Thursday, 19 March 2015

Pelanggan Maybank tidak dikenakan GST semasa guna ATM Maybank

KESEMUA pelanggan Syarikat perbankan Maybank akan menikmati pengecualian caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menerusi penggunaan ATM Maybank mulai 1 April ini.

Bagaimanapun memetik kenyataan dari Maybank, kadar cukai enam peratus GST masih akan dikenakan terhadap pelanggan Maybank yang membuat urusan perbankan menerusi ATM dari syarikat perbankan lain.

“GST merupakan cukai penggunaan yang akan ditanggung oleh pengguna. GST hanya boleh dikenakan oleh perniagaan yang telah mendaftar untuk GST di negara ini. 

“Kumpulan Maybank merupakan syarikat yang didaftarkan di bawah GST, justeru kami perlu melaksanakan cukai baru ini bermula 1 April depan. 

“Bagaimanapun pelanggan hanya akan dikenakan cukai GST sekiranya mereka membuat urus niaga perbankan di ATM selain Maybank,” katanya. 

Bagaimanapun, bagi pemegang kad Maybank yang tidak dikenakan yuran tahunan sebanyak RM8 akan dikenakan kadar 53 sen termasuk caj GST pada transaksi kelima setiap bulan.

Bagi penggunaan aplikasi perbankan internet Maybank2u.com pula, pelanggan Maybank tidak akan dikenakan sebarang caj GST pada urusan pemindahan wang ke akaun Maybank lain.

Namun pelanggan akan dikenakan caj enam peratus GST jika melakukan pemindahan ke akaun lain selain Maybank. 

“Kumpulan Maybank akan melaksanakan GST terhadap semua bekalan barangan dan/atau perkhidmatan yang mana perlu, selain daripada yuran dan caj-caj lain yang kami kenakan.

“Kami akan mengeluarkan invois cukai di mana GST akan dikenakan, selaras dengan peruntukan Akta GST 2014. Umumnya, sebahagian besar daripada perkhidmatan kami yang berasaskan yuran adalah tertakluk kepada GST pada kadar 6 peratus, manakala bayaran faedah pula akan dikecualikan cukai,” jelasnya lagi.

Manakala penjelasan bil yang dibuat menerusi perbankan internet Maybank2u.com pula akan dikenakan caj GST.

“Ia tertakluk kepada terma dan syarat. Sekiranya sebelum ini pelanggan menjelaskan bil tersebut tanpa apa-apa caj, selepas pelaksanaan GST nanti pelanggan masih tidak akan dikenakan apa-apa caj tambahan.

“Bagaimanapun jika sebelum ini pelanggan sememangnya dikenakan caj tambahan untuk membuat pembayaran bil  kami terpaksa mengenakan GST pada kadar caj tersebut,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai GST boleh juga didapati di laman sesawang Jabatan Kastam Diraja Malaysia di www.gst.customs.gov.my. Atau pelanggan boleh menghubungi pihak Maybank menerusi email di gst_askme@maybank.com.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan kami di 1-300 88 6688 atau 603-7844 3696 (luar negara).

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tambang komuter juga naik mulai 1 Mei

KTM Berhad (KTM) hari ini mengumumkan kadar tambang baru bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei.
    
KTM dalam satu kenyataan berkata perbezaan kadar tambang sehala yang baru berbanding tambang sedia ada adalah bergantung kepada jarak perjalanan daripada satu stesen ke stesen yang lain.
    
Ia turut memaklumkan kadar baharu diskaun tiket sebanyak 20 peratus bagi pemegang tiket tambah nilai, diskaun antara 18 peratus hingga 26 peratus kepada pemegang pas mingguan serta diskaun 19 peratus hingga 35 peratus bagi pemegang pas bulanan, bergantung kepada jarak perjalanan.
    
Sementara itu pengguna warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun pula akan terus menikmati tambang konsesi pada kadar 50 peratus daripada tambang tunai yang baru.
    
"Seperti yang sedia maklum, perkhidmatan KTM Komuter telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari aspek ketepatan masa perjalanan dan tahap keselesaan penumpang sejak penggunaan tren baharu enam koc mulai tahun 2012.

"Penggunaan tren baharu enam koc yang sangat konsisten prestasinya telah melonjak ketepatan masa perkhidmatan KTM Komuter dari hanya 17 peratus pada 2011 kepada 97 peratus pada 2014," kata KTM.
    
Ia berkata pelarasan tambang itu dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kadar baharunya turut dikecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
    
Kali terakhir KTM melaksanakan pelarasan tambang ialah pada Februari 2003.
    
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini turut mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala pada mulai 15 Mei, tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.
    
Kenaikan tambang dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga kos termasuk kos penyelenggaraan serta demi  kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.     
    
Bermula 1 April, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kadar tambang baharu di semua stesen KTM Komuter, laman sesawang KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau mengubungi Pusat Panggilan KTMB 1300-88-5862.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ikan keli bertaburan di atas jalan raya

GUIZHOU - CHINA. Lebih kurang 6,800 kilogram ikan keli bertaburan di atas jalan raya di Zon Pembangunan Kaili di wilayah ini selepas pintu lori yang membawa muatan ikan tersebut tiba-tiba terbuka di tengah jalan.

Menurut laporan NetEase, anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk membantu memasukkan semula ikan-ikan tersebut ke dalam lori terbabit.

Orang ramai yang berada di sekitar jalan raya turut membantu pihak bomba menangkap ribuan ikan keli tersebut.

Setelah dua jam, kesemua ikan tersebut dimasukkan kembali ke dalam lori.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ferrari Zizan kemalangan di Putrajaya

Pembantu peribadi kepada pelakon dan pe­lawak Zizan Razak mengesah­kan kereta Ferrari milik Zizan mengalami kemala­ngan di Putrajaya kelmarin.

Menurut Izwan Zailani, 25, kejadian tersebut berlaku apabila kereta yang dipandu Zizan atau nama sebenarnya Razizan Razak, 31, gagal dikawal dan me­langgar pembahagi jalan sewaktu selebriti itu dalam per­jalanan ke sebuah lokasi penggambaran drama sekitar Putrajaya.
Gambar kereta Ferrari kuning yang remuk dan menjadi viral di internet sejak kelmarin ini BUKAN milik Zizan.
“Kejadian tersebut berlaku ketika dia hendak pergi ke lokasi penggambaran.

“Kereta jenis Ferrari F430 itu gagal dikawal dan akhirnya terlanggar pembahagi jalan.

“Bagaimanapun, kenderaan ter­­sebut tidak rosak teruk, manakala Zizan tidak mengalami kecede­raan.

“Buat masa ini, saya belum pasti sama ada Zizan mahu buat laporan polis atau tidak,” ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo

Baca lagi >>

Mangsa ragut kritikal

Seorang suri rumah yang menjadi mangsa ragut di Taman Bukit Dahlia Pasir Gudang Ahad lalu masih dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Suaminya, Kelana Bakri, 50, berkata, keadaan isterinya, Faridah Harith, 47, agak kritikal apabila doktor terpaksa menebuk paru-parunya yang dikesan berlaku pendarahan.

Menurutnya, Faridah pada kondisi semalam demam selepas menjalani pembedahan tangan kanannya yang patah selama lima jam kelmarin.

“Doktor masih menunggu keadaan Faridah stabil untuk menjalankan pembedahan paru-parunya yang dikesan berlaku pendarahan.

“Dia sedar dan boleh berbual, tetapi doktor nasihatkan agar dia tidak banyak bercakap dan bergerak kerana keadaan tulang belakangnya yang patah agak serius,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelana berkata, dia sebenarnya masih terkejut dengan insiden yang berlaku terhadap isterinya kerana itu kali pertama isteri menunggang motorsikal bersama anak membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, biasanya isteri akan bersamanya menaiki kereta ke pasaraya berkenaan untuk membeli barangan dapur.

“Saya tak terkilan, cuma masih terkejut insiden malang ini berlaku terhadap isteri saya.

“Kebetulan pada malam kejadian saya bekerja, jadi saya minta dia belanja barangan keperluan untuk dibawa pulang ke kampong keesokkan harinya bersama anak sulung,” katanya.

Katanya, dia masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak polis berhubung perkembangan siasatan kes membabitkan isterinya itu.

“Saya belum dapat apa-apa info berkaitan siasatan daripada pihak polis.

“Saya minta siasatan terperinci dapat dilakukan untuk membawa penjenayah itu ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung laporan kes ragut di Taman Bukit Dahlia Pasir Gudang itu dan siasatan masih diteruskan.

Sinar Harian Isnin lalu menyiarkan seorang ibu dan anak yang menjadi mangsa ragut ketika menunggang motorsikal pulang dari membeli barangan keperluan harian di sebuah pasaraya sekitar jam 8.30 malam.

Mangsa dikejarkan ke HSI selepas mengalami kecederaan serius akibat terjatuh daripada motosikal sebaik ditendang dua peragut yang menarik beg tangan yang disembunyikan di dalam tudungnya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Enakmen pindaan Kanun Syariah II diluluskan

Rang Undang Undang Enakmen pindaan Kanun Syariah II diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara dari 44 Adun.

31 Adun Pas, 12  BN dan seorang PKR menyatakan sokongan setelah bacaan Rang Undang-Undang pindaan kali ketiga dibuat jam 12 tengah hari.

Rang undang undang ini kini dinamakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, beberapa pindaan dibuat iaitu ia hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Hudud, Qisas dan Takzir dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kota Darul Naim, semalam. - Foto Bernama
Pindaan turut dibuat pada Seksyen 15(2) kanun tersebut dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.

Pindaan lain adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri  yang belum wujud.

Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia  ada.

Kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh  kesalahan  iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak)  dan irtidad (murtad).

Antara hukuman yang diperuntukkan di bawah kanun itu adalah bagi kesalahan mencuri kali  pertama, pesalah akan dipotong tangan kanan, kesalahan kali kedua dipotong tangan kiri dan  kesalahan kali ketiga pula dipenjara tidak melebihi 15 tahun.

Bagi kesalahan merompak, pesalah boleh dihukum bunuh atau disalib, dihukum bunuh jika  mangsa dibunuh tetapi hartanya tidak diambil dan dipotong tangan kanan dan kaki kiri jika harta  sahaja diambil.

Kesalahan qazaf pula, pesalah boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali dan minum arak pula,  sebatan tidak lebih 80 kali dan tidak kurang 40 kali. 

Selain itu, bagi kesalahan zina, pasangan yang berkahwin boleh direjam sehingga mati  manakala belum berkahwin boleh disebat 100 kali dan penjara setahun.

Bagi kesalahan murtad pula, mesti bertaubat dalam tempoh tiga hari dan jika enggan, boleh dihukum bunuh.

Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan Speaker Dun Datuk Abdullah Ya'kub kemudiannya menangguhkan sidang Dun kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tambang teksi dan bas pula naik

Tambang teksi dinaikkan antara RM1.25 dan RM8.00 mengikut jarak perjalanan dan lokasi, berkuatkuasa serta-merta manakala tambang bas ekspres naik 2.1 sen bagi setiap kilometer bermula 1 April ini.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mengumumkan kenaikan itu hari ini berkata, ini adalah semakan semula pertama bagi tambang bas dan teksi sejak enam tahun lalu.

Menurut Spad, penumpang yang menggunakan teksi bajet di Lembah Klang dan Johor Bahru perlu membayar RM8 bagi perjalanan sejauh lima kilometer berbanding RM6.50 sebelum ini, iaitu kenaikan sebanyak RM1.50.

Sementara itu, kenaikan lebih tinggi dilihat di Pulau Pinang dengan caj perjalanan sejauh 10 kilometer menggunakan Teksi 1Malaysia dinaikkan sebanyak RM8 iaitu daripada RM11.80 kepada RM19.80.

Spad juga sedang mempertimbang untuk menaikkan tambang perkhidmatan kereta api KTM Komuter, KTM Intercity, ETS, LRT dan Monorail yang akan diumumkan pada satu tarikh lain.

Sinar Harian

Baca lagi >>