Friday, 13 March 2015

Obama tidak dibenarkan berSMS dan berTWITTER

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengaku tidak menghantar pesanan teks, jarang menulis sendiri di twitter, dan tidak dibenarkan mempunyai telefon pintar yang mengandungi peranti rakaman.

Perkara itu didedahkan dalam satu temuramah program "Jimmy Kimmel Live" di saluran ABC.

Bagaimanapun Obama berkata, sehingga kini beliau masih menggunakan telefon pintar Blackberry.

Temubual itu juga mendedahkan, Obama hanya menggunakan peranti teknologi terbaharu atas sebab keselamatan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Buaya di padang golf

Seekor buaya yang sedang berlegar-legar di sebuah padang golf di Florida, Amerika Syarikat menjadi viral di laman sosial Facebook selepas ia dimuatnaik Selasa lalu.

Buaya tersebut dianggarkan 12 hingga ke 13 kaki (3.64 meter) panjang.

Menurut Pengurus Kelab Golf Myakka Pines, Mickie Zada,  sejak gambar itu dimuatnaik, dia menerima banyak panggilan dari wartawan yang bertanyakan mengenai kesahihan gambar tersebut kerana buaya tersebut kelihatan agak besar.
Gambar buaya yang menjadi viral di laman sosial Facebook selepas ia dimuatnaik Selasa lalu.
"Lelaki yang mengambil gambar ini berusia 80 tahun. Dia tidak tahu menggunakan aplikasi Photoshop," katanya dipetik Reuters.

Gambar buaya tersebut kini telah dilihat oleh hampir 200,000 pelayar.

Zada berkata buaya ini bukanlah yang paling besar pernah berlegar-legar di kawasan ini, malah terdapat buaya yang lebih besar iaitu mencecah 15 kaki ( 4.5 meter) panjang.

"Walaupun haiwan buaya hampir setiap hari akan berlegar di sekitar padang golf ini tetapi tiada satu pun yang menyerang manusia sepanjang 37 tahun kelab itu.

"Buaya baru masih belum diberi nama, namun kami mungkin akan menamakannya viral," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Maaf pak cik. Mama dengan ayah tiada di rumah

KAMI suami isteri pulang agak lewat malam itu, terlupa pula membawa kunci rumah. Namun, dalam hati kami berdoa mudah-mudahan anak-anak perempuan yang ditinggalkan di rumah masih belum tidur. 

Kami mengetuk pintu bertalu-talu tetapi tiada tanda-tanda ia akan dibuka. Puas memetik loceng dan mengetuk pintu, akhirnya terdengar sayup-sayup suara Sara Fateha, anak perempuan sulung kami.

“Siapa?” Sara bertanya di sebalik pintu.

“Saya. Pak cik Zaki.” Suami menggaraukan suara bertujuan bergurau dengan anak perempuannya.

“Maaf pak cik. Mama dengan ayah tiada di rumah.” Sara berkata tanpa membuka pintu.

Kami memandang sesama sendiri. Lega dengan tindakannya. Pintu dibuka apabila kami berterus terang. Ketika berehat dan berbual-bual sebentar di ruang tamu, tiba-tiba Sara bercerita:

“Ayah, ada seorang pak cik datang mengetuk pintu rumah selepas waktu Asar. Katanya, beliau sahabat ayah. Saya cuba menelefon mendapatkan kepastian jika ayah mengizinkan untuk membuka pintu, tetapi telefon bimbit ayah tidak dapat dihubungi. Akhirnya saya membuka selak pintu apabila beliau berkata mahu mengirim buku untuk ayah.”

Allah...sekali lagi kami terkedu. Memang begitu didikan diberikan kepada anak-anak perempuan. Kami sering berpesan agar tidak sewenang-wenangnya membuka pintu menerima tetamu tidak diundang. Setiap tetamu harus dikenal pasti kehadirannya. Kami tidak gemar kepada kejutan.

Namun, ia berbeza jika yang berkunjung terdiri daripada adik-beradik kandung sendiri. Kebiasaannya, mereka memaklumkan kehadiran terlebih dahulu. Lalu, suami berpesan agar anak-anak perempuan mengizinkan mereka masuk dan terus menghidangkan minuman. 

Suami sering berpesan, “Mereka ibu dan bapa saudara awak. Layani mereka sebaik-baiknya jika ayah dan mama tiada di rumah.”

Ilmu

Menerima tetamu tidak diundang barangkali bukan perkara pelik atau asing di negara sendiri berbanding orang-orang Arab. Inilah salah satu ilmu besar melekat di sanubari ketika kami bermukim di Madinah al-Munawwarah. Sama ada tetamu atau tuan rumah, kunjungan harus dimaklumkan bagi melakukan persediaan.

Bagi kaum wanita Arab, mereka biasanya meminta izin suami terlebih dahulu sama ada mahu menerima tetamu atau berkunjung ke rumah rakan. Pernah suatu ketika, saya dan anak perempuan dijemput ke rumah jiran selepas waktu Isyak. 

Kami mendapati tetamu-tetamu wanita dihantar oleh suami masing-masing. Tuan rumah pula keluar dengan membawa anak lelaki remajanya bagi memberi laluan kepada isteri dan rakan-rakan mereka di rumah.

Allah...ya Allah. Saya pernah terbaca kisah bagaimana anak perempuan kesayangan Rasulullah SAW, Fatimah al-Zahrah juga pernah ditolak kunjungannya ke sebuah rumah seorang wanita mulia ahli syurga. Rasulullah SAW meminta anak perempuannya melihat sendiri bagaimana perlakuan dan akhlak wanita tersebut.

Akhirnya Fatimah al-Zahrah mempelajari bagaimana contoh ketaatan wanita sebagai isteri yang perlu diteladani. Wanita itu hanya membuka pintu bagi tetamu masuk ke rumah setelah mendapat keizinan suaminya. Fatimah gagal kali pertama untuk diterima sebagai tetamu wanita itu.

Kunjungan kali kedua, beliau tidak dibenarkan masuk kerana membawa anak lelakinya yang masih kecil.

“Maaf, saya fikir puan seorang sahaja mengunjungi rumah kami. Saya perlu meminta izin suami dahulu jika puan mahu membawa bersama anak lelaki ini.”

Subhanallah! Diam-diam saya bertanya kepada diri. Apakah saya cukup kuat untuk melakukan perkara itu seperti wanita ahli syurga yang diterangkan Rasulullah SAW melalui pengajarannya kepada Fatimah al-Zahrah?

Berapa ramai rakan wanita menerjah datang ke rumah ketika waktu rehat pada hari Jumaat? Namun, berapa ramai pula tidak mampu menolak sebelum meminta keizinan suami bagi membenarkan rakan mereka masuk ke rumah? Hati tersentap apabila dibacakan surah An-Nuur, ayat 27 dan 28. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

“Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka, janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu ‘baliklah’, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”

Benar, reja kehidupan semakin susut. Dalam usia tersisa, diri terasa berdosa kerana telah banyak melakukan kesalahan sedangkan Allah SWT telah berpesan dalam al-Quran pelbagai adab yang sepatutnya dilakukan ketika bertandang. Hari ini kami berpesan bersungguh-sungguh, moga zuriat keturunan tidak mengulanginya lantaran ceteknya ilmu di dada.

Ya Allah, daku mohon keampunan-Mu.

Oleh: Prof MUHD. KAMIL IBRAHIM dan Puan ROZA ROSLAN

Baca lagi >>

BN bakal kalah dalam PRU14 jika GST dilaksanakan?

Kerajaan BN sedia berdepan dengan risiko kehilangan undi pada PRU14 jika pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini merugikan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan jika cukai baharu itu memberi manfaat kepada rakyat, beliau tidak ragu-ragu jumlah pengundi akan kembali menyokong mereka.

"Kalau GST mendatangkan masalah kepada rakyat, memang rakyat tidak mengundi kita dan kita terang tidak berapa tepat kepada rakyat,  rakyat tidak sokong kita, memang undi kuranglah.

"Tetapi kalau GST mendatang keuntungan, rakyat akan sokong, kita kena ingat GST dibuat bukan untuk kerajaan, ini untuk rakyat," katanya kepada Sinar Online di Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mendakwa kerajaan BN tidak akan dipilih semula sebagai parti pemerintah jika lebih banyak cukai dikenakan (GST).

Dr Mahathir berkata jika kenaikan harga ubat-ubatan membebankan rakyat, mereka harus memaklumkannya kepada kerajaan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yakin pelaksanaan GST bermula 1 April depan, akan membantu memperkukuh kewangan negara.
   
Seri Paduka bertitah, seluruh rakyat perlu bersama-sama menjayakan inisiatif itu seperti di negara lain yang melaksanakan GST bagi memastikan pelbagai faedah dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Biawak makan mayat seorang wanita di Kuala Kurau, Perak

Mayat dipercayai seorang wanita, ditemui dalam keadaan mengerikan dengan dikerumuni sekumpulan biawak di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, kelmarin.

Difahamkan, mayat tersebut dijumpai seorang nelayan berusia 20-an yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah pada kira-kira jam 7 petang.

Dia yang enggan dikenali berkata terlihat sekumpulan biawak sedang memakan bangkai ketika melalui kawasan berhampiran pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

"Saya pergi dekat dan memberanikan diri untuk melihat apa yang biawak itu makan dan alangkah terkejutnya saya apabila lihat bangkai itu adalah manusia.
Mayat dipercayai seorang wanita ditemui di Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, kelmarin.

“Dalam keadaan panik saya segera memberitahu orang lain dan memaklumkan perkara tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut pada kira-kira jam 7.15 petang.

Beliau berkata, anggotanya bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat dipercayai wanita di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dihanyutkan arus sebelum tersangkut pada pokok nipah berhampiran pelantar tempat nelayan meletakkan bot dan sampan.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati, beberapa bahagian isi dari tubuh mangsa termasuk isi perut hilang, dipercayai dimakan biawak.

“Kami turut menemui seutas rantai emas, dua cincin, gelang manik berwarna hitam serta jam tangan pada mangsa," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, bagaimanapun identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti memandangkan tiada sebarang pengenalan diri ditemui.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum Unit Patologi mengarahkan supaya ia dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Siasatan bagi kes ini masih diteruskan dan kami berharap melalui bedah siasat yang dijalankan, punca sebenar kematian serta identiti mangsa dapat dikenal pasti," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pengantin gementar, tersalah 'menikahkan' kembali jurunikah

Mungkin kerana terlalu gementar ketika menjawab lafaz akad nikah, salah seorang pengantin lelaki tersasul ‘menikahkan’ kembali juru nikah hingga mencuit hati tetamu termasuk orang kenamaan yang hadir.

Namun selepas lima kali mencuba, seorang saudara baharu Orang Asli, Rahmat Awang, 27 dari Pekan selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Rohani Samat, 21 dari Kampung Orang Asli Sungai Mas, Sungai Lembing dekat sini, kelmarin.

Rahmat dan isterinya antara lima pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan dalam majlis pernikahan sempena perasmian Surau Al- Falah, Kampung Sungai Mas dekat sini anjuran Unit Dakwah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Turut diraikan pasangan Nasrizan Ngah 20 dan pasangan, Kamariah Misi, 19, Ali Batas, 20 dan isteri, Hamidah Putih, 23, Najib Alip, 23 dan pasangannya Luma Putih, 27 serta seorang seorang duda bersama pasangannya.

Majlis akad nikah pasangan tersebut dijalankan Ketua Penolong Kadi Daerah Kuantan, Rosli Mamat dan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Mukim Ulu Kuantan, Mohd Jaya Rani disaksikan Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Rata-rata pengantin terpaksa menjawab lebih sekali kecuali Najib Alip yang lebih berkeyakinan dengan sekali lafaz.

Rahmat ketika ditemui berkata, dia amat gementar ketika itu memandangkan dikelilingi ramai tetamu termasuk orang kenamaan.

Menurutnya, pada mulanya dia yakin dapat menjawab dengan lancar memandangkan persediaan untuk upacara itu dilakukan sejak pagi.

“Tapi bila  berada di hadapan juru nikah, perasaan mula berkecamuk dan agak gementar namun atas bantuan juru nikah dan sokongan rakan, saya akhirnya berjaya menjawab biarpun terpaksa mengulanginya sebanyak lima kali, katanya yang memeluk Islam sejak 2012.

Dia yang bekerja sendiri tidak menyangka rancangannya untuk berkahwin dengan isterinya, Rohani Samat dari Kampung Sungai Mas secara kecil-kecilan bertukar menjadi majlis yang ‘luar biasa’ baginya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, majlis meraikan pengantin itu dirancang sebagai salah satu pengisian dalam majlis perasmian surau baharu kampung itu, kelmarin.

Menurutnya, usaha itu juga sebahagian daripada usaha dakwah dalam mendekatkan saudara baharu kepada Islam selain memberikan pendedahan mengenai keindahan Islam kepada  masyarakat Orang Asli yang bukan beragama Islam.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar apabila kelima-lima pasangan ini selamat diijabkabulkan malah ramai dari kalangan penduduk yang bukan Islam turut hadir memeriahkan majlis,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Berhenti pasang kaset al-Quran sebelum azan

Umat Islam dinasihatkan agar tidak memainkan kaset bacaan ayat suci al-Quran di dalam masjid atau surau seperti sebelum waktu solat.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata ini kerana Nabi Muhammad SAW sendiri melarang jemaah yang berada di dalam masjid membaca al-Quran dengan suara nyaring, inikan pula jika menggunakan kaset yang bunyinya boleh kedengaran hingga ke luar masjid atau surau.

Beliau menyatakan demikian pada sesi soal-jawab program Semarak Dakwah Ehya' Masjid di Masjid Behor Empiang di sini malam tadi.

Beliau berkata Nabi Muhammad melarang membaca al-Quran dengan suara nyaring dalam masjid kerana ia boleh mengganggu tumpuan jemaah lain yang datang ke masjid untuk beribadah.

"Jika memasang kaset bacaan al-Quran sebelum masuk waktu solat seperti solat Subuh, tentu akan mengganggu orang lain di persekitaran masjid atau surau, yang mungkin sedang tidur, dan ini dilarang oleh Islam," ujarnya.

Kepada soalan lain, Asri berkata umat Islam tidak dilarang untuk berqasidah kerana ia merupakan syair, namun liriknya perlu tidak menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Mengenai penggunaan alat-alat muzik, beliau berkata terdapat khilaf (perbezaan pendapat) dalam perkara tersebut kerana terdapat ulamak yang membolehkan dan ada yang tidak membenarkannya.

Namun bagi beliau secara peribadi, beliau berkata ia boleh digunakan jika tidak membawa kepada keruntuhan akhlak. 

Sinar Harian

Baca lagi >>