Saturday, 7 March 2015

Lahad Datu bakal diceroboh pengganas lagi?

Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarangan kemungkinan termasuk gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu, kata Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun.
 
Beliau berkata, anggota keselamatan Esscom sedang memantau dengan rapi dan meneliti maklumat yang diterima berhubung perkara itu.
 
"Kita memang ada mendengar akan berlaku lagi ancaman gelombang kedua pencerobohan pengganas. Namun begitu, pihak keselamatan sedang memantau rapat dan mengambil maklum mengenai perkara ini termasuk berkongsi maklumat risikan dengan beberapa negara jiran.
 

"Kita perlu berwaspada dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada pengamal media yang menyertai Program lawatan Esscom bersama media ke Tanduo, kira-kira 150 kilometer dari sini, hari ini.
   
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Ruji Ubi, Pengarah Logistik dan Urustadbir Esscom Brig Jen Subari Tomo dan Pengarah Komponen Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi.

Abdul Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus kononnya akan berlaku gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu.
   
Berikutan itu, beliau berkata Esscom telah mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi menghadapi sebarang ancaman termasuk menambah aset-aset keselamatan dan pertahanan dan jumlah keanggotaan.
   
Esscom juga telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dengan melaksanakan beberapa latihan kecekapan melalui Op Pasak I dan II yang telah dilaksanakan baru-baru ini di Sandakan dan Tawau, katanya.
   
"Latihamal ini telah mendedahkan teknik dan langkah-langkah yang harus diambil sekiraya berlaku insiden pencerobohan di kawasan yang strategik seperti balai-balai polis, lapangan terbang dan rompakan bersenjata di bandar-bandar utama di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone)," katanya.
  
Abd Rashid menjelaskan bahawa sejak insiden pencerobohan Tanduo dua tahun lepas, tidak ada lagi pencerobohan pengganas Sulu yang baharu.

Beliau juga berkata: "Kita percaya pihak musuh tidak mudah untuk masuk ke negara ini tanpa kerjasama dan sokongan daripada penduduk tempatan yang menjadi tali barut kepada penjenayah di Esszone".  
   
Sehubungan itu, Abd Rashid berkata pihak Esscom sedang memantau semua kegiatan tali barut-tali barut terbabit dan meminta mereka menghentikan kegiatan itu.
   
Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang didapati bersubahat dan melindungi penjenayah.
   
Mengenai perancangan masa depan kawasan perkampungan Tanduo, beliau berkata terpulang kepada kerajaan untuk memutuskannya.
   
"Kawasan ini adalah satu kawasan yang amat bersejarah bagi negara kita dan mungkin pihak kerajaan ada perancangan lain termasuk memulihara dan menjadikan tempat ini sebagai bahan bersejarah untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Ops Daulat yang dilancarkan pasukan keselamatan Malaysia terhadap pengganas Sulu di Tanduo dan Simunul, Semporna menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban manakala dianggarkan 68 pengganas ditembak mati.
   
Menyentuh isu penculikan di Esszone, Abd Rashid berkata, sejak perintah berkurung dikuatkuasakan keadaan kini lebih baik dan rata-rata rakyat mahu perintah berkurung itu diteruskan.
   
"Isu penculikan bukan perkara baru di Esszone. Kes penculikan telah berlaku sejak awal tahun 2000 lagi, jadi Esscom memang mengambil berat berkenaan isu ini.
   
"Esscom juga telah bekerjasama dengan semua agensi keselamatan dan pertahanan bagi mengekang kejadian ini," katanya.
   
Mengenai Operasi Bersepadu Khas memburu pendatang tanpa izin (Pati) di Esszone, beliau berkata operasi ternyata berkesan terutama dalam mengurangkan dominasi penjaja atau peniaga Pati di kawasan bandar utama, khususnya di Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kunak.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Demi sesuap rezeki, penduduk bergadai nyawa melalui titi pinang

“Sejak lapan tahun lalu, kebanyakan pekebun-pekebun di Kampung Sempeneh Cempaka, di sini, terpaksa melalui jambatan batang pinang sebagai laluan utama memungut hasil kebun,” luah seorang pekebun, Azizah Mohamad, 64.

Menurutnya, jambatan konkrit yang dibina sebelum ini runtuh sejak 2008 akibat dirempuh kayu balak yang hanyut di sungai berkenaan.

"Penduduk kemudiannya mengambil alternatif membina jambatan dari pokok pinang kerana ia menjadi laluan utama kira-kira 300 pekebun yang mempunyai tanah di kawasan ini untuk memungut hasil pertanian mereka.

“Kawasan kebun di sini berbukit menyebabkan rata-rata penduduk menggunakan motosikal untuk mengangkut buah-buahan seperti durian, cempedak, petai dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Tambah Azizah, sejak jambatan asal runtuh, rata-rata pekebun berhadapan dengan kesukaran kerana mereka tidak ada laluan lain yang boleh digunakan.

“Jika air sungai tidak naik, sebahagian penduduk akan menyeberangi sungai yang berbatu dan licin ini untuk ke kebun” katanya.

Zulaiha bersama dua lagi adik-beradiknya setiap hari melalui titi batang pinang itu untuk ke kebun milik bapa mereka.
Kebun punca rezeki penduduk

Seorang lagi penduduk, Alias Zulkifli Khalid, 59, berkata, dia memiliki tanah seluas 1.2 hektar di kawasan berkenaan dan tiada pilihan lain kerana ia adalah punca rezekinya.

“Sekiranya hasil kebun tidak diambil, ia amat merugikan kami.

"Walaupun terpaksa berhadapan dengan bahaya, tetapi hanya itu sahaja penyelesaian yang ada,” katanya.

Sementara itu, Zulaiha Zakaria, 21, berkata, dia dan dua lagi adik-beradiknya juga melalui jambatan itu untuk ke kebun mereka setiap hari.

“Kami juga tidak ada pilihan kerana hanya itu sahaja laluan yang ada untuk kami bawa keluar hasil pertanian dari kebun,” katanya.

Jelasnya, walaupun dia sudah biasa dengan laluan di titi itu, namun wujud rasa bimbang terutama ketika membawa hasil pertanian.

Katanya, kebiasaannya mereka akan menaiki motosikal untuk ke kebun dan kemudian terpaksa meninggalkannya di seberang sungai kerana tidak ada laluan sempurna.

Penduduk, Kamaruzaman Ismail, 39, berkata, masalah tersebut bukan hanya dialami para pekebun tetapi penduduk yang mengambil upah menguruskan kebun.

Menurutnya, kawasan ini akan menjadi sangat sibuk apabila tiba musim durian kerana masing-masing akan mula mengeluarkan hasil pertanian mereka.

“Titi batang pinang ini memang boleh digunakan, namun ia tidak tahan lama kerana terdedah kepada keadaan cuaca hujan dan panas setiap hari,” katanya.

Malah, katanya, ada pekebun yang langsung tidak mengambil hasil pertanian mereka sejak jambatan itu runtuh.


Permohonan baik pulih sudah dikemukakan

Mohd Sabri Ghazali, 65, berkata, difahamkan sebelum ini beberapa kali permohonan dibuat kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini ia masih belum selesai.

“Laluan ini penting kepada pekebun kerana tidak ada jalan lain yang boleh digunakan.

“Keadaan di sini juga semakin sibuk apabila tiba musim buah kerana majoriti pekebun akan mengeluarkan hasil pertanian masing-masing.

“Kami amat berharap masalah ini mendapat perhatian serius daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.


Tunggu peruntukan

Sementara itu, Adun Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria ketika dihubungi berkata, masalah tersebut sememangnya sudah berada dalam pengetahuan pihaknya, namun tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Kita masih lagi menunggu peruntukan untuk baik pulih jambatan berkenaan.

“Dalam masa yang sama, difahamkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa sungai ini tidak berdaftar dengan agensi berkenaan,” katanya.

Jelasnya, beliau juga ada dimaklumkan bahawa penduduk kampung bersetuju mengadakan gotong-royong untuk membaik pulih semula jambatan itu.

“Saya akan memberikan peruntukan untuk membeli barang-barang yang diperlukan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Cuepacs gesa kerajaan naikkan gaji kakitangan awam dengan segera

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan semakan kenaikan gaji 252 skim perkhidmatan awam seperti yang dibentangkan sebelum ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan isu kejatuhan harga minyak dunia dan nilai ringgit untuk menangguhkan perlaksanaan skim gaji berkenaan memandangkan nilai rizab kerajaan masih mampu menampung perbelanjaan sedia ada.
"Sekiranya ia ditangguhkan, Cuepacs akan membuat bantahan kerana 1.5 juta penjawat awam sudah lama bersabar sedangkan kos sara hidup semakin tinggi.

“Penjawat awam ialah ‘enjin’ dan denyut nadi kerajaan. Tangga gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana 1 dan 11 masing-masing RM805 dan RM820 dan jumlah ini di bawah garis kemiskinan," katanya.

Justeru katanya, Cuepacs meminta kerajaan menyegerakan semakan gaji dan elaun lama yang tidak selaras dengan negara maju.

Azih berkata, Cuepacs juga meminta kerajaan mempertimbangkan kembali nasib 60,000 pekerja kontrak sektor awam yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Menurut Azih, Cuepacs menerima aduan daripada pekerja kontrak yang risau sekiranya perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan atau diserap ke jawatan tetap walaupun sudah berkhidmat hampir lima tahun.

"Kebanyakan mereka mempunyai tanggungan dan kita membawa harapan mereka ini untuk diserapkan dalam perkhidmatan awam. Kita faham jika jawatan kontrak perkhidmatan projek tidak diteruskan, tetapi bagi jawatan frontliner, kerajaan perlu meneliti semula hasrat untuk menamatkan perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke pejabat sementara, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau, dekat sini, semalam.

Azih berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan langkah penamatan pekerja kontrak, ia seolah-olah tidak memberi peluang kepada orang muda berkhidmat dalam kerajaan.

“Sebagai contohnya, terdapat kira-kira 1,200 kakitangan KPDNKK berstatuskan pekerja kontrak walaupun mereka memiliki ijazah.

“Bila tamatkan kontrak, ia umpama tutup pintu untuk orang muda bekerja dengan kerajaan dan tidak bersimpati dengan lepasan universiti," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Mat Luthfi berlakon dengan KJ pulak dah

Video "Be Yourself in a Job Interview by Mat Luthfi " berkisarkan tips semasa temuduga kerja.


Mari lihat aksi dan skrip bersahaja yang dilakonkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Mat Luthfi yang berjaya mencuit hati penonton.




Baca lagi >>

Bandar Hatra di Iraq yang berusia 2,000 tahun bakal dimusnahkan?

Kumpulan militan Negara Islam (IS) didakwa mula memusnahkan tapak purba bandar Assyria di Nimrud, Iraq.

Menurut Channel News Asia, Pegawai Iraq berkata, ia merupakan serangan terbaharu kumpulan itu ke atas tapak warisan sejarah negara.

"IS menyerang bandar bersejarah Nimrud menggunakan jentolak dan beberapa jentera berat," kata seorang pegawai Kementerian Pelancongan di laman Facebook rasmi kementerian itu, semalam.


Menurut Kementerian Pelancongan, IS mula memusnahkan bandar tersebut pada waktu tengah hari dan turut merampas beberapa artifak purba.

Bandar Nimrud diasaskan pada abad ke-13 Sebelum Masihi ketika kegemilangan era kerajaan Assyria.

Ia terletak kira-kira 30 kilometer di tenggara Mosul.

"Tindakan mereka sudah dijangka. Rancangan mereka adalah untuk memusnahkan warisan Iraq.

"Mungkin selepas ini Harta menjadi mangsa kerana bandar itu juga menempatkan pelbagai artifak purba," kata arkeologi Iraq, Abdulamir Hamdani.

Bandar Hatra yang berusia 2,000 tahun terletak di wilayah Nineveh disenaraikan oleh Unesco sebagai tapak warisan dunia.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pesawat Delta tergelincir di New York

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah pesawat dari Texas ke Boston tergelincir di landasan Lapangan Terbang La Guardia, New York disebabkan musim sejuk yang melanda Amerika Syarikat.

Menurt AFP, salji tebal menyebabkan penerbangan Delta 1086 dari Atlanta tergelincir dari landasan sebelum merempuh benteng dan meranapkan pagar ketika mendarat dalam cuaca buruk, kelmarin.

Bahagian muncung pesawat terjulur di tengah pagar di atas Sungai East. - Foto AFP

Jurucakap Jabatan Bomba New York berkata, 24 penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut Delta, 125 penumpang dan enam anak kapal di atas kapal pesawat telah dipindah ke terminal bas.

“Keutamaan kami ialah memastikan pelanggan-pelanggan kami dan anak kapal selamat,” kata Delta dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu berikrar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat punca kejadian.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pilu, 3 anak meninggal di tempat yang sama walaupun waktu berlainan

Seorang bapa tidak menyangka padang sekolah sekali lagi meragut nyawa anaknya setelah dua anak perempuannya meninggal dunia di lokasi yang sama sebelum ini, juga ketika menghadiri aktiviti sukan.

Borhan Yunus, 51, berkata, anak keempatnya, Ahmad Norhanizam, 12, meninggal dunia ketika menyertai kejohanan Olahraga Zon Padang Tengku di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Merapoh, petang kelmarin.

Menurutnya, Ahmad Norhanizam dipercayai pengsan ketika menanti baton bagi acara balapan 4x200 meter sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh oleh pihak sekolah, bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.

Ahli keluarga sugul ketika ditemui di rumah mayat Hospital Lipis, semalam.
Borhan menjelaskan, Ahmad Norhanizam yang juga murid tahun 6, SK Teluk Gunung dipercayai rebah dalam jarak dua meter dari tempat dua orang kakaknya meninggal dunia sebelum ini.

“Pada 2006, anak sulung saya, Norhana Akma ketika itu berusia 10 tahun meninggal dunia di padang yang sama dipercayai akibat terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tengkuk.

“Selang dua tahun kemudian, anak kedua, Nurul Syafikah juga ketika kejadian berusia 10 tahun turut meninggal dunia di tempat yang sama kakaknya 'pergi'.

“Ketika itu, Nurul Syafikah mengadu sakit perut dan meminta izin gurunya untuk ke tandas. Ketika melalui kawasan kakaknya 'pergi' secara tiba-tiba dia rebah dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Lipis, semalam.

Borhan berkata, dia hadir ke kejohanan olahraga itu pagi kelmarin untuk melihat Ahmad Norhanizam bersukan sebelum pulang ke rumah jam 1.30 petang.

"Sebelum pulang saya sempat pesan kepada gurunya untuk menghantar dia (Ahmad Norhanizam) pulang ke rumah setelah selesai kejohanan," katanya yang tinggal di Kampung Merapoh, di sini.

Bagaimanapun, Borhan berkata, kira-kira jam 3 petang sepupunya datang ke rumah memberitahu kejadian yang menimpa Ahmad Norhanizam dan bergegas ke klinik, namun dia disahkan telah meninggal dunia.

“Dua minggu lalu saya sempat menghantar Ahmad Norhanizam membuat pemeriksaan kesihatan di klinik kerana dia ada pertandingan bola sepak.

“Doktor memaklumkan tekanan darah dan jantung anak saya berada di tahap normal dan dibenarkan menjalani aktiviti sukan,” katanya.

Borhan berkata, selain tiga anaknya yang meninggal dunia di sekolah, dia turut kehilangan anak kelimanya, Rizal Adha pada tahun 2011.

"Kejadian yang menimpa anak kelima yang ketika itu berusia enam tahun berlaku tiga hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

"Ketika itu, dia sedang berlari mengelilingi meja makan bersama sepupunya sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di klinik berdekatan," katanya yang reda dengan apa yang berlaku kepada anak-anaknyadan menerimanya sebagai ujian daripada ALLAH SWT.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian jam 2.26 petang itu, mangsa pengsan ketika menyertai pertandingan olahraga di padang sekolah berkenaan.

“Mangsa yang dibawa ke klinik Merapoh kemudiannya telah disahkan meninggal dunia pada jam 3.20 petang,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan punca kematian masih lagi dalam siasatan.

Menurutnya, jenazah murid itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merapoh, petang semalam.

Sinar Harian

Baca lagi >>