Sunday, 1 March 2015

Kenapa perlu tanggalkan tudung?

MONTREAL- KANADA. Seorang hakim di bandar Quebec enggan memulakan pendengaran kes seorang wanita Muslim melainkan dia membuka tudungnya.

Hakim terbabit, Eliana Marengo mengarahkan Rania el-Alloul menanggalkan tudung dipakainya atau memohon penangguhan untuk berunding dengan peguam.
EL-ALLOUL

Marengo memberi alasan, pemakaian tudung sama seperti topi atau cermin mata hitam yang tidak dibenarkan di dalam mahkamah.

"Saya tidak akan melayan pendengaran kes ini sekiranya anda masih memakai hijab," kata Marengo.

El-Alloul, 47, hadir di mahkamah untuk meminta keretanya dipulangkan selepas ia disita pihak berkuasa.

Ketika bercakap kepada media, el-Alloul berkata dia tidak percaya situasi itu boleh berlaku ke atas dirinya.

"Saya memakai hijab ketika mengangkat sumpah sebagai warganegara Kanada. Apa pun, kejadian di mahkamah membuatkan saya berasa takut.

"Saya merasakan bahawa saya bukan lagi rakyat Kanada," ujar el-Alloul.

El-Alloul menambah, tindakan hakim tersebut meningkatkan lagi sentimen Islamofobia.

Di bawah undang-undang Kanada, bukan menjadi kesalahan memakai hijab di mahkamah.

Ia hanya menyatakan mereka yang hadir di mahkamah perlu berpakaian sopan dan sesuai. - Press TV

Baca lagi >>

Solat sunat minta hujan

Kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat sunat istisqa, memohon ALLAH SWT menurunkan hujan berikutan cuaca panas yang melanda negara ini.

Solat sunat yang dijalankan di Empangan Durian Tunggal itu diimamkan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Suhairi Yunos yang turut melibatkan empat sekolah tahfiz, antaranya Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Jaim Chenderah, Jasin dan Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil.
Solat sunat istisqa dilaksanakan di Empangan Durian Tunggal bagi memohon hujan rentetan jangkaan berlaku musim panas berpanjangan sehingga penghujung Mac ini.

Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, solat sunat istisqa anjuran kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (Samb) diadakan susulan musim panas berpanjangan sehingga penghujung Mac.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri bersiap sedia menghadapi musim panas dengan memberi tumpuan kepada pengurusan air mentah dan pemerkasaan operasi di loji-loji rawatan.

“Samb mengepam 35 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal sejak 31 Disember lalu bagi mengekalkan paras takungan susulan disedut dan dipam ke Loji Air DAF I&II.

“Air turut dilepaskan dari empangan ini melalui Injap Kupu-kupu dan Draw Off Tower ke Sungai Melaka bagi menampung keperluan operasi Loji Air Bertam dan Loji Air Sebukor pada 3 dan 6 Februari lalu.

“Namun, kedua-duanya ditutup pada 17 Februari disebabkan hujan lebat sepanjang dua hari sejumlah 57 milimeter di sekitar Tidal Gate sungai,” katanya.

Abdul Ghafaar berkata, Samb turut mengepam air dari kolam-kolam sokongan seperti Tasik Ayer Keroh dan Kolam Kesang Pajak 2 ke Sungai Melaka sejak 5 dan 10 Februari lalu sehingga kini.

“Samb juga menjalankan Operasi Bekalan Mesra Pengguna bagi mengurus tekanan air dalam sistem retikulasi ke tahap paling optimum.

"Operasi itu antaranya dapat membantu mengurangkan kebocoran dan paip pecah, mengekalkan paras kolam bekalan air utama, memanjangkan tempoh simpanan air mentah serta menangguhkan catuan bekalan air," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ada apa di Taman Tamadun Islam?

Taman Tamadun Islam Management Sdn Bhd (TTIMSB) menyasarkan lebih ramai pelancong yang berkunjung untuk melawat lokasi istimewa di Taman Tamadun Islam (TTI) pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarah urusannya, Wan Adnan Wan Derahman berkata, pada 2013, terdapat 50,000 pelancong yang berkunjung ke situ dan jumlah itu meningkat kepada 55,000 pelancong pada tahun lalu.
Pelancong luar negara menaiki ‘buggy’ ketika melawat Taman Monumen di Taman Tamadun Islam.
“Berdasarkan jumlah tersebut, kita jangka pelancong akan semakin meningkat pada tahun ini terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.

“Pihak pengurusan TTI juga perlu bersedia pada musim cuti sekolah dan cuti umum bagi menyambut jumlah kedatangan pelancong yang ramai,” katanya.

Beliau berkata, Taman Monumen dan TTI River Cruise kini menyediakan promosi bermula 25 Februari dan 31 Mac 2015.

“Terdapat pakej harga istimewa bagi melawat Taman Monumen dan TTI River Cruise di mana kita menyediakan harga serendah RM29 bagi dewasa berbanding harga asal RM40 dan RM18 bagi warga emas serta kanak-kanak berbanding harga asal RM30.

“Sementara itu, bagi melawat Taman Monumen sahaja, harga promosi kita sediakan RM15 bagi dewasa berbanding harga asal RM20 dan RM10 bagi warga emas dan kanak-kanak berbanding harga biasa RM15,” katanya.

Menurut Wan Adnan, bagi menaiki TTI River Cruise pula, harga promosi ditawarkan serendah RM15 bagi dewasa berbanding harga asal RM20 dan RM10 bagi warga emas dan kanak-kanak berbanding harga asal RM15.

TTI yang berkeluasan 22.3 hektar itu terbahagi kepada dua zon di mana Zon A terdapat 23 monumen sejarah ketamadunan Islam daripada 21 negara.

“Di situ terdapat lima monumen interaktif di mana pengunjung berpeluang masuk dan lihat video tayangan mengenai sejarah setiap monumen itu dan selebihnya adalah monumen statik.

“Sementara itu, bagi zon B pula ia lokasi awam yang terdapat Masjid Kristal, TTI Konvensyen Centre, Arked Terengganu, Restoran Bbenteng, rumah tamu dan TTI River Cruise,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif TTI River Cruise, Mohd Nazir Mat Tahir berkata, TTI River Cruise yang berpusat di jeti Tokku Paloh itu mula beroperasi pada Mac 2009, dengan menggunakan tiga bot payang dan dua bot kolek yang diubahsuai dengan menggunakan kuasa enjin.

“Pada peringkat awal sehingga Mei 2010, syarikat itu telah mendapat bantuan kerajaan negeri dengan menggunakan bot fiber untuk tampung jumlah pengunjung yang di luar jangkaan.

“Sebelum ini, bot payang hanya mampu memuatkan seramai 12 orang dan bot kolek pula hanya boleh memuatkan enam orang sahaja. Untuk bot yang baru kita ada lapan buah bot iaitu tiga bot berkabin lima bot persiaran,” katanya.

Beliau berkata, bot berkabin mampu memuatkan seramai 32 orang manakala bagi bot persiaran boleh memuatkan seramai 42 orang.

“Setakat ini, maklum balas daripada pelancong yang menaiki TTI River Cruise amat memuaskan dan kita bersyukur kerana warisan seperti pulau di Terengganu masih terpelihara dan menjadi ikon pelancongan di negeri ini,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lebih 1 000 kanak-kanak Malaysia dijangkiti HIV

Sebanyak 1,076 kes jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang daripada 13 tahun dikesan di negara ini sejak 1986 hingga Disember 2013, kata Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Jasmin Jalil.
   
Beliau berkata, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, jumlah jangkitan HIV baharu dalam kalangan kanak-kanak bagi tahun 2013 sahaja adalah 50 kes atau satu peratus daripada keseluruhan 101,672 jangkitan sepanjang tempoh 27 tahun itu.
   
"Kanak-kanak ini mendapat jangkitan HIV semasa dalam kandungan kesan daripada ibu mereka tidak mengambil sebarang ubat untuk mengelakkan jangkitan," katanya kepada pemberita pada program Kayuhan Amal AIDS di sini hari ini.
   
Program itu dianjurkan MAF dan Universiti Kebangsaan Malaysia bertujuan mengumpul dana untuk membantu Orang Yang Hidup Dengan HIV terutama mereka yang kurang berkemampuan.
   
Seramai 250 peserta mengambil bahagian dalam acara itu yang juga diadakan sempena Hari Sifar Diskriminasi.
   
Menurut Jasmin, jangkitan HIV membabitkan golongan muda yang berusia antara 13 hingga 29 tahun sejak 1986 hingga 2013 adalah sebanyak 34 peratus daripada keseluruhan jangkitan sepanjang tempoh itu.
   
Mengenai Hari Sifar Diskriminasi, beliau berkata pihaknya akan terus memperhebat usaha untuk mengikis stigma dalam kalangan masyarakat terhadap Orang Yang Hidup Dengan HIV atau terjejas HIV.
   
Katanya antara pogram yang dilakukan termasuk mengadakan kempen advokasi seperti di tempat kerja dan sekolah. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pengalaman melabur dalam skim pelaburan....

Lima beradik bingung memikirkan nasib ibu mereka yang terjebak dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan hampir RM1 juta walaupun hanya melabur sebanyak RM250.

Anak wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ida mendakwa, pulangan pelaburan meragukan itu kerana sejak terlibat dengan pelaburan itu empat tahun lalu, ibunya belum pernah menerima sesen pun hasil, malah wang terus dilaburkan secara tunai.

Ida melihat antara kandungan SMS yang dihantar wakil skim pelaburan yang mempengaruhi ibunya supaya melabur.
Lebih parah lagi, ibunya terpaksa menutup kedai runcit diusahakan kerana tiada lagi pusingan modal selain dipercayai meminjam wang daripada ceti haram untuk melabur.

Menurut Ida, ibunya mudah terpengaruh dan sanggup memasukkan wang ke dalam satu akaun bank milik persendirian yang didalangi skim berkenaan apabila disuruh.

“Saya hanya tahu emak masuk skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘masuk dana’ itu beberapa bulan lepas. Saya terkejut bila dia tahu rupanya dah empat tahun emak melabur hampir RM13,000.

“Setiap kali kami adik-beradik tanya tentang pulangan, dia akan cakap nak dekat dapat dah tapi pengurusan skim pelaburan asyik minta dia masukkan duit dan beritahu proses pengeluaran pulangan ‘sangkut’ di pihak bank,” katanya.

Dia yang ragu-ragu dengan jawapan ibunya menyiasat isi kandungan sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar wakil skim pelaburan ke telefon bimbit ibunya.

Kata Ida, syarikat itu dipercayai berpangkalan di Shah Alam namun ibunya enggan mendedahkan lokasi sebenar selain menyembunyikan beberapa perkara lain apabila ditanya.

"Tapi setiap kali hendak ke pejabat pengurusan, ada kenderaan akan datang ambil mak di rumah. Saya rasa mereka sasarkan golongan yang tidak terdedah dengan dunia luar, selain mereka yang kemaruk untuk dapat wang cara mudah," katanya yang tinggal di satu kawasan terpencil di sebuah daerah di negeri ini.

Menurut Ida, dia tidak pasti ibunya dipukau ketika diajak menyertai skim itu, tetapi sehingga kini ibunya sering kehabisan wang meski menerima wang bulanan wang bulanan daripada anak-anak.

Mesin jahit dan beberapa peralatan rumah turut dijual ibunya dipercayai untuk menambah duit pelaburan.

Kata Ida, ramai mangsa yang turut menyertai skim itu malah difahamkan ada yang membuat pelaburan lebih 10 tahun namun tidak pernah mendapat pulangan dan pelbagai alasan diberikan pihak penganjur skim.

"Sebagai anak saya sedih emak saya diperdaya. Mereka tipu warga emas yang mudah dipengaruhi kononnya dapat pulangan ribuan ringgit dalam masa singkat. Tapi hasilnya tiada," katanya dengan nada kesal.

Baca lagi >>

Perkara yang perlu dilakukan ketika menghadapi cuasa panas sekarang

Orang ramai dinasihati membawa bekalan air ketika melawat kawasan pelancongan bagi menjaga tahap hidrasi badan mereka pada musim panas dan kering ketika ini.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ghazali Othman berkata, adalah penting bagi semua orang menjaga tahap hidrasi bagi mengelakkan daripada mengalami 'heat stroke' atau strok haba.

"Kurangkan aktiviti luar terutama yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari terik, selain bawa bekalan air jika melawat kawasan pelancongan yang terdedah cahaya matahari, gunakan payung dan jangan terlalu lama terdedah.

"Saya cadangkan jika mahu melawat kawasan pelancongan ini dan lakukan aktiviti luar lain, lakukan pada waktu lewat petang yang lebih sejuk dan kurang panas," katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia cuaca panas dan kering melanda beberapa kawasan di negara ini adalah akibat Monsun Timur Laut dan dijangka berakhir  pada penghujung bulan ini.    

Dr Ghazali berkata, pengambilan minuman yang mencukupi amat perlu bagi mengimbangi struktur air dalam badan akibat peluh yang banyak ketika cuaca panas dan kering sekarang.

"Seseorang perlu minum air dengan banyak dan mencukupi kerana jika air tidak mencukupi dalam badan ia boleh menyebabkan demam yang boleh menyebabkan badan menjadi lemah sekali gus memudahkan jangkitan seperti jangkitan saluran pernafasan yang boleh menyerang paru-paru," katanya. 

Bernama 

Baca lagi >>

Cucuk vaksin influenza A dulu sebelum ke India

Individu yang ingin ke India terutama kanak-kanak, warga tua dan wanita mengandung digalak mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim termasuk untuk selesema babi atau influeza A (H1N1) yang terdapat dalam pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit kronik paru-paru dan jantung, penyakit buah pinggang dan pesakit yang mengalami ‘immune-suppression’ juga disaran mendapatkan vaksin sama sebelum mengunjungi India.

Katanya, vaksin itu boleh diperoleh di fasiliti kesihatan swasta. "Sekiranya terdapat gejala penyakit seperti demam, selesema, sakit tekak dan batuk adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian berikutan laporan Kementerian Kesihatan India yang mengesahkan wujud penularan wabak influenza A iaitu jenis virus sama dengan pandemik H1N1 yang berlaku pada tahun 2009.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ogos 2010 mengumumkan bahawa dunia kini berada dalam fasa pasca pandemik H1N1 dan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu itu tidak lagi memantau jangkitan influenza H1N1 secara khusus.

Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan, risiko jangkitan dan komplikasi akibat influenza A adalah serupa dengan influenza bermusim yang lain.

Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk H1N1 di dalam komuniti adalah secara sebaran melalui cecair batuk atau bersin oleh mereka yang dijangkiti.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebagai langkah kesiapsiagaan, Kementerian Kesihatan melakukan pemantauan situasi influenza di negara ini bagi mengesan sebarang kejadian luar biasa.

Katanya pemantauan dibuat melalui Malaysian Influenza Surveillance System (MISS) meliputi penyakit serupa influenza (ILI) pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan juga pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi kerana jangkitan saluran pernafasan teruk.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan juga bertanggungjawab memantau jenis virus influenza di negara ini.

Beliau berkata, walaupun WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan ke India, orang awam adalah dinasihat sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan influenza.    

"Kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan, memakai penutup mulut dan hidung sekiranya berdekatan dengan orang yang
mempunyai gejala jangkitan, amalkan adab batuk yang baik serta amalkan cara hidup sihat.

"Orang awam juga dinasihat agar mengelak daripada mengunjungi kawasan yang sesak dengan orang ramai," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>