Saturday, 28 February 2015

Pemimpin pembangkang Russia Boris Nemtsov ditembak mati

Pemimpin pembangkang Russia, Boris Nemtsov ditembak mati di tengah Moscow tengah malam tadi, demikian menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Russia.

"Di tengah Moscow, seorang lelaki dengan dokumen bernama Boris Yefimovich Nemtsov ditemui terbunuh," kata jurucakap berkenaan memberitahu AFP.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut.


Polis Moscow mengesahkan mengenai pembunuhan itu dan sudah membuka kertas siasatan.

"Menurut maklumat awal, seorang lelaki ditembak antara tujuh hingga lapan das dari sebuah kereta ketika mangsa sedang berjalan kaki menyusuri jambatan Bolshoi Moskvoretsky," kata pasukan penyiasat dalam satu kenyataan.

Nemtsov, antara pemimpin pembangkang yang lantang mengkritik Presiden Vladmir Putin.

Beliau memulakan karier politiknya sebagai Gabenor Wilayah Nizhny Novgorod di tengah Russia dan menjadi Timbalan Perdana Menteri pada lewat 1990-an ketika pemerintahan Presiden Boris Yeltsin.

Selepas meninggalkan Parlimen pada 2003, beliau membantu kepada pembentukan beberapa parti dan kumpulan pembangkang.

Pembunuhan Nemtov ketika menjelangnya satu tunjuk perasaan besar-besaran pembangkang yang dijadualkan pada 1 Mac. 

Bharian

Baca lagi >>

Harga rumah dijangka meningkat 2-3% selepas GST

Emkay Group (Emkay) menjangka harga pasaran kediaman berkembang antara dua hingga tiga peratus selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April ini berikutan kos barangan pembinaan dijangka meningkat.

Namun, permintaan pembelian perumahan tetap ada walaupun terdapat pelbagai spekulasi mengenai peningkatan harga jualan hartanah memandangkan ia satu keperluan.

Pengerusinya, Tan Sri Mustapha Kamal berkata, situasi itu akan kembali stabil bergantung kepada permintaan dan pasaran memandangkan pemaju memastikan produk dilancarkan mampu terjual.

Beliau berkata, pasaran hartanah pada suku pertama ini seperti biasa tidak berlaku sebarang pembelian panik daripada orang ramai.

“Terdapat tiga kategori pembeli hartanah iaitu spekulator yang ingin menaik taraf hartanah dan pembeli tulen. Berikutan GST, besar kemungkinan dua golongan pertama itu tidak membeli produk hartanah, hanya tinggal golongan pembeli tulen yang akan membeli aset berkenaan.

“GST sememangnya memberi kesan kepada pasaran, tetapi kita perlu menyediakan produk berkualiti kepada pembelian kerana ia membantu meningkatkan permintaan pasaran pada masa panjang,” katanya pada majlis menandatangi perjanjian antara CIDB Holdings Sdb Bhd dan MK Land Holdings Bhd di sini, semalam.

Menerusi perjanjian itu kedua-dua pihak bekerjasama dalam bidang berkaitan industri pembinaan serta berkongsi kemudahan bagi pendidikan, kursus, penyelidikan serta pembangunan.

MK Land menjadikan Sistem Penilaian Kualiti Untuk Kerja Pembinaan Bangunan(Qlassic) sebagai mandatori dalam projek pembinaannya yang mana setiap kontraktor perlu mempunyai penilaian berkenaan sebelum mendapat penganugerahan projek.

Dari 2007 hingga 2014 terdapat 976 projek dinilai menerusi Qlassic yang disediakan oleh CIDB. Menerusi Qlassic, prestasi kontraktor akan dinilai secara keseluruhan bagi membolehkan produk yang dibangunkan berkualiti.

Hmetro

Baca lagi >>

Tips berjimat-cermat untuk pelajar U

Mengalami situasi selalu kekura­ngan wang perkara biasa sebagai pelajar kolej atau universiti. Sebenarnya tempoh belajar masa terbaik untuk remaja melatih diri mengurus kewangan.

Ada beberapa cara boleh diamalkan untuk mengelak pelajar berasa sangat kesempitan wang di kampus. 

Gen Y kongsi amalan mengawal perbelanjaan untuk siswazah di luar sana praktikkan.

1. Jimat perbelanjaan makan

Berjimat dalam perbelanjaan ke atas makanan tidak bererti kurangkan makan dalam seharian. Ia bermaksud jangan berbelanja berlebihan dalam membeli makanan. Pakar mengatakan sebagai pelajar mempunyai empat set makanan iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam dalam sehari sudah mencukupi.

Jangan membeli makanan yang mahal selalu dan jangan terikut-ikut lepak di kafe atau restoran mahal hanya untuk mengambil gambar dan menunjukkannya di laman sosial. Tidak salah jika mahu merasakan sesuatu makanan mahal untuk memberi ganjaran ke atas diri sendiri, namun jangan jadikannya alasan dan amalan.

Boleh berjimat juga dengan membeli makanan yang boleh disimpan agak lama, namun masih sihat untuk dimakan dan jadikannya sebagai hidangan dalam set makanan. Contohnya, mungkin boleh beli roti dan jem yang tahan selama seminggu untuk hidangan sarapan atau minum petang. Dari situ saja boleh jimat banyak wang berbanding makan di kafe atau restoran.

2. Beli buku terpakai

Buku yang sudah digunakan atau dalam terma yang biasa digunakan, terpakai, jauh lebih murah daripada buku baru di kedai. Tanyalah kepada senior di kampus sama ada mereka mahu menggunakan buku teks atau rujukan yang sudah gunakan semasa di semester kamu sekarang. Namun, pastikan edisinya masih relevan dan disyorkan pensyarah supaya ia boleh digunakan nanti.

Amalan ini juga boleh dilakukan untuk membeli novel atau bahan bacaan lain.

3. Diskaun pelajar

Antara cara yang bagus untuk berjimat ketika bergelar siswazah adalah dengan membeli di kedai atau restoran yang mempunyai diskaun atau potongan harga khas untuk pelajar. Ramai pelajar tidak sedar beberapa kedai dan restoran menawarkan diskaun untuk pelajar daripada 5 peratus hinggalah 20 peratus.

Jika ia tidak ditulis di tag harga atau kedai, janganlah malu bertanya kepada jurujual.

4. Belajar secara online

Waktu bergelar pelajar memang satu masa sesuai untuk belajar tentang skil atau ilmu lain kerana mungkin banyak masa yang terluang. Contohnya ada yang ingin belajar bahasa Perancis, belajar berenang atau sebagainya.

Untuk berjimat, dicadangkan belajar melalui kelas dalam talian. Banyak bahan bacaan dan tutorial yang terdapat dalam laman web khas dan media sosial seperti YouTube misalnya. Jadi tak perlulah membayar yuran bulanan atau caj lain yang selalunya mahal.

5. Jangan menunjuk

Sebagai pelajar tidak sesuai untuk kita menunjuk-nunjuk terutama jika bukan daripada keluarga kaya raya. Jika melihat kawan lepak di cafe mahal, pakai baju berjenama atau memiliki gajet pintar yang mahal tidak perlulah kita juga terikut-ikut dan berbelanja seperti mereka.

Bergayalah mengikut kemampuan. Apa yang penting keyakinan diri diiringi rasa rendah diri supaya kita tidak mengalami masalah kewangan yang boleh menyusahkan diri sendiri nanti.

Hmetro

Baca lagi >>

Cara jaga tudung yang ber'awning' supaya tahan lama

Pelbagai jenis tudung yang diperkenalkan di pasaran memudahkan pemilihan buat wanita Muslimah di negara ini. Namakan saja jenisnya, tentu setiap wanita bertudung pernah memakainya atau setidak-tidaknya menyedari kewujudannya.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu setiap jenis tudung mempunyai cara penjagaan yang berbeza mengikut jenis kain atau fabrik digunakan.

Misalnya, tudung bersengkuap (awning) yang mempunyai bahagian atas tudung yang lazimnya lebih tebal dan keras perlu dijaga rapi supaya bahagian berkenaan tidak mudah terlipat atau patah.

Bahagian sengkuap ini terdiri daripada pelbagai jenis material seperti sutera shantung, kain broked, kain kapas jepun, kodroi dan beberapa material lagi.

Walaupun pemakaian tudung jenis sengkuap ini lebih mudah dan menjimatkan masa bagi mereka yang mahu cepat atau bergegas ke tempat yang ingin dituju, terdapat cara yang betul untuk memastikan tudung ini tahan lama lebih-lebih lagi pada bahagian sengkuap.

Penjagaan tudung amat penting bagi menjamin kualiti tudung supaya sentiasa berada dalam keadaan baik serta tahan lama.

Jika mahu ke sesuatu tempat dan membawa tudung jenis ini di dalam beg, ia boleh digulung dengan cara memasukkan keseluruhan tudung ke dalam sengkuap.

Bagi tudung bersengkuap menggunakan fabrik lycra yang tahan kedut dan tidak perlu gosok namun jika perlu, seterika dengan suhu rendah.

Pemilik juga diingatkan supaya tidak melipat bahagian sengkuap kerana boleh menyebabkan tudung tidak terbentuk cantik ketika dipakai.

Untuk membasuh tudung jenis ini, hanya basuhan tangan saja digalakkan dan penggunaan mesin basuh hanya akan merosakkan tudung jenis ini.

Berikut cara basuhan tudung ini:

1. Celupkan tudung ke dalam air sabun dengan memegang bahagian sengkuap. Seeloknya gunakan sabun lembut atau pelembut pakaian.

2. Jika ingin merendam tudung jenis itu jangan terlalu lama dengan memasukkan seluruh bahagian tudung dalam baldi namun bahagian sengkuap digantung pada bibir baldi.

3. Sekiranya ada peruntukan lebih digalakkan menggunakan khidmat cucian kering terutama yang dihiasi batu kristal, permata atau renda.

4. Jangan memberus atau menggosok tudung terlalu kuat kerana dikhuatiri akan merosakkan fabrik.

5. Terdapat beberapa jenis sengkuap yang akan lembik apabila kerap dibasuh, oleh itu jangan rendam terlalu lama atau gosok sewaktu ia dalam keadaan lembap.

6.Cara mengeringkan atau menyidai tudung ini adalah dengan menggunakan penyepit dengan melepas bahagian sengkuap ke bawah dan elakkan melipat bahagian itu.

Hmetro

Baca lagi >>

Minyak naik lagi tengah malam ni

Mulai jam 12.01 tengah malam ini, harga runcit baru RON95, RON97 dan diesel sepanjang Mac masing-masing RM1.95, RM2.25 dan RM 1.95 seliter .

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, sepanjang Februari harga runcit bagi RON95 adalah pada harga RM1.70 seliter selain RON97 pula adalah RM2 seliter, manakala, diesel pula ditetapkan pada harga RM1.70 seliter.

Katanya, harga baru bahan api itu hanya berkuatkuasa bagi bulan Mac saja, malah kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa pasaran minyak global bagi menentukan harga runcit petrol dan diesel untuk bulan-bulan berikutnya.

"Seperti sedia maklum bahawa kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 November lalu memutuskan bahawa penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal dimana ia kaedah sama digunakan bagi menetapkan harga runcit RON97 sejak Julai 2010," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, petang ini.

Katanya, semua syarikat minyak serta pengusaha minyak diingatkan agar mematuhi penetapan harga baru ini.

Hmetro

Baca lagi >>

Keputusan Piala FA pusingan ke 2 semalam



Berikut adalah keputusan perlawanan bola sepak Piala FA, pusingan kedua, semalam.

SG ARA FC........................0    MISC-MIFA....................1

NS MATRIK......................2    UITM FC.........................0

SIME DARBY....................5    PBAPP FC......................1

PDRM ..............................3      SABAH..........................0

SARAWAK ......................1       KELANTAN..................2

HANELANG FC...............0       KEDAH...........................1

KL MOF FC.....................1        K LUMPUR...................3




Bharian

Baca lagi >>

Piala FA: PDRM, Kelantan mara ke pusingan ke 3

Pasukan pilihan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan masing-masing merakamkan kemenangan penting dalam saingan pusingan kedua, Piala FA, malam tadi.

PDRM atau The Cops menyambung rentak garang menewaskan Sabah 3-0 di Stadium Shah Alam manakala Kelantan kembali ke landasan kemenangan mengetepikan Sarawak 2-1 di Kuching untuk mara pusingan ketiga.

Paling ceria adalah Sime Darby yang berpesta gol membelasah PBAPP FC 5-1 di Stadium MP Selayang, termasuk hatrik daripada penyerang import Serbia, Nemanja Vidakovic pada minit ke-11, 23 dan 56.

PEMAIN PDRM Mohamadou Sumareh (bawah) terjatuh selepas diasak pemain Sabah, Julamri Muhammad pada perlawanan Piala FA di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan (27 Feb 2015)

Dua lagi jaringan menyusul daripada Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-41 dan Marko Perovic (m-54).

Kemenangan untuk PDRM pimpinan Azman Adnan harus menggembirakan pasukan Sang Saka Biru selepas mencari penawar duka apabila tersingkir pada peringkat suku akhir, musim lalu.

Kejayaan ini menyaksikan mereka layak ke pusingan ketiga berdepan lawan dari Liga Super, Sime Darby.

PDRM membuka tirai jaringan pada minit ke-27 hasil penyudah kemas penyerang import dari Maldives, Ashfaq Ali selepas menerima lorongan kemas daripada Dramane Traore.

Tuan rumah yang agresif menambah gol kedua pada minit ke-40 selepas Traore yang tidak dikawal mudah menolak masuk bola hantaran Ashfaq dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol Sabah, Fazli Paat.

Tersentak, Sabah memasukkan bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf pada minit ke-44, namun PDRM bertambah kukuh dengan gol ketiga menerusi tandukan Traore pada masa kecederaan.

Di Kuching, Kelantan yang tewas 0-4 kepada PDRM dalam saingan Liga Super di Kota Bharu menampilkan wajah baharu dan berjaya mendahului seawal minit ke-2 hasil jaringan pemain import dari Colombia, Erwin Carillo.
PEMAIN Sarawak, Ryan Griffiths (kiri) menjaringkan gol menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada perlawanan Piala FA di Stadium Negeri Kuching. - Foto Mas Adib Saie 

Namun, Sarawak tidak mengalah dan dengan sorakan padu penyokong tempatan mereka dapat mengimbangi cabaran dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 hasil jaringan pemain import dari Australia, Ryan Alan Griffiths.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan memberi aksi bertenaga namun Kelantan lebih tajam dan berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-64 menerusi Emmanuel Kenmogne.
PEMAIN NS Matrik, G Puaneswaran (tengah) diasak pemain UiTM FC, Mohd Adib Zainuddin (kanan) dan Ahmad Shahir dalam perlawanan Piala FA di Stadium Tuanku Abduk Rahman Paroi, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Dalam perlawanan lain, NS Matrik turut ceria menewaskan UiTM FC 2-0 di Stadium Paroi manakala bekas juara, Kuala Lumpur menewaskan KL MOC FC 3-1 di Stadium INSPENS, Bangi.
PEMAIN Sungai Ara FC, Muhammad Nur Amzar (kanan) dikejar pemain Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) pada perlawananan Piala FA di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. - Foto Danial Saad 
Bharian

Baca lagi >>