Saturday, 14 March 2015

Jangan tinggalkan daku, sayangku...

Masyarakat digesa tidak melepaskan sepenuhnya tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka yang telah berusia kepada institusi kebajikan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.
    
Beliau berkata, sebaliknya anak-anak perlu bersama-sama memainkan peranan memberi sokongan secara berterusan bagi membantu golongan warga emas berkenaan meneruskan sisa kehidupan mereka dengan gembira dan bersemangat.
    
"Kita tidak menyalahkan anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan orang tua kerana kita faham ada segilintir mereka terpaksa manghadapi masalah kewangan atau kesusahan untuk mengurus warga emas.
Gambat hiasan

"Tetapi sekurang-kurangnya anak-anak harus melawat ibu atau bapa mereka agar tidak rasa dipinggirkan, sedih dan putus asa untuk meneruskan kehidupan," katanya kepada pemberita di sini.
    
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Rumah Seri Kenangan Cheng di sini yang turut dihadiri Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka Zulyadain Limat.

Rekod daripada Rumah Seri Kenangan Cheng menunjukan daripada 176 penghuni warga emas rumah berkenaan, sebanyak 103 orang tidak menerima kunjungan anak-anak atau anggota keluarga walaupun mereka masih mempunyai keluarga.
    
Mei Fun berkata, kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut perlu dipertingkat namun ia terletak pada sikap dan rasa tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa mereka.
    
Beliau berkata, ini kerana pihaknya bimbang sekiranya tiada rasa tanggungjawab terhadap ibu bapa, ia akan menjadi trend atau penyakit dalam jiwa anak-anak sekali gus mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka.
    
Menurutnya menjadi keutamaan kerajaan memastikan warga emas yang tidak mempunyai anggota keluarga dijaga dengan baik di pusat penjagaan orang tua di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
    
Justeru, katanya ibu bapa tua yang tidak mampu dijaga dan diurus dengan baik oleh anak-anak mereka akan diterima masuk ke pusat berkenaan, namun siasatan akan dilakukan agar tidak berlakunya penderaan atau pengabaian. - Bernama

Baca lagi >>

"Sudah puas saya naik turun ke KWSP, tapi hak saya masih belum dapat"

"Sudah puas saya naik turun ke KWSP, tapi hak saya masih belum dapat."  Luah seorang bekas pengawal keselamatan, yang mahu menuntut wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bernilai lebih RM48,000 yang didakwa hilang dalam akaun pada tahun 2007.

Ruslan Ahmad, 52, berkata, masalah itu dirujuk ke KWSP namun dimaklumkan wangnya diambilalih Amanah Raya Berhad setelah dia dilaporkan telah meninggal dunia.

Sejak itu, selama lima tahun dia berurusan dengan Amanah Raya bagi membuktikan dirinya masih hidup termasuk mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Lima tahun saya pertahankan hak saya akhirnya Amanah Raya sahkan dan akan masukkan semula wang dalam akaun KWSP. Tapi masih tiada wang dalam akaun.

“Saya ke KWSP, naik turun berpuluh-puluh kali untuk dapatkan hak. Tapi akhirnya KWSP sahkan akaun saya bercampur dan wang saya hanya ada RM4,000 ,” katanya kepada Sinar Harian.
Ruslan menunjukkan laporan Amanah Raya Berhad berhubung baki wang KWSP
Ruslan akui ada dokumen buktikan wang KWSPnya melebihi RM45,000 pada 2006,  tetapi lesap pada 2007.

"Saya pula dilaporkan mati sedangkan saya masih hidup. Mengapa tak disiasat. Akaun bercampur dikatakan terjadi bila ada yang guna pengenalan diri saya. Jadi bila jumlah wang KWSP saya hanya RM4,000 seolah-olah saya yang guna identiti palsu sedang pengenalan diri saya disahkan. Saya bekerja berpuluh-puluh tahun di lebih 20 tempat kerja pengawal keselamatan,” katanya.

Ruslan turut kecewa dengan laporan dikeluarkan sebuah akhbar pada 21 Februari lalu dan mendakwa ia tidak sama seperti yang dinyatakan.

“Apa yang dilaporkan tidak benar, mungkin ada berlaku pecah amanah,” katanya.

Menurut Ruslan, dia akan terus memperjuangkan haknya dan mahu wang carumannya dikembalikan walaupun terpaksa mengambil tindakan undang-undang.

Tiada unsur pecah amanah: KWSP

KWSP bersedia melakukan siasatan semula berhubung akaun caruman bercampur melibatkan individu bernama Ruslan Ahmad sekiranya pengadu dapat mengemukakan bukti menyokong tuntutannya.

Pengurus Besar Jabatan Pengeluaran, Zalikar Yusoff berkata, perkara itu telah diambil perhatian sejak aduan diterima pada 2007 dan hasil siasatan jabatan audit dalaman mengesahkan terdapat dua pencarum dalam satu akaun yang sama dan masing-masing telah mendapat hak mereka.

Menurutnya, pengasingan caruman telah dibuat berdasarkan rekod majikan kedua-dua individu dan telah disahkan menerusi soal siasat secara menyeluruh termasuk majikan, dan Ruslan sendiri.

“Perkara ini telah dijelaskan ketika pertemuan, Ruslan tidak dapat menerima kenyataan majoriti jumlah wang caruman bukan miliknya.

“Individu berkenaan telah dilaporkan meninggal dunia pada 2005, waris telah menuntut caruman dan semasa proses penyerahan, pengesahan kematian telah dibuat melalui JPN dan polis, berdasarkan cap jari," katanya.

Jelas Zalikar, ketika proses siasatan, pengasingan jumlah caruman KWSP milik Ruslan telah diasingkan mengambil kira rekod majikan dan hanya ada kira-kira RM1,939 sebelum ditambah nilai dividen.

Sektor pekerjaan kedua-dua individu juga berbeza dan Ruslan mengakui tidak pernah bekerja dalam bidang lain selain pengawal keselamatan, sedangkan rekod pencarum ‘si mati’ bekerja di sektor lain.

Katanya, jika dilihat berdasarkan rekod jumlah caruman Ruslan yang tidak konsisten, mustahil wang KWSP miliknya mencecah RM40,000.

“Berdasarkan rekod, paling tinggi caruman pada tahun 1997 iaitu sebanyak RM498.56 dan paling sedikit pada 1998 iaitu pada Jun berjumlah RM10 saja," katanya.

Menurutnya, kes seumpama itu bukan pertama kali berlaku melibatkan akaun bercampur namun sejak perlaksanaan sistem baru bermula 2007, tiada kes direkodkan.

KWSP tidak menolak kemungkinan ia terjadi apabila terdapat individu yang menggunakan identiti individu lain, namun ia diluar bidang kuasa KWSP yang hanya menguruskan hal berkaitan caruman.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tong sampah anti monyet

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memperkenalkan tong sampah anti monyet bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan di Taman Rimba Templer sejak tahun lalu.

Arkitek landskap, Syamsul Arif Mahmud berkata, sejak meletakkan 10 tong sampah di taman riadah itu, sebanyak 80 peratus masalah pembersihan berjaya diselesaikan di kawasan itu.

"Tong sampah anti monyet adalah tong bertutup yang menyukarkan monyet untuk menyelongkar sampah.

“Tong yang bersifat statik kerana diperbuat menggunakan konkrit itu merupakan projek perintis dan masih dalam tempoh percubaan lagi. Jika hasilnya memuaskan kita akan mengembangkannya untuk kawasan lain juga,” katanya.
Syamsul (kiri) menunjukkan tong sampah anti monyet bagi mengelakkan haiwan itu menyelongkar sampah.
Dalam pada itu menurutnya, pihaknya juga dalam usaha menyelesaikan masalah vandalisme yang semakin membimbangkan bagi mengurangkan kos penyelenggaraan.

“Sebanyak RM10,000 diperuntuk secara bulanan untuk penyelenggaraan kawasan ini termasuk upah enam kontraktor pembersihan.

“Kita minta bantuan polis untuk buat rondaan bagi atasi masalah vandalisme dan keselamatan selain pemantauan berkala dari penguat kuasa MPS,” katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan kawasan sentiasa berada dalam keadaan terbaik, pihak MPS menjalinkan kerjasama dengan pihak luar terdiri pertubuhan bukan kerajaan, kolej dan syarikat untuk kempen kesedaran.

“Tiga program akan dijalankan tahun ini melibatkan kerja pembersihan dan tanam pokok yang dalam masa sama boleh menarik pelancong ke kawasan riadah ini.

”MPS juga dalam cadangan baik pulih dasar kolam mandian untuk keselamatan pengunjung. Sebelum ini juga projek  memperindah landskap melalui penambahan wakaf, kerusi konkrit, surau dan tapak perkelahan telah dibuat," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Brek bas tidak berfungsi punca kemalangan rombongan USM di Acheh


Kemalangan berlaku apabila pemandu bas yang dinaiki rombongan warga Universiti Sains Malaysia (USM) cuba mengelak merempuh kereta yang berhenti mengejut.

Menceritakan semula detik kejadian, Shaik Abdul Rahman Shaik Abdul Wahab, 23, berkata ketika itu dia berdiri bersebelahan Muhamad Izzamir Nabihan yang kelihatan letih selepas menyertai pelbagai aktiviti sepanjang hari.

"Tiba-tiba sebuah kereta di depan bas kami berhenti mengejut dan pemandu cuba membrek tetapi kenderaan itu terus bergerak sehingga terbabas dan terjunam ke tebing jalan.
Rakan-rakan dan saudara-mara mengiringi jenazah Muhamad Izzamir Nabihan dari LTABL ke rumah bapa saudaranya di Taman Abdullah Fahim.

Suasana jadi kecoh bila bas terbalik," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, semalam.

Terdahulu, Shaik Abdul Rahman bersama 22 pelajar lain dan pensyarah USM tiba di LTABL dari Indonesia kira-kira jam 4.10 petang semalam.

Mereka kemudiannya menjalani ujian saringan kesihatan sebelum diberikan khidmat kaunseling daripada pasukan khas USM.

Sementara itu, Pensyarah Dr Mohd Azizan Mohd Hashim, 36, pula berkata, dia mendengar pemandu menjerit ‘ceper’ sebelum bas dinaiki mereka terbalik.

Menurutnya, ketika itu dia berada di kerusi hadapan berhampiran pemandu dan sedang berehat selepas selesai membuat lawatan di lombong arang batu.

“Keadaan ketika itu agak gelap dan bas terbabit melalui kawasan selekoh dan curam sebelum saya terdengar pemandu menjerit ceper yang bermaksud brek tidak berfungsi.

“Semua penumpang menjerit ketakutan dan saya turut tercampak keluar melalui cermin bas yang pecah dengan pemandu bas menindih badan saya,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Selamat pengantin baru Hanez Suraya & Romie

SETELAH dilanda pelbagai kontroversi dalam kisah cintanya, tepat jam 11.24 pagi tadi, dengan hanya sekali lafaz, Hanez Suraya sah bergelar isteri kepada Romie Razin Adilha.

Upacara pernikahan yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya itu dihadiri sanak-saudara, kenalan dan rakan media.

Hanez yang kelihatan sebak selepas sah bergelar isteri kepada Romie menerima mas kahwin sebanyak RM20,000.

Mengenakan persalinan nikah serba krim, pasangan mempelai kelihatan sama cantik sama padan di hari pernikahan mereka.

Majlis persandingan dan majlis berinai besar akan diadakan malam ini di kediaman keluarga Hanez di Seremban, Negeri Sembilan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Alor Setar bandar sakura

Bandaraya Alor Setar bakal muncul sebagai bandar dalam taman ataupun bandaraya bunga dalam tempoh terdekat antara lima sehingga 10 tahun nanti.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, kewujudan bunga tekoma atau dikenali sebagai sakura Kedah mendapat sambutan ramai.

“Rata-rata penduduk menyambut baik keindahan panorama bandaraya Alor Setar umpama musim bunga setahun sekali berlaku antara Mac hingga April ini.

“Oleh demikian, pelbagai perancangan dilaksanakan bagi mengindahkan landskap bandar raya ini berdasarkan sambutan berkenaan,” katanya.

Antaranya katanya, kerja-kerja pengubahsuaian landskap dilakukan bagi mewujudkan lokasi khas bunga tekoma dikenali sebagai Taman Sakura Malaysia di bandar raya ini.

Menurutnya, dua kawasan berpotensi dikenal pasti sebagai Taman Sakura Malaysia iaitu Taman Awam Peremba dan Taman Jubli Emas, di sini.

"Kira-kira 60 pokok tekoma sudah pun ditanam di Taman Jubli Emas, manakala kerja-kerja menanam 200 pohon sama sedang dalam pembinaan kini.

"Idea mewujudkan lokasi khas berpotensi sebagai kawasan rekreasi dan riadah sekeluarga dipenuhi bunga sakura Kedah diperoleh melalui respons positif penduduk," katanya.

Malah katanya, mana-mana pihak pemaju dikenakan syarat menanam bunga sakura Kedah mulai tahun ini bagi merealisasikan bandar dalam taman di Kedah.

"Kira-kira 400 pokok tekoma berwarna putih, merah jambu dan kuning sedang berkembang mekar sekitar Alor Setar sejak minggu lepas.

"Untuk, itu, kira-kira 500 pokok tekoma lagi akan ditanam dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menghiasi dan mencantikkan landskap bandaraya Alor Setar," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wanita jelita pilot jet pejuang!

EMPAT Juruterbang pesawat tempur wanita China menarik perhatian ramai di laman sosial baru-baru ini kerana gaya persis model. 

Lebih mengujakan, empat wanita jelita ini akan mengadakan persembahan udara pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi ke 13 (Lima) yang akan berlangsung di Langkawi dari 17 hingga 21 Mac ini.

Menurut Jurucakap Tentera Udara China, Shen Jinke, keempat-empat juruterbang tersebut akan mengendalikan pesawat tempur J-10 pada persembahan di Malaysia.

Yu Xu, Tao Jiali, Sheng Yifei dan He Xioli adalah wanita China pertama yang akan beraksi dalam persembahan udara antarabangsa. 

Memetik laporan CCTV.com, mereka mempunyai purata lebih 800 jam penerbangan dan pernah penyertai perarakan ketenteraan berprofil tinggi sempenan Ulang tahun  China yang ke 60 pada tahun 2009.

Malah mereka juga pernah menyertai pertunjukan pada Pameran Antarabangsa Penerbangan Udara di Guangdong Province, China November lalu.

"Penyertaan Tentera Udara pasukan akrobatik dalam pertunjukan udara LIMA akan membantu mengukuhkan hubungan dengan Malaysia, meningkatkan kerjasama politik, membina imej tentera China dan mempamerkan peralatan aeronautik milik China," kata Shen.

Sinar Harian

Baca lagi >>