Sunday, 22 March 2015

PAS memenangi PRK Dun Chempaka

Pas berjaya mempertahankan kerusi Dun Chempaka apabila calonnya, Ahmad Fathan Mahmod menang menewaskan empat calon Bebas dalam PRK yang disifatkan paling tenang dan aman.

Kemenangan itu menjadikan kerusi Dun Chempaka kekal milik Pas yang sebelum ini tujuh penggal dimenangi oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
calon PAS

Majoriti yang diperolehi Fathan meningkat kepada 10092 walaupun kehadiran pengundi merosot kepada 55 peratus berbanding 83 peratus dalam Pilihan Raya Umum ke-13  (PRU-13) yang lalu.

Keputusan tersebut diumumkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam  9.05 di Pusat Penjumlahan Undi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa.

Fathan yang juga bekas pensyarah memperoleh 10,899 undi mengatasi empat calon Bebas yang kesemuanya hilang wang pertaruhan.

Calon Bebas, Shariff Mahmood memperoleh 807 undi, Izat Bukhary Ismail Bukhary mendapat 51 undi,  Fadzillah Hussin memperoleh 89 undi manakala Aslah Mamat manakala 27 undi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

GST; siapa yang kena teruk? Mari kita tengok

Sesiapa yang kurang arif padal GST, saya cerita sikit. GST adalah cukai yang dikutip oleh peniaga dan dibayar kepada kastam. Perniagaan yang jualan tahunan lebih setengah juta kena daftar dan boleh kutip GST, yang kurang tak boleh kutip GST. 

Contoh operasi. Contoh saya beli bahan mentah RM 100 cukai GST RM 6, saya bayar RM106. Saya masak bahan itu dan jual RM 200 termasuk service maka pembeli saya kena bayar RM 200 + RM 12 GST jadi RM 212. 

Saya boleh ambil balik RM 6 sebagai bayaran balik cukai GST yang saya bayar pada pekedai tadi dan RM 6 lagi saya kena bayar kepada kastam. 

Jadi siapa yang dicukai, bukan peniaga tetapi pembeli. Jika banyak peringkat jualan, lagi banyak pembeli kena bayar. Contoh pengilang kenakan 6%, pemborong 6%, pengedar 6%, maka pembeli kena GST keseluruhan 18%. 

Ingat GST adalah cukai kepada pembeli atau pengguna bukan kepada peniaga. Semua cukai yang dibayar dalam aliran barang dari kilang ke tangan pengguna akan ditanggung oleh pembeli, kerana peniaga boleh dapat balik cukai yang dibayarnya. Siapa yang kena, mai kita tengok!

Sistem lama pengeluar dan pengedar yang kena cukai iaitu cukai jualan, pembeli tidak kena cukai. Jadi ringkasnya GST telah meringankan dan menguntungkan peniaga dan pengeluar dan membeban pengguna. 
Kempen dalam tv itu auta semua. Betul barang makanan tak kena cukai, tapi orang berniaga makanan kena cukai. 

Contoh anda pergi makan di restoran, kena cukai. Jika anda nak kenduri kahwin, katakan harga kontrak RM7000 maka GST sebanyak RM420 dikenakan. Sebelum GST tak kena bayar begini banyak. Kalau beli kain kapan pun kena GST, pampers, kotek, bahkan putik kapas gerudi telinga pun kena GST. 

Mungkin ada orang kata syarikat kecil tak boleh kutip GST, betul, tapi dia bayar GST bila beli bahan mentah dan dia tak boleh tuntut balik, jadi dia naikkan harga. So siapa yang kena, pembeli. 

GST akan membunuh peniaga kecil kerana mereka tak boleh tuntut balik cukai dan dengan itu mereka kena jual lebih mahal kerana kos semakin tinggi sedangkan syarikat besar boleh atasi hal ini dengan claim balik GST. 

Contoh syarikat catering saya berdaftar dengan GST, banyak mana cukai saya bayar kepada pembekal saya, saya claim balik dari cukai yang dikena kepada pelanggan. Tetapi syarikat catering kecil yang tak berdaftar tidak boleh claim. Saya melihat ramai peniaga kecil melayu akan bermasalah. 

Ada seminggu lagi, beli stok barang keperluan harian, jika tidak anda akan bayar lebih RM 6 bagi setiap RM 100. Tidakkah anda merasa cukai ini membebankan rakyat bawahan, menyenangkan golongan pertengahan peniaga dan pengeluar. 

Kenapa pembeli saja kena bayar cukai, sedangkan peniaga yang mengaut untung tidak dicukai. Kenapa mengalih sistem lama dimana pengeluar yang bayar cukai, tetapi kini dialih kepada pembeli. ZALIM!

Maafkan saya jika kali ini saya tidak menulis yang menasihat seperti selalu. 

Baca lagi >>

Sekitar Istiadat Siram Tabal Sultan Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini menjalani Istiadat Siram Tabal di perkarangan Bukit Bintang, Istana Besar, di sini.
   
Baginda berdua berangkat ke istiadat itu pada 3.30 petang sebelum naik ke Panca Persada tempat bersiram diadakan.
   

Sultan Ibrahim yang memakai baju Melayu teluk belanga berwarna putih dan Raja Zarith Sofiah yang memakai baju kurung teluk belanga berwarna yang sama, bersemayam di peterana di Panca Persada setinggi sembilan tingkat.
   

Istiadat dimulakan dengan doa oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsudin dan kemudiannya disusuli istiadat menepung tawar ke atas Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah oleh bonda Sultan Ibrahim, Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah.  
   

Enche' Besar Hajah Khalsom diiringi kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.


Selesai Istiadat Tepung Tawar, Istiadat Siram Tabal terhadap Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian disempurnakan Tunku Kamariah dengan menyiram air yang diambil dari 10 sungai di 10 daerah di negeri ini menggunakan batil (gayung).
    

Ketika istiadat berlangsung, kelihatan 19 wanita yang memegang ceper (dulang) dan batil, sembilan wanita pemegang kain tabir dan empat kerabat diraja terdekat yang membantu menjalankan istiadat itu.


 Istiadat itu selesai dengan bacaan doa oleh Tahrir.


Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat meninggalkan majlis istiadat pada kira-kira 4.00 petang.

   
Turut berangkat menyaksikan istiadat itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che' Puan Khaleeda Bustamam, para anakanda dan kerabat diraja lain.
   
Turut hadir, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri Datin Seri Rosni Omar, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.
   
Istiadat Siram Tabal atau biasanya disebut istiadat raja bersiram dijalankan mengikut tradisi dan menjadi simbolik pembersihan diri serta jiwa sebelum Sultan memulakan tugas.
   
Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden akan berlangsung Isnin ini di Istana Besar, di sini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kenali juruterbang wanita pertama di Malaysia

NORASHIKIN Onn anak ketiga daripada enam beradik kepada pasangan Tan Sri Onn Ismail dan Puan Sri Halimah Abdul Hamid adalah juruterbang wanita pertama Malaysia.

Beliau memulakan kariernya pada 1996 dan menerima Anugerah Kesatria Kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

Memulakan kerjaya di syarikat penerbangan Pelangi Airways, beliau turut menyandang gelaran komander atau kapten wanita pertama syarikat penerbangan komersial Malaysia 2001.

Lapan tahun berkhidmat, beliau kemudian menyambung tugas di syarikat penerbangan Air Asia Berhad, sekali gus menjadi komander atau kapten wanita pertama mengemudi Wide Body Craft, Airbus 330.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Siti Nurhaliza dah 20 tahun bergelar sebagai anak seni

MEMULAKAN karier seninya sejak 1995, siapa sangka tahun ini genap dua dekad penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza bergelar sebagai anak seni.

Menyingkap semula perjalanannya dalam industri hiburan tanah air kejayaan yang dicapai oleh anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini bukanlah calang-calang dan sememangnya layak diangkat sebagai penyanyi nombor satu negara.

Lebih membanggakan, penyanyi bersuara lunak ini telah memiliki kelasnya yang tersendiri menjadikan dia antara anak seni yang turut tergolong di dalam artis eksklusif.

“Alhamdulillah, 20 tahun adalah perjalanan yang indah buat saya di mana pelbagai emosi dan rasa saya lalui sepanjang tempoh masa itu.

“Namun sebenarnya masih jauh lagi perjalanan ini dari segi pengalaman kerana kalau mahu dibandingkan dengan insan-insan legenda yang lain, banyak lagi yang perlu saya lakukan.

“Saya seronok dan tidak pernah menyesal bergelar anak seni kerana inilah jalan yang saya pilih,” luahnya ketika ditemui baru-baru ini.

Lumrah buat anak seni tidak pernah terlepas daripada menghadapi ragam dan asam garam kehidupan yang tidak menentu.

Biarpun diuji dengan pelbagai cabaran, penyanyi yang terkenal dengan sikap sopan santunnya ini tidak pernah melatah malah mengharungi segala masalah dengan tenang.

“Sebagai seorang anak seni saya akur dan sentiasa bersedia untuk mengharungi semua ini.

“Sebenarnya, semua ujian dan cabaran yang berlaku buat saya lebih kuat dalam mengharungi hidup yang mendatang.

“Saya bersyukur kerana sepanjang perjalanan ini, saya tidak keseorangan apabila tidak putus-putus menerima dorongan daripada keluarga yang memahami situasi dan peminat yang tidak jemu memberi sokongan untuk saya terus bersemangat mencapai impian sebagai anak seni,” katanya sambil tersenyum manis.

Selepas 20 tahun meniti karier, Siti mengakui dalam peringkat ini, populariti bukanlah perkara yang dikejarkan namun usaha kerasnya tertumpu pada kualiti kerjanya.

“Perjalanan seni saya sekarang tidak lagi seperti dahulu untuk mengejar populariti supaya orang kenal saya.

“Tapi saya berada dalam peringkat yang mahu kekalkan apa yang telah saya ada dan lebih kepada mencari kualiti dalam kerja.

“Betullah apa yang dikatakan orang-orang tua, semakin kita belajar banyak perkara, sebenarnya semakin banyak perkara atau ilmu yang kita tidak tahu. Jadi perjalanan saya masih belum terhenti di sini,” katanya.

Tidak terlalu selesa: Siti Nurhaliza terus kejar hasrat

Biarpun kejayaan demi kejayaan telah dimiliki, namun buat Siti itu bukan alasan buat dirinya terlalu selesa dengan kedudukannya kini.

Sebagai seorang yang komited dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, penyanyi berusia 36 tahun ini terus bekerja keras mengejar hasrat yang belum tercapai.

“Kalau nak diikutkan, macam-macam lagi perancangan yang saya mahu lakukan dalam karier nyanyian saya.

“Contohnya sekarang saya dalam perbincangan untuk mengadakan konsert jelajah Malaysia dan Indonesia.

“Selain itu saya ada juga fokus tentang beberapa perkara di mana sepanjang karier saya masih belum mendapat kejayaan dalam beberapa kategori iaitu seperti kulit album terbaik mahupun muzik video terbaik.

“Jadi setiap kali menghasilkan album dan muzik video yang saya akan titik beratkan semua aspek untuk pastikan hasil yang diberikan memuaskan,” ujarnya.

Bukan sahaja berjaya dalam bidang seni dan juga perniagaan kosmetik, Siti turut berkongsi hasratnya untuk mengembangkan cabang perniagaannya dalam bidang kesihatan.

“Bidang nyanyian adalah minat dan kecintaan utama saya dan yang keduanya adalah kecantikan. Mungkin selepas ini bidang kesihatan pula.

“Kalau ada rezeki saya memang rancang untuk buka farmasi sendiri tambahan pula  saya seorang yang gemar ke farmasi untuk membeli ubat dan vitamin yang baik untuk kesihatan saya dan keluarga,” kongsinya yang turut berhasrat memperkenalkan produk berasaskan sunah Rasulullah jika impian memiliki farmasi sendiri tercapai.

Mother’s Day Miracle Night

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Siti memberitahu dia bakal meraikan golongan ibu menerusi persembahan ‘Mother’s Day Miracle Night With Datuk Siti Nurhaliza’ anjuran OMGFest Ventures yang bakal berlangsung pada 15 May ini bertempat di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen TM, Menara Telekom.

Selepas tiga tahun tidak terlibat dalam persembahan hari ibu, kali ini Siti menjanjikan kelainan dan keistimewaan buat peminat yang hadir.

“Saya bersetuju menerima tawaran nyanyian ini kerana menganggap hari ibu sebagai sesuatu yang istimewa jadi saya mahu lakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan.

“Selalunya jika seorang ibu mahu meraikan anak-anak, mereka akan masak makanan kegemaran dan saya terfikir, apa kata pada persembahan itu nanti, saya buat perkara yang sama.

“Pada malam tersebut, kami akan memilih seorang ibu yang bertuah. Saya akan masak dan makan bersama ibu bertuah itu di atas pentas sambil menyanyi menghiburkan ibu yang lain,” katanya teruja.

Tiket persembahan yang dijual pada bermula harga RM399 sehingga RM990 boleh ditempah menerusi pembelian online di www.redtix.airasia.com atau maklumat lanjut di www.omgfest.my.

Selain daripada itu Siti turut memberitahu bakal mengadakan konsert muzikal sempena 20 tahun penglibatannya dalam industri seni tanah air di pentas Istana Budaya pada November nanti.

Warisi sifat ibu

Tidak ada ungkapan yang mampu diberikan seorang anak terhadap pengorbanan seorang ibu dalam memastikan anak-anak membesar dalam keadaan yang baik.

Mengagumi sifat-sifat yang dimiliki ibunya, Siti Salmah Bachik, penyanyi yang kini terkenal dengan lagu ‘Jaga Dia Untukku’ ini mengakui ketegasan wanita itu dalam mendidik anak-anak telah membentuk dirinya menjadi seorang yang lebih baik.

“Sifat kesabaran yang saya miliki hari ini adalah daripada ibu saya. Walaupun dia seorang yang suka tersenyum namun dia juga tegas dalam mendidik anak-anaknya.

“Sejak dahulu ibu selalu berpesan supaya saya selalu menjaga tingkah laku. Bayangkan, dahulu jika saya buat perkara yang tidak sepatutnya, dia akan terus tegur saya dan dia memang tegas.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada ibu kerana dialah saya insan yang banyak mengajar saya,” ujarnya dengan penuh rasa bangga.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kerajaan digesa naikkan gaji dan elaun kakitangan awam

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan segera mengkaji semula 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.
   
Presidennya Datuk Azih Muda berkata, isu kenaikan elaun dan gaji kakitangan awam telah tertangguh sejak 15 tahun lepas walaupun kenaikan sepatutnya berlaku lima tahun sekali.
   
"Cuepacs meminta agar gaji serta elaun sedia ada dinaikkan sehingga 35 peratus dan berdasarkan perbincangan awal sebelum ini  kerajaan bersetuju mengkaji skim gaji kakitangan awam dalam tempoh lima tahun sekali.
   
"Langkah itu bertujuan untuk mengelakkan kakitangan berpendapatan rendah berada di bawah paras kemiskinan," katanya selepas majlis penyampaian bantuan kepada 430 mangsa banjir di sini hari ini.
   
Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fatah Abdullah.

Azih berkata bebanan kerja ditanggung kakitangan awam juga semakin meningkat setiap hari dan penangguhan kajian skim gaji akan mendatangkan kesan negatif terhadap kualiti dan produktiviti kerja mereka.
   
Katanya, antara elaun yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan termasuk Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberikan serendah RM180 kerana kadar itu tidak munasabah bagi mereka yang bekerja di bandar.
   
Beliau berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu itu dengan kadar segera bagi membantu meningkatkan taraf hidup kakitangan sektor awam terutama yang berpendapatan rendah.
   
Sementara itu, Abdul Fatah berkata bagi membantu kakitangan awam memiliki rumah di kawasan bandar, Angkasa dan Cuepacs akan bekerjasama membina 600 unit rumah pelbagai jenis dilengkapi perabot dan kemudahan insurans di Putrajaya.
   
Beliau berkata, satu mesyuarat khas dengan pemaju akan diadakan April ini bagi membincangkan pelaksanaan projek yang dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan penjawat awam.
   
"Rumah yang akan dibina itu akan dijual kepada penjawat awam dengan harga yang berpatutan bagi membolehkan golongan berkenaan memiliki rumah sendiri," katanya

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka hari ini

Sembilan buah sekolah di sini mula dibuka 8 pagi ini untuk membolehkan 20,390 pemilih mengundi pada PRK Dun Chempaka.

Sembilan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.  

Proses pengundian akan berlangsung sehingga jam 5 petang. PRK Dun Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Pas dan empat calon bebas.

Pas diwakili Ketua Urusan Ulama Pas Dun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55, dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Feb lepas.

Pada proses pengundian awal pada 18 Mac lepas, sejumlah 35.40 peratus atau 530 orang daripada 1,497 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka.

BN tidak bertanding pada PRK ini kerana memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>