Saturday, 21 March 2015

Ustaz Kazim kena sihir?


Meskipun tidak lagi muncul dalam program televisyen selepas ini, bukan bermakna susuk tubuh bernama Mohd Kazim Elias ini luntur semangatnya dalam berdakwah.

Mohd Kazim atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Kazim sebaliknya berkata, beliau akan terus menyebarkan ilmu ALLAH ini dengan cara 'low profile' kepada seluruh masyarakat Islam.

Bercakap kepada Sinar Online, Ustaz Kazim berkata, jika tidak mampu berhadapan dengan rintangan sebagai pendakwah, sudah lama beliau bersara, namun itu bukan pilihannya.

“Alhamdulillah saya sudah berdakwah lebih kurang 24 tahun, saya pernah melalui pelbagai ranjau dan duri dalam berdakwah. Saya pernah disihir empat kali dan pernah dibedah sebab sihir apabila dibedah doktor kata tidak menjumpai ‘penyakit’ itu, namun saya terus berdakwah.

“Namun kini, saya rasa pendekatan saya mungkin perlu berubah, biarlah saya memberi peluang kepada pendakwah muka baharu untuk berceramah," luahnya.

Berbicara lanjut Ustaz Kazim berkata, selain pernah ditipu bayaran beliau juga acapkali difitnah.

“Saya pernah diberi cek tendang, dan sudah banyak kali akaun palsu FB dibuat untuk menjatuhkan saya. Tetapi saya terus sabar. Sekarang saya fikir sudah tiba masanya saya ‘menghentikan’ semua itu , jadi saya pilih tidak perlulah lagi saya muncul di kaca televisyen, cukuplah sekadar saya berceramah di tempat awam hanya apabila ada orang panggil ,” tuturnya.

Namun begitu ujarnya, peminat masih boleh menontonnya di kaca televisyen menerusi rancangan “Kalau Dah Jodoh” di Astro Oasis, rancangan "Bismillah" terbitan TV3 dan satu lagi di rancangan "Kopi Bersama Ustaz Kazim" di TV9.

“Hanya itu sahaja, saya juga sudah batalkan 10 program yang melibatkan saya,” katanya.

Kelmarin, Kazim membuat keputusan menarik diri daripada muncul dalam mana-mana program ceramah di kaca televisyen menerusi Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Batu Kurau yang disiarkan secara langsung melalui siaran RTM1.

Bagaimanapun beliau akan meneruskan ceramah bagi rancangan yang telah dipersetujui secara hitam putih termasuk program ‘Kalau Dah Jodoh’ yang kini masih berbaki 10 episod.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hujan ikan di Yoro, Amerika Syarikat

HONDURAS - AMERIKA TENGAH. Ajaib dan aneh, itulah perkataan yang sesuai untuk mengambarkan fenomena luvia de peces (rain of fish) yang berlaku hampir setiap tahun di kawasan Yoro, di sini, kerana hujan yang turun bukan sahaja membawa air tetapi turut membawa ikan turun bersama.

Fenomena ini berlaku sekitar bulan Mei dan Jun di mana penduduk setempat akan meraikannya sehingga menjadikan ia festival wajib dan menggelarkan fenomena ini sebagai ‘aguacero de pescado’.

Menurut penduduk setempat, hujan ikan ini membawa rahmat kepada mereka dan percaya bahawa ia rezeki untuk penduduk miskin di kawasan tersebut.

Keanehan ini telah membuatkan fenomena ini dibukukan dan termasuk dalam “Most Amazing Natural Phenomena” menerusi buku Lonely Planet: 1000 Ultimate Sights.

Penjelasan Fenomena

Menurut pakar meteorologi, pada bulan Mei dan Jun, kawasan tersebut sering dilanda ribut.

Dalam cuaca sedemikian, angin kuat seperti ribut taufan akan menghasilkan puting beliung atau tornado kecil.

Menurut laporan BBC, apabila tornado ini bergerak ke kawasan air, organisma kecil seperti ikan atau katak akan ditarik ke atas dan dibawa sehingga beberapa batu jauhnya.

Sebab itulah tidak mustahil ikan ini jatuh bersama hujan kerana ‘kekuatan’ tornado yang mampu membawa ia sehingga ke kawasan Yoro.

Namun begitu, masih timbul beberapa persoalan mengenai perkara tersebut apabila kesemua ikan yang turun bersama hujan ini merupakan spesies ikan air tawar sahaja, bersaiz kecil dan berada dalam keadaan yang masih sempurna.

Dan persoalan ini masih belum dapat dirungkai secara saintifik sehingga sekarang, namun sebagai orang Islam kita percaya bahawa ALLAH boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh-NYA.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Persenda hukum Allah boleh rosak akidah

Seluruh umat Islam perlu memahami dan sedar hukum hudud adalah hukum ALLAH SWT yang tidak boleh dipermainkan serta dipersendakan terutama oleh mereka yang beragama Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan, jika perkara itu berlaku, ia boleh memberi kesan kepada kerosakan akidah pelaku, terutama jika dilakukan di dalam sedar, bukannya jahil.

“Ia (mempermainkan hukum ALLAH SWT) boleh memudaratkan pelaku itu sendiri, ada sesetengah pihak menganggap perkara ini sebagai remeh, namun dalam Islam, ia serius dan perlukan bimbingan, tidak mustahil sehingga menyebabkan terkeluarnya agama.

“Saya nasihatkan kembalilah ke pangkal jalan, jika kita tidak mengetahui dengan jelas sesuatu hukum ALLAH SWT, carilah jalan penyelesaiannya, belajar dengan mereka yang layak iaitu ilmuwan dan sebagainya, jangan mempersendakan hukum ALLAH SWT,” katanya.

Beliau mengulas tindakan seorang gadis yang didakwa menghina langkah kerajaan Pas Kelantan membentang dan meluluskan undang-undang hudud yang kini menjadi viral dan menerima kecaman hebat di laman sosial.

Gadis dikenali sebagai Aisyah Tajuddin didapati melakonkan aksi parodi dan mengeluarkan kata-kata yang didakwa menghina hukum hudud dalam sebuah klip video berjudul ‘Aisyah BFM Kupas Hudud di Kelantan’.

Mohamad Shukri berkata, penghinaan itu juga boleh disifatkan sama seperti menghina matahari, sungai dan segala ciptaan ALLAH SWT, yang mana mempunyai sebab dan faedahnya kepada manusia.

Beliau juga memberitahu, dalam skop sama, hudud juga dicipta ALLAH SWT untuk kebaikan umat Islam, yang tidak boleh dipermainkan, malah diejek sehingga timbulnya penghinaan.

“Kalau kita (orang Islam) sendiri tidak hormat hukum ALLAH SWT, bagaimana kita mahu orang bukan Islam hormat dan faham agama kita. Jangan disebabkan kita, orang lain boleh menghina agama dan hukum ALLAH SWT, kepada si pelaku, segeralah bertaubat,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas keadaan cuaca panas terik yang melanda Kelantan kini, beliau turut menasihatkan orang ramai solat sunat Istisqa’ minta diturunkan hujan, selain mengalu-alukan masjid utama di seluruh negara buat perkara sama.

“Banjir, kemarau, mengajar umat Islam untuk lebih bersyukur dengan pemberian-Nya. Jangan pula ada yang kutuk dan mengeluh kekesalan, ALLAH SWT sudah tentukan yang terbaik untuk umat-Nya,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Surat nikah anak PM yang viral adalah palsu

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menjelaskan surat perakuan nikah anak perempuan perdana menteri, Nooryana Najwa Najib dan pasangannya Daniyar Kessikbayev, yang tersebar di media sosial, adalah palsu.

Pengarah Jawi Paimuzi Yahya berkata, maklumat mengenai mas kahwin dan jumlah hantaran yang tertera pada surat perakuan nikah itu adalah tidak benar selain sijil berkenaan tidak ditandatangani pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jawi.

"Pihak Jawi ingin menegaskan bahawa surat perakuan nikah berkenaan adalah palsu," katanya dalam kenyataan di sini.

Jawi turut menyertakan salinan surat perakuan nikah palsu yang dilaporkan viral di media sosial dan salinan surat perakuan nikah asli bersama-sama kenyataan itu.

Kandungan dokumen palsu itu antara lain menyatakan nilai mas kahwin ialah RM111 dan jumlah hantaran sebanyak US$500,000.

Salinan dokumen asli yang diperoleh daripada Jawi memaparkan nilai  mas kahwin ialah sebanyak RM5,000 tanpa menyatakan belanja hantaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan sendiri akad nikah pasangan itu dalam satu majlis di Putrajaya semalam.

Nooryana Najwa dan Daniyar mula berkenalan ketika kedua-duanya menuntut di Amerika Syarikat. 

Bernama

Baca lagi >>

Bayi ditinggalkan di depan rumah

Orang ramai dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki ditinggalkan depan rumah seorang penduduk dan turut diselitkan dengan sepucuk surat di sebuah kampung di Merbok, awal pagi semalam.

Difahamkan, bayi terbabit yang lengkap berpakaian diletakkan dalam sebuah kotak dan ditinggalkan bersama dengan kelambu, sepertimana yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam yang memaklumkan perkara itu.

"Bagaimanapun, kita tidak dapat memastikan sama ada surat yang disebarkan menerusi aplikasi itu adalah sahih atau sebaliknya, siasatan akan dilakukan," katanya kepada Sinar Harian.

Khalil berkata, bayi itu dipercayai berusia seminggu berdasarkan kesan tanggal tali pusat yang masih baru.

"Kejadian disedari awal pagi tadi (semalam) ketika umat Islam sibuk mahu mengerjakan solat Subuh apabila bayi ditinggalkan di hadapan sebuah rumah penduduk di kampung terbabit.

"Berdasarkan pemerhatian, bayi lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut," katanya.

Khalil berkata, pihaknya akan menunggu laporan perubatan sebelum menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, berhubung kes penemuan mayat bayi yang ditemui dalam tin biskut di sebuah bangunan asrama semalam, ibu kepada bayi itu kini dilaporkan sihat.

"Kita masih menyiasat perkara itu dan wanita itu bagaimanapun masih dirawat di HSAH untuk tindakan lanjut," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Harga tambang bas ekspress terbaharu


Baca lagi >>

Fenomena Ekuinoks tengah hari ini

Seluruh dunia akan mengalami fenomena Ekuinoks - yang berlaku apabila matahari melintasi garisan Khatulistiwa - bermula tengah hari ini

Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara, Mohd Zamri Shah Mansor berkata fenomena itu berlaku apabila matahari melintasi garisan Khatulistiwa untuk mengubah kedudukannya dari hemisfera Selatan Bumi ke hemisfera Utara setelah enam bulan berada di hemisfera Selatan.


"Ketika ia berlaku, mereka yang berada di atas atau berdekatan dengan garisan Khatulistiwa terutamanya di kawasan Pontianak, Indonesia akan mendapati matahari berada tegak di atas kepala pada waktu tengah hari, bergantung kepada waktu tempatan masing-masing.

"Ketika matahari tegak di langit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang mereka seperti kebiasaan," katanya pada sidang media selepas penstriman secara langsung Fenomena Gerhana Matahari Penuh di Planetarium Negara  di sini, hari ini.

Semasa fenomena Ekuinoks, seluruh dunia akan mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.

Sementara itu, penstriman secara langsung itu bertujuan menyaksikan Gerhana Matahari Penuh di utara Kepulauan Faroe di Lautan Norway.    

Gerhana Matahari Penuh itu mengambil masa empat jam sembilan minit bermula pada 3.41 petang dan berakhir pada 7.50 petang waktu Malaysia.    

"Fenomena ini berlaku pada 8.41 pagi waktu Kepulauan  Faroe dan kemuncaknya berlaku pada 10.15 pagi ketika itu. Ketika inilah (10.15 pagi) penduduk di sekitar kawasan itu akan mengalami waktu gelap selama 2 minit," katanya.

Selain kawasan kepulauan Faroe, fenomena itu juga dapat dilihat di kawasan Lautan Artik dari Greenland ke Norway.

Mohd Zamri berkata fenomena gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi di antara Bumi dan Matahari yang penduduknya dapat melihat bayang-bayang matahari secara  penuh atau separa.

"Fenomena kali ini merupakan fenomena gerhana matahari penuh terakhir buat penduduk Eropah sebelum gerhana matahari penuh berikutnya pada 12 Ogos 2026," katanya.    

Pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Planetarium Negara di talian 0322734301/4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my ataupun laman sosial Facebook 'Agensi Angkasa Negara'. 

Bernama

Baca lagi >>