Thursday, 5 March 2015

Myvi baru lebih stylo

MYVI baharu dilancarkan 15 Januari lalu. Penulis bersempatan memandu ujinya baru-baru ini. Pasti ramai menunggu komen mengenai Perodua Myvi baharu ini.

Melihat luarannya, stail dan kosmetiknya lebih menarik. Apalagi penulis mendapat varian pandu uji tertinggi Myvi 1.5L Advance automatik.

Pada bahagian hadapan, gabungan bampar dan gril plastik hitam honeycomb hadapan tampak lebar, garang dan sporty. Bampar hadapan dengan lampu kabus menyerlahkan reka bentuk hadapan.

Projector headlamps berserta guide lights rekaan terkini turut terserlah dalam jentera warna Biru Elektrik ini.

Rim aloi 14 inci reka bentuk lingkaran tampak menarik.

Bahagian belakang turut mendapat sentuhan kemasan gril hitam di bampar. Rear spoiler lebih aerodinamik dan lampu LED (clear lens) menambah gaya.

Bagi penulis, keseimbangan jentera dengan kemasan krom seperti pada lencana Perodua, sisi badan sebelah bawah, paip ekzos dan pada pemegang pintu, menyerlah gaya penarik Myvi baharu ini.

Beralih ke bahagian dalam kabin, ia turut mendapat sentuhan krom pada corong dan butang pelaras pendingin hawa, pintu dan papan pemuka. Ruang ditawarkan tampak luas. Tempat duduk semi bucket, stereng dan gear dibaluti kulit hitam, 'secalit' jalur dan benang merah pada kerusi hadapan.

Selain dari perubahan luaran, ketara dilihat tambahan aksesori dan peningkatan pada bahagian dalaman Myvi terbaru ini yang 'diadaptasi' daripada saudaranya Axia.

Antaranya adalah cup holder di kanan panel meter, penyangkut anti ragut di tepi kerusi penumpang hadapan, sistem multimedia dan navigasi terbaharu yang disertakan dengan kamera undur dan sensor hadapan untuk kemudahan/ keselamatan semasa membelok.


Tidak keras

Tempat duduk pemandu dilaras secara manual. Pandangan penulis berketinggian 160 sentimeter ini tampak luas melalui cermin hadapan.

Pertama memandu, terasa kuasa enjinnya dengan hanya sedikit pedal pendikit ditekan. Penulis gemarkan bunyi enjinnya tidak 'mengaum' bila perlu memaksa tekanan pedal minyak terutama ketika memotong.

Bunyi enjin 3SZ-VE DOHC, 16 injap dengan enjin berjujukan injap dinamik (DVVT) nya masih lembut didengari dari dalam kabin. Untuk pengetahuan, Myvi baharu ini masih mengekalkan spesifikasi enjin 102 hp (136 Nm) 16V.

Untuk hari berikutnya, Myvi baharu ini lebih teruji kali ini dengan tiga dewasa dan tiga kanak-kanak. Tiada masalah mengisi kargo comel jentera ini dengan beg dan kelengkapan untuk dua hari kesemua penumpang.

Ruang masih selesa memuatkan  penumpang yang bersaiz sederhana. Biarpun stereng rasa berat terutama di selekoh, namun masih stabil pada laluan lurus.

Dengan bar penuh pada meter petrol menunjukkan perjalanan boleh sejauh kira-kira 353 kilometer, penulis mampu sampai ke Teluk Intan-Ipoh dan seterusnya kembali ke ibu negara dengan pengisian semula petrol RM20.

Bar di meter menunjukkan masih ada baki setengah tangki petrol. Bagi penulis penggunaan bahan bakar jentera ini memang menjimatkan. Ia tetap kompak praktikal dan comel!

Sinar Harian

Baca lagi >>

KTM komuter alami gangguan ekoran kerja naik taraf

Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami gangguan atau kelewatan waktu perjalanan di antara laluan Segambut-KL Sentral-Salak Selatan sejak Isnin hingga 30 April depan.
   
Menurut KTM dalam kenyataan di sini hari ini, gangguan tersebut disebabkan kerja-kerja menaik taraf sistem persemboyanan yang sedang dijalankan di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan mutu perkhidmatan tren di masa hadapan.
   
"Dalam tempoh ini, perkhidmatan KTM komuter di kedua-dua laluan iaitu Batu Caves-Pelabuhan Klang dan Rawang-Sungai Gadut berkemungkinan akan mengalami kelewatan lima hingga sepuluh minit.
   
"Pembatalan perkhidmatan juga dijangka akan berlaku. Bagaimanapun, KTM akan sedaya-upaya meminimumkan gangguan atau kelewatan perkhidmatan tren ketika kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan," menurut kenyataan itu.
   
Orang ramai boleh melayari laman sesawang KTM Berhad di www.ktmb.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan KTM melalui talian 1-300-88-5862 untuk maklumat lanjut. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Buat rawatan di klinik, ubat pula perlu beli di farmasi yang berasingan?

Sejak beberapa minggu lalu, heboh diperkatakan mengenai kemungkinan pesakit perlu membeli ubat secara berasingan di farmasi selepas mengunjungi mana-mana klinik swasta.

Laporan berterusan di media mengenai isu pengasingan pendispensan ubat (DS) itu membangkitkan kemarahan banyak pihak terutama rakyat yang khuatir akan terbeban dari segi kewangan berikutan cadangan itu.

Hakikatnya, cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi itu tidak boleh berlaku selagi kerajaan tidak membentuk satu sistem kesihatan bersepadu, menggabungkan sektor awam dan swasta dengan rawatan kesihatan serta ubat dibiayai kerajaan.

Timbalan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, andaian tidak betul mengenai isu itu menyebabkan banyak salah faham timbul sehingga membimbangkan rakyat.

Pertama, katanya, andaian yang dibuat ialah sistem pengasingan fungsi klinik dan farmasi ini akan bermula pada 1 April.

“Kedua, diandaikan Rang Undang-Undang Farmasi (berkaitan peraturan baharu itu) akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan ini. Sebenarnya tidak betul, perkara ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Jabatan Peguam Negara pun sudah beritahu daripada 170 seksyen, hanya 28 seksyen yang sudah selesai digubal jadi memang tak sempat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, isu itu timbul selepas Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) yang bertanggungjawab dalam isu farmasi komuniti menghantar memo kepada Kementerian Kesihatan bagi menyuarakan hasrat mereka untuk melaksanakan DS.

“Tetapi ia tidak akan berlaku pada 1 April kerana terlalu suntuk,” jelasnya.

Pengasingan tugas doktor, ahli farmasi jamin keselamatan pesakit. Namun katanya, cadangan pengasingan tugas doktor dan ahli farmasi itu adalah amalan terbaik dalam perubatan yang akan memberi jaminan keselamatan kepada pesakit.

Menurutnya, ramai orang tidak sedar risiko dihadapi mereka semasa mengambil ubat di klinik swasta yang dikeluarkan oleh doktor sendiri tanpa pemantauan ahli farmasi.

“Bukan amalan baik untuk doktor tulis preskripsi ubat dan doktor sendiri yang beri ubat. Tak ada orang semak.

“Kalau ada ahli farmasi, setiap ubat akan diperiksa secara terperinci dari segi dos, jenis ubat, nama ubat, kekuatan ubat untuk elak risiko salah beri ubat. Sekarang ini semua itu tidak dilakukan di klinik swasta,” katanya yang juga Ketua Pegawai Farmasi di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Kewangan tidak patut jadi isu

Menurut beliau, di bawah sistem DS, jika seseorang pesakit memilih untuk terus ke farmasi tanpa mengunjungi klinik terlebih dahulu, ahli farmasi bertugas perlu bertanya pelbagai soalan berkaitan kesihatan sebelum menjual sebarang ubat kepada pesakit tersebut.

"Kami ahli farmasi turut belajar mengenai tanda dan simptom pesakit bagi sakit ringan," katanya.

Selain itu, Amrahi berkata, isu beban kewangan yang terpaksa ditanggung rakyat untuk membeli ubat juga tidak akan timbul walaupun DS dilaksanakan jika sistem kesihatan negara diubah menjadi lebih mesra pesakit.

Katanya, dengan sistem lapuk yang digunakan Malaysia sejak 1950-an sehingga ke hari ini, rakyat akan terkesan dengan kenaikan harga ubat serta kos rawatan di klinik dan hospital swasta kerana terpaksa membayarnya dari poket sendiri.

“Amalan doktor (yang membuka klinik swasta sendiri) dan ahli farmasi (yang memiliki kedai farmasi) perlu diubah. Sekarang ini kedua-dua pihak tidak benar-benar profesional, mereka hanya ahli perniagaan,” katanya.

Menurutnya, bagi memaksa kedua-dua doktor dan ahli farmasi kembali kepada fungsi utama mereka sebagai profesional kesihatan, kerajaan perlu menyatukan klinik swasta, farmasi dan klinik kerajaan dalam satu sistem yang sama supaya pesakit mempunyai pilihan tanpa perlu memikirkan soal bayaran kerana ia akan dibiayai kerajaan.

“Untuk pembiayaan, kerajaan perlu wujudkan sistem kewangan kesihatan nasional dan senarai ubat kebangsaan bagi menentukan ubat mana yang akan dibiayai oleh kerajaan.

“Dana boleh dikumpulkan daripada pelbagai sumber termasuk bayaran bulanan atau tahunan oleh rakyat sendiri untuk berikan lebih akses kepada rakyat. Maknanya sesiapa pun boleh pergi hospital swasta, bukan macam sekarang apabila tiada wang, tiada akses kepada perkhidmatan kesihatan swasta,” katanya yang berkhidmat sebagai pegawai farmasi selama 35 tahun.

Beliau berkata, apa yang berlaku kini adalah klinik swasta langsung tidak dikawal oleh kerajaan sehingga boleh mengenakan caj ubat yang tinggi kepada pesakit.
“Jadi kerajaan perlu kawal harga ubat di sektor swasta.

Mesti ada harga cadangan sebagai rujukan, dan senarai harga ini perlu dipaparkan di laman web,” katanya.

Menurutnya, isu DS sebenarnya bukan perkara baharu kerana MPS pernah menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai isu itu pada 1986, iaitu kira-kira 29 tahun lalu.

“Jelas sekali, kalau kita tengok, keputusan untuk melaksanakan DS ini tertakluk kepada kerajaan.

“Kalau kerajaan nak buat DS, perkara ini mudah. Kalau kerajaan tak nak buat, memang nampak sukar,” katanya.

Farmasi boleh beroperasi 24 jam jika diperlukan

Beliau berkata, sistem kesihatan baharu perlu dibuat mengikut keperluan komuniti bagi rawatan primari iaitu sakit ringan yang hanya memerlukan rawatan di klinik.

“Dalam sistem ini, kita ikut kepadatan dan keperluan penduduk sesuatu tempat. Katalah contohnya sebuah presint di Putrajaya, mungkin ada klinik kesihatan dan klinik swasta. Penduduk boleh pergi ke mana-mana tanpa timbul isu kos kerana dua-duanya adalah sebahagian daripada sistem yang sama.

“Kalau melalui kajian didapati kawasan itu perlukan klinik yang berfungsi 24 jam, farmasi juga perlu berfungsi 24 jam. Kerajaan boleh wajibkan pembukaan farmasi 24 jam melalui sistem baharu ini,” katanya yang turut terlibat secara langsung dengan penggubalan Dasar Ubat Nasional sejak 2006.

Mengulas kebimbangan sesetengah doktor bahawa pengasingan fungsi klinik dan farmasi akan menyebabkan faktor self-medicate (berubat sendiri) dengan pesakit hanya terus membeli ubat di farmasi tanpa ke klinik, Amrahi berkata tindakan itu tidak salah jika orang ramai mendapat pendidikan betul mengenai penggunaan ubat daripada ahli farmasi bertauliah.

“Apa yang kita mahukan dalam sistem ini ialah kecekapan doktor dan ahli farmasi mesti berada pada tahap terbaik bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita mahu rakyat lihat doktor sebagai doktor klinikal, dan ahli farmasi juga sebagai ahli farmasi klinikal. Tetapi sekarang ini orang ke farmasi cari produk, sepatutnya mereka cari ahli farmasi,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa ahli farmasi di negara ini tidak mencukupi untuk menjalankan sistem pengasingan tersebut.

“Dahulu masa 1970-an hanya ada sebuah sekolah farmasi iaitu di Universiti Sains Malaysia, sekarang sudah ada 19 sekolah farmasi yang mengeluarkan lebih 1,000 ahli farmasi setahun.

“Sekarang, dalam pendaftaran kita ada 13,000 ahli farmasi, jadi memang mencukupi,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

GST GST GST! Siapa belum daftar lagi ni?


Jabatan Kastam Diraja Malaysia sedang mengesan 1,634 syarikat yang belum mendaftar di bawah sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Melaka.
   
Penolong Pengarah Kastam Melaka bahagian GST, Mad Akhir Adom berkata, usaha tersebut dilaksana secara besar-besaran mulai 1 hingga 15 Mac depan.
   
"Kita mempunyai senarai nama semua syarikat tersebut dan semakan akan dilakukan ke premis mereka," katanya kepada pemberita selepas taklimat GST di Universiti Teknikal Malaysia Melaka di sini, hari ini.
   
Menurutnya, syarikat terlibat akan didaftarkan serta-merta sekiranya semakan mendapati mereka layak berbuat demikian.
   
Katanya, sehingga semalam 9,598 syarikat telah berdaftar untuk GST. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kerja kosong! Tentukan jantina anak ayam. Gaji lumayan!

WALAUPUN ditawar gaji RM 14,000 sebulan, namun tiada siapa mahu melakukan kerja ini.

Ini kerana kerja yang ditawarkan ini adalah sangat sukar dilakukan, iaitu menentukan jantina anak ayam yang baru menetas.

Industri ternakan di United Kingdom sedang mengalami masalah mencari pekerjaan yang sanggup melakukan pekerjaan ini.

Ia mengambil masa tiga tahun untuk mempelajari perbezaan kecil antara ayam jantan dan betina yang kebiasaannya hanya tiga hingga lima saat diperlukan untuk menentukan jantina ayam-ayam tersebut.

Setiap hari antara 800 hingga 1200 anak ayam perlu di tentukan jantinanya dan dengan ketepatan 97 hingga 98 peratus.

Ketua Eksekutif, Majlis Ternakan Ayam British, Andrew Large berkata, ia mengambil masa tiga tahun untuk melatih seseorang itu mempunyai kepekaan dalam menentukan jantina anak ayam dan ramai orang tidak mahu menghabiskan masa untuk mempelajari kemahiran tersebut.

"Saya rasa masalah ini adalah kerja itu sendiri. Anda menghabiskan masa berjam-jam sehari hanya untuk merenung bahagian belakang ayam. Dan ini bukanlah satu benda yang menarik untuk dilakukan.

'Di Asia Tenggara pekerjaan menentukan jantina anak ayam adalah pekerjaan yang status tinggi manakala di United Kingdom ia adalah lebih cenderung menjadi bahan jenaka. ' katanya dipetik Metro.uk

Baca lagi >>

292 perokok dikenakan kompaun di R&R

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperoleh kompaun berjumlah RM73,000 daripada 292 perokok yang didapati merokok di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam operasi besar-besaran di 112 R&R seluruh negara pada 24 dan 25 Feb lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata operasi itu susulan pewartaan R&R sebagai kawasan larangan merokok sejak tiga bulan yang lalu bagi melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

"Dalam operasi berkenaan, perokok dikenakan kompaun minima RM250 seorang manakala 16 amaran diberikan kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis masing-masing.

"KKM juga akan meneruskan kempen kesedaran melalui pendekatan 'tanggungjawab tuan punya premis' iaitu pengusaha gerai makanan atau pekerja pembersihan akan dilatih untuk menegur perokok yang merokok di kawasan larangan dalam R&R," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kawasan R&R sebagai kawasan larangan merokok peringkat kebangsaan dan pelancaran generasi bebas rokok peringkat negeri di kawasan R&R Temerloh arah barat, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar.

Hilmi berkata adalah penting bagi orang awam mematuhi larangan merokok di kawasan awam termasuk R&R kerana perbuatan merokok merupakan antara penyumbang kepada penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Beliau turut menyatakan kekecewaan apabila mendapat laporan daripada orang awam bahawa terdapat segelintir perokok yang mengambil risiko dengan merokok di stesyen minyak berhampiran kawasan R&R.

Katanya perbincangan di peringkat kementerian juga sedang dibuat bagi mendapat pandangan pelbagai pihak untuk meminda beberapa peraturan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Akta Makanan 1983) bagi mengetatkan undang-undang terhadap perokok dan penjual rokok di negara ini.

"Kajian terhadap pesakit di hospital kerajaan di negara ini mendapati 33 peratus adalah pesakit penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan buah pinggang yang disebabkan oleh asap rokok.

"Ia adalah serius dan sebab itu KKM melakukan pindaan berkenaan dan kempen kesedaran agar orang ramai tidak menjadikan merokok satu tabiat," katanya.

Mengulas mengenai bantahan terhadap cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi (pengasingan dispensari) oleh beberapa pihak termasuk beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, Hilmi berkata KKM akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum cadangan itu dilaksanakan.

"Kita sedar ramai yang membantah, kerana apabila pengasingan berlaku ia akan menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan ubat serta kesulitan yang lain.

"Ia baru di peringkat cadangan, kita akan mengambil kira semua padangan sebelum ia dilaksanakan nanti," katanya.

Bernama

Baca lagi >>

Masa untuk membersihkan Taman Tasik Titiwangsa

Keadaan panas yang melanda negara ketika ini dimanfaatkan oleh pekerja kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membersihkan Taman Tasik Titiwangsa.


Menurut Jabatan Meteorologi, kesan angin Monsun Timur Laut yang melanda negara menjadikan cuaca persekitaran lebih panas dan ia dijangka berakhir pada Mac nanti.

Baca lagi >>