Wednesday, 25 February 2015

Syarikat penyedia makanan dalam MAS tak jadi ambil alih Burger King

BRAHIM'S Holdings Bhd membatalkan rancangannya untuk mengambil alih francais Burger King di Malaysia dan Singapura apabila lebih 90 peratus pemegang sahamnya menentang cadangan itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata antara alasan yang diberikan ialah rantaian makanan segera itu mencatatkan kerugian.  

Penyedia hidangan dalam kapal terbang itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa di sini hari ini untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi membeli 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Rancak Selera Sdn Bhd, unit Ekuinas, dengan harga RM95 juta.    

Rancak Selera juga merupakan syarikat pegangan bagi Cosmo Restaurants Sdn Bhd dan Burger King Singapore Pte Ltd.    

Pembelian itu akan memberikan Brahim kuasa kawalan rangkaian Burger King dan peluang untuk menyepadukan portfolio sedia adanya.    

Meskipun sambutan negatif daripada pemegang saham, Ibrahim berkata syarikat itu akan terus mencari pembelian baharu, tetapi masih dalam industri makanan dan minuman.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Nak tahu kenapa stereng kereta jadi berat?

Ada ketikanya pemandu tidak berasa selesa apabila stereng menjadi semakin ketat dan berat. Anda perlu menggunakan lebih tenaga untuk memutar stereng dan keadaan ini menyusahkan, terutamanya ketika meletak kenderaan dan apabila perlu banyak membelok.

Antara sebab keadaan ini berlaku termasuk: 

  • tekanan tayar depan yang terlalu rendah, 
  • penjajaran (alignment) tayar depan yang kurang tepat, 
  • kekurangan atau kerosakan minyak pelincir di dalam kotak gear stereng, 
  • kekurangan gris pada sambungan rod stereng atau pengalas tayar depan dan 
  • penyelarasan yang kurang sempurna pada peralatan pengemudian.

Apa perlu dilakukan bila berhadapan keadaan sebegini?

1. Periksa tekanan tayar hadapan dan pelinciran sambungan rod stereng. Agar pemeriksaan dapat dilakukan dengan mudah, tongkat kenderaan hingga kedua-dua roda depan tergantung. Kemudian periksalah adakah sambungan dan skru sistem pengemudian cukup ketat.

2. Periksa kotak gear stereng, sambungan bebola atau gantungan depan, termasuk hujung dan pangkal rod pengikat. Untuk mengetahui kerosakannya, putarlah stereng ke kiri dan ke kanan. Selepas itu putarlah stereng ke kanan penuh, kemudian gerakkan stereng sedikit ke kiri dan ke kanan.

Sistem pengemudian mempunyai peranan yang sangat penting, maka waspadalah terhadap pelbagai kelainan yang wujud. Dalam keadaan lain pula, ketika memandu kenderaan di atas jalan yang datar, stereng terasa cenderung untuk berputar ke sesuatu arah. Jadi, stereng terpaksa dipegang dengan kuat untuk mengelakkannya terus berputar ke satu arah.

Keadaan ini biasanya terjadi disebabkan:

1. Tekanan tayar kiri dan kanan yang tidak sama

2. Diameter rim kiri dan kanan yang tidak sama

3. Penyelarasan penjajaran roda depan kurang tepat, pegas (spring) gantungan depan yang sudah lemah, patah atau kurang baik pemasangannya, penggalas roda depan sudah rosak atau kurang baik penyelarasannya.

4. Brek dari salah satu roda depan atau belakang bergesel.

Apabila berhadapan dengan keadaan ini:

1. Pastikan beban kenderaan cukup seimbang. Kemudian periksalah sama ada kedua-dua tayar depan dan belakang sama tekanannya. Jika tidak, samakan.

2. Pandu kenderaan perlahan-lahan di atas jalan datar. Luruskan arah kenderaan, rasa dan perhatikan bagaimana kenderaan berjalan. Apabila kenderaan masih cenderung untuk membelok ke satu arah, hentikan kenderaan dan lakukan pemeriksaan seterusnya.

3. Diameter luar rim kiri dan kanan (untuk roda depan dan belakang) harus sama. Kemudian periksa adakah salah satu pegas depan sudah lemah atau patah. Selain itu, ada kemungkinan juga penyelarasan brek kurang baik atau hanya sebelah yang berfungsi.

Kerosakan pada sistem kemudi boleh menjejaskan sistem keselamatan. Oleh itu, penjagaan aspek penjajaran roda depan tidak boleh dipandang ringan.

Sumber

Baca lagi >>

Bahaya guna minyak masak kitar semula

Orang ramai dinasihati lebih berwaspada terhadap syarikat tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti mengutip minyak masak terpakai sebelum mengitarkannya semula dijadikan minyak masak.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar berkata, penjualan minyak masak terpakai yang  dibungkus semula itu kemudiannya dijual di pasaran menyumbang masalah kebersihan, kesihatan dan juga isu halal.
Mohlis (dua, kanan) bersama Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (kanan) dan Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abd Malik (tiga, kiri) semasa program berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan minyak masak dikitar semula itu dikutip daripada sumber yang tidak diketahui dari aspek kebersihannya terutama daripada aspek makanan halal kepada pengguna Islam. 

“Sebagai umat Islam, isu halal ini menjadi perkara utama dalam kehidupan seharian kita terutama yang melibatkan soal makanan dan ibadah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Pelancaran Inkubator Keusahawanan Minyak Masak Terpakai (CWASCO) di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam, di sini.

Mohlis berkata, penggunaan minyak masak itu juga boleh menjejaskan taraf kesihatan penduduk kerana menyumbang kepada risiko penyakit seperti kanser, penyakit kardio vascular (penyakit berkaitan jantung dan salur darah), strok, alzheimers dan parkinson.

Dalam pada itu, beliau berkata, PSIS Sabak Bernam disaran menggunakan minyak masak terpakai yang dijual kepada  Kris Biofuels untuk diproses menjadi biodiesel untuk kegunaan kenderaan politeknik berkenaan.

Beliau berkata, PSIS yang menjalin kerjasama dengan menjual minyak masak terpakai kepada Kris Biofuels perlu membelinya semula dengan syarikat terbabit berdasarkan perjanjian dan harga yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.

Katanya, menerusi kolaborasi itu PSIS bukan saja menjual minyak masak kepada syarikat terbabit, malah mereka dapat menggunakan biodiesel untuk kenderaan politeknik seperti pacuan empat roda dan bas.

“Apa yang kita buat ini mestilah kita amalkan kerana terbukti biodiesel ini lebih bersih dan tidak mengeluarkan karbon seperti diesel,” katanya.

Mohlis berkata, PSIS menjadi satu-satunya politeknik di negara ini yang menggerakkan inkubator keusahawanan minyak terpakai dan berharap agar kesemua politeknik lain juga dapat menghasilkan produk sama dan lain yang berimpak tinggi kepada penuntut politeknik dan masyarakat.

“Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM120,000 kepada seluruh politeknik di negara ini bagi program pemerkasaan inkubator keusahawanan politeknik,” katanya.

Katanya, PSIS menjalin kerjasama dengan pihak sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sekitar daerah Sabak Bernam bagi menjayakan projek pengumpulan minyak masak terpakai berkenaan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Penyamun dibelasah sampai mati

Percubaan seorang lelaki untuk menyamun seorang wanita, berakhir dengan dia mati dibelasah oleh suami mangsa di luar sebuah rumah di Air Kuning Tambahan, Gemencheh, 30 kilometer dari sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 49 tahun itu ditemui terlentang dengan tangan diikat ke belakang, menggunakan tali rafia. Satu topeng juga ditemui di situ.

Lokasi di mana mayat suspek ditemui, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam yang memberitahu terdapat pergaduhan di kampung itu.

“Sebaik tiba di lokasi, lelaki itu ditemui sudah mati. Turut ditemui di lokasi kejadian ialah sebilah pisau, dua biji batu dan serpihan batang paip," katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar 12.30 tengah malam apabila lelaki itu menyerang pasangan suami isteri berusia 57 dan 50an itu yang baru tiba di kawasan rumah selepas membeli makanan.

Menurutnya, sebaik sahaja si isteri, seorang warga Singapura, turun dari kereta, dia diserang lelaki tersebut.

"Si suami cuba meleraikan pergelutan dengan memukul lelaki itu dengan batang paip. Si isteri cedera di lengan kiri dan luka pada jari telunjuk.

"Wanita itu dibawa ke klinik kesihatan berdekatan oleh suaminya sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan," katanya.

Kooi Cheang berkata, polis sedang mencari waris si mati, yang dipercayai dari Cheras, Kuala Lumpur.

“Mayatnya kini di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat," katanya.


Beliau meminta mereka yang ada maklumat mengenai kes itu menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tampin, Asisten Superintendan Mohd Safari Sidik atau Asisten Superintendan P Pusparani di talian 06-4411222 untuk membantu siasatan.

Kooi Cheang menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak memukul suspek jenayah.

“Orang ramai hendaklah menangkap dan menyerahkan suspek kepada polis. Memukul suspek sehingga cedera atau mati menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun serta mencederakan orang, serta seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, polis sudah mengambil keterangan daripada pasangan suami isteri berkenaan semalam.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bayi kembar siam berjaya dipisahkan

TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Sepasang kembar siam dari Amerika Syarikat berjaya dipisahkan selepas menjalani pembedahan selama 26 jam oleh sepasukan 12 pakar bedah, enam pakar bius dan lapan jururawat pembedahan.

Menurut Mail Online, Knatalye Hope dan Adeline Faith Mata, 10 bulan, bercantum di bahagian dada dan badan serta berkongsi beberapa organ utama termasuk paru-paru, hati, usus besar, pelvis dan selaput jantung.

Pakar bedah pediatrik Dr Darrell Cass dari Hospital Kanak-kanak Texas berkata, pembedahan pemisahan kembar melekat di dada dan badan dikenali sebagai  thoracoomphalo-ischiopagus adalah pertama kali dilakukan dan pihaknya telah berusaha keras daripada membina model organ 3D sehinggalah hari pembedahan dilakukan.

Pasangan kembar itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi dan dilaporkan semakin pulih.

Sianr Harian

Baca lagi >>

Yatt Hamzah failkan permohonan cerai

SELEPAS enam tahun berumah tangga, pelakon dan pengacara Yatt Hamzah akhirnya memfailkan permohonan cerai, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Pada prosiding sebutan kes itu semalam, Yatt, 35, atau nama sebenarnya Haryati Hamzah selaku plaintif diwakili peguam Noraini Fauzi manakala suaminya Abdul Mutalib Abdul Shukor sebagai defendan.

Noraini memaklumkan mahkamah, anak guamnya bersedia untuk meneruskan kes itu selepas pihaknya menyerahkan saman kepada defendan pada 10 Februari lalu.

Bagaimanapun, Abdul Mutalib yang masih belum melantik peguam memohon agar kes itu ditangguhkan kerana kurang arif mengenai permohonan itu.

Abdul Mutalib berkata, jika boleh dia mahu menarik semula permohonan isterinya kerana ingin  mendapatkan  kaunseling berhubung masalah rumah tangganya.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah menasihati Abdul Mutalib melantik peguam terlebih dahulu kerana plaintif telah memfailkan kes itu terlebih dahulu.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Nikmatnya berumah di tepi sawah, musim kemarau ni boleh menimba ikan...

Tibanya musim kemarau merupakan saat dinanti penduduk yang tinggal di tepi sawah dan parit.

Bagi penduduk Kampung Tebakang, Marang inilah masa untuk melakukan aktiviti menimba ikan darat bersama jiran tetangga dan rakan taulan.

Antara ikan darat yang berjaya ditangkap.
Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di sebuah kawasan kubang di Lubuk Binjai di sini.

Keseronokan aktiviti ini boleh dinilai sendiri melalui hilai ketawa mereka yang menjadi penonton mahupun yang bergelumang lumpur menimba ikan.

Pengerusi Persatuan Belia Setia Pakat, Karim Ibrahim berkata, aktiviti itu menarik minat penduduk kampung apabila mereka hadir beramai-ramai menyaksikan gelagat peserta ketika menimba ikan dalam lumpur.

Menurutnya, acara seperti itu sekali gus dapat mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk, malah ikan yang ditangkap akan dimasak gulai secara bergotong-royong.

“Parit atau kawasan kubang akan dikeringkan dengan menggunakan pam air dan kaedah inilah yang dipanggil menimba sebelum kerja menangkap ikan dilakukan secara beramai-ramai," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>