Tuesday, 24 February 2015

Setem panda! Setem panda! Setem panda!

Peminat setem dinasihatkan supaya bersedia dengan ‘panda-mania’ berikutan keluaran setem terbaharu yang meraikan kehadiran dua ekor panda, Xing Xing dan Liang Liang di Malaysia.

Kedua-dua panda comel yang dipinjamkan dari China sebagai simbol hubungan kukuh antara Malaysia dan China kini dipaparkan pada koleksi setem khas yang akan mula dijual di semua pejabat pos di seluruh negara mulai Rabu, 25 Februari 2015.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata, koleksi setem dikenali sebagai Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan usaha-usaha pemuliharaan dan kepentingan hidupan liar dan kelestarian biodiversiti.

Kakitangan Pos Malaysia Berhad Sabrinder Kaur Bedi (kiri) dan Nurshafiqa Mat Kasim menunjukkan setem dan sampul surat di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara di Kuala Lumpur hari ini. 
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kami menjangkakan keluaran setem ini pasti menjadi rebutan orang ramai.

"Koleksi setem boleh dibeli secara atas talian di www.posonline.com.my melalui akaun Soda (Akaun Pesanan Deposit). Dengan mendaftar di Soda, orang ramai dapat menikmati kemudahan menerima keluaran setem dan produk filateli pada hari keluaran tanpa perlu beratur di pejabat pos," katanya.

Menurutnya, laman web itu juga membolehkan orang ramai mendapat maklumat terkini tentang keluaran-keluaran setem dan koleksi baharu dan yang akan datang.

Bagi setem panda tersebut, setiap lembaran mini dicetak khas menggunakan kertas gentian berbulu halus dengan ciri keselamatan dan dijual pada harga RM8 setiap satu.

Lembaran mini tersebut memaparkan panda jantan bergelar Xing Xing yang bermakna ‘Kemakmuran’ dan panda betina bergelar Liang Liang atau ‘Cantik’.

Sinar Harian

Baca lagi >>

MH370 ke Antartika?

BUKTI baru mengenai kehilangan Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 akan didedahkan dalam sebuah dokumentari menyiasat misteri kehilangan pesawat malang berkenaan.

Dalam dokumentari tersebut, pakar mendedahkan pesawat MH370 dikatakan telah sengaja dilencongkan oleh seseorang yang berada di dalam kokpit ke Antartika.

Ia juga akan mendedahkan maklumat data satelit yang menunjukkan pesawat berkenaan telah terbang selama berjam-jam selepas terputus hubungan dengan menara kawalan.

Pakar - pakar penerbangan akan membentangkan teori-teori mereka dalam siaran dokumentari National Geographic yang bertajuk Malaysia 370: What Happened? yang akan bersiaran pada 8 Mac ini.

Mereka percaya, pesawat berkenaan telah melakukan tiga lencongan selepas terputus hubungan dan bergerak menuju ke arah Antartika.

Pakar penerbangan, Malcolm Brenner, berkata kehilangan pesawat ini telah menarik perhatian dunia dan tidak pernah menyaksikan kejadian seumpama ini sepanjang kerjaya 40 tahunnya dalam penerbangan.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac tahun lepas.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) Martin Dolan yang mengetuai misi pencarian pesawat ini berharap dan menjangka akan ada penemuan terbaru menjelang bulan Mei.

"Seperti yang saya sering katakan, kami tidak ada kepastian tentang apa-apa, cuma ada keyakinan bahawa ia akan ditemui suatu hari nanti,” katanya.

"Ia adalah perkara yang agak kompleks sekarang dan kita menjangka untuk mempunyai maklumat terkini tetapi kami tidak meletakkan harapan untuk mengesan bangkai pesawat", katanya dipetik Mirror.uk

Sinar Harian

Baca lagi >>

Curi beruk pulok

Seorang pemuda berusia 24 tahun ditahan reman selama tiga hari selepas didakwa mencuri seekor anak beruk jantan dalam kejadian di Kampung Tok Has, dekat sini, kelmarin.

Perbuatan pemuda dari Kampung Pangkalan Sentul itu terbongkar setelah disedari abang pemilik beruk berkenaan yang kemudian melaporkan perkara tersebut kepada adiknya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, pemilik beruk berkenaan menyedari kejadian itu selepas dihubungi abangnya mengatakan ada seorang lelaki mencuri beruk jantan yang ditambat di kawasan rumahnya, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Suspek ditahan reman tiga hari selepas dipercayai mencuri seekor beruk, kelmarin.
Menurutnya, mangsa, peniaga berusia 25 tahun yang ketika itu berada di Kampung Apal, kemudian pulang dan mendapati haiwan kesayangannya bernilai RM300 itu sudah tiada.

“Mangsa mengesyaki seseorang mencuri anak beruk itu sebelum bertindak ke rumah suspek di Pangkalan Sentul untuk mencari beruk berkenaan. Setibanya di rumah suspek, mangsa mendapati beruk miliknya itu ditambat di bawah rumah.

"Mangsa kemudian mencari suspek yang dikenalinya itu seterusnya membawa suspek pulang ke rumahnya dan mengambil beruk itu, sebelum mangsa
menghubungi polis dan menyerahkan suspek kira-kira jam 5.30 petang. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut,” katanya.

Suspek ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah methamphetamine (pil kuda).

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 /511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Pembayar cukai boleh guna e-Filing mulai 1 Mac

Pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) tahun taksiran 2014 mereka melalui e-Filing bagi borang E, BE, B, BT, P,M, MT, TP, TF dan TJ  mulai 1 Mac ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan tarikh akhir pengemukaan BNCP tahun taksiran 2014 secara:

  • borang kertas (manual) bagi borang E adalah pada 31 Mac; 
  • borang BE, BT, M, MT, TP, TF dan TJ bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan (30 April); 
  • borang B, P, BT, M, MT, TP, TF dan TJ bagi individu yang menjalankan perniagaan (30 Jun).


"Pembayar cukai diminta segera mengemukakan BNCP mereka dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan," menurut kenyataan itu.

e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan BNCP secara elektronik melalui internet.

Aplikasi ini boleh dicapai terus melalui laman web ezHASiL di pautan htpps://ez.hasil.gov.my/ atau melalui portal rasmi LHDN www.hasil.gov.my.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1-800-88-5436‎.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Cuaca panas: Banyakkan minum air masak, kurang minuman berkafein, makanan pedas

Orang ramai dinasihati agar mengurangkan pengambilan cecair yang menggalakkan perkumpulan air kencing seperti minuman berkafein, kopi, teh dan air berkarbonat ketika cuaca panas.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL) Ridzoni Sulaiman berkata pengambilan minuman berkenaan menyebabkan individu akan kerap membuang air kecil sehingga mengakibatkan badan kekurangan cecair.

"Sudah menjadi kebiasaan, bila bangun pagi minum kopi atau teh, tetapi pada musim cuaca panas ini, ia tidak sesuai kerana akan menyebabkan kita kerap kencing, sedangkan badan kita memerlukan air yang banyak kerana suhu panas menyebabkan badan hilang banyak air.

"Seeloknya kita minum jus buah-buahan yang kurang gula. Bagi membekalkan air yang cukup untuk badan tak semestinya minum sehingga dua liter air kosong, tapi boleh diperoleh daripada sumber lain seperti buah-buahan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata selain minuman berkafein, pengambilan ubat diuretik terutama di kalangan pesakit darah tinggi juga boleh menyebabkan seseorang kerap membuang air kecil.

Sehubungan itu, Ridzoni berkata pesakit dinasihati agar mendapatkan nasihat doktor tentang alternatif atau cara untuk mengurangkan dos ubat berkenaan untuk sementara waktu bagi mengurangkan cecair dalam badan hilang secara paksa (kencing).

"Di samping itu, yang paling utama ialah setiap individu perlu memastikan bahawa mereka meminum air yang cukup iaitu kira-kira dua liter dalam tempoh 24 jam (sehari).

"Boleh minum lima gelas jus buahan-buahan dan lima gelas air kosong kerana selain membekalkan air, buah juga boleh membekalkan zat-zat lain seperti sodium, potassium dan vitamin C," katanya.

Ridzoni berkata bagi golongan berumur 50 tahun ke atas, mereka lebih mudah terdedah kepada dehidrasi kerana faktor umur yang meningkat menyebabkan mereka berasa kurang haus.

"Cara yang mudah ialah memeriksa air kencing kerana kencing yang pekat menunjukkan badan kekurangan air. Selain itu, jika kita melekapkan bibir atas dan bawah, dan jika ia melekit, seperti terkena air gula, itu bermakna mereka kurang air.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula menasihati orang ramai mengurangkan pengambilan makanan yang pedas bagi mengelak peningkatan suhu badan.

"Ambil makanan mengandungi banyak air seperti buah tembikai, betik dan tembikai susu, sayur-sayuran contohnya tomato, timun dan sawi, serta masakan seperti sup, tumis air dan masak pindang boleh meningkatkan pengambilan air.

"Kita juga boleh mendapatkan sumber air daripada minuman seperti air kosong, susu dan makanan seperti sup dan yogurt," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata orang ramai juga boleh melayari laman web Bahagian Pemakanan www.nutrition.moh.gov.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Panduan Diet

 Malaysia atau kemukakan sebarang pertanyaan yang berkaitan melalui Facebook Bahagian Pemakanan iaitu Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jabatan Meteorologi ketika dihubungi Bernama pula berkata suhu maksimum di beberapa bandar utama hari ini termasuk Kuala Lumpur mencecah 34 darjah kerana negara pada masa ini sedang berada pada penghujung Monsun Timur Laut dan dijangka berakhir pada penghujung Mac ini.

Kebanyakan kawasan terutamanya di utara pantai barat Semenanjung Malaysia kurang menerima hujan dalam tempoh yang panjang menyebabkan berlakunya cuaca panas dan kering. 

Bernama

Baca lagi >>

Bayi dipatuk ular selamat dikebumikan

TEMERLOH – Bayi perempuan Orang Asli berusia 1 tahun 3 bulan yang maut dipatuk ular senduk di rumahnya ketika sedang tidur pagi kelmarin selamat ditanam di kawasan perkuburan Kampung Orang Asli Paya Badak di sini semalam.

Puteri Mia Mazila Ramesh selamat dikebumikan petang semalam dalam suasana sedih dalam kalangan ahli keluarga serta penduduk kampung yang turut hadir membantu menguruskan mayat mangsa hingga selesai ditanam.

Puteri Mia Nazila anak tunggal Ramesh Maniam 25, disedari dipatuk ular itu oleh neneknya kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin selepas bangun dari tidur.

Penduduk Kampung Orang Asli Paya Badak menyiapkan keranda untuk mangsa yang maut akibat dipatuk ular, semalam.
Bapanya, Ramesh mendakwa melihat kesan muntah di mulut mangsa dan ketika itu anaknya sudah tidak sedarkan diri.

Menurutnya, anaknya mungkin dipatuk ular senduk pada sebelah malam ketika sedang tidur di dalam bilik dan kejadian hanya disedari pagi esoknya.

“Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menangkap ular terbabit yang masih bersembunyi di dalam rumah pada pagi kelmarin sebaik sahaja mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau ditemui semasa Exco Kerajaan negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin melawat keluarga mangsa, semalam.

Mohd Sharkar melahirkan rasa dukacita dengan kejadian tersebut yang jarang-jarang berlaku dan berharap keluarga tersebut reda.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa Puteri Mia Mazila ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur dengan keadaan mulut ada kesan muntah dan kaki ada kesan patukan ular.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Guna lidah untuk menaip

Kemiskinan dan status orang kurang upaya (OKU) tidak pernah melemahkan semangat wanita dari Kampung Gelong Gajah, Mukim Tobiar, dekat sini, untuk membaca dan menggunakan lidah sebagai pengganti tangannya.

Bagi Salmawati Mahmud, 30, walaupun tidak pernah ke sekolah dan mengalami masalah kecacatan tangan serta kaki, ia bukan penghalang bagi dirinya untuk belajar membaca.

Menurutnya, dia tidak dapat belajar  akibat kemiskinan selain jarak ke sekolah jauh dari rumahnya.

"Dulu, saya seorang yang pendiam dan kecacatan ini menyebabkan saya sukar bertemu atau berbual dengan rakan di kampung. Bagaimanapun sejak berumur lapan tahun, saya sudah boleh bermain ‘game’ di dalam telefon bimbit.

Salmawati menggunakan lidah bagi menggantikan tangan untuk menaip di telefon bimbitnya.
“Dari situlah saya mula belajar menggunakan telefon bimbit dan penggunaan telefon pintar di pasaran memudahkan lagi saya untuk menambah kenalan. Dengan bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) saya mula mengumpul dan membelinya," katanya.

Salmawati menyatakan penggunaan telefon pintar menggunakan lidah lebih mudah berbanding dengan penggunaan komputer riba kerana saiznya agak besar.

"Sejak menggunakan telefon pintar itu, saya telah mengaplikasikan jaringan perhubungan melalui Facebook, WhatsApp, Instagram dan Wechat bagi menambah rakan-rakan selain boleh berkongsi pengalaman,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak membuka Facebook pada 2011 sehingga kini, dia sudah mempunyai  kenalan mencecah 1,200 orang.

"Melalui laman sosial itu, saya dapat ramai kawan dan sekali gus memberi keyakinan pada diri dan tiada lagi rasa terpinggir.

Katanya, selain dari mencari kenalan dia juga turut menyertai beberapa peraduan kuiz melalui program sebuah radio pada 2013 dan berjaya memenangi hadiah.

"Apa yang melucukan ialah DJ berkenaan telah meminta saya pergi mengambil hadiah di Kuala Lumpur dan saya memaklumkan bahawa saya tidak mampu dengan kecacatan saya ini. Pada mulanya pihak berkenaan kurang percaya dan apabila mereka datang sendiri ke rumah barulah mereka tahu kecacatan yang saya alami selama ini .

"Mereka terkejut apabila saya menunjukkan teknik menaip dengan hanya menggunakan lidah sahaja dan kejayaan itu turut memberi semangat kepada saya bahawa orang cacat seperti saya juga mampu berdikari,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Saudah Shaari, 54, berkata, pada mulanya dia sedih dengan keadaan anaknya yang cacat dan tidak mendapat pendidikan.

Bagaimanapun semua itu bertukar menjadi sesuatu menggembirakan apabila anaknya itu menunjukkan minat mahu belajar membaca melalui bantuan adik-adiknya.

"Kegigihan anak saya membaca serta mampu menggunakan internet banyak mengubah sikapnya yang pendiam kepada seorang yang periang.

"Kemampuan anak saya menguasai internet juga turut menjadi kebanggaan penduduk kerana dia sering dijadikan rujukan penduduk untuk mendapat sebarang maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, urusan harian anaknya termasuk makan, mandi dan memakai pakaian dilakukannya kerana Salmawati tidak mampu berjalan selain hanya terbaring sejak kecil lagi.

Sinar Harian

Baca lagi >>