Wednesday, 18 March 2015

Bukan mudah beristeri empat - Salih Yaacob

SELEBRITI terkenal, Salih Yaacob mengaku bukan mudah beristeri empat. Pelawak popular ini memberitahu, amalan poligami memerlukan kesungguhan dan keikhlasan dalam setiap tindakan diambil.

Sehubungan itu, Salih berpesan kepada kaum lelaki yang berhajat berkahwin lebih seorang supaya mengenali diri sendiri. Katanya, lelaki perlu tahu keupayaan yang ada supaya dapat memikul amanah dengan baik.

"Bukan untuk suka-suka. Apabila kita memilih jalan ini (poligami), kita perlu ikhlas dan tahu tanggungjawab kita," katanya kepada BH PLUS.

Salih memiliki empat isteri iaitu Norlizah Mamat, 50; Norraha Hamat, 46; Norfara Wahida Sulaiman, 36, dan Samihah Sheikh Amy (Emi), 29.

Hasil perkahwinannya, penyampai radio Sinar FM itu dikurniakan 11 anak dan bakal menyambut cahaya mata ke-12 hasil perkahwinannya dengan isteri terbarunya, Samihah pada tahun 2011.


Ditanya apakah tip poligami yang menjadi pegangannya, Salih tersenyum penuh makna sambil menegaskan, perkara paling penting ialah tahu tanggungjawab sebagai suami dan pemimpin keluarga besar.

"Perkara ini satu yang sangat besar, serba serbinya besar dan serius," katanya.

Beliau menambah, meskipun sukar untuk mencapai tahap sempurna, tetapi perlu sentiasa berusaha ke arah itu.

Salih berkata, tanggungjawab bukan sekadar pada isteri tetapi anak-anak hingga ke cucu.

Katanya, sebagai ketua keluarga, segala bekalan perlu disediakan untuk semua ahli keluarga bukan setakat di dunia tetapi akhirat.

"Tidak dinafikan akan ada hati yang terasa. Tetapi kita sebagai nakhoda perlu tahu membaca semua kemungkinan dan mencari penyelesaian terbaik.

"Bukan senang atau untuk suka-suka, kalau niat salah baik lupakan saja," katanya serius.

Sekali lagi pesan Salih, jika benar mahu berpoligami, pastikan diri mampu merencananya dengan baik sama ada dalam aspek zahir mahupun batin.

Ditanya sejauh mana sifat jenakanya banyak membantu kehidupan harian, Salih berkata, beliau adalah insan biasa.

Menurutnya, jenakanya hanya pada tempat dan suasana.

Tahun ini kali kedua, personaliti ini tercalon dalam senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014.

Menariknya, beliau tidak bersaing dalam kategori pelawak, sebaliknya Penyampai Radio Lelaki Popular iaitu bidang yang disertainya sejak lapan tahun lalu.

BHarian

Baca lagi >>

SMS tawaran hadiah RM30 000 daripada syarikat Power Root adalah palsu

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dikirimkan individu tidak bertanggungjawab, menawarkan hadiah wang sebanyak RM30,000 daripada syarikat Power Root.

Salah seorang penerima SMS itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 32, berkata pada 9 Mac lalu dia menerima SMS yang mengatakan nombor telefonnya terpilih memenangi cabutan bertuah RM30,000, dan dikehendaki menghubungi nombor tertera.

Intan, seorang suri rumah memberitahu, sebelum ini suaminya ada membeli air minuman Power Root, tetapi tidak pernah menyertai sebarang peraduan.

Walaupun dia masih keliru, namun dia terus menghubungi nombor dinyatakan itu, bagi mendapatkan kepastian.

“Sebaik sahaja panggilan telefon saya dijawab, terdengar suara lelaki yang menggunakan loghat Indonesia. Saya maklumkan sepertimana SMS yang diterima, dan mula mengesyaki sesuatu apabila lelaki itu meminta nombor akaun untuk memudahkan mereka memindahkan wang kepada saya.

“Namun, apabila saya bertanyakan mengenai syarikat Power Root ini, lelaki tersebut mula cemas dan mengatakan dia hanya seorang kerani sahaja dan ditugaskan untuk mendapatkan nombor akaun dan kad pengenalan pemenang untuk direkodkan.

“Curiga dengan cara lelaki tersebut, saya kemudiannya terus meletakkan telefon dan mula sedar lelaki itu hanya mahu menipu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, mujur dia cepat sedar dengan tindakannya itu, jika tidak pasti sesuatu yang buruk akan berlaku.

Sementara itu, juru cakap syarikat Power Root (M) Sdn Bhd ketika dihubungi menafikan kiriman SMS yang menawarkan hadiah wang tunai menggunakan nama Power Root.

Katanya, peraduan Power Root berakhir pada Disember 2014 lalu, dan tiada sebarang peraduan baru dikeluarkan pada tahun ini.

“SMS tersebar adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran diberi.

“Jika terdapat sebarang kemusykilan, orang ramai boleh layari laman web rasmi Power Root atau hubungi ibu pejabat syarikat kami di talian 07 - 386 6868.

“Kami tidak pernah menggunakan SMS untuk memaklumkan kepada pemenang. Oleh itu, sekali lagi ditegaskan SMS yang dikirim itu adalah palsu,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hudud; hukuman untuk penjenayah orang Islam sahaja

Setelah melalui polemik politik berpanjangan, Kerajaan Kelantan akhirnya membentangkan pindaan enakmen Kanun Syariah II di Dun hari ini.

Ia dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kira- kira jam 11 pagi dan mengambil masa 40 minit.

Antara intipati yang utama dalam pindaan ini adalah pemakaian kanun ini hanya kepada orang Islam yang melakukan kesalahan di negeri Kelantan.

Pindaan ini telah dibuat daripada peruntukkan asal yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih undang-undang itu  ke atas mereka.

Adun Kerajaan dan Pembangkang ketika ini diberi peluang untuk berbahas dan dijangka diluluskan sama ada petang ini atau esok.

Selepas ia diluluskan, rang undang-undang ini akan digelar Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015.

Turut hadir menyaksikan pembentangan dibuat adalah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Senarai 40 orang terkaya di Malaysia tahun 2015

Tiga muka baharu merupakan antara individu terkaya di Malaysia yang memasuki senarai 40 orang terkaya Malaysian Business bagi 2015.

Mereka ialah Ong Beng Seng usahawan kelahiran Sabah yang melompat ke tangga ketujuh daripada tangga ke-12, pemegang saham Rimbunan Hijau Group Tan Sri Tiong Hiew King (naik ke tangga kesembilan daripada tangga ke-11) dan pemegang saham Hap Seng Consolidated Bhd, Tan Sri Lau Cho Kun (tangga ke-10 daripada ke-14).

Beng Seng, pengasas Hotel Properties Ltd di Singapura bernilai RM6.63 bilion tahun ini, meningkat RM3.53 bilion.

Kekayaan Hiew King dan Cho Kun dihitung masing-masing sebanyak RM5.10 bilion dan RM4.90 bilion, kata Malaysian Business dalam satu kenyataan hari ini.

Jutawan Robert Kuok Hock Nien yang berpangkalan di Hong Kong, menerusi kumpulan Kerry Group dan Kuok Group, masih merupakan taikun paling kaya tahun ini dan mengekalkan kedudukannya di tempat pertama sejak hampir 14 tahun lepas apabila senarai tersebut dimulakan.

Malaysian Business berkata bagaimanapun, kekayaan Kuok jatuh agak ketara kepada RM41.35 bilion tahun ini daripada RM54.48 bilion pada 2013.

Raja telekomunikasi, T. Ananda Krishnan, mengekalkan tempat keduanya sejak 2004, dengan aset beliau dipegang menerusi Usaha Tegas Sdn Bhd yang bernilai RM35.50 bilion.

Di tempat ketiga ialah pengerusi dan ketua Eksekutif Genting Malaysia Bhd Tan Sri Lim Kok Thay yang melonjak daripada kedudukan ketujuh tahun lepas. Kekayaannya bernilai RM25.35 bilion.

Pengerusi Hong Leong Group Tan Sri Quek Leng Chan kekal di tempat keempat dengan aset bernilai RM20.42 bilion, manakala pengasas dan pengerusi Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow turun dua tangga ke tempat kelima.

Kekayaan Hong Piow, bagaimanapun meningkat sedikit daripada RM18.06 bilion tahun lepas kepada RM18.17 bilion tahun ini.

Pengerusi eksekutif kumplan IOI Tan Sri Lee Shin Cheng menduduki senarai keenam dengan kekayaan bernilai RM13.45 bilion.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary masih mengekalkan kedudukannya sebagai Bumiputera terkaya dalam senarai itu meskipun kekayaannya merosot daripada RM11.07 bilion kepada RM5.23 bilion.

"Penurunan itu adalah disebabkan hakikat bahawa beliau telah menjadikan lima daripada syarikatnya sebagai syarikat sendirian berhad sejak 12 bulan lalu," kata Malaysian Business.

Gabungan kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia itu ditunjukkan menerusi nilai aset tersenarai mereka sehingga 16 Jan, 2015, meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM236.56 bilion daripada RM217.82 bilion tahun sebelumnya. 

Bernama

Baca lagi >>

Kantoi pencuri tertinggal handphone

Seorang remaja yang sedang tidur berdepan detik cemas apabila biliknya dimasuki pencuri dalam satu kejadian di rumahnya di Karangan, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek yang dikenali mangsa berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM300, namun tercicir telefon bimbitnya ketika melarikan diri melalui tingkap.


Mangsa, Nursyafiqah Hashim, 14, berkata, kejadian itu disedarinya kira-kira jam 2 pagi apabila suspek cuba mendekatinya ketika sedang tidur.

"Saya terkejut dan cuba membuka lampu namun suspek menarik saya sehingga terduduk.


"Saya nak jerit tapi mulut ditekup dan leher dicekik sehinggalah saya gigit tangan suspek. Dia pun lepaskan tangan saya," katanya kepada Sinar Harian.

Nursyafiqah berkata, selepas menjerit, suspek itu terus melarikan diri melalui tingkap.

"Saya terus buka lampu dan waktu itu juga saya tak sedar rupanya tangan saya sudah cedera berdarah ditikam pencuri," katanya.

Bapa mangsa, Hashim Osman, 50, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta dua lagi anaknya tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan.

"Tapi seorang lagi anak perempuan saya yang berada di bilik berlainan terdengar bunyi bising di tingkap namun tak mengendahkannya.

"Sebelum ini ada juga kejadian kecurian berlaku dan kehilangan wang, namun mereka tak masuk ke dalam rumah. Hanya guna kayu dengan mengait seluar yang digantung bagi mendapatkan wang yang ditinggalkan dalam kocek," katanya.

Berikutan kejadian itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes akan disiasat.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Israel tidak akan iktiraf Palestin sebagai sebuah negara

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau tidak akan mengiktiraf pembentukan negara Palestin jika memenangi pilihan raya negara tersebut.

Tindakan beliau dilihat cuba memancing undi bagi mengetepikan parti berhaluan kiri, Kesatuan Zionis beberapa jam sebelum hari pengundian, semalam.

Netanyahu berkata, tindakan menyerahkan tanah kepada orang Palestin akan membahayakan Israel kerana memudahkan negara itu diserang oleh puak ekstremis Islam.

"Kita akan terus mengukuhkan Baitulmaqdis. Jadi, ia tidak akan diserahkan kepada Palestin," katanya.

Beliau turut berikrar untuk tidak membenarkan rakyat Palestin menubuhkan ibu negara di sektor timur selain berjanji membina beribu-ribu penempatan haram Yahudi.

Status Baitulmaqdis merupakan isu sensitif yang menghalang usaha damai Palestin-Israel sejak beberapa dekad lalu.

Palestin mahu menubuhkan negara Palestin di Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, manakala Israel mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya yang tidak boleh dibahagi.

Sepanjang kempen pilihan rayanya, Netanyahu berulang kali menuduh pemimpin Kesatuan Zionis, Isaac Herzog dan bekas ketua perunding damai, Tzipi Livni bersedia untuk menggugurkan tuntutan Israel ke atas Baitulmaqdis. - AFP

Sinar Harian

Baca lagi >>

Yasser Arafat meninggal bukan kerana diracun

Kematian bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat bukan kerana diracun, menurut analisis forensik terbaharu pakar di Perancis.

Agensi berita AFP melaporkan, penemuan itu sekali gus menyangkal dakwaan berterusan berhubung racun polonium.

"Analisis sampel serat yang diambil dari kubur Arafat menunjukkan bahawa polonium-210 adalah bersifat semula jadi," menurut Catherine Denis pendakwa bandar Nanterre, yang dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, sekumpulan pakar Switzerland menemui tahap bahan polonium-210 berunsur radioaktif yang tinggi pada beberapa barangan peribadi milik Arafat yang diberikan kepada isterinya, Suha Arafat.

Keputusan terbaharu itu turut mengesahkan penemuan pasukan Perancis pada 2004 dan analisis Rusia dua tahun lalu.

Polonium-210 pernah digunakan dalam pembunuhan Alexander Litvinenko, seorang bekas pegawai perisikan Rusia dan lawan politik Presiden Rusia Vladimir Putin pada 2006 di London.

Sinar Harian

Baca lagi >>