Sunday, 15 March 2015

Cara megesan kanser payudara

KANSER payudara adalah kanser pembunuh nombor satu wanita di Malaysia. Oleh itu wanita dinasihati agar melakukan pemeriksaan yang dikenali sebagai ujian mamogram bagi mengesan tanda awal kanser payudara.

Ia cara terbaik mengesan kanser payudara sebelum dikesan pemeriksaan klinikal atau sendiri.

Usah takut dan malu. Mamogram dapat mengesan tumbuhan kecil dalam payudara atau sel-sel yang mana jika dibiarkan akan menjadi barah selama enam bulan sehingga beberapa tahun akan datang.

Peringkat umur yang digalakkan pemeriksaan adalah mereka yang berusia 35 tahun dan ke atas. Bagi wanita yang Mempunyai sejarah keluarga mendapat kanser payudara pada usia kurang dari 40 tahun perlu lebih peka dalam menjalankan ujian ini.
Wanita tidak perlu takut menjalani pemeriksaan mamogram kerana ujian dan pengesanan adalah langkah bijak ke arah penyembuhan awal

Tidak sakit

Sesetengah wanita berasakan ujian mamogram menyakitkan. Tetapi ia sebenarnya lebih kepada perasaan kurang selesa terhadap ujian tersebut tetapi bukan menyakitkan.

Apa yang lebih penting adalah manfaat mamogram di mana proses x-ray dilakukan pada bahagian atas bawah dan sisi payudara untuk mengenalpasti perubahan tisu. Prosedur ini boleh mengesan kanser walaupun dalam saiz kecil yang tidak dapat dirasa oleh wanita dan doktor berpengalaman dalam kaedah pemeriksaan manual. Cadangan seterusnya akan disarankan oleh doktor sekiranya ujian didapati mencurigakan. Dengan ini wanita tidak terlambat untuk mengesan barah payudara yang mereka hidapi kerana tanda peringkat awal telah dikenal pasti.

Pelbagai kempen termasuklah pemberian subsidi untuk pemeriksaan mamogram oleh kerajaan bagi meningkatkan kesedaran wanita mengenai kesihatan payudara.

Begitu juga gerak langkah yang dilakukan badan pertubuhan bukan kerajaan. Bersama-sama dengan pemeriksaan fizikal mamogram terbukti sangat berkesan untuk menyelamatkan nyawa, terutama bagi wanita 50 tahun ke atas yang tidak menunjukkan sebarang tanda kanser.

Prosedur mudah

Berpeluang mengunjungi National Cancer Society Malaysia (NCSM) di Jalan Raja Muda Abdul Aziz baru-baru ini, WOW menemu bual Pegawai Perubatan Kanser dan Pemeriksaan Kesihatan, Dr Dalilah Kamaruddin bagi berkongsi secara terperinci mengenai mamogram.

Turut berkongsi mengenai program-program dijalankan pertubuhan ini adalah Pengurus Besar NCSM, Sudhaharan Nair.

Menurut Dr Dalilah, tugas-tugas mengendalikan proses mamogram dilakukan oleh juru x-ray wanita terlatih. Ujian diambil dari bahagian atas, bawah dan sisi payudara untuk menjalani imbasan. Bahagian payudara akan ditekan untuk memperoleh kemampatan bagi
memudahkan proses mengenalpasti sel-sel tidak normal dengan tahap radiasi rendah. Juru x-ray akan melakukan dengan cermat dan berhati-hati.

Mereka akan berusaha untuk memastikan anda tidak mengalami sakit dan menghindarkan rasa tidak selesa untuk ujian ini.

Siapa yang perlu menjalani prosedur ini? Wanita yang berumur antara 35 tahun dan ke atas. Bagi wanita yang berumur 50 hingga 74 tahun, anda dinasihati melakukannya sekali dalam dua tahun.

Begitu juga wanita yang berisiko tinggi seperti wanita yang pernah menghidapi kanser payudara atau yang memiliki rekod ahli keluarga penghidap barah payudara.

Butiran temubual bersama Dr Dalilah boleh diikuti di halaman berikutnya dalam ruangan Isu Minggu Ini.

Skim kesihatan wanita

Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Skim Kesihatan Wanita Selangor yang bertujuan memastikan kesihatan wanita terjaga di peringkat optimum. Skim ini menawarkan pemeriksaan mamogram percuma kepada semua wanita negeri Selangor yang berkelayakan.

Program Pemeriksaan Mamogram Percuma Selangor (MammoSel) telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor Rodziah Ismail, pada 6 November 2010, di Daerah Hulu Langat bersempena sambutan Hari Wanita Desa 2010 Peringkat Negeri.

Untuk mendaftar sila ke Pusat Khidmat Dun yang berhampiran.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Sertai kumpulan kongsi gelap untuk langsaikan hutang?

Terdapat individu yang terhimpit dengan masalah kewangan mengambil jalan mudah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah ekonomi dan kewangan yang melanda kini menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara bertentangan undang-undang.

“Menurut risikan pihak polis menyatakan ada sesetengah anggota kumpulan kongsi gelap bersedia menjadi pembunuh upahan semata-mata mahu melangsaikan hutang lapuk.

“Mereka berfikir dengan menganggotai kumpulan kongsi gelap, mereka boleh mengaut keuntungan daripada rangkaian pengedar dadah, judi, pelacuran dan perniagaan haram,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan Biro Profesional Muda Pemuda Umno, semalam.
Ahmad Zahid berucap ketika merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan: Merancang Kembali Kewangan Anda di Auditorium Sirim, semalam.

Menurutnya, selain terlibat kongsi gelap, golongan ini turut melibatkan diri dalam mesin perjudian haram dan perjudian di alam maya semata-mata berharap mendapat kekayaan selain terlibat meminjam dengan ah long.

Katanya, golongan berhutang juga turut berisiko terjebak jenayah kolar putih yang melibatkan penyelewengan, penipuan dan rasuah.

“Masyarakat makin hilang kekuatan kerana ketandusan nilai murni dan nilai moral. Fenomena yang berlaku ini mencerminkan masyarakat moden semakin jahil.

“Cuba bayangkan jika penguat kuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam terima rasuah kerana mencari pendapatan tambahan, akhirnya ia memberi kesan buruk kepada keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, skop tugasan  Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/ Kongsi Gelap (Stagg) akan diperluaskan.

Katanya, Stagg berperanan merempuh agensi ah long yang mempunyai hubungan dengan jenayah terancang kerana ancaman mereka terhadap masyarakat yang semakin melampau.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lelaki OKU maut diserang gajah di Kota Tinggi, Johor

Selepas lebih setengah abad berlalu, peristiwa sama berulang kembali apabila seorang lelaki OKU ditemui tidak bernyawa dipercayai diserang gajah liar di Kampung Teluk, Tanjung Sedili, dekat sini, dalam kejadian awal pagi semalam.

Mangsa, Roslan Kamar, 32, ditemui di kawasan kebun tepi jalan utama kampung itu dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang, kira - kira 1.6 kilometer dari rumahnya.

Turut kelihatan, beberapa kesan tapak kaki gajah berhampiran tempat mangsa dijumpai dengan tanaman kelapa sawit telah rosak dipercayai dimakan haiwan liar tersebut.

Difahamkan, kejadian sama yang menimpa mangsa adalah kali kedua berlaku di perkampungan tersebut selepas kejadian pertama pada tahun 40-an, di mana seorang mangsa maut akibat dipijak gajah.
Mayat mangsa dijumpai dalam parit sebuah kebun di Kampung Teluk, Tanjung Sedili, pagi semalam

Bapa mangsa, Kamar Mahasin, 54, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan penduduk kampung, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, dia tidak menyangka anak kedua daripada 13 beradik itu menjadi korban serangan haiwan liar tersebut.

“Selepas dimaklumkan kejadian tersebut oleh penduduk kampung, saya segera ke tempat kejadian dan melihat mayat anak berada dalam parit di kebun itu.

“Dua hari lepas memang ada kejadian gajah masuk kampung. Saya sendiri pernah terjumpa seekor gajah sedang makan tanaman penduduk,” katanya kepada Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), semalam.

Kamar berkata, masalah serangan gajah liar di kawasan itu telah berlarutan sejak sekian lama malah ia sudah sering diadukan kepada pihak berkenaan.

Tegasnya, apa yang diharapkan ada tindakan lebih drastik, bukan sekadar pemantauan daripada pihak berkenaan agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Mayat mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk untuk dikebumikan, petang semalam.

Ekoran kejadian itu, Kamar turut membuat laporan di Balai Polis Kuala Sedili.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, mengesahkan kejadian tersebut.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kutipan bayaran PTPTN RM5 juta sehari

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan jumlah kutipan harian bayaran pinjaman balik mengunjur daripada RM800,000 kepada RM5 juta sehari.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, peningkatan itu adalah susulan pengumuman berhubung penyenaraian peminjam yang gagal membuat bayaran balik pinjaman dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), mulai 1 Januari lalu.

Menurutnya, berdasarkan prestasi bayaran balik sekarang, berlaku peningkatan kutipan harian yang sebelum ini sekitar RM2.5 juta sehari, meningkat kepada RM3.5 juta dan terbaharu adalah RM5 juta.

“Kita harap trend kutipan seperti ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana reaksi positif ini membolehkan PTPTN melakukan beberapa penambahbaikan dari segi perkhidmatan dan produknya.

“Tindakan yang kita buat  nampaknya positif kerana kutipan diperoleh selepas itu meningkat dengan banyak, malah satu pengumuman tentang beberapa pendekatan baharu akan kita buat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyambut konvoi Jelajah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) Stadium Indera Mulia, di sini semalam.

Shamsul Anuar berkata, lebih 173, 956 peminjam yang langsung tidak pernah membayar pinjaman mula menjelaskan pinjaman, sama ada secara keseluruhan atau konsisten setiap bulan.

“Apa kita laksanakan sekarang menunjukkan langkah yang kita ambil tepat dan betul kerana angka tidak membayar langsung semakin berkurangan. Peminjam ini sebenarnya mampu, mungkin ada beberapa sebab menyebabkan mereka gagal berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin sekiranya pendekatan diambil jelas dan tepat, peminjam boleh membuat bayaran balik.

"Bagaimanapun kita masih berpegang kepada apa yang kita tetapkan kerana peluang sebelum ini kita sudah beri,” katanya.

Menurutnya, PTPTN memerlukan RM5.88 bilion dana pinjaman dalam masa setahun dan tindakan diambil bagi memastikan aliran kewangan dalam keadaan baik.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Faizah Elai pula tampil menutup aurat

BARU-baru ini, tiga selebriti cantik, Rozita Che Wan, Hanis Zalikha dan Elfira Loy, telah membuat keputusan untuk berhijrah ke arah yang lebih baik dari segi penampilan.

Penghujung minggu lalu, pelakon terkenal, Faezah Elai mencuri perhatian apabila media melaporkan bahawa aktres ini juga tampil bertudung.

Usai penyebaran berita itu, isteri kepada pengarah terkenal, Heykal Hanafiah, ini turut menulis sesuatu di laman sosial, Instagram miliknya seakan mengesahkan perkara itu.

"Saya terima banyak pesanan di WhatsApp dan pesanan ringkas hari ini (Jumaat). Saya mintak maaf banyak-banyak, bukan tidak mahu membalasnya tapi bimbang nanti tersalah bicara, riak bunyinya.
Faezah Elai
"Sudah tiga minggu saya hidup macam ini dan rasa tenang sangat. Alhamdulillah. Bagi saya sedikit masa, nanti saya balas bila masa sudah tiba sebab saya tak ada cerita menarik yang nak dikongsi.

"Terima kasih pada yang mendoakan dan saya maafkan pada yang menghina. Semoga Allah merahmati kita. Allahuakbar," katanya yang turut menggambarkan bahawa dia kini sedang berada di Pulau Pinang.

Sebelum ini, Faezah pernah membawakan watak wanita bertudung di dalam lakonannya termasuk Memberku Hawa, Asmara dan Cinta Sempurna.

Malah, ketika membawa watak berkenaan, pelakon ini memberitahu akan sentiasa menjaga batas dan pemakaian yang sopan untuk memastikan maruah wanita bertudung terjaga.

"Saya tiada masalah untuk membawa watak bertudung. Kebiasaannya apabila saya diarahkan untuk membawa watak wanita bertudung, saya akan pastikan pemakaian saya adalah pakaian sebenar wanita bertudung dan tidak mendedahkan mana-mana aurat.

“Malah, bukan sahaja dari segi pemakaian, malah saya sendiri menitik beratkan supaya watak wanita bertudung itu menjaga batas apabila bersama dengan lelaki supaya tidak bersentuhan,” katanya sebelum ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Dua pesawat Lima '15 dari Indonesia terhempas di Langkawi

LANGKAWI - Dua pesawat pasukan Jupiter dari Indonesia terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2015 (Lima'15) di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun nasib dua juruterbang masih belum diketahui.
Dua pesawat pasukan Jupiter dari Indonesia terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena Lima'15, sebentar tadi. - Foto ihsan Twitter oleh HaiqalHaiman


Lima'15 berlangsung di sini dari 17 hingga 21 Mac dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lima'15 akan menampilkan lima pasukan aerobatik masing-masing dari Emiriyah Arab Bersatu, Singapura, China, Indonesia dan Malaysia.

Pada pameran itu juga pengunjung berpeluang menyaksikan kehadiran pesawat pengebom (USAF) B52 Tentera Udara Amerika Syarikat yang berpangkalan di  Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

Sementara itu, menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat Langkawi berkata, nahas berlaku pukul 2.04 petang ketika sekumpulan enam pesawat jenis KT-1B itu sedang melintasi ruang udara MIEC, sebelum dua daripadanya berlanggar di udara dan terbabas.
   
Keadaan pesawat yang terhempas ketika melakukan latihan sempena Lima'15. -Foto oleh Pembaca Sinar Harian Muhammad Afiq Nasir
Kedua-dua pesawat kemudian dilihat terhempas di luar kawasan lapangan terbang, disusuli api dan kepulan asap.
   
Seorang saksi, Husin Ahmad, 25, berkata beliau ternampak juruterbang sempat menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

"Saya sedang makan, tiba-tiba ternampak kedua-dua pesawat itu berlanggar sesama sendiri di bahagian ekor menyebabkan ia berasap sebelum terhempas.

"Saya juga nampak seorang juruterbang sempat terjun menggunakan payung terjun," katanya dipetik Bernama.


Sinar Harian

Baca lagi >>

CGPA terbaru dikira merangkumi pencapaian akademik dan kokurikulum

Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tidak lagi dikira berdasarkan pencapaian akademik semata-mata di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Pendidikan Tinggi 2015-2025 (PPPM-PT).

Sebaliknya, kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA dalam PPPM-PT akan mengambil kira penglibatan pelajar dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, kemahiran dan kepimpinan.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA itu akan dilaksanakan di bawah lonjakan pertama PPPM-PT bagi melahirkan graduan keusahawanan, holistik dan seimbang.
Datuk Seri Idris Jusoh

"Sekarang pelajar cemerlang dalam akademik yang memperoleh semua A akan mendapat CPGA 4.0 tetapi melalui kaedah baharu ini, pelajar perlu cemerlang secara keseluruhan sebelum mendapat CGPA 4.0," katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat PPPM-PT bersama pengarang kanan media cetak dan elektronik, baru-baru ini.

Sesi taklimat tersebut pada Khamis lepas itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sesi itu diadakan menjelang pelancaran pelan tersebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 7 April ini.

Idris menjelaskan pelaksanaan kaedah pentaksiran berintegrasi CGPA itu mungkin mengambil masa yang lama kerana perbincangan mengenai perkara itu sedang dijalankan di peringkat universiti awam.

Di bawah PPPM-PT, Program Pendidikan, Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) akan diperkasakan dengan menjadikan bidang tersebut dipacu pihak industri serta menjadi pilihan 'premier' untuk pelajar.

Beliau berkata inisiatif Program TVET dapat memberikan kepelbagaian dalam akses pendidikan yang dilaksanakan melalui kolej vokasional, politeknik dan kolej komuniti serta empat universiti teknikal.

"Hasrat jadikan TVET sebagai pilihan telah bermula sejak pelancaran transformasi pendidikan vokasional pada 2012 dan akan terus diperkasakan apatah lagi bila masyarakat sudah mula menerima TVET.

"TVET dilihat dapat menghasilkan graduan baik dengan hanya kelulusan sijil dan diploma mereka boleh mendapat gaji yang tinggi," katanya.  

PPPM-PT merupakan kesinambungan daripada PPPM-Sektor Sekolah dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

Pelan baharu itu merangkumi 10 lonjakan iaitu graduan keusahawanan, holistik dan seimbang; kecemerlangan bakat pendidikan tinggi; masyarakat yang belajar sepanjang hayat; dan kualiti graduan TVET.

Enam lonjakan lain ialah kelestarian kewangan; pemerkasaan tadbir urus; pemerkasaan ekosistem inovasi; sistem tersohor peringkat global; pembelajaran dalam talian secara global; dan penyampaian pendidikan tinggi yang ditransformasikan.

PPPM-PT ini dibentuk untuk dijajarkan dengan Program Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, PPPM (Prasekolah hingga Pendidikan Lepas Menengah) 2013–2025 dan Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020).

PPPM-PT akan diterjemahkan dalam bentuk 100 inisiatif menerusi tiga gelombang iaitu gelombang pertama untuk tempoh 2013-2015, kedua 2016-2020 dan gelombang ketiga 2021-2025.

Sinar Harian

Baca lagi >>