketika dalam perjalanan dari Barcelona ke Dusseldorf, Jerman, kata pegawai.

Menteri Dalam Negeri Perancis berkata, kotak hitam pesawat telah dijumpai namun punca nahas masih belum diketahui dan pesawat tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan semasa kejadian tersebut.

Bruce Robin, seorang pendakwa dari Marseille, memberitahu dia telah melihat bangkai pesawat dari helikopter.

"Bangkai pesawat itu remuk teruk, tidak ada satu kepingan sayap atau fiuslaj," katanya dipetik BBC.

Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier yang melihat lokasi kemalangan menyifatkannya "pemandangan yang mengerikan."

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Sepanyol berkata, 67 daripada penumpang pesawat malang tersebut adalah warga Jerman dan 45 penumpang warga Sepanyol.

Penumpang adalah termasuk pelajar sekolah Jerman yang dalam perjalanan pulang dari program pertukaran pelajar serta dua penyanyi opera, Maria Radner dan Oleg Bryjak.

Antara penumpang lain terdiri daripada warga Australia, Turki, Denmark, Belanda dan Belgium.

Germanwings, syarikat penerbangan kos rendah yang dimiliki oleh syarikat penerbangan utama Lufthansa Jerman dan mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Berhati-hati upload gambar dan status di laman sosial

Keghairahan masyarakat hari ini berkongsi sebahagian kehidupan peribadi mereka melalui status-status di laman media sosial perlu ditapis dengan tindakan lebih berhati-hati.

Menurut pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor Al-Habshi berkata, budaya gemar memuat naik status dalam apa jua perbuatan ini didorong naluri manusia yang gemar berkongsi cerita.

Menurutnya, gejala yang semakin menular dalam kalangan masyarakat pada masa kini disebabkan mereka suka berkongsi sesuatu perkara tanpa mereka ketahui betapa batasan perkara itu telah merebak dan ada kalanya disalah erti sesetengah pihak hingga menjadi viral termasuk perkara remeh.

“Pada asalnya mungkin mereka berniat untuk berkongsi apa jua yang dilakukan tidak kiralah ke mana lokasi mereka pergi, tempat mereka makan atau apa sekalipun jua yang sedang dilakukan dan kesemuanya berasas pada perasaan, fikiran dan perbuatan.

“Namun, dalam hal media sosial ini boleh dikira lebih kepada soal perasaan. Mungkin mereka berasakan sukar untuk pergi ke satu-satu tempat itu atau sukar untuk makan makanan tersebut, jadi mereka muat naik lokasi percutian mereka serta juadah yang dijamu atau sebagainya.

“Jadi, mereka juga mungkin terlupa atau tidak perasan atau itu semua bukannya bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Ini kerana mungkin memberi kesan kepada sesetengah individu hingga menghiris perasaan mereka yang tidak memilikinya,” katanya.

Syed Mohamed Shafeq berkata, setiap individu mempunyai pandangan positif atau negatif dalam mentafsir apa jua perkara yang dimuatnaik dalam laman media sosial ini.

“Ada benda individu itu boleh ceritakan, ada benda saya kira tidak patut diceritakan. Kadang-kala kita mungkin berpendapat hanya sebarkan satu-satu perkara itu dalam kalangan kumpulan kita sahaja, namun siapa tahu ia disebarkan ke ruang yang lebih luas di luar pengetahuan kita atas sebab tertentu.

“Sekarang ini ramai tidak perasan banyak pihak terlalu ghairah iaitu salah satu bentuk perbuatan sehingga menutup fikiran mereka untuk turut lakukan perkara yang sama (muat naik status) dan mungkin mewujudkan rasa alpa atau lalai.

“Misalnya pada satu gambar sahaja kini yang dimuat naik memberi makna yang pelbagai. Masing-masing mempunyai tafsiran yang tersendiri. Kita pula sebagai penerima tidak boleh hentikan orang berfikiran negatif,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan agar pengguna media sosial lebih berhati-hati tatkala menggunakan kemudahan media pada era globalisasi serta tidak memuat status yang tidak sepatutnya hingga memudaratkan diri.

“Saya telah nyatakan tadi bahawa naluri manusia sememangnya suka berkongsi cerita kerana perasaan seronok mereka itu atas satu-satu perkara yang dilakukan. Tetapi, terpulang pada individu lain untuk menerima rasionaliti dan pemikiran mereka sama ada positif atau sebaliknya.

“Kalau boleh janganlah sampai menyusahkan orang lain. Fikir sebaik-baiknya sebelum melakukan sesuatu perkara itu. Sekarang ini sudah ada kumpulan ‘whassup’, dari sudut positifnya, kita dapat merapatkan hubungan sesama kita dengan berkongsi pendapat.

“Namun, perlu diingatkan supaya setiap ahli dalam kumpulan ‘whassup’ itu bertanggungjawab dan menjaga etika sebagai kawan serta tidak menyebarkan satu-satu perkara yang tidak pasti itu kepada kumpulan atau pihak yang lain.

“Pembaca perlulah mengelak menjadi penyebar berita kecuali perkara itu telah benar-benar sahih seperti telah keluar di berita atau sebagainya. Alangkah malunya jika berita itu tidak benar menyebabkan terhakisnya kepercayaan rakan kepada kita,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Remaja terjatuh di Bukit Tabur selamat

Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang tergelincir lebih 200 meter dari lereng Bukit Tabur berjaya ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 5.30 petang semalam dan usaha membawanya keluar dijangka memakan masa lebih 5 jam.

Difahamkan, mangsa, Qhairun Fatin Khairul Amin bersama 11 bekas rakan sekolahnya memulakan perjalanan mendaki bukit terbabit kira-kira 8 pagi dan berjaya sampai ke stesen 7 sebelum mangsa tergelincir.
REMAJA ditemui selamat (dalam bulatan).
Rakan mangsa terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan usaha mencari mangsa disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan dibantu Jabatan Hutan Selangor.

Harian Metro difahamkan perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira dua jam dan usaha untuk mengeluarkan mangsa turut dijangka mengalami sedikit kesukaran berikutan cerun bukit yang tinggi serta cuaca gelap.

Mangsa yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak dikatakan ditemui dalam keadaan sedar tetapi mengadu sakit tulang belakang selain mengalami kecederaan luka di kepala.

Hmetro

Baca lagi >>

Bayi tertelan pin baju

JENGKA - Seorang bayi berusia sembilan bulan terpaksa menahan derita apabila tertelan pin baju dan tersangkut di saluran pernafasannya sejak sebulan lalu.

Nurul Syifa Amani Azmi mengalami demam panas dan menangis setiap kali batuk terutama pada waktu malam sebelum pin berkenaan berjaya dikesan melalui imbasan sinar-x.
Azmi bersama anaknya, Nurul Syifa yang menderita akibat tertelan pin baju.
Bapanya, Azmi Nasir, 47, berkata, pada mulanya dia menyangka anak bongsu daripada empat beradik itu hanya demam biasa dengan mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.

Menurutnya, demam Nurul Syifa Amani tidak surut sebaliknya bertambah teruk dan berlarutan sehingga dua minggu sebelum dihantar ke Hospital Jengka untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya terkejut bila tengok imbasan sinar-x... ada sebatang satu pin baju tersangkut dalam badan anak. Saya difahamkan benda tu tersangkut pada saluran pernafasan. “Kejadian tertelan pin ni berkemungkinan berlaku dalam tempoh sebulan lepas. Ia beri kesan kepada Nurul Syifa Amani dua minggu kemudian bila benda tu dah mula berkarat dan saluran pernafasan mulai bengkak.

“Sebab tu, setiap hari dia menangis. Lebih-lebih lagi waktu malam dia nangis lagi kuat, nak-nak kalau dia terbatuk. Suhu bandannya pun bertambah panas, sebab tu saya terus bawa dia ke hospital," katanya.

Azmi yang menetap di Felda Sungai Tekam Getah berkata, anaknya itu menerima rawatan lanjut di Hospital Besar Kuala Lumpur selama empat hari sebelum dibenarkan pulang, semalam.

Menurutnya, pin tersebut berjaya dikeluarkan menggunakan kaedah endoskopik namun memerlukan rawatan susulan berikutan terdapat jangkitan kuman pada saluran pernafasan.

Sianr Harian

Baca lagi >>

Kajian mendapati tidur sebentar di siang hari mampu tingkatkan daya ingatan

TIDUR pada waktu siang selama 45 minit hingga satu jam boleh meningkatkan lima kali ganda daya ingatan, menurut satu kajian.

Dalam kajian tersebut, 41 pelajar diajar 90 perkataan dan 120 pasangan perkataan yang tidak berkaitan.

Separuh daripada mereka dibenarkan untuk tidur sebentar selepas itu.

Keputusan kajian mendapati pelajar yang tidur sebentar mampu untuk mengingat lebih banyak perkataan daripada pelajar yang tidak tidur.

Penyelia kajian, Profesor Axel Mecklinger berkata, tidur sebentar pada waktu siang di pejabat atau di sekolah mampu untuk meningkatkan kejayaan dalam pembelajaran

"Sesiapa yang berada di dalam persekitaran pembelajaran, perlu berfikir secara serius tentang kesan-kesan positif tidur sebentar pada waktu siang.

"Tidur sebentar dapat menghasilkan peningkatan lima kali ganda dalam meningkatkan daya ingatan maklumat," katanya dipetik Metro.uk

Kajian ini di muatkan dalam jurnal Pembelajaran Neurobiologi dan Ingatan.

Sinar Harian

p/s- dalam Islam tidur ini disebut qailulah, tidur sebentar waktu tengah hari

Baca lagi >>