Tuesday, 3 March 2015

Cucu cari jodoh untuk datuk

Perpisahan dengan enam bekas isteri sebelum ini tidak mematahkan semangat hidup Zainal Abidin Omar, 84, malah percaturan hidupnya lebih bermakna apabila dikurniakan jodoh kali ketujuh dalam usia emas kini.

Menurutnya yang memiliki 10 anak, 35 cucu dan 14 cicit ini, pertemuan dengan isterinya yang juga ibu tunggal anak lima, Azanah Abu Osman, 62, adalah ‘usaha gigih’ cucunya.

“Saya sendiri tidak tahu cucu saya ada mencari calon isteri untuk saya selepas menduda akibat kematian keenam-enam isteri sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana isteri (Azanah) menyangka ada wanita yang sudi menerima dan menyayangi diri saya di kala usia begini dan menjadi peneman sehingga hujung usia,” katanya selepas selesai majlis pernikahan dan persandingan bersama isteri di kediamannya di Kampung Ketapang Hilir, kelmarin.

Zainal turut berterima kasih kepada semua ahli keluarga yang bersusah payah melancarkan majlisnya dan isteri serta tetamu yang hadir.

Sementara itu, bagi Azanah yang berasal dari Terengganu dan menetap di Kuantan, jarak perbezaan usia 22 tahun antara dia dan suami tidak pernah menjadi masalah besar, malah bersyukur dengan jodoh yang ditetapkan ALLAH SWT.

“Penerimaan baik dari keluarga suami dan anak-anak menambah kebahagiaan di hari bersejarah kami dan berharap agar jodoh ini berkekalan sehingga akhir hayat.

“Pada usia begini kami amat bersyukur kerana masih dikurniakan jodoh. Ada juga teman untuk berbual, beribadat dan menjaga sakit pening,” katanya.

Baca lagi >>

Tahniah! 8 calon dapat semua A+ dalam SPM 2014

KOTA BHARU - Seramai lapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh kecemerlangan tertinggi dengan semua A+ berbanding tahun lalu dengan empat calon sahaja di negeri ini.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan seramai empat calon yang memperoleh semua A+.

"Dalam pencapaian ini juga menunjukkan peningkatan 27 buah sekolah turut mencapai kelulusan 100 peratus termasuk lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) berbanding tahun lalu dengan 24 buah sekolah.

"Ini menggambarkan kejayaan hasil usaha Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Kerajaan Pusat yang turut mementingkan pembelajaran di SABK,"katanya.

Baca lagi >>

Kucing mati selepas menjilat bulunya

MOSCOW - RUSIA. Seekor kucing yang dicat dengan pewarna merah jambu dilaporkan mati selepas menjilat bulunya sendiri.

Menurut Metro.uk, kucing tersebut dibawa tuannya, Lena Lenina ke majlis 'Pretty in Pink Party' yang mewajibkan semua hadirin berpakaian berwarna pink, termasuk haiwan peliharaan.

Lenina dikecam namun mempertahankan tindakannya bahawa cat yang digunakan adalah saranan dari doktor haiwan beliau.

Berdasarkan sebuah laporan, kucing tersebut mati kerana keracunan toksik yang disebabkan oleh pewarna berkenaan.

Sebuah petisyen atas talian telah dibuat oleh orang ramai supaya perbuatan Lenina dihukum.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Akibat ugut bunuh ibu, anak dikenakan hukuman penjara setahun

KUALA TERENGGANU - Seorang anak yang tergamak mengugut mahu membunuh ibu kandungnya menggunakan sebilah pisau pemotong sayur menerima pembalasan apabila dikenakan hukuman 12 bulan penjara, oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Mohd Ramadam Mazelan, 29, dari Kampung Aur Chendering, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Zaleha Omar, 50.

Dia mengaku salah mengugut mangsa menggunakan sebilah pisau semasa berada di kediaman mereka, di Kampung Aur Chendering, di sini, lebih kurang jam 8 pagi, pada 12 Febuari lalu.

Dengan itu, Mohd Ramadam yang turut positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian awal saringan air kencing yang dibuat mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Mohd Ramadam dipenjara selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum penjara dalam tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, Mohd Ramadam mengamuk dengan memecahkan barangan di dalam rumah serta pasu bunga di luar rumah dan tindakan itu disaksikan bapanya, Mazelan Ngah yang secara kebetulan turut berada di rumah.

Selain itu, Mohd Ramadam juga ada mengugut ibunya, dengan menggunakan pisau pemotong sayur yang berada di dapur dan mengugut mahu membakar rumah serta mencederakan semua ahli keluarga termasuk mahu membunuh mangsa.

Baca lagi >>

Tahniah! Besut antara daerah cemerlang dalam STPM 2014

Solidariti dan kesungguhan semua pihak membabitkan kepimpinan, ibu bapa, guru dan pelajar membuahkan hasil apabila daerah ini muncul antara daerah cemerlang dalam STPM 2014.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Ab Halim Hassan berkata, turut membanggakan apabila SMK Putra, Hulu Besut muncul sekolah cemerlang peringkat kebangsaan.

Menurutnya, sekolah tersebut yang sering meraih kecemerlangan dalam STPM pada tahun sebelum ini menerima anugerah Sekolah Lonjakan Terbaik peringkat kebangsaan yang diumumkan semalam.
Calon STPM 2014 dari SMK Putra gembira selepas menerima keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah berkenaan semalam. Dua daripada 29 calon memperoleh 3A+ dan 1A-.

“Sekolah tersebut terpilih menerima anugerah itu apabila mampu melonjakkan kecemerlangan daripada kedudukan 123 sekolah terbaik STPM tahun 2013 kepada tempat ke-16 seluruh negara untuk keputusan STPM 2014 yang baru diumumkan,” katanya.

Ab Halim berkata lagi, turut membanggakan kerana SMK Putra berada pada kedudukan tempat kedua terbaik peringkat negeri selepas SMA Atas Sultan Zainal Abidin.

Ab Halim berkata, SMK Putra mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sebanyak 3.12 berada di belakang SMA Atas Sultan Zainal Abidin sebanyak 10 mata iaitu yang memperolehi PNGK 3.21.

“Turut membanggakan apabila daripada 14 calon memperoleh keputusan Gred A (PNGK 4.00) dalam semua mata pelajaran seluruh negeri yang diumumkan semalam, tiga calon dari sekolah daerah ini iaitu masing-masing dari SMK Kuala Besut, SMK Nasiruddin Shah dan SMK Renek,” katanya.

Beliau berkata, pelajar yang memperoleh 4A ialah Siti Nur Amirah Ghazali dari SMK Kuala Besut, Noor Fariena Natasha Husin dari SMK Nasiruddin Shah dan Norfazira Besah dari SMK Renek, Jabi.

Percapaian itu amat memberangsangkan berbanding hanya seorang calon STPM 2013 memperoleh semua A pada tahun lalu iaitu dari SMK Putra.

“Selain empat sekolah cemerlang tersebut, tiga lagi sekolah di daerah ini tersenarai dalam 22 sekolah di Terengganu yang mencapai PNGK 2.8 ke atas iaitu SMKA Nurul Ittifaq diikuti SMK Bukit Payong dan SMK Tengku Mahmud menjadikan keseluruhan tujuh buah sekolah,” katanya.

Beliau berkata lagi, rangkuman kejayaan itu keputusan PNGK Besut pada tahun ini adalah 2.86 berbanding 2.65 tahun 2013. Pencapaian itu meletakkan Besut berkongsi kedudukan tertinggi dengan Marang yang memperoleh gred sama.

Sinar Harian

Baca lagi >>