Friday, 6 March 2015

Inilah istana beliau


Sudah hampir 30 tahun dia tidur di atas longgokan sampah. Bau busuk yang meresap ke hidung tidak dihirau. Kekotoran yang melingkar tidak diendah.

Setiap malam, kain dan kotak terbuang menjadi tilam empuk Yusof Lasam, 70, untuk menjemput mimpi indah menghias tidur. Dan bangsal usang ini jadi kediaman tempat dia berlindung dari kesejukan.

Istana milik Yusof ini tidak pernah menikmat kemudahan elektrik. Malah segala keperluan air diangkutnya dari perumahan berhampiran.

Mohd Yusof menunjukkan tempat tidur seorang warga emas, Yusof Lasam di atas timbunan kain dan kotak terbuang di kampung Ujung Pasir, semalam. Gambar kecil: Yusof menunjukkan kad taraf penduduk tetapnya yang sudah rosak.
“Dulu, saya pernah guna lilin dan pelita. Tapi sejak peristiwa badan saya hampir terbakar, saya tak berani lagi pakai lilin dan pelita. Sekarang cuma pakai lampu suluh sahaja,” katanya ketika ditemui di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Panjang di sini, semalam.

Kata Yusof, keadaan usia yang sudah lanjut membataskannya melakukan sebarang pekerjaan berat.

Jadi dia tidak pernah memikirkan soal keselesaan asalkan dapat sesuap nasi untuk meneruskan hidup.

“Bukan keselesaan yang saya fikirkan, asalkan setiap hari ada wang beli makanan, itu sudah cukup.

“Saya akan pilih sampah untuk dijual. Saya dapat RM20 hingga RM30 sehari. Cukup beli makanan untuk terus hidup” katanya.

Menurut Yusof, tanah berkenan adalah milik seseorang dan dia ditugaskan menjaga tanah tersebut yang ditanami pokok kelapa dan beberapa pokok lain.

“Sebahagian hasil tanaman ini saya berikan kepada tuan tanah manakala hasil pungut barangan lusuh jadi milik saya sendiri.

“Setiap hari ada beberapa lori masuk ke kawasan ini buang sampah dan sampah itu saya pilih yang ada harga untuk dijual,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Zalim! Bapa sepak anak yang nak solat

Tindakan seorang pengawal keselamatan menyepak anaknya berusia lapan tahun yang hendak menunaikan solat dibalas dengan hukuman penjara empat bulan hari ini oleh Mahkamah Majistret, di sini.
   
Majistret Zuraini Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Hasrol Azhar Rahmat, 36, setelah dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, 14 Januari lepas.
   
Ketika menjatuhkan hukuman, Zuraini sempat menasihati Hasrol Azhar supaya mengambil pengajaran atas apa yang berlaku.
   
"Saya memandang berat kes ini kerana setiap hari ada kes dera anak yang dibawa ke mahkamah. Walaupun anak sendiri tidak boleh pukul," katanya.
   
   
Gambar hiasan

Hasrol Azhar didakwa mendera anaknya berusia 8 tahun dengan menyepak mangsa di sebuah rumah pangsa, Wangsa Maju di sini, kira-kira pukul 7.19 malam, 3 Disember lepas.   
   
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
   
Menurut fakta kes, tertuduh menyepak anaknya sewaktu mangsa hendak membentang sejadah untuk menunaikan solat Maghrib.


Perbuatan itu diketahui kakak tertuduh pada 5 petang, 7 Januari lepas yang kemudiannya turut dimaklumkan oleh mangsa bahawa dirinya sering didera tertuduh.
   
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut, manakala bapanya ditangkap pihak polis.
   
Ketika rayuan, tertuduh, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan selain memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan yang dilakukannya.
   
"Saya juga mahu mohon hukuman ringan kerana anak-anak sedang menunggu saya di luar sana," katanya.
   
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam bagaimanapun memohon mahkamah  menjatuhkan hukuman setimpal agar tertuduh insaf selain dapat menjadi iktibar kepada masyarakat.

Bernama

Baca lagi >>

Di mana MH370...setahun sudah berlalu

Pada Ahad genaplah setahun kehilangan misteri pesawat MH370 namun ia tetap menjadi topik perbualan di seantero dunia, baik di laman sosial mahupun di kedai-kedai kopi.

Sejak dilapor hilang 8 Mac tahun lepas, tumpuan dunia terarah kepada Malaysia dan pasukan pencari di Lautan Hindi selain pelbagai teori, konspirasi dan puluhan persoalan yang bermain di minda masyarakat.

Harapan, kata-kata semangat dan doa turut diluahkan kepada anggota keluarga dan waris pesawat itu menerusi ruangan status dan komen-komen di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Ia sekali gus menjadi trending dan dikemas kini secara sendirinya setiap hari dan membuktikan walau berapa lama sekalipun, dunia akan terus berbicara mengenai pesawat itu sehinggalah ia ditemui pada satu masa kelak.

Seorang pejalan kaki melintasi lukisan grafiti yang mengenang kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang masih belum dijumpai di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Bernama
#PrayForMH370, #JusticeForMH370 dan #MH370 antara contoh ruang yang digunakan bagi menzahirkan rasa simpati selain memuat naik apa jua perkembangan termasuk gambar, teori dan infografik mengenai kehilangan pesawat Boeing ke-404 yang dibina itu.

Malah, perbualan dan pertanyaan bukan sahaja dalam bahasa Melayu tetapi pelbagai bahasa antarabangsa seperti China, Indonesia, Inggeris, Belanda, Denmark, Vietnam, Rusia, Thailand, Sweden dan Itali yang membuktikan kehilangan pesawat ini mendapat perhatian di serata dunia dan tidak akan mudah dilupakan.

Beberapa kata semangat yang diluahkan orang ramai di media sosial berbunyi "Lost but not forgotten (Hilang tapi tidak dilupakan)- @kodahRocha" dan "Pray for a miracle (Berdoa untuk keajaiban) ..insha Allah may Allah ease everything  (insya-ALLAH semoga ALLAH mempermudahkan segala-galanya)- @Mieyhyorin".

Selain itu, "Dont give up (Jangan berputus asa) - @zianazy", "Wow... its gonna be a year soon.. I really wish there is some closure to the families with a very concrete findings (Wow... tidak lama lagi setahun.. Saya sangat berharap anggota keluarga akan mendapat penemuan yang konkrit) -@naZlinaQuadir" dan "Thanks Singapore, Vietnam, Philippines, United States, Korea, Japan, Thailand and China for helping Malaysia (Terima kasih Singapura, Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat, Korea, Jepun, Thailand dan China membantu Malaysia) - @MrsNyna".

Malah ada juga yang percaya, walaupun mungkin bukan sekarang, tetapi tidak mustahil pesawat atau serpihan ditemui pada masa depan seperti yang terjadi kepada Air France 447.

Pesawat 447 Air France itu terjunam ke Lautan Atlantik di perairan Brazil ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro ke Paris pada 1 Jun, 2009, mengorbankan kesemua 228 penumpang dan anak kapal.

Ia ditemui pada 2011 selepas dua tahun operasi mencari dan menyelamat.

Pada 29 Januari, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat MH370 sebagai nahas (kemalangan) di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban.

Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi mencari pesawat Boeing 777 itu tetap menjadi keutamaan. 

Pengumuman itu bagi membolehkan urusan tuntutan insurans kepada waris keluarga pesawat malang itu dijalankan dan dilaksanakan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Pada masa sama, tidak dinafikan, pengumuman itu juga sedikit sebanyak membolehkan waris keluarga meneruskan kehidupan walaupun ada segelintir yang masih berharap ada tanda-tanda positif daripada operasi mencari selain jawapan yang bermain di fikiran mereka.

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi anggota keluarga dan waris yang diluahkan menerusi media sosial antaranya,  Maira Elizabeth, anak perempuan Ketua Pramugara Andrew Nari "mungkin saya boleh menerima hakikat bahawa mereka tidak akan kembali, namun keadilan itu satu kemestian bagi keluarga MH370".

Intan Maizura Othman, isteri seorang anak kapal Mohd Hazrin Hasnan pula menulis "Begitulah berakhirnya kisah nyawa 239 krew dan penumpang MH370 tanpa sebarang bukti ke mana dan apa terjadinya kepada mereka. Semoga mereka yang dianiaya ini dirahmati ALLAH SWT. Al-Fatihah," katanya.

Dan yang terbaru, memetik laporan media asing, K.S. Narendran, suami kepada seorang penumpang, Chandrika Sharma menulis "Where have you been, Chandrika?   

Oh, many places. All at the same time. Can you believe that? When will you be back? Your guess is as good as mine. For good. That is. What if I am gone for good? (Di mana anda, Chandrika? Oh, banyak tempat. Semua pada masa yang sama. 
Adakah anda percaya? Bila anda akan pulang? Andaian anda sebaik saya.  Untuk kebaikan. Itulah dia. Apa kata jika saya pergi untuk kebaikan?)   

Laporan Straits Times pula, Sarah Bajc, 48, meluahkan perasaan kepada pasangannya, Philip Wood, 50 yang merupakan seorang penumpang, berbunyi: "The scariest thing I can think of is just never having an answer. If I knew that Philip was dead I could mourn for him properly... I wouldn't have to keep holding him alive every single day. It's exhausting and it's a constant pain (Perkara paling menakutkan yang boleh saya fikirkan ialah apabila tidak mendapat jawapan. Jika saya tahu Philip telah meninggal dunia, saya boleh berkabung untuk nya dengan betul... Saya tidak perlu menahan beliau untuk hidup setiap hari. Ia memenatkan dan amat menyakitkan)," katanya.

Ketika berita ini ditulis, wujud spekulasi kuat mengatakan operasi mencari yang masih giat dijalankan, akan dihentikan tidak lama lagi memandangkan tiada sebarang penemuan ditemui.

Spekulasi itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial, ada yang bersetuju supaya waris dan anggota keluarga tidak lagi berharap atau sebagai titik penamat kepada mereka.

Ada juga yang tidak bersetuju dan meminta pasukan mencari supaya jangan berhenti mencari atau mencari di lokasi baharu dan bermula dari sifar bagi mendapatkan petunjuk keberadaan pesawat itu.

Namun apa yang pasti, walaupun wujud kemungkinan operasi pencarian ditamatkan, kehilangan MH370 akan terus menjadi bualan di medium komunikasi kerana ia misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. 

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac 2014. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. 

Sehingga kini operasi mencari di dasar laut bahagian selatan Lautan Hindi, tempat ia dipercayai terjatuh itu, kini meliputi kira-kira 40 peratus daripada 60,000 kilometer persegi kawasan pencarian dan kira-kira 208,000 kilometer persegi lautan telah dipetakan.  

Jika tiada halangan dan kelewatan, keseluruhan operasi pencarian dijangka selesai pada Mei ini.

Empat kapal kini terlibat dalam misi mencari pesawat malang itu, Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan terbaru Fugro Supporter yang dilengkapi kenderaan dasar laut (AUV).

Kapal Fugro Equator, Discovery dan Supporter disediakan syarikat Belanda, dan kapal Fugro itu dibiayai bersama-sama kerajaan Australia dan Malaysia, manakala Go Phoenix menerima kontrak daripada kerajaan Malaysia.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Alhamdulillah, Che Ta pun dah bertudung

PELAKON cantik Rozita Che Wan kini tampil dengan imej baharu selepas pulang dari mengerjakan umrah bersama suaminya, Zain Saidin.

Pengurus Rozita, Afeeq Abdul Wahab di portal berita Astro Gempak mengesahkan perkara tersebut menerusi laman sosial Instagram dan Facebooknya.

Afeeq memberitahu Rozita atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta akan kekal dengan imej bertudung.


“Berkat doa para peminat dan suami, Che Ta kini bertudung dan akan terus kekal dengan imej tersebut. Ahamdulillah, sebelum ini dia memang ada berniat untuk memakai tudung.

“Saya tidak terkejut dengan keputusan yang dibuat Che Ta kerana sebelum ini dia pernah ‘hint’ akan bertudung, cuma tidak sangka ia dilaksanakan sebaik sahaja dia selesai mengerjakan umrah,” katanya.

Tambah Afeeq, setakat ini pihak endorsement menerima perubahan Che Ta dengan baik dan tidak mempunyai masalah dengan imej baharu pengacara Primadona itu.

Che Ta dan suami berangkat menunaikan umrah pada minggu lalu dan selamat tiba dari tanah suci Makkah pada tengah hari semalam.

Terdahulu Che Ta pernah memberitahu kepada media akan menunaikan umrah bersama suami sebagai memenuhi nazarnya.

Pelakon dan pengacara cantik itu juga pernah berhajat menunaikan umrah jika dia mengandung selepas mendirikan rumah tangga dengan Zain pada penghujung 2013.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Jadilah seperti orang asing....

DARIPADA Ibnu Umar RHA, dia berkata, Rasulullah SAW memegang kedua bahu saya lalu bersabda:

"Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau orang yang melewati suatu daerah."

Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di waktu petang jangan tunggu esok pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi hari jangan tunggu sehingga ke petang hari. Gunakanlah kesihatanmu untuk (persediaan) sakitmu, dan kehidupanmu untuk kematianmu."

(Riwayat Bukhari, Hadis ke-40 Matan Arbain An-Nawawiyah)

Kehidupan di dunia adalah sementara. Sebagaimana diibaratkan oleh Baginda SAW. Asal anak Adam itu semua memiliki kampung halaman dan istana di dalam syurga.

Kemudian kita kembara seketika di dunia. Bagi menanam dan menyiram benih-benih amal. Ibn Umar pemuda cerdas anak kepada sahabat besar, Umar al-Khattab menjelaskan ketika tiba waktu petang, janganlah menanti esok pagi. Ketika tiba waktu pagi, usah tunggu waktu petang.

Apakah kita masih mahu bertangguh dalam bersedekah? - Gambar hiasan

Kerana umur anak manusia amat terhad. Nabi Adam AS asalnya dikurniakan usia 1,000 tahun. Nabi Nuh AS disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Bidayah wan Nihayah memiliki 1,700 tahun. Manakala kita hanya sekitar 60-70 tahun sahaja. Bahkan Nabi SAW menegaskan yang mencapai usia 70 dalam kalangan umatnya amatlah sedikit.

Dan kita berada di babak akhir dari episod akhir peradaban manusia di atas dunia ini. Kematian menanti di mana-mana baik di atas katil hospital mahupun berpusara di jalan raya. Dari usia senja hingga ke usia dini.

Imam Bukhari dalam sahihnya membawakan hadis banyaknya kematian mengejut pada akhir zaman. Dan beberapa ketika selepas itu beliau bersenandung dan nafas Imam Bukhari juga berakhir saat itu. Demikian diceritakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari.

Bertangguh amal, taubat

Mukmin yang bijak beramal seolah-olah kematian itu berada di pelupuk matanya. Orang munafik yang bodoh menyangka dan mengharap usianya 1,000 tahun dan gemar menangguhkan amal dan taubat. Sehingga ALLAH SWT merakamkan ketika nyawa mereka berada di kerongkongan: "Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh." (Surah Al-Munafiqin: 10)

Realitinya berapa ramai umat Islam di luar sana, bahkan mungkin termasuk kita menyarung ‘jubah’ sikap golongan munafik ini!

Bagai ibarat pepatah Melayu yang diubah-suai, ‘Sorong papan tarik papan, buah keranji di dalam perahu, diajak makan mereka makan, diajak sedekah mereka tak mahu.’

Umat pendek umur

Paradigma ini perlu diungkai dan dirubah. Baginda SAW mengingatkan pendeknya umur umat akhir zaman. Dan salah satu daripada amal ibadah yang dapat memanjangkan pahala ibadah kita ialah ibadah sedekah. Secara khusus Baginda SAW mengingatkan golongan wanita: "Wahai Aisyah, berlindunglah daripada api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) separuh biji kurma, kerana ia menutupi hajat bagi orang yang lapar, sebagaimana menutupi hajat orang yang kenyang." (Riwayat Ahmad dipetik daripada Sahih Targhib wa Tarhib)

Dalam hadis yang lain Baginda SAW mengingatkan: "Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera)." (Riwayat Muslim)

Satu lagi hadis Baginda SAW dari ‘Adi bin Hatim RA berkata: "Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu Baginda SAW berlindung kepada ALLAH daripadanya, dan memalingkan mukanya tiga kali. Kemudian Baginda SAW bersabda: "Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik." (Riwayat Muslim)

Analoginya ialah rumah seseorang takdirnya terbakar. Apakah tuan rumah itu masih bersantai-santai dan bertangguh-tangguh untuk menelefon pihak bomba atau segera melakukannya. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana tuan rumah bingkas bangun menyelamatkan harta-benda.

Di dunia, masih ada peluang dibantu oleh jiran dan pihak bomba. Sebaliknya di akhirat, masing-masing sibuk dan cakna hanya dengan urusan diri mereka sendiri sahaja. Kerana di depannya sedang marak api yang menjulang tinggi yang panasnya 70 kali ganda daripada api di dunia.

Bersegera buat baik

Apakah kita masih menunggu-nunggu, menanti-nanti dan bertangguh-tangguh untuk bersedekah? Ini jauh daripada sifat orang yang beriman sebagaimana yang ALLAH gambarkan dalam firman-Nya: "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti ALLAH akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah Al- Baqarah: 148)

Dalam ayat ini ALLAH memerintahkan fastabiqul khairat (bersegeralah dalam berbuat baik). Imam An Nawawi dalam kitabnya Riyadhush Shalihiin meletakkan bab khusus dengan judul bab "Bersegera dalam melakukan kebaikan, dan dorongan bagi orang-orang yang ingin berbuat baik agar segera melakukannya dengan penuh kesungguhan tanpa ragu sedikit pun".

Seterusnya al-Imam an-Nawawi menjelaskan melakukan kebaikan adalah hal yang tidak boleh ditunda, melainkan harus segera dilaksanakan. Kerana kesempatan hidup sangat terbatas. Kematian boleh sahaja datang secara tiba-tiba tanpa diketahui sebabnya. Kerana itu sementara masih ada nyawa, segeralah berbuat baik. Lebih dari itu bahawa kesempatan berbuat baik belum tentu setiap saat kita peroleh.

Oleh yang demikian sekiranya diberi kesempatan untuk melakukan amal soleh, maka jangan ditunda-tunda lagi, sebaliknya segera dilaksanakan. Justeru, ALLAH dalam al-Quran selalu menggunakan istilah bersegeralah, seperti fastabiquu atau wa saari’uu yang maksudnya sama, bergegas dengan segera, jangan ditunda-tunda lagi untuk berbuat baik atau memohon ampunan ALLAH. Dalam hadis Rasulullah SAW. Juga menggunakan istilah baadiruu maksudnya sama, tidak jauh dari bersegera dan bergegas.

"Wahai Tuhan Kami. Berikan kami seluruh kebaikan di dunia dan seluruh kebaikan di akhirat. Serta selamatkan kami dari azab api neraka." (Surah Al-Baqarah: 201)

Baca lagi >>

Ramai tentera Israel jadi gila selepas Perang Gaza

TEBING BARAT - PALESTIN. Beratus-ratus tentera Israel yang terlibat dalam Perang Gaza tahun lalu dilaporkan menjalani kaunseling dan rawatan psikoterapi.


Menurut Israel Today, lebih 350 anggota tentera telah menerima rawatan untuk gejala berkaitan tekanan selepas trauma, produktiviti rendah serta mengalami mimpi buruk yang berulang-ulang.

Malah, ada di antara mereka mengalami tekanan yang teruk selepas perang  berakhir.

Peperangan yang mengorbankan 2,200 rakyat Palestin itu berakhir Ogos, tahun lalu. - Press TV

Sinar Harian

Baca lagi >>

Dynamo tiruan! Berhati-hati

Kegiatan memproses dan mengeluarkan cecair pencuci pakaian jenama dipercayai palsu di kawasan perindustrian Desa Plentong Masai, di sini, terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, jam 1 tengahari, semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Mohamad Mokhtar Yeop berkata, pihaknya menyerbu kilang itu hasil aduan pemegang cap dagang itu dari Singapura yang mempunyai maklumat mengenai kewujudan produk tiruan tersebut.

Menurutnya, dua individu yang mendakwa sebagai pekerja kilang berusia lingkungan 30an ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan untuk membantu siasatan.

“Kami turut merampas pelbagai barangan dan peralatan memproses cecair pencuci itu termasuk mesin pencetak label dan pembancuh dengan nilai keseluruhan mencecah RM250,000.

“Jika individu disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali.

“Manakala jika syarikat yang didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Mohamad Mokhtar berkata, pihaknya sedang menyiasat pelbagai aspek termasuk kemungkinan produk berkenaan dijual kepada orang ramai dengan harga lebih murah, selain bimbang terdapat ancaman kesihatan kerana penggunaan bahan kimia berbahaya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kilang haram berkenaan sudah beroperasi lebih enam bulan dan mempunyai kepakaran menghasilkan produk tiruan saling tidak tumpah seperti produk asli dari segi kandungan cecair dan kaedah pembungkusannya.

“Kami sedang menyiasat siapa terbabit dalam kegiatan ini termasuk pihak bertanggungjawab membekalkan kotak dan botol, selain lokasi jualan.

“Pakar P&G mengesahkan produk di kilang ini palsu dan kami menasihati orang ramai berhati-hati kerana jika mendapati botol Dynamo itu memiliki nombor siri sama pada setiap botol, ia adalah tiruan,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>