Monday, 23 March 2015

Bateri tamat tempoh bukan punca kehilangan MH370?

Bateri peranti pengesan bawah air (ULB) yang telah tamat tempoh pada MH370 bukan punca kehilangan pesawat malang itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun bateri itu telah tamat tempoh 14 bulan sebelum insiden itu, namun tidak ada bukti yang menyatakan ULB pada pesawat itu tidak berfungsi.

Beliau berkata, ULB dipasang pada dua perakam atau kotak hitam pesawat iaitu Perakam Data Penerbangan (SSFDR) dan Perakam Suara Kokpit (SSCVR).

"Hanya bateri pada peranti pengesan bawah air SSFDR sahaja yang telah tamat tempoh, iaitu pada Disember 2012 atau kira-kira 14 bulan sebelum insiden kehilangannya.

"Bateri peranti yang dipasang pada SSCVR diganti mengikut jadual dan tarikh luputnya ialah pada Jun 2014," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pengangkutan, di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tiong Lai berkata, kedua-dua perakam SSFDR dan SSCVR dipasang saling bersebelahan pada pesawat MH370 dan dalam kes kemalangan, sekiranya satu daripada kotak perakam dikesan atau ditemui, peluang untuk menemui kotak perakam seterusnya adalah amat tinggi.

Pada 8 Mac tahun lepas, MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan di ruang udara Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
   
Pesawat Boeing 777-200ER itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun, pesawat itu diumumkan berakhir di Selatan Lautan Hindi, dengan operasi besar-besaran yang dilaksanakan sehingga kini masih gagal menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangannya.

Dalam pada itu Tiong Lai menegaskan, Laporan Interim dan Maklumat Fakta yang disediakan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) ICAO Malaysia bagi MH370 yang dikeluarkan pada 8 Mac lalu, adalah fakta semata-mata dan tidak mengandungi sebarang analisis berkaitan kejadian itu.

Tiong Lai menambah, pasukan penyiasat tersebut kini sedang membuat analisis kejadian itu terutama pada waktu antara 1.21 pagi sehingga 6 pagi pada hari kejadian dan analisis itu akan dikeluarkan dalam laporan seterusnya

Sinar Harian

Baca lagi >>

Isu hudud; Video jawapan PU Rahmat kepada Aisyah BFM



Bekas peserta Program Mimbar Pencetus Ummah (PU), PU Rahmat atau nama sebenarnya Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan tampil menjawab beberapa perkara yang disentuh penyampai radio BFM, Aisyah Tajuddin melalui sebuah klip video, semalam.

Video berdurasi 5 minit 45 saat itu menunjukkan PU Rahmat menjelaskan serta membetulkan kesilapan Aisyah termasuk kenyataan wanita itu yang mengatakan bertudung hanya di negeri Kelantan.

“Cik Aisyah pemilik nama isteri Rasulullah SAW. Kita ini pakai tudung bukan setakat di bumi Kelantan. Sebab apa, ALLAH pemilik langit dan bumi serta seisinya. Bererti bagaimana?

“Selagi saya dan cik Aisyah duduk di muka bumi ini, bergantung pada nikmat-nikmat ALLAH, kita kena patuh perintah ALLAH,” katanya melalui video yang telah siap disunting bersama dengan video Aisyah tersebut.

Sebelum ini, Aisyah dikecam gara-gara aksinya dalam sebuah video berjudul ‘Aisyah BFM Kupas Hudud di Kelantan’ yang didakwa menghina langkah kerajaan Pas Kelantan membentang dan meluluskan undang-undang hudud di negeri itu.

Antara babak dalam lakonan itu yang memperlihatkan dia mempersendakan hudud apabila dia yang tidak berhijab tiba-tiba berubah imej (berhijab) sambil berkata ‘Eh sejak bila ini? Oh lupa pula mak...Kelantan’, merujuk kepada kewajipan wanita untuk menutup aurat selepas undang-undang hudud diluluskan di Kelantan.

Dalam pada itu, mengenai kenyataan Aisyah yang menyebut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dikatakan menuduh orang mengkritik hudud sebagai tidak beriman, PU Rahmat menyifatkan kemungkinan wanita itu hanya membaca tajuk berita tanpa melihat isi berita tersebut.

“Kritik hudud tidak beriman? Saya pun tidak setuju kenyataan ini sebab apa, kritik mengkritik menambah pembaikan. Sayidina Umar, Sayidina Abu Bakar...Rasulullah SAW dikritik. Cuma barangkali Aishah hanya baca kepala akhbar...kepala tajuk sahaja berkaitan dengan menteri besar gelar orang yang tidak beriman kritik hudud.

“Cuba tengok perincian ayat Menteri Besar Kelantan. Dalam ucapan beliau di Dun Kelantan, menteri besar merujuk kepada pihak yang mendakwa undang-undang itu zalim dan tidak berperikemanusiaan itulah golongan yang tidak beriman,” katanya.

PU Rahmat turut membetulkan kembali kenyataan penyampai radio itu yang mendakwa hudud sebagai satu mimpi Pas.

“Aisyah, itu (hudud) bukan mimpi, itu cita-cita. Pemisah antara mimpi dan cita-cita adalah usaha. Hudud adalah cita-cita bagi setiap orang yang beriman. Saya orang beriman, Aisyah pun orang beriman.

“Macam ini Aishah, saya buat analogi. Saya ajak seseorang pergi sembahyang. ‘Eh jom pergi sembahyang’. Dia kata, ‘tak apa. Tak nak’.  Di sini, orang itu berdosa sebab dia tak nak sembahyang. Cuma ada satu lagi situasi, saya ajak seseorang sembahyang dan dia kata ‘tak naklah sembahyang. Buat apa pergi sembahyang, muka letak di tanah, punggung di langit, benda sia-sia, habis masa.’

“Nampak perbezaan pertama dan yang kedua? Yang pertama tadi dia tolak tanpa menghina. Orang yang kedua, sudahlah menolak, dia hina, kutuk, caci syariat ALLAH. Di sini, orang kedua menambah dosa serta menunjukkan ciri-ciri orang yang tidak beriman,” jelasnya.

PU Rahmat turut menekankan bahawa peningkatan kes jenayah di negara ini sebagai bukti bahawa kegagalan sistem perundangan manusia yang perlu diganti dengan sistem ALLAH SWT.

“Dadah, rogol, rompak, samun, 3GP meningkat, ia membuktikan undang-undang yang sedia ada tidak mampu mendidik manusia menjadi baik.

“Kerana itu Aisyah, kita kena ubah dengan sistem ALLAH...hukuman ALLAH,” katanya.

Penyebaran video Aisyah tersebut Khamis lalu mengundang kecaman hebat malah dia turut menerima pelbagai ugutan termasuk rogol dan bunuh.

Namun, stesen radio BFM yang menerbitkan video kontroversi memohon maaf selepas video itu mendapat kecaman hebat dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Raja Zarith Sofiah dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor

Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hari ini dimahkotakan sebagai Permaisuri Johor, gelaran yang pertama kali diperkenalkan di negeri ini.

Gelaran itu diperkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang turut dimahkotakan sebagai Sultan Johor Kelima dalam sejarah Johor Moden dalam istiadat gilang gemilang di Istana Besar.

Diputerikan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah Perak, Raja Zarith Sofiah merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Perempuan Perak, Raja Muzwin Almarhum Raja Ariff Shah.

Raja Zarith Sofiah melanjutkan pengajian di Cheltenham Ladies College, England sehingga tamat Tingkatan Enam sebelum meneruskan pengajian di Davies College, London pada tahun 1977.

Pada tahun berikutnya, baginda diterima masuk ke Somerville College, Universiti Oxford dan memperoleh Ijazah Bachelor of Arts pada tahun 1983.

Raja Zarith Sofiah merupakan ahli bahasa yang memilih pengajian bahasa Mandarin semasa di Oxford dan turut mempelajari bahasa lain termasuk Perancis dan Itali.

Baginda turut mewarisi bakat seni lukis daripada ayahanda baginda.

Baginda mendirikan rumah tangga dengan Sultan Ibrahim pada usia 23 tahun dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.

Antara penglibatan baginda dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk menjadi Penaung Persatuan Cerebral Palsy Johor dan Penasihat Diraja Bulan Sabit Merah Malaysia.

Baginda turut menubuhkan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor bagi mengutip dana untuk mengadakan pelbagai program pelajaran terutama pembelajaran secara Islam.

Baginda juga aktif dalam bidang penulisan dengan menghasilkan tulisan dan  buku cerita kanak-kanak dan pernah menjadi penulis di sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Sesungguhnya Permasuri Johor ini merupakan seorang yang peramah, berjiwa rakyat serta amat disenangi dan disanjungi rakyat.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Foto sekitar majlis Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor






Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempurna dimahkotakan dengan istiadat meletakkan mahkota oleh Mufti Johor, Sohibus Samahah, Datuk Mohd Tahrir Samsudin, jam 10.11 pagi tadi.


Istiadat yang sama turut dilakukan ke atas Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah diperkenan membawa gelaran sebagai Permaisuri Johor yang pertama kali digunakan dalam negeri ini.


Sejurus selepas itu, bedilan selamat sebanyak 21 das dilepaskan disusuli doa dan majlis mengadap Takzim.


Baginda kemudian berangkat ke Anjung Istana untuk menerima tabik udara dari tujuh helikopter yang satu daripadanya membawa bendera Johor.

Pasangan Diraja menaiki kenderaan terbuka kira-kira jam 10 pagi untuk memulakan perarakan di bandar sejauh 8 kilometer dan berakhir di Istana Bukit Serene.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim berangkat dari Istana Bukit Serene kira-kira jam 9.22 pagi tadi untuk ke Istana Besar, di sini bagi menyempurnakan Istiadat Kemahkotaan.
Sejurus tiba di Istana Besar jam 9.35 lagu bangsa Johor menyambut keberangkatan Tuanku sebelum berkenan memeriksa barisan kemahkotaan askar Timbalan Setia Negeri.

Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim yang  diadakan ini adalah yang keempat dilakukan oleh Sultan Johor dalam era moden.

Upacara pemahkotaan yang pertama ialah Sultan Abu Bakar pada 29 Julai, 1886, diikuti oleh penggantinya, Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar pada 2 November, 1895, dan kemudiannya Sultan Ismail pada 10 Februari 1960.
Turut berkenan hadir, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah selain Raja-Raja Melayu bersama kerabat damping serta pembesar negeri.


Lagi foto: 















Baca lagi >>

Singapura berkabung sehingga Ahad ini berikutan kematian bekas perdana menterinya

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengisytiharkan tempoh berkabung negara dari hari ini hingga Ahad berikutan kematian bapanya, pengasas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew pagi ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, sebagai tanda penghormatan, bendera negara di semua bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang mulai hari ini hingga Ahad.

Upacara keluarga akan diadakan pada hari ini dan esok di Sri Temasek, kediaman rasmi perdana menteri.

Jenazah Kuan Yew akan ditempatkan di bangunan Parlimen mulai Rabu hingga Sabtu untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir di bangunan Parlimen boleh berbuat demikian antara pukul 10 pagi dan 8 malam.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bekas Perdana Menteri Singapura meninggal dunia

Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew meninggal dunia jam 3.18 pagi tadi di Hospital Besar Singapura akibat penyakit radang paru-paru yang teruk.

Pejabat Perdana Menteri Singapura‎ telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan berita kematian Perdana Menteri pertama negara itu.

Kuan Yew sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.‎

Kuan Yew, 91, dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Besar Singapura sejak 5 Februari lepas kerana menghidap radang paru-paru yang teruk.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bahaya stress ketika mengandung

BEBERAPA kajian menunjukkan ibu mengandung yang mengalami stres mendedahkan bayi berisiko penyakit pada masa hadapan.

Kajian Prenatal Stress Alters Bacterial Colonization of the Gut in Infant Monkeys dalam Journal of Pediatric Gastroenterology & Nutrition (2004) mendapati stres ketika mengandung  mempengaruhi jenis bakteria penghuni usus bayi ketika dilahirkan nanti.

Dalam kajian tersebut, penyelidik menggunakan bayi monyet ketika berada dalam rahim (in utero). Sekumpulan ibu monyet dibiarkan tanpa gangguan.

Sekumpulan ibu monyet lain didedahkan dengan gangguan bunyi pada awal atau penghujung fasa mengandung. Penyelidik kajian mendapati perubahan besar pada ekosistem dalaman bayi yang dilahirkan oleh ibu monyet yang stres.

Kesimpulan berdasarkan kajian tersebut, stres tahap sederhana ketika mengandung boleh menyebabkan perubahan pada keseimbangan koloni bakteria baik dan jahat.

Lebih buruk lagi apabila bayi dilahirkan lebih mudah mengalami infeksi termasuk penyakit  melibatkan fungsi sistem imun yang tidak cekap. Kesan buruk stres berlaku secara beransur-ansur. Misalnya, stres menyebabkan beberapa komplikasi seperti keguguran, pre-eclampsia (tekanan darah tinggi kadang-kadang disertai edema dan kencing mengandungi protein), lahir tidak cukup bulan dan tidak cukup berat ketika kelahiran.

Pelbagai masalah

Stres yang dialami secara berulang-ulang ketika wanita mengandung mendedahkan bayi pada risiko penyakit termasuk asma, alahan makanan, diabetes jenis 2, penyakit jantung dan obesiti.

Ia seperti dilaporkan dalam artikel berjudul Disrupted Prenatal Maternal Cortisol, Maternal Obesity, and Childhood Wheeze: Insights into Prenatal Programming yang diterbitkan oleh American Journal of Respiratory and Critical Care Medicine (2013).

Keadaan yang dialami oleh bayi (dalam kandungan) ini dikenali sebagai pemprograman bayi (fetal programming) di mana kajian menunjukkan, stres yang dialami oleh si ibu mempengaruhinya.

Sila lihat artikel berjudul Molecular Mechanisms Underlying the Fetal Programming of Adult Disease yang diterbitkan oleh Journal of Cell Communication and Signaling (2012).

Pada pandangan penulis, stres terlibat dengan pemprograman bayi secara epigenetik di mana ia membuka atau menutup suis gen tertentu.

Kesan pembukaan/penutupan gen melibatkan kadar pengeluaran kimia pengisyaratan dalam tubuh termasuk faktor pertumbuhan (human growth factors), cytokines (terlibat dalam pengisyaratan bersifat keradangan) dan hormon (antara lain memberi kesan kepada metabolisme).

Sebuah kajian menunjukkan persekitaran yang amat tertekan akan memprogramkan fisiologi bayi secara kekal dan seterusnya membentuk penyakit pada masa hadapan.

Ini dilaporkan dalam artikel Mechanisms of Disease: Glucocorticoids, Their Placental Metabolism and Fetal ‘Programming’ of Adult Pathophysiology’diterbitkan dalam jurnal Nature Clinical Practice Endocrinology & Metabolism (2007).

Sesetengah stres amat teruk hingga menimbulkan trauma. Apabila ibu mengandung mengalami stres jenis ini terutama ketika trimester ketiga, biokimia bayi juga akan mengalami perubahan.

Misalnya, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami serangan Pusat Dagangan Dunia pada September 2001 didapati mengalami paras kortisol yang rendah seperti dialami oleh ibu mereka.

Penemuan tersebut dilaporkan dalam artikel Transgenerational Effects of Posttraumatic Stress Disorder in Babies of Mothers Exposed to the World Trade Center attacks during pregnancy seperti diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism (2005).

Paras kortisol rendah dikaitkan dengan Gangguan Stres Pasca Trauma (post-traumatic stress disorder) dan juga beberapa gangguan lain yang melibatkan sakit kronik (chronic pain) dan lesu kronik.

Kajian dilaporkan dalam artikel Minireview: stress-related psychiatric disorders with low cortisol levels: a metabolic hypothesis seperti diterbitkan dalam jurnal Endocrinology (2011) menunjukkan kesan paling buruk akibat kortisol rendah dilihat pada mereka yang terdedah pada trauma sejak peringkat awal alam kehidupan (bayi dan kanak-kanak).

Pada pandangan penulis kesan yang sama juga berlaku pada bayi masih berada dalam kandungan. Kajian Chronic stress induces mast cell–dependent bacterial adherence and initiates mucosal inflammation in rat intestine (2002) dalam jurnal Gastroenterology menunjukkan stres psikologi kronik boleh menyebabkan usus mengalami keradangan.

Kajian juga menunjukkan stres psikologi menimbulkan beberapa jenis gangguan atau penyakit dalam sistem penghadaman seperti sakit ulu hati, sembelit dan diarea. Ia dinyatakan dalam kajian yang dilaporkan dalam artikel berjudul Stress and the gut: pathophysiology, clinical consequences, diagnostic approach and treatment options dalam Journal Physiology and Pharmacology (2011).

Sindrom Usus Bocor

Kajian mendapati alahan makanan, tindak balas makanan, asma dan pelbagai simptom mempunyai kaitan dengan ‘sindrom usus bocor’ di mana antara puncanya dikaitkan dengan stres!

Beberapa kajian lain pula menunjukkan stres mengubah ekosistem dalaman usus lalu menyebabkan mikroflora (mikrobiota) tidak seimbang dan seterusnya menimbulkan pelbagai penyakit usus.

Sebuah kajian terkini pula menunjukkan wanita yang mengalami stres ketika mengandung mudah mendapat bayi dengan mikrobiota yang tidak seimbang (antara baik dan jahat) serta mudah untuk mengalami masalah usus dan tindak balas alahan. Masalah timbul pada kedua-dua fisiologi dan psikologi.

Kajian yang dimaksudkan dilaporkan dalam artikel berjudul Maternal Prenatal Stress is Associated with the Infant Intestinal Microbiota yang diterbitkan dalam jurnal Psychoneuroendocrinology (2015).

Saintis penyelidik kajian dipetik sebagai berkata bahawa penemuan daripada kajian mereka tidak semestinya menunjukkan terdapat kaitan berbentuk sebab (causal link) pada masalah fizikal dan kesihatan mental berpunca daripada gabungan mikrobiota tidak sihat yang terdapat pada bayi berpunca daripada ibu yang mengalami stres.

Doktor konvensional berbangsa Rusia, Dr Natasha Campbell yang menulis buku Gut and Psychology Sybndrome  telah lama mengenal pasti masalah penghadaman mempunyai kaitan jelas dengan gangguan mental seperti autisme, dyspraxia, dyslexia, ADHD, kemurungan dan schizophrenia!

Beliau yang berkhidmat di kliniknya sendiri, The Cambridge Nutririon Clinic juga amat berpengalaman menggunakan nutrisi dalam membantu memulihkan pesakit yang mengalami masalah tersebut.

DR. BAHRAIN SAMAH
Herbalis profesional bertaraf dunia, Juru runding dan pendidik nutrisi holistik.

Sinar Harian

Baca lagi >>