Tuesday, 17 March 2015

Cara nak kenal milo asli dan tiruan

Milo Malaysia memberitahu cara mudah untuk membezakan bungkusan Milo asli dengan bungkusan Milo palsu, semalam.

Pendedahan melalui laman Facebook 'Milo Malaysia' berkenaan memberitahu bahawa bungkusan plastik Milo asli dilakukan oleh mesin dan bahagian atas bungkusan tersebut tidak sempurna.

Pendedahan berkenaan juga menunjukkan bungkusan plastik Milo tiruan akan mempunyai bahagian atas mempunyai kesan gerigi yang sempurna.

Namun, pendedahan yang dibuat oleh Milo Malaysia menimbulkan persoalan selepas beberapa pelayar mempersoalkan kesempurnaan potongan yang dibuat oleh mesin pembungkusan produk Milo.


"Ini sangat mengelirukan. Maksud anda mesin (kepunyaan Milo) tidak memotong dengan sempurna? Jadi potongan tidak sempurna adalah (Milo) asli? Potongan sempurna pula adalah yang palsu? Anda pasti?" kata seorang pelayar, Iven Neoh.

"Sekarang saya tertanya jika Milo tin yang saya beli palsu (atau tidak). Saya tidak pernah beli Milo dalam beg (plastik). Ada sesiapa boleh beri saya maklumat?" kata Kimme Cheah.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan (KPDNKK) merampas produk minuman Milo tiruan dengan nilai rampasan RM250,000 dalam serbuan yang dilakukan di sebuah taman perumahan mewah di Mantin, Sabtu lepas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Punca kebanjiran pekerja asing ke negara ini

Kebolehtahanan pekerja tempatan dalam sektor pekerjaan tidak kekal merupakan antara faktor kebergantungan negara terhadap pekerja asing meningkat tinggi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, selain kekurangan minat pencari kerja tempatan untuk menceburi sektor pekerjaan yang tidak mempunyai nilai komersial, majikan negara ini yang lebih selesa kepada kos murah insentif berasaskan buruh juga merupakan punca statistik jumlah pekerja asing semakin meningkat.

"Sehingga 31 Disember 2014, berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, jumlah pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara aktif adalah sehingga 2.07 juta.

"Antara sebab lain yang meningkatkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing adalah disebabkan permintaan tinggi daripada majikan dalam sektor-sektor yang dikategorikan sebagai kritikal dalam keperluan tenaga kerja," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab soalan (Pas-Hulu Langat), Dr. Che Rosli Che Mat, Ismail berkata, dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, kerajaan kini memperketat dasar dan syarat-syarat permohonan dan penggajian pekerja asing terhadap syarikat-syarikat di negara ini.

"Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja di barisan hadapan atau frontliner dan kriteria penggajian pekerja asing perlu diselia oleh agensi kawal selia yang menentukan keperluan sebenar pekerja dalam sesebuah sub sektor yang berkaitan.

"Kekosongan sektor-sektor berkenaan perlulah ditawarkan kepada pekerja tempatan terlebih dahulu melalui portal JobsMalaysia sebelum permohonan pekerja asing dibenarkan," ujarnya.

Mengulas jawapan kepada soalan Che Rosli, jelas Ismail lagi, hanya majikan yang mematuhi ketetapan perburuhan seperti pematuhan gaji minimum, menyediakan kemudahan kediaman, asas dan tiada rekod pelanggaran kes buruhbsahaja dipertimbang memohon pekerja asing.

Che Rosli pada sesi perbahasan Dewan Rakyat menuntut Ismail menyatakan jumlah sebenar pekerja asiing yang terdapat di negara ini dan usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing secara berperingkat.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lima'15 di Langkawi bermula dengan rasminya

Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15) bermula hari ini dengan persembahan udara yang dramatik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara kira-kira 10,000 pengunjung yang berpusu-pusu ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) untuk menyaksikan persembahan dimulai dengan pengenalan dua jet pejuang F/A-18 Hornets sebelum disusuli penerbangan lintas oleh lima jet pejuang Sukhoi 30-MKM.

Enam jet pejuang Hawk 108/208 dan tiga helikopter EC725 turut menyertai pertunjukan bagi menghiburkan orang ramai dengan formasi yang menakjubkan.

Penerbangan lintas pesawat pengangkut tentera Airbus A400M, aset terbaharu TUDM yang diiringi beberapa jet pejuang mengakhiri upacara perasmian LIMA edisi
ke-13 ini.

Selain MIEC, venue utama penganjuran segmen pameran aeroangkasa Lima'15, pameran maritim akan juga diadakan di Awana Porto Malai.

LIMA'15 akan berlangsung sehingga Sabtu ini. 

Sinar Harian



PM merasmikan LIMA' 15

A400M Airbus Royal Malaysia Airforce









Representing UAE: Al- Fursan (The Knights) aerobatic team

Representing UAE: Al- Fursan (The Knights) aerobatic team

Representing UAE: Al- Fursan (The Knights) aerobatic team

Representing UAE: Al- Fursan (The Knights) aerobatic team

Representing UAE: Al- Fursan (The Knights) aerobatic team

Representing UAE: Al- Fursan (The Knights) aerobatic team
Foto: LIMA' 15

Baca lagi >>

Isu jet peribadi: KJ minta kerajaan tidak duduk diam

Khabar angin mengenai tindakan kerajaan membeli sebuah jet peribadi baharu perlu dihentikan jika tidak mahu perkara itu dianggap benar, tegas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Namun katanya, jika ia berlaku, maka penjelasan mengenainya perlu dilakukan segera.

Menulis di laman mikro Twitternya, Khairy berkata, "If new government jet claim untrue, dispel quickly before fiction passes itself as fact. If true, explanation needed ASAP" (Jika khabar angin tersebut tidak benar, hentikan (sebaran) tersebut sebelum ia menjadi fakta. Jika ianya benar, penjelasan diperlukan segera)."

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini mendedahkan satu surat perjanjian mengesahkan pembelian jet baharu ini yang bertarikh 1 Disember 2014.

Rafizi turut mendesak Perdana Menteri membatalkan pembelian jet tersebut dan memohon maaf kepada rakyat.

"Ini bukti bahawa pentadbiran beliau (Najib) terus-menerus bergelumang dengan pemborosan dan pembaziran.

"Tindakannya jelas membuktikan dia membelakangkan kepentingan rakyat. Oleh itu Najib harus memohon maaf," tegasnya lagi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kerajaan Kelantan sedia tanah bagi mangsa banjir yang tidak memiliki tanah

Kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir yang tidak memiliki tanah, persidangan Dun Kelantan diberitahu hari ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata sebelum kejadian banjir luar biasa pada Disember tahun lepas, mangsa terbabit mendiami rumah yang dibina di atas tanah rizab sungai dan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Beliau berkata penempatan baharu secara berkelompok atas tanah yang disediakan kerajaan negeri akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan prasarana dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.

"Kerajaan negeri telah mengenal pasti tanah seluas 24 hektar di Enggong (Kuala  Krai) dan 8.4 hektar di Telekong (Kuala Krai) untuk pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang tidak mempunyai tanah sendiri," katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Mengikut rekod Jawatankuasa Bersama Banjir Negeri Kelantan, terdapat sebanyak 1,827 buah rumah musnah sepenuhnya akibat bencana banjir di negeri ini, dan daripada jumlah itu, kira-kira 1,200 mangsa tidak memiliki tapak rumah.     

Menjawab soalan asal daripada Azami Mohd Nor (Pas-Kadok), Ahmad berkata bagi mangsa yang mempunyai tanah sendiri, kerajaan sedang membina rumah kekal untuk mereka antaranya di jajahan Machang, Kuala Krai dan Gua Musang iaitu sekurang-kurangnya 10 buah bagi setiap kawasan Dun yang terlibat.

Ketika menjawab soalan Mohd Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran), Ahmad berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membina empangan di Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir di Gua Musang sebagai langkah jangka panjang mengatasi kejadian banjir.

Beliau berkata aliran air yang luar biasa dari kedua-dua sungai tersebut telah menyebabkan berlakunya banjir besar terutama di jajahan Kuala Krai iaitu lokasi kedua-dua sungai itu bertemu menjadi Sungai Kelantan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memperkemaskan jentera bantuan ketika banjir dan pasca banjir bagi menghadapi bencana tersebut pada masa depan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Hubungan Kaum, Datuk Anuar Tan Abdullah berkata, sebanyak RM3.9 juta telah diperuntukan untuk membantu usahawan yang terjejas akibat banjir memulakan perniagaan.

Beliau berkata sebanyak 825 daripada 1,000 usahawan yang terjejas akibat banjir telah memulakan perniagaan melalui skim pembangunan usahawan.

Anuar berkata demikian semasa menjawab soalan Mohamad Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran).

Sinar Harian

Baca lagi >>

3 beranak meninggal dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur

Pasangan suami isteri, Tan Poh Chin atau Ahmad Yusri Syamil Tan Abdullah, 31 dan Noor Hasnira Embong, 30 yang maut di tempat kejadian apabila kereta mereka terbabas di Kilometer 210.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur dekat Gambang, petang kelmarin dalam perjalanan pulang setelah menghantar ibu Hasnira di Kampung Belukar Jambu pada hari yang sama.

Ibu mangsa, Hasmah Muda, 64, berkata, anak bersama menantu serta cucunya, Noor Syamimi Tan, sebulan, yang turut maut lebih kurang sembilan jam selepas kejadian, bergegas pulang semula ke Kuantan selepas menghantarnya di Kampung Belukar Jambu, di sini.

“Pada malam sebelum kejadian, Ira (Hasnira) nak hantar makcik balik sebab Yusri (menantu) tidak sempat hantar makcik minggu depan seperti yang dirancang, sebab itu dia mahu hantar juga malam itu (malam kelmarin) dan kami bertolak dari Kuantan jam 1 pagi.

“Sampai sahaja di rumah (Kampung Belukar Jambu) kira-kira 6 pagi, makcik ajak mereka singgah dahulu tetapi katanya hendak balik cepat.

"Sepanjang perjalanan pulang itupun Ira tidak banyak cakap, sedangkan dia seorang yang ceria, tetapi makcik tidak fikir apa-apa sebab mungkin dia penat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, pagi semalam.

Hasmah yang masih lagi terkejut dengan kejadian yang menimpa anak, menantu serta cucunya itu agak terkilan kerana Ira dan Yusri tidak sempat melihat gambar perkahwinan mereka yang baharu dihantar Sabtu lalu.

“Mereka tak sempat tengok gambar perkahwinan yang baru dihantar Sabtu lalu, sebelum ini dia hendak ambil (album) tetapi selalu tidak ada masa, bila sudah pos ke sini, dia pula tidak sempat tengok.

“Hanya gambar inilah yang akan menjadi kenangan untuk kami, makcik reda dengan kehilangan mereka sekeluarga walaupun terasa sedih kerana masih belum puas bermain dengan cucu (Syamimi),” katanya.

Tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laut lebih kurang jam 9.30 pagi semalam.

Sebelum ini, akhbar sama melaporkan Ira dan Yusri maut di tempat kejadian manakala Syamimi yang dipercayai tercampak daripada pangkuan ibunya cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam hari sama.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Terkini! Nurul Izzah dibebaskan dengan jaminan polis

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dibebaskan dengan jaminan polis, tengah hari tadi.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, melalui akaun Twitternya, Alhamdulillah Nurul Izzah dibebaskan atas jaminan polis.

“Terima kasih kepada sokongan dan doa semua. Terus berjuang,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberitahu, polis memaklumkan peguam Nurul Izzah mengatakan mereka tidak akan menahan reman Nurul Izzah.

Semalam, Nurul Izzah ditahan bawah Akta Hasutan susulan laporan polis oleh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin 12 Mac lalu ekoran ucapannya yang mengecam hakim di Parlimen berhubung keputusan kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baca lagi >>