Monday, 16 March 2015

'Mereka kata saya wanita paling hodoh dalam dunia'

KETIKA Lizzie Velasquez ingin mencari muzik di atas talian, beliau terjumpa sebuah video bertajuk, 'Wanita paling hodoh dalam dunia.'.

Velasquez tidak sangka dirinya adalah wanita hodoh tersebut.

Menurut BBC, video tersebut yang sudah ditonton lebih 4 juta pelayar di laman Youtube, Velasquez yang ketika itu berusia 17 tahun berasa sangat sedih apabila membaca komen-komen video berkenaan.

"Kenapa ibu bapanya menyimpan dia?!", "Bunuh dia dengan api" antara komen yang membuat Velasquez menangis.

"Saya menangis banyak kali. Sebagai remaja (ketika itu) saya fikir hidup saya sudah berakhir," kata Velasquez.

"Saya dibuli semenjak tadika," tambah beliau.

Wanita malang berkenaan lahir dengan dua penyakit, Marfan dan Lipodystrophy.

Kini, Velasquez, 26 mempunyai berat hanya 26 kilogram dan buta sebelah mata. Beliau sudah menjalani pelbagai pembedahan namun doktor masih tidak tahu bagaimana untuk mengubatinya.

Ibu bapa Velasquez, Rita dan Lupe tidak pernah mempersoalkan keadaan anak mereka. Rita dan lupe cuma anaknya mahu menjadi sihat.

Velasquez kemudian membuat keputusan untuk merekod videonya sendiri, memberitahu dunia siapakah perempuan disebalik video 'Wanita paling hodoh dalam dunia' tersebut dan memberi nasihat kepada mangsa buli yang lain.

Usaha Velasquez membuahkan hasil apabila hampir 240,000 pelayar melanggan videonya dan beliau sering dijemput untuk memberi ceramah berkenaan kejadian buli.

Tina Meier, seorang ibu yang anak perempuannya membunuh diri kerana dibuli, bergabung tenaga dengan Velasquez dan memulakan kempen anti buli di Amerika Syarikat (AS).

Tahun ini, kisah Velasquez dan kempen anti bulinya akan menjadi fokus kepada sebuah dokumentari.

Sara Hirsch Bordo, pengarah dokumentari berkenaan berkata, dokumentari tersebut merangkumi hidup Velasquez dan mangsa buli di seluruh dunia.

"Pengalaman lampau dan perjuangan Velasquez dalam kempen anti buli adalah menakjubkan.

"Orang ramai mahukan cerita dan pengalaman dari mangsa sebenar (Velasquez) dan mereka tidak mahu menjadi mangsa (buli), mereka mahukan perubahan," kata Bordo, lagi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pembelian jet peribadi PM yang terbaru cetus kemarahan rakyat?

Tindakan kerajaan membeli sebuah lagi jet peribadi baharu didakwa akan  menimbulkan kemarahan rakyat di kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, rakyat terpaksa menanggung cukai baharu yang sebahagiannya akan digunakan pembelian sebuah lagi jet peribadi ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan sikap tidak peduli beliau terhadap kesempitan hidup rakyat.

"Saya sertakan bersama satu surat perjanjian yang mengesahkan pembelian jet baharu ini yang bertarikh 1 Disember 2014. Perolehan jet peribadi baharu untuk Najib dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319.

"Penggunaan jet peribadi ACJ319 sahaja sudah melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyelenggaraan. Tindakan membeli jet peribadi baharu ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST," dakwanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Rafizi ketika membuat pendedahan itu di lobi Parlimen menambah, rakyat kini terpaksa menanggung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Beliau dalam pada itu turut mendedahkan salinan bukti pembelian jet peribadi tersebut.

Sehubungan itu, Rafizi mendesak Perdana Menteri membatalkan pembelian jet tersebut dan memohon maaf kepada rakyat.

"Ini bukti bahawa pentadbiran beliau (Najib) terus-menerus bergelumang dengan pemborosan dan pembaziran.

"Tindakannya jelas membuktikan dia membelakangkan kepentingan rakyat. Oleh itu Najib harus memohon maaf," tegasnya lagi.

Sianr Harian

Baca lagi >>

Perodua Myvi dan Alza selamat digunakan

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan domestik yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia menerusi kementerian dan pelbagai agensi berkaitan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat mengutamakan keselamatan.

Aminar berkata demikian sebagai menjawab dakwaan seorang blogger yang menggunakan nama Wolf Vaupel bahawa model Perodua Myvi dan Alza berisiko tinggi kepada pelanggan.

Vaupel dalam paparan bertarikh 10 Mac 2015 mendakwa kluster instrumen swanyala yang ada pada kedua-dua model tersebut adalah 'sangat berbahaya'.

Menurut blogger itu, panel instrumen swanyala tersebut boleh mengelirukan pemandu untuk beranggapan bahawa lampu besar kenderaannya dalam keadaan menyala.

"Kami ingin menjelaskan bahawa berdasarkan pertanyaan yang dibuat kepada pihak  berkuasa dan juga syarikat insurans, tiada kaitan antara kluster instrumen swanyala dengan kemalangan jalan raya pada waktu malam," kata Aminar.

Beliau juga berkata ciri kluster instrumen swanyala itu turut terdapat pada kenderaan jenama antarabangsa lain.

Aminar berkata syarikat juga hairan dengan 'serangan' Vaupel yang hanya ditujukan kepada Perodua.    

"Hakikatnya, generasi pertama Myvi iaitu bagi tempoh 2005-2011 mendapat pensijilan Euro 4 memandangkan Perodua dieksport ke UK sebelum ini. Sejak itu juga kami melakukan penambahbaikan terhadap ciri-ciri keselamatan untuk pelanggan kami," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Sultan Kelantan sokong hudud dilaksanakan

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V hari ini menyuarakan sokongan terhadap perlaksanaan hudud di Kelantan. Baginda menzahirkan hasrat tersebut  ketika bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan  ke 13 sebentar tadi.

"Beta difahamkan bahawa kerajaan negeri Kelantan berhasrat untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian  ahli Parlimen bagi meminda Akta 355 di bawah Peruntukan 76A1 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

"Semoga beroleh kejayaan dengan sokongan semua pihak. Insya-ALLAH," titah Baginda sebentar tadi.
Sultan Muhammad Ke-V berkenan memeriksa perbarisan kehormat sempena merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dun Kelantan Ke-13, 2015, hari ini. – Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
Selain menyentuh mengenai hudud Baginda juga mengharapkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan bagi membina rumah kekal untuk mangsa banjir perlu diteruskan dan dipertingkatkan.

"Beta harap rumah-rumah itu dapat disiapkan dalam kadar yang sesuai supaya kehidupan mereka kembali normal," titah Baginda lagi.

Sementara itu, ketika ditemui di luar dewan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Amar menganggap titah Sultan Kelantan sebagai pembakar semangat untuk merealisasikan hukum hudud di negeri ini.

Menurutnya, sebagaimana yang dijadualkan kerajaan negeri tetap akan membentangkan rang undang-undang bagi pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada persidangan Dun Kelantan 18 Mac ini.

"Dengan titah Tuanku tadi kita lagi bersemangat, harap mendapat sokongan 100 peratus daripada semua yang hadir nanti," katanya kepada media.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bas terjunam ke dalam gaung di Brazil, 30 maut

SAO PAULO - BRAZIL. Sekurang-kurangnya 30 penumpang maut manakala 11 lagi cedera apabila bas dinaiki terjunam dalam gaung sedalam kira-kira 400 meter.

Menurut jurucakap kerajaan tempatan, bas pelancong itu membawa lebih 50 penumpang ketika kemalangan berlaku berhampiran bandar Joinville di Santa Catarina, sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan), kelmarin.

"Masih ada lagi mangsa di atas bukit mahupun yang terperangkap di dalam serpihan bas. Tetapi peluang untuk mencari mangsa yang masih hidup adalah tipis," menurut Kolonel Nelson Coelho.

Polis Santa Carina menerusi kenyataan dalam media sosial mengesahkan 32 kematian dan 11 cedera, namun memberi amaran angka kematian mungkin meningkat kerana bas penuh ketika nahas

Siasatan awal mendapati kegagalan brek bas berfungsi menyebabkan pemandu bas hilang kawalan ketika di selekoh. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Punca kerajaan tidak mahu isytihar darurat banjir baru-baru ini

Kerajaan tidak mengisytiharkan darurat ketika banjir besar melibatkan beberapa negeri tahun lepas kerana tidak mahu dipertanggungjawab sepenuhnya terhadap implikasi bencana itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sesi perbahasan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini berkata, kerajaan Pusat dan negeri harus bertanggungjawab membaiki, membaik pulih serta meningkatkan lagi infrastruktur di negeri yang terlibat dengan banjir besar tersebut.

Tambahnya lagi, pengisytiharan darurat hanya akan memberi implikasi kepada syarikat tuntutan insurans.

"Kerajaan tidak mahu isytihar darurat baru-baru ini kerana kerajaan mahu ini (pasca banjir) sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

"Kerajaan tidak mahu diletakkan dalam situasi bahawa ini tanggungjawab penuh kerajaan Pusat semata-mata" katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Bercakap mengenai usaha kerajaan Pusat dalam pasca banjir, Najib berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 500 juta untuk membaik pulih negeri terlibat banjir dan menghadapi banjir pada masa akan datang.

"Ini termasuk caruman tambahan seperti baik pulih pusat pemindahan mangsa banjir. Jika pusat pemindahan tersebut sebuah sekolah, kita akan bina asrama dan bilik air tambahan untuk keselesaan mangsa banjir.

"Kita juga akan buat perancangan pemindahan pencawang elektrik ke kawasan yang lebih tinggi demi keselamatan dan kemudahan orang ramai, serta tempat pendaratan helikopter," katanya lagi.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bapa trauma lihat pesawat terhempas atas rumah anaknya

Seorang warga emas dikatakan secara tiba-tiba meracau atau bercakap tidak karuan akibat trauma apabila melihat sebuah pesawat Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ke atas rumah anaknya di Kampung Gelam, Mukim Kedawang, di sini.
    
Kejadian dikatakan berlaku hanya 10 meter di depannya. Akibat itu Abu Mutalib Said, 70, terpaksa dimasukkan ke Hospital Langkawi kerana mengalami trauma psikologi.
    
"Mangsa melihat sebahagian pesawat jatuh ke atas rumah dua anaknya dan meletup sebelum terbakar di depan matanya, mengakibatkannya mengalami trauma yang serius," kata Pakar Perunding dan Penasihat Perubatan Kecemasan Lima'15, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah.
    
Keadaan sebuah rumah yang musnah akibat terkena pesawat KT-1B Jupiter Aerobatik Team Indonesia yang terhempas di Kampung Gelam Mukim Kedawang, ketika latihan sempena Pameran Antarabangsa Aero Angkasa dan Maritim Langkawi (LIMA) 2015, hari ini. - Foto Bernama
Beliau berkata susulan itu mangsa dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan 'critical insiden stress management' (CISM).

"Kami melakukan rawatan CISM termasuk terapi pernafasan bagi mengurangkan tekanan dan mangsa kini sedang tidur dengan tenang tanpa tiada kecederaan fizikal padanya," katanya.

Dua pesawat aerobatik pasukan Jupiter milik AU-TNI terhempas dalam kejadian kira-kira 2.04 petang selepas dipercayai bergesel di udara ketika melalukan latihan sebelum menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015 di sini.

Sebuah daripadanya dipercayai terhempas ke atas rumah anak mangsa.

Dr Abu Hassan berkata anggota keluarga mangsa yang lain turut ditenangkan serta diberi kaunseling.

"Kita akan tahan mangsa buat sementara di wad untuk mengadakan rawatan lanjut. Apa-apa pun kita bersyukur kerana tiada orang di dalam rumah-rumah tersebut ketika kejadian," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>