Wednesday, 4 March 2015

Isu NFC: Rafizi Ramli akan dipanggil beri keterangan

Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang dikemukakan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Saman itu difailkan Mohamad Salleh dan NFCorp terhadap Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution berhubung pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City, Bangsar.

Peguam Syed Ismat Syed Muhammad, yang mewakili Mohamad Salleh dan NFCorp, ketika ditemui pemberita berkata selain Mohd Rafizi, Mohamad Salleh dan Nurul Izzah, yang selesai memberi keterangan pada 5 dan 7 Jan lepas, akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam kes saman itu.

Syed Ismat berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng turut menetapkan 15 April untuk pengurusan kes ketika kes berkenaan disebut di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Joshua Kevin yang mewakili Nurul Izzah dan Saifuddin selaku defendan.

Pada 4 Feb lepas, Hakim Hue membenarkan permohonan Mohamad Salleh untuk meminda jawapan kepada pernyataan pembelaan kedua-dua defendan dengan memasukkan butiran berniat jahat dalam kes saman fitnah itu.

Pada 24 Dis 2013, Mohamad Salleh dan syarikatnya NFCorp memfailkan saman dengan mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan berhubung pendedahan Rafizi, ketika itu Pengarah Strategi PKR, mendakwa Mohamad Salleh membeli lapan unit hartanah KL Eco City menggunakan dana yang diperuntukkan kepada NFCorp.

Kenyataan Nurul Izzah itu disiarkan Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa kenyataan Nurul Izzah itu membawa maksud beliau dan keluarganya menyalahgunakan dana NFCorp untuk membeli unit hartanah berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Bernama

Baca lagi >>

Lori terhumban ke dalam sungai di Jalan Puncak Borneo, Kuching


Sebuah lori membawa muatan pasir untuk membina menara telekomunikasi terhumban ke dalam sungai apabila jambatan yang dilalui runtuh dalam kejadian di Jalan Puncak Borneo, 70 Kilometer dari Bandaraya Kuching. Pemandu lori tersebut mengalami patah kaki dalam kejadian berkenaan.

Bernama

Baca lagi >>

Bot jadi pengangkutan utama selepas banjir baru-baru ini

Penduduk kampung sekitar Jambatan Pulau Setelu terpaksa menggunakan bot sebagai pengangkutan wajib merentasi sungai Nenggiri selepas jambatan Pulau Setelu runtuh akibat banjir baru-baru ini.


Jambatan Setelu merupakan jambatan utama yang menghubungkan Gua Musang ke Jeli.

Bernama

Baca lagi >>

Kisah di sebalik mahkota Sultan Abu Bakar

Mahkota yang diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Sultan Ibrahim pada tahun 1886, direkabentuk oleh satu-satunya syarikat yang membuat barang-barang kemas diraja British iaitu JW Benson, yang berpengkalan di London.


Berat mahkota ialah 1.6 kilogram dan rekabentuknya adalah oriental iaitu mengikut kebudayaan Timur dan dipersinarkan dengan intan berlian dan batu-batu permata. 

Selain itu, terdapat empat bulan bintang bercantum yang melambangkan agama Islam di sebelah kemuncak takhta dan ada tulisan perkataan Allah dan Muhammad, yang membawa makna Sultan turut menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi bagi negeri Johor.

Bernama

Baca lagi >>

Catat sejarah! Pelajar Jepun cemerlang dalam SPM

Pelajar Jepun, Saaya Harada dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang berkongsi kegembiraan setelah mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.


Beliau merupakan pelajar bukan Melayu yang pertama serta mencatat sejarah sebagai salah seorang pelajar cemerlang di Pulau Langkawi.

Bernama

Baca lagi >>

4 beradik sebapa berlainan ibu dapat keputusan cemerlang SPM

Mereka sebaya dan mempunyai bapa sama. Latar belakang itu menyebabkan ramai menyangka empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putri Saadong, di sini yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 adalah kembar.

Tambahan pula, usia mereka sekadar dibezakan oleh bulan kelahiran selain dilihat amat akrab um­pama belangkas termasuk menjadi rakan sekelas. Malah, empat remaja tersebut turut berkongsi impian sama iaitu mahu berjaya dalam bidang perakaunan.

Hakikatnya, Juliana Aziera Zulkepli, 18, serta adik-adiknya, Ayu Shaheera, 18; Zul Azril, 18, dan Zul Azrul, 18, adalah adik beradik berlainan ibu hasil perkongsian seorang ahli perniagaan, Datuk Zulkepli Mohamad, 51, bersama empat isteri.
ZULKEPLI MOHAMAD (kiri) bersama empat anaknya (duduk dari kiri,) Juliana Aziera, Ayu Syaheera, Zul Azril dan Zul Azrul berbual bersama Pengetua SMK Putri Saadong, Ramli Dolah (tengah) sambil disaksikan keempat-empat isteri Zulkepli di Kota Bharu, Kelantan, semalam. – UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR 

Juliana Aziera, anak Zulkepli bersama isteri pertama mendapat 8A 2B. Keputusan sama turut diperoleh Ayu Shaheera, anaknya bersama isteri kedua serta Zul Azril, anaknya bersama isteri ketiga.

Sementara itu, Zul Azrul, anak beliau bersama isteri keempat pula mendapat 10A dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik SMK Putri Saadong.

Zulkepli yang pernah menjadi tukang karut dikir barat dan tersohor dengan panggilan Zul Wisma berkata, selain hasil didikan guru di sekolah, kecemerlangan anak-anaknya turut didorong oleh kebahagiaan yang berjaya dicipta dalam rumah tangga beliau.

Menurut Pengerusi Eksekutif Zulkepli & Co. itu, empat isterinya, Datin Hasnah Mat Ya, 56; Rafizah Senawi, 48; Nurida Razali, 48, serta Norreha Abdul Rahman, 45, amat rapat dan memahami antara satu sama lain.
Katanya, keakraban isteri-isterinya itu membolehkan kesemua 11 anak mereka turut membesar sebagai satu keluarga dalam suasana harmoni.

Bercerita lanjut mengenai rahsia kecemerlangan anak-anaknya, Zulkepli memberitahu, mereka berempat tidak menghadiri sebarang tuisyen, sebaliknya sekadar mengikuti sesi pembelajaran khas bersama beliau sendiri.

“Empat bulan sebelum SPM, kami buat kelas intensif. Mereka berempat dikehendaki hadir ke pejabat saya selepas jam 4 petang setiap hari kecuali Jumaat untuk belajar bersama-sama. Kami turut mengerjakan solat Asar, Maghrib dan Isyak berjemaah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Zulkepli, beliau sanggup mengupah guru untuk mengajar dirinya sendiri dalam semua mata pelajaran semata-mata mahu memastikan beliau mampu menjadi seorang ‘guru’ yang bagus kepada anak-anaknya.

Sementara itu, anak-anak Zulkepli mengakui berasa seronok dapat belajar bersama beliau kerana tidak perlu malu untuk bertanya soalan selain berpeluang bermesra dengan bapa sendiri.

Utusan

Baca lagi >>

Ibu sebak ambil kepuusan SPM anak

“Memang saya tak dapat tahan air mata tatkala ambil keputusan anak apabila mengenangkan arwah tidak dapat meraikannya,” demikian kata ibu kepada Nur Asyiqin Zaini, 18, yang meninggal dunia pada 26 Januari lalu.

Nur Asyiqin yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan meninggal dunia akibat denggi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Menurut Fatimah Ismail, 47, dia tidak dapat menahan sebak apabila naik ke pentas bagi menggantikan anaknya untuk mengambil keputusan SPM.

“Saya masih ingat arwah bersungguh-sungguh menelaah pelajaran kerana tak sanggup nak lihat kami kecewa lebih-lebih lagi guru yang menaruh harapan tinggi kepadanya.

“Arwah akan menangis selepas habis menjawab kertas peperiksaan kerana katanya, dia tak dapat jawab dengan baik," katanya.

Menurutnya, arwah seorang anak yang tak pernah tinggal solat dan sentiasa bawa al-Quran ke mana-mana, walaupun ketika ditahan di wad.

Fatimah berkata, dia sekeluarga cukup bangga apabila arwah meraih keputusan cemerlang dan tersenarai dalam 19 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam.

“Setiap kenangan dan kejayaan arwah akan kami kenang buat selamanya dan menjadi penyuntik semangat untuk tiga adiknya yang masih bersekolah,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>