Monday, 23 February 2015

Anwar bakal hilang kelayakan ahli parlimen esok

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara automatik akan hilang kelayakan sebagai anggota parlimen mulai esok, berikutan parti itu tetap dengan keputusan untuk tidak memohon pengampunan Diraja bagi pembebasannya.

Perkembangan terbaharu itu memberi isyarat jelas bahawa pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hampir pasti diadakan kerana kerusi yang disandang Anwar itu mungkin diisytiharkan "secara rasmi kosong" tidak lama lagi.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli memberitahu media hari ini bahawa PKR tidak akan memohon pengampunan Diraja bagi pembebasan Anwar, sambil menambah bahawa tiada arahan daripada ketua pembangkang itu untuk berbuat demikian.

Hari ini adalah hari terakhir bagi Anwar untuk mengemukakan permohonan bagi pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Penyandang kerusi Permatang Pauh itu mempunyai tempoh 14 hari bermula dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dihukum penjara kerana meliwat, untuk memfailkan petisyen bagi pengampunan tetapi setakat ini, Anwar tidak mengambil apa-apa langkah ke arah itu.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas, menolak rayuan Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Saiful Bahari Azlan pada 2008, dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun. 

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini, berkata pihaknya hanya akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh, sebaik sahaja tempoh Anwar hilang kelayakan sebagai anggota parlimen berkuat kuasa.

Di bawah Fasal 4 Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, Anwar hilang  kelayakan sebagai anggota parlimen hanya berkuat kuasa selepas 14 hari dari tarikh dia disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman, iaitu esok.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi Bernama menyifatkan pengumuman Rafizi itu isyarat jelas kepada jentera parti untuk turun padang dan bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan parti berkenaan di kawasan tersebut. 

Katanya ini kali keenam PKR bertanding di Permatang Pauh sejak pilihan raya umum 1999 apabila Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, memenangi kerusi tersebut, selain beberapa pilihan raya kecil bagi kerusi dewan undangan negeri di kawasan parlimen berkenaan. 

"Jentera parti sentiasa bersiap sedia sepanjang masa dan kita akan mula berkampung minggu ini," katanya, yang menolak desas-desus bakal menjadi calon parti itu bagi pilihan raya kecil tersebut.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kapal perang US tiba di Pengkalan Sepanggar, Kota Kinabalu

Kapal perang amfibia Amerika Syarikat, USS Bonhomme Richard (LHD 6) dan Unit Ekspedisi Marin (MEU) Ke-31 hari ini tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar dekat sini sebagai sebahagian daripada kunjungan berjadual ke pelabuhan di Malaysia.

Pegawai Memerintah USS Bonhomme Richard Kapten Joey Tynch berkata, pada lawatan ini, anggota dan pegawai tentera laut dan marin akan terbabit dalam beberapa projek khidmat masyarakat, menganjurkan lawatan di dalam kapal, acara sukan serta melawat tempat menarik di bandar raya ini.

"Kota Kinabalu ialah pintu masuk popular bagi orang yang berkunjung ke  Sabah atau Borneo dan merupakan satu daripada bandar raya komersial dan perindustrian utama di Malaysia," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Unit Hal Ehwal Awam USS Bonhomme Richard.

Bonhomme Richard merupakan kapal induk Bonhomme Richard Amphibious Ready Group dan bersama-sama MEU Ke-31, ia kini dikerahkan di bawah United States 7th Fleet Area of Operations.

Tynch berkata mereka gembira untuk kembali belayar dan bekerjasama dengan anggota marin MEU ke-31 dalam menilai keupayaan semua aspek kapal amfibia itu di samping bekerjasama dengan negara rakan kongsi di Pasifik.

"Kami begitu teruja untuk datang ke Malaysia mewakili Amerika Syarikat dan pasukan marin dan tidak sabar untuk melihat apa yang ditawarkan negara ini baik di laut sehingga puncak Gunung Kinabalu," katanya.

Bonhomme Richard ARG kini berada di bawah ketumbukan taktikal pimpinan Komander Skuadron 11 Amfibia Kapten Heidi Agle dan melapor kepada Komander Amphibious Force 7th Fleet, Laksamana Madya Hugh D. Wetherald, beribu pejabat di White Beach, Jepun. 

Bernama

Baca lagi >>

Perhatian! Semua pemilik kereta Proton Inspira (keluaran September 2010 - Mei 2011) digesa buat pemeriksaan

PEMBUAT kereta nasional, Proton Holdings Bhd, menggesa 5,280 pemilik kereta Inspira yang dikeluarkan antara September 2010 hingga Mei 2011 menghubungi pusat servis Proton untuk pemeriksaan percuma.

Proton berkata, gesaan itu dibuat seiring dengan kempen pembaikan dan pemeriksaan percuma Mitsubishi Malaysia Motor yang melibatkan brek booster dan tali berjalur-V ke atas model-model tertentu Mitsubishi yang dipasang sepenuhnya (CBU).

"Dipercayai unit 'Drive Belt Pulley' dalam kereta Proton Inspira yang dikeluarkan dalam tempoh itu mungkin sudah haus selepas jarak perbatuan tertentu serta keadaan pemanduan.
    
"Ini akan menyebabkan kehausan pramatang dan kelusuhan kepada unit itu, yang mungkin akan menyebabkan kehabisan bateri dan kepanasan enjin serta membebankan sistem stereng kuasa," katanya.
   
Penggantian tersebut adalah percuma termasuk kos buruh.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Opah Piah, 74 tahun, pakar tebar roti canai

BATU GAJAH – Jika di Jalan Teknik, Alor Setar Kedah popular dengan kisah penebar roti canai berusia 17 tahun, Chantal Viola, 17, yang berasal dari Rome, Itali, di Kampung Changkat Tin di sini tidak kurang hebatnya apabila terdapat seorang wanita yang mahir dan masih mampu menebar roti canai walaupun sudah mencecah usia emas.

Sufiah Mohd Tahir, 74, atau lebih mesra dengan panggil Opah Piah tidak kekok menebar 80 roti canai, setiap hari walaupun pekerjaan itu sinonim dengan golongan lelaki.

Kemahiran itu diwarisi daripada arwah suaminya ketika memulakan perniagaan di Ipoh sekitar tahun 90-an.

Opah Piah yang merupakan penduduk asal di Kampung Changkat Tin gembira kerana masih diberikan kesihatan yang baik untuk terus bekerja walaupun kebanyakan wanita seusianya sudah tidak berupaya berbuat demikian.

Tak boleh duduk diam

Opah Piah berkata, selepas sekian lama berniaga di Ipoh, dia dan suaminya ke kampungnya dan memulakan perniagaan di situ sehinggalah suaminya meninggal dunia pada 2002.

Katanya, sejak ketiadaan suami, dia berasa gusar kerana tidak dapat berniaga sehinggalah dia berpakat dengan seorang rakan, Hapipah Shaari, 46, untuk membeli sebuah kedai makan.

"Sejak itu, saya bekerja dengan Hapipah hingga hari ini. Sebelum ini memang saya tebar roti, jadi bila bekerja dengan pemilik baharu ni pun saya minta kerja menebar roti diserahkan kepada saya,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kemahiran menebar roti canai dipelajarinya daripada arwah suaminya dan kemudiannya diturunkan pula kepada anak tunggal dan cucunya.

Katanya, walaupun kedua-dua warisnya itu tidak membuka kedai makan namun mereka mampu menebar roti dengan baik.

Opah Piah berkata, dia tidak boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa kerja kerana dari kecil sudah diasuh mencari rezeki.

“Pernah Hapipah tutup kedai sehari kerana ada urusan, masa tu saya rasakan lama sangat. Satu hari tu nak dihabiskan kerana asyik duduk rumah untuk tunggu esok.

“Saya jadi serba tak kena kalau satu hari itu tidak bekerja malah saya pun bukan jenis yang suka berjalan walaupun di usia seperti saya ramai yang sudah duduk di rumah dan tidak bekerja,” katanya.


Gemar makan ulam

Opah Piah berkata, dia bersyukur kerana diberikan kesihatan tubuh badan oleh ALLAH SWT dan masih mampu bekerja di usia 74 tahun.

Tersenyum apabila ditanya rahsianya kekal sihat dan cergas, Opah Piah berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua khusus tetapi percaya amalan pemakanan yang baik sejak usia muda banyak mempengaruhi kesihatan dirinya kini.

“Saya tak ada makan apa-apa pun cumanya kita ni orang kampung jadi makan ulam-ulaman tu dah jadi kebiasaan la, mungkin la juga sebab makan ulam-ulam yang pahit ni buat saya sihat, tak tahulah pula saya.

“Sakit lenguh badan, sakit kepala tu adalah juga cuma penyakit yang kronik tu memang tak ada, Alhamdulillah. Ulam yang pahit tu orang kata ada khasiat, jadi memang itulah yang saya makan,” katanya.

Menurutnya, dia mahu terus bekerja hingga menutup mata atau Hapipah sudah tidak lagi berniaga.


Terkejut kisah jadi viral

Sementara itu, Hapipah berkata, dia terkejut melihat gambar Opah Piah menjadi viral di laman sosial baru-baru ini sedangkan sudah lama warga emas itu membantu di gerainya.

Katanya, gerainya yang beroperasi sejak 15 tahun lalu kerap dikunjungi pelanggan, namun disebabkan berita itu tersebar di laman sosial, ia menjadi bualan penduduk kampung termasuk pelanggan luar.

“Kebiasaannya orang luar pasti akan datang dekat untuk melihat sendiri Opah Piah menebar roti canai, malah ada di antaranya yang mengambil gambar dan video.

“Biasanya orang akan tanya apa rahsia opah sihat walaupun sudah berumur 74 tahun dan soalan selalu ditanya orang ramai adalah berapa umurnya,” katanya.

Menurutnya, dia amat kagum dengan kegigihan Opah Piah walaupun di usia 74 tahun, warga emas itu gigih bekerja untuk mencari rezeki.

“Jam 3 pagi dia akan tunggu saya ambil di rumahnya dan bila sampai di gerai, Opah akan mula bekerja kerja hinggalah kedai dibuka pada enam pagi sampai tengah hari,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Rekaan pondok mainan yang dapat memenuhi impian kanak-kanak

Dengan harganya mencecah puluhan ribu ringgit, ia menjadi pondok mainan khusus untuk anak golo­ngan berada

Syarikat Lilliput Play Homes yang berpangkalan di Finlevville, Pennsylvania di Amerika Syarikat sudah mengeskport 30 variasi pondok mainan seperti ini ke seluruh dunia dengan sebahagiannya mencecah harga hampir RM72,000.

Syarikat berkenaan yakin pondok mainan itu dapat memenuhi impian kanak-kanak yang inginkan tempat mereka sendiri untuk membesar, meneroka dan berdikari.

KANAK-KANAK bukan saja boleh bermain di dalam, tetapi juga di luar pondok mainan mereka.

Setiap pondok mainan itu dibina dengan begitu teliti, dilengkapi perabot, pendingin udara dan peralatan dapur bagi membolehkan ia didiami kanak-kanak berkenaan, seperti mendiami rumah sebenar.

Dengan memasukinya menerusi pintu yang setinggi 1.1 meter - lengkap dengan loceng dan pe­ngetuk tembaga - semua ruang pondok mainan berkenaan dihiasi permaidani. Dapur dan bilik air pula dipasangkan jubin sementara tingkap ditutup dengan langsir hingga ke lantai.

Tidak cukup dengan itu, pelanggan boleh menambah untuk meleng­kapkan sekitar pondok mainan mereka dengan buaian, papan gelongsor, tembok memanjat, terowong merangkak, meja berkelah dan taman bunga.


RUMAH sesuai untuk kanak-kanak.
Syarikat berkenaan turut memberi peluang kepada pelanggannya menempah khas pondok mainan, termasuk seperti yang dilengkap dengan menara istana, teater dan kedai yang mempunyai rak dan kaunter untuk anak mereka bermain dan meneroka.


Dalam laman webnya, pengasas Lilliput, Stephen Chernicky berkata, dia menubuhkan syarikat itu selepas dia dan isteri gagal menemui pondok mainan paling sesuai untuk anak perempuan mereka.

Mereka mencipta Victorian Mansion pertama untuk anak mereka, Alyssa, lebih 20 tahun lalu.
Melalui proses itu mereka mendapat idea untuk menubuhkan Lilliput Play Homes.
SEBUAH pondok mainan yang hasilkan Lilliput Play Homes. Pondok mainan jenis The Cotton Candy Manor ini dijual dengan harga hampir RM37,000.

Hmetro

Baca lagi >>

PM India lelong sut RM2.5j, hasil jualan digunakan untuk mencuci sungai Ganges

Sut dipakai Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika menemui Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dengan jaluran monogram tertulis namanya dijual semalam dengan harga 43 juta rupee (RM2.5 juta).

Sut itu dibeli peniaga berlian Lalji Patel - juga berasal dari Gujarat seperti Modi - selepas memenangi bidaan diadakan semalam.

BAJU yang dipakai Modi ketika menemui Presiden Amerika Syarikat
Sut itu dianggarkan bernilai lebih 1 juta rupee (RM59,000) dan diselar pembangkang kerana dianggap tidak sensitif kerana dilelong ketika jutaan rakyat India hidup dengan belenggu kemiskinan.

Pegawai Gujarat, Milind Toravane berkata, sut berkenaan dan barangan lain yang dijual sebenarnya hadiah diterima Modi selepas menjadi perdana menteri pada Mei tahun lalu.

Antara hadiah lain termasuk barangan perhiasan perak dan gangsa.

Wang hasil jualan akan digunakan untuk mencuci Sungai Ganges.

Sepanjang menjadi Ketua Menteri Gujarat dari 2001 hingga 2014, Modi kerap menjual barangan dihadiahkan kepadanya dengan wang jualan digunakan untuk program pendidikan kanak-kanak perempuan di negeri itu. 

Hmetro

Baca lagi >>

Tempat pelancongan yang paling bahaya di dunia

Bayangkan cerunan gunung yang menegak atau ombak maut menggunung. Demi minat dan kepuasan, ia tentu tidak menjadi terlalu bermasalah walaupun harganya mungkin nyawa sendiri.

Walaupun begitu, sejumlah lokasi amat berbahaya ini mungkin memerlukan anda berfikir lebih daripada sekali sebelum menyahut cabarannya.

Berikut adalah antara lokasi rekreasi paling berbahaya di dunia:

Half Dome, Taman Negara Yosemite



Setinggi hampir 1,500 meter dari Lembah Yosemite, Half Dome adalah lejenda di kalangan pendaki.

Memerlukan masa seharian dan jerih untuk sampai ke puncak, jarak 120 meter terakhir ‘kubah’ ini hampir menegak 90 darjah.

Pendaki perlu menggunakan kabel logam sebagai alat bantu untuk menjejakkan kaki di puncaknya.

Namun, perlu diingatkan bahawa di peringkat inilah kemalangan paling banyak berlaku dan dilaporkan, kira-kira 60 orang terbunuh di sini.

Pada 2011 seramai tiga pendaki maut, dengan dua daripadanya dihanyutkan arus di bawahnya.

Jika itu belum cukup menggerunkan, ini mungkin dapat memberikan gambaran lebih jelas: Sesetengah pendaki maut kerana disambar petir!

Lawatan ke gunung berapi Hawaii

Aktiviti mengunjungi gunung berapi aktif semakin popular di kalangan pelancong yang dahagakan cabaran. Namun ia ternyata tidak semakin selamat.


Taman Negara Gunung Berapi Hawaii melaporkan ada sebanyak 40 kematian dan 45 kecederaan serius antara 1992 hingga 2002.

Pada 2007 mereka menutup aktiviti berbasikal di Kilaluea tempat gunung berapi paling aktif di dunia selepas tiga orang maut dalam tempoh setahun.

Kini dibuka semula, pelancong terdorong untuk ke puncak gunung berapi sebelum boleh berbasikal ketika menuruni cerunnya.

Risiko yang ditempah?

Hilang kawalan, cedera parah, melecur akibat terkena lahar dan terhidu gas beracun yang membunuh.

Mont Blanc, Perancis & Itali

Daripada 20,000 pengunjung yang cuba mendaki pergunungan tertinggi di kalangan negara Kesatuan Eropah ini, berpuluh-puluh terbunuh.


Dengan ketinggian 4,810 meter, pelancong sering menjadi korban akibat perubahan cuaca mengejut, jumlah pengunjung melampau dan runtuhan batu.

Kejadian terburuk direkodkan dalam tempoh beberapa tahun ini ialah pada 2012 apabila sembilan pendaki dari Switzerland, Jerman, Britain dan Sepantyol terbunuh dirempuh runtuhan salji.

Jalan Maut, Bolivia

Dianggap satu daripada laluan paling berbahaya di dunia, Jalan Yungas Utara sering dirujuk sebagai Jalan Maut. Ia tidak menghairankan jika melihat kepada kadar kematian dicatatkan di situ sehingga 300 orang setahun.


Laluan 64 kilometer dari puncaknya menarik lebih 25,000 penunggang motosikal setiap tahun.

Jalan yang sempit, tanpa penghadang keselamatan dan tebing tinggi menjadi ujian kepada mereka.
Kokoda Track, Papua New Guinea

Popular ketika Perang Dunia Kedua, Kokoda Track menjadi tempat kunjungan warga Australia yang ingin memberi penghormatan kepada tentera yang terkorban ketika konflik berkenaan.

Laluan sepanjang 96 kilometer itu melalui kawasan hutan, sungai dan pergunungan.

Setakat ini ia sudah mengorbankan enam pengunjung Australia, selain 50 yang lain terpaksa diselamatkan melalui helikopter.

Teahupoo

Disenarai sebagai antara 10 lokasi berombak besar paling bahaya di dunia, ada lima kematian dicatatkan sejak 2000.


Menjadi lokasi kejohanan dunia setiap tahun, ombaknya boleh mencapai ketinggian tujuh meter bersama kekuatan yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Nama Teahupoo boleh diterjemah sebagai “Tempat Tengkorak.”

Gunung Huashan, China

Bersatu dengan pergunungan Tao, laluan di sini adalah antara yang paling bahaya di dunia.


Tangga yang curam dibina mengelilingi gunung setinggi 2,154 meter itu dengan rantai sebagai tempat berpaut.

Pendaki yang berani akan mendapat ‘habuan’ jika mereka berjaya tiba di puncak iaitu secawan teh.

Walaupun tiada statistik rasmi mengenai kematian di sini, dianggarkan 100 orang terbunuh setiap tahun.
Pantai Acapulco

Jangan terpedaya bahawa keindahan pantai akan menjamin keselamatan.

Kawasan perkelahan Acapulco memang terkenal dengan jenayah tinggi dengan kadar pembunuhan sebanyak 142 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Firma pelancongan Australia pula menyarankan warga negara itu hanya melawat kawasan yang sering dikunjungi ramai, tetapi masih mengingatkan lokasi itu tetap berdepan risiko pembunuhan dan penculikan.

Kebanyakan jenayah berlaku di kejiranan kelas pertengahan yang terletak tidak jauh dari apartmen mewah, pusat peranginan dan kedai eksklusif.

Rangkaian sungai Colorado

Ia mungkin rangkaian sungai paling popular di Amerika Syarikat, tetapi dibayangi pelbagai kecelakaan dengan sesetengahnya menyebabkan kematian.


Pada 2014, berlaku 15 kematian dalam tempoh tujuh bulan pertama menjadikan tahun lalu sebagai tempoh paling buruk dalam sejarahnya.

Jabatan Taman dan Hidupan Liar Colorado menyalahkan salji cair dari bahagian hulu menyebabkan paras air meningkat mendadak serta kian deras.

Mereka juga mendakwa pengambilan arak dan kekurangan pengalaman menyumbang kepada banyak kemalangan.

Skellig Michael

Terletak di barat Ireland, Skellig Michael diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1996 berdasarkan kepada kewujudan biara purba unik di situ.


Ia boleh dicapai selepas anda mendaki 600 anak tangga berusia lebih 1,000 tahun sambil mengharungi deruan angin kencang serta lereng curam.

Tergelincir dan terjatuh adalah kemalangan paling lazim di sini.

Pada 2009, dua kematian direkodkan dan mendorong pihak yang berkenaan mengkaji semula aspek keselamatan sedia ada.

Namun di sebalik kemalangan berkenaan, mereka tetap tidak memasang palang keselamatan di situ.

Hmetro

Baca lagi >>