Thursday, 26 February 2015

Kedai nasi kandar kotor 15 premis di arah tutup

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengarahkan 15 restoran dan kedai nasi kandar di negeri ini ditutup berkuat kuasa hari ini kerana beroperasi dalam keadaan kotor.

Daripada jumlah itu, enam premis berkenaan terletak di Seberang Perai Utara; Seberang Perai Tengah (dua); Timur Laut (tiga); dan Barat Daya (empat), kata Ketua Unit Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Ahmad Shukri Bakar.

Beliau berkata, dalam operasi empat jam bermula 9.30 pagi tadi, pihaknya mengesan kesalahan menjijikkan seperti periuk berisi ayam siap diperap diletakkan di atas penutup longkang dalam keadaan terdedah.

"Ada juga bekas berisi ayam goreng diletak di sebelah tong sampah yang tidak berpenutup selain najis tikus bersepah di dalam stor menyimpan bahan mentah," katanya kepada pemberita selepas operasi di Jalan Bertam di sini.

Beliau berkata, daripada 32 premis yang diperiksa di seluruh negeri ini, jabatan itu mendapati kebanyakan pekerja rakyat asing tidak memiliki sijil pengendali makanan selain tidak menerima suntikan tifoid.

Ahmad Shukri berkata, kesemua premis yang diarah tutup itu diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 sebelum diperiksa sekali lagi.

"Bagaimanapun bagi mengelak operasi perniagaan tergendala lebih lama, pengusaha boleh meminta pegawai penguat kuasa memeriksa semula premis mereka, paling minimum tiga hari selepas notis penutupan dikeluarkan," katanya.

Jabatan itu turut mengeluarkan tujuh kompaun berjumlah RM6,100 manakala 30 notis saman bernilai RM2,110 pula dikeluarkan pihak berkuasa tempatan atas kesalahan pengurusan sisa tidak sempurna.

Orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini. 

Bharian

Baca lagi >>

Mahkamah tolak permohonan suami Shahrizat untuk batal tuduhan pecah amanah

Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Azman Husin, menolak permohonan Mohamad Salleh selepas mendapati kedua-dua pertuduhan itu adalah teratur dan tidak cacat serta terdapat isu yang perlu dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

Mohd Azman berkata, mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Agung yang memutuskan bahawa tiada jalan pintas dalam sesuatu kes.

Oleh itu, katanya, dalam kes ini ia perlu menjalani perbicaraan penuh.

"Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf pada peringkat ini. Oleh itu, rayuan ditolak dan kes dihantar ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh," katanya.

Mohd Azman, bagaimanapun, membenarkan permohonan peguam Al-Firdaus Shahrul yang mewakili Mohamad Salleh, untuk menangguhkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Pada 22 November 2013, Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menolak permohonan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, selepas mendapati pertuduhan itu tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui perbicaraan.

Mohamad Salleh, 66, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail. Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat itu di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan itu, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir bertindak bagi pihak pendakwaan.

Bernama

Baca lagi >>

Maybank untung RM6.72b tahun lepas

Maybank sekali lagi mencatat prestasi kewangan kukuh dengan keuntungan bersih meningkat 2.5 peratus ke paras tertinggi baharu, RM6.72 bilion bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding RM6.552 bilion tahun sebelumnya.

Pendapatannya pula melonjak 7.4 peratus kepada RM35.712 bilion berbanding RM33.250 bilion sebelumnya.

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2014, keuntungan bersihnya melonjak 11.5 peratus kepada RM1.931 bilion berbanding RM1.732 bilion, didorong oleh peningkatan 21.6 peratus dalam pendapatan fi dan peningkatan 1.6 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih.

Pendapatan pada suku itu meningkat kepada RM9.662 bilion berbanding RM8.269 bilion sebelumnya.

Berikutan pencapaian memberangsangkan itu, Maybank mengisytiharkan dividen akhir 33 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan menjadikan jumlah dividen keseluruhan tahun lalu 57 sen sesaham.

"Prestasi kukuh itu didorong pengukuhan segmen francais di rantau ini walaupun berdepan persekitaran yang mencabar.

"Kami berjaya menampan kesan aktiviti pasaran modal yang perlahan bagi perniagaan perbankan pelaburan dan pasaran global dengan menutup tahun lalu pada paras pendapatan yang kukuh untuk kedua-dua sektor," katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Farid Alias, dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohamed Rafique Merican.

Dalam pada itu, Megat Zaharuddin berkata, Maybank berharap anak syarikatnya, Maybank Islamic, akan menjadi antara bank Islam kelima teratas di Indonesia menjelang akhir tahun ini.

Maybank Islamic mempunyai kira-kira 450 cawangan di negara itu.

Megat Zaharuddin berkata, di bawah Ketua Pegawai Eksekutif, Muzaffar Hisham, Maybank Islamic berjaya menembusi pasaran Indonesia melalui dua unit iaitu, Maybank Syariah dan Bank Internasional Indonesia. Maybank Islamic juga merancang untuk berkembang ke Singapura.

Pada 2014, pendapatan Maybank Islamic meningkat kepada RM3.27 bilion, 16.4 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya berikutan sumbangan lebih baik daripada pasaran antarabangsa.

Keuntungan sebelum cukainya berjumlah RM1.61 bilion, 9.2 peratus lebih tinggi daripada 2013. Pembiayaan kasar Maybank Islamic naik 25 peratus kepada RM108.5 bilion, dirangsang pertumbuhan 25 peratus tahun ke tahun dalam perkhidmatan pembiayaan komuniti dan kenaikan 23 peratus dalam pembiayaan perbankan global.

Pembiayaan Islam kini merangkumi 43.8 peratus daripada jumlah pembiayaan domestik Maybank berbanding 38.9 peratus pada tahun kewangan 2013.

Maybank Islamic mengekalkan kedudukannya sebagai bank Islam ketiga terbesar dunia dengan aset AS$38.7 bilion (RM139.7 bilion) dan sebagai bank Islam utama di Malaysia dengan 29.3 peratus penguasaan pasaran aset Islam.

Bharian

Baca lagi >>

Senarai terkini orang terkaya di Malaysia

TAN Sri Robert Kuok dan beberapa hartawan perniagaan tempatan mengekalkan kedudukan masing-masing dalam Senarai Individu Terkaya Malaysia anjuran Forbes, biarpun kekayaan mereka terbukti terjejas akibat penurunan harga minyak dan ringgit.

Kuok, 91, yang menjalankan perniagaan termasuk minyak sawit, gula, hartanah dan perhotelan, terus mengungguli kedudukan teratas bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Kekayaannya, bagaimanapun, susut US$200 juta kepada US$11.3 bilion.
TAN Sri Robert Kuok
Menurut Forbes, Kuok Group menguasai beberapa syarikat yang tersenarai di Hong Kong, Malaysia serta Singapura.

Kedudukan seterusnya disandang: 
2. Ananda Krishnan dengan kekayaan bernilai US$9.7 bilion, 
3. Tan Sri Quek Leng Chan (US$5.6 bilion), 
4. Tan Sri Lim Kok Thay (US$5.5 bilion), 
5. Tan Sri Teh Hong Piow (US$5.4 bilion), 

6. Tan Sri Lee Shin Cheng (US$4.6 bilion), 
7. Tan Sri Yeoh Tiong Lay (US$3 bilion), 
8. Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (US$2.9 bilion), 
9. Goh Peng Ooi (US$1.55 bilion) dan 
10. Tan Sri Lee Oi Hian serta Datuk Lee Hau Hian US$1.45 bilion.

Nilai kekayaan Ananda - taikun telekomunikasi, turut susut sebanyak US$1.6 bilion kepada US$9.7 bilion, sebahagiannya akibat kejatuhan saham Bumi Armada yang juga syarikat perkhidmatan telaga minyak luar pesisir.

Aset telekomunikasi mewakili separuh kekayaannya menerusi pemilikannya dalam Maxis, kata Forbes.
Tan Sri Quek Leng Chan berganjak ke tempat ketiga daripada keempat sebelum ini, biarpun kekayaannya susut sebanyak US$800 juta bagi tempoh setahun lepas kepada US$5.6 bilion.

Beliau yang memiliki Hong Leong Co, mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor daripada makanan kepada kewangan selain pelaburan dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta pegangan dalam firma Indonesia Samudra Energy, syarikat Malaysia Scomi Energy Services, Alam Maritim Resources dan firma Singapura, Ezion yang menjadi pembekal sokongan untuk perkapalan dan telaga minyak.

Senarai terkini Forbes itu turut dibarisi empat muka baharu iaitu: 
  • taikun hartanah Khoo Cheng Hai di tempat ke-45 dengan nilai kekayaannya US$285 juta selepas sahamnya dalam KSL Holdings berlipat ganda; 
  • pakar pembungkusan Lim Teck Meng daripada Scientex (tempat ke-46 dengan kekayaan US$280 juta); 
  • hartawan fabrikasi minyak-perkapalan Coastal Contracts Ng Chin Heng (tempat ke-47, US$275 juta) 
  • hartawan hartanah dan pengasas bersama United Overseas Australia, Kong Chong Soon (tempat ke-50, US$240 juta).
Taikun kasino Tan Sri Lim Kok Thay daripada Genting Group menduduki tempat keempat dengan kekayaan bernilai US$5.5 bilion, merosot daripada US$6.5 bilion tahun lepas berikutan penyederhanaan ekonomi China yang menjejaskan sektor perjudian dan hiburan rantau ini.

Bagaimanapun, kekayaan yang dimiliki beberapa hartawan yang tersenarai, terjejas teruk terutama mereka yang memiliki pelaburan atau berkaitan sektor minyak.

Tan Sri Mokhzani Mahathir yang juga pelabur dalam firma perkhidmatan minyak dan gas iaitu SapuraKencana Petroleum, turut menyaksikan kekayaannya susut kepada US$700 juta berbanding US$1.2 bilion, tahun lepas.

Namun, tidak semua hartawan Malaysia berdepan cabaran sedemikian.

Tan Sri Lau Cho Kun yang juga taikun kelahiran Sabah, mencecah status hartawan bertaraf 'bilionaire' dan muncul individu ke-15 terkaya di Malaysia menerusi hasil perladangan dan perdagangan dengan nilai kekayaannya US$1.08 bilion.

Beliau adalah pemegang saham terbesar dalam Hap Seng Consolidated Bhd.

Kekayaan taikun perisian, Goh Peng Ooi meningkat kira-kira US$450 juta kepada US$1.55 bilion dan tersenarai ahli perniagaan kesembilan terkaya di Malaysia.

Firma miliknya, Silverlake Axis kini membekalkan perisian kewangan kepada 40 peratus bank di serata Asia Tenggara.

Antara syarat untuk tersenarai tahun ini adalah pemilikan kekayaan minimum US$240 juta iaitu meningkat daripada US$220 juta.

Senarai penuh boleh diperolehi di www.forbes.com/malaysia dan edisi terbaharu Forbes Asia.

Bernama

Baca lagi >>

Pernah tengok pelanduk putih?

Penemuan seekor pelanduk putih di pulau legenda ini menyebabkan kediaman milik Jismani Hasan, 41, di Kampung Buluh Penyumpit, dekat Kuah, di sini, menjadi tumpuan ramai.

Difahamkan, pelanduk putih yang dianggap unik dan jarang ditemui itu, dijumpai Jismani ketika mencari madu lebah di kawasan Hutan Simpan Bukit Tekoh, di sini, bersama anak lelakinya pada petang Rabu minggu lalu.
Pelanduk yang biasa kita lihat
Menceritakan penemuan pelanduk berkenaan, Jismani berkata, haiwan unik itu ditemui kira-kira jam 5.30 petang ketika dia dan anaknya berada di kawasan tepi sungai berhampiran Telaga Tok Siti di Hutan Simpan Bukit Tekoh.
"Kami terserempak dengan pelanduk putih berkenaan ketika ia turun untuk meminum air di tepi sungai... tanpa berlengah kami terus pasang pukat di kawasan terbabit, sebelum pelanduk putih berkenaan berjaya dijerat kira-kira sejam kemudian," katanya.

Jismani berkata, sejak berita penemuan haiwan unik itu tersebar, pelanduk yang diberi nama 'Awang Putih' itu ternyata mencuri tumpuan ramai sehinggakan kediaman Jismani sering dikunjungi orang ramai yang berhasrat menyaksikan haiwan berkenaan.

JISMANI Hasan, 41, bersama pelanduk putih yang berjaya dijerat di Hutan Simpan Bukit Tekoh di Langkawi - Foto Hamzah Osman
Malah, bapa kepada enam anak itu turut mengakui ada pihak yang menawarkan harga sehingga melebihi RM1,000 untuk membeli Awang Putih, namun dia lebih selesa untuk membelanya sendiri.

Difahamkan penemuan pelanduk putih itu adalah yang kedua di pulau pelancongan ini, selepas haiwan ganjil sama pertama kali ditemui di Hutan Simpan Bukit Tekoh pada 23 Mac 2001. 

Bharian

Baca lagi >>

Jalan di sekitar Teluk Intan ditutup secara berperingkat mulai hari ini

Beberapa jalan di sekitar Teluk Intan akan ditutup secara berperingkat mulai hari ini bersempena majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina di Dataran Menara Condong di sini, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penutupan membabitkan: 
  • laluan dari persimpangan lampu isyarat Jalan Changkat Jong menghala Jalan Maharajalela, 
  • jalan sekitar Dataran Menara Condong, 
  • Jalan Pasar, 
  • Jalan Bandar, 
  • Jalan Ah Cheong dan 
  • Jalan Woo Saik Hong.

Grafik menunjukkan laluan di sekitar Teluk Intan yang akan ditutup secara berperingkat mulai hari ini bersempena majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina di Dataran Menara Condong, Sabtu ini.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin ke majlis itu boleh meletak kenderaan di:
  • tapak bazar Ramadan di Jalan Mahkota, 
  • tapak lama bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di Jalan Changkat Jong dan 
  • tapak Dataran Udang di Jalan Mahkamah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dijadual menghadiri majlis itu.

Mohd Shuhaily turut menasihati pengguna agar merancang perjalanan serta seboleh-bolehnya mengelak melalui jalan yang terlibat dengan penutupan atau pelencongan.

"Orang ramai juga diingatkan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan anggota polis yang bertugas, dan dilarang meletak kenderaan di jalan yang terlibat dengan acara itu," katanya.

Bharian

Baca lagi >>

Khabar angin Lee Kuan Yew meninggal dunia tidak benar

Khabar angin tersebar yang menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew telah meninggal dunia adalah tidak benar, menurut Menteri Tenaga Manusia Tan Chuan-Jin di laman Facebooknya.

"Khabar angin tersebar dengan meluas. Ramai dalam kalangan anda menghantar mesej bertanyakan mengenai keadaan Encik Lee Kuan Yew. Terus berdoa untuk beliau kembali pulih," katanya.

Saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia sebelum ini melaporkan bahawa stesen televisyen berkenaan telah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa bahawa khabar angin itu adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan Sabtu lalu, pejabat Perdana Menteri Pejabat (PMO) berkata Lee telah dimasukkan ke Hospital Besar Singapura pada 5 Februari lepas kerana menghidap radang paru-paru yang teruk.

Menurut kenyataan itu, keadaan beliau telah kembali stabil namun masih berada dalam ventilasi mekanikal di Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau sedar dan diberikan sedatif ringan.

Lee, 91, adalah Perdana Menteri pertama Singapura (1959-1990) dan dianggap perdana menteri yang paling lama berkhidmat di dunia.

Bharian

Baca lagi >>